Baru Bergelar Siswazah, Sekarang Perlu Bermula dari Mana?

imej dari magnific
Sila baca [Dari Kampus ke Kerjaya #1] terlebih dahulu.
Akhirnya, selesai juga.
Setelah berbulan-bulan bergelut dengan tesis, pembetulan, sesi bimbingan dan persediaan untuk viva, kini anda secara rasmi bergelar siswazah. Hari konvokesyen tiba, gambar berjubah sudah diambil, keluarga turut gembira dan ucapan tahniah mula memenuhi notifikasi.
Namun, selepas semua kemeriahan itu perlahan-lahan berakhir, mungkin muncul satu persoalan baharu.
“Sekarang, saya perlu bermula dari mana?”
Persoalan ini sememangnya wajar. Selama bertahun-tahun, kehidupan anda mempunyai aliran yang jelas. Memasuki semester baharu, mengambil mata pelajaran, menyiapkan tugasan, menduduki peperiksaan dan kemudian meneruskan ke semester seterusnya. Selepas tamat pengajian, tiada lagi jadual yang secara automatik menentukan langkah anda.
Kini, anda sendiri perlu menentukan hala tuju.
Tidak Mengapa Jika Belum Mempunyai Jawapan
Selepas konvokesyen, mungkin anda melihat rakan-rakan mula berkongsi berita di LinkedIn. Ada yang sudah mendapat pekerjaan, ada yang menyambung pengajian dan ada juga yang memulakan perniagaan.
Kemudian, tanpa disedari, anda mula membandingkan diri sendiri.
“Kenapa saya masih tidak tahu mahu ke mana?”
Sedangkan, baru sahaja tamat pengajian bukan bermakna anda perlu sudah memiliki semuanya. Anda tidak perlu sudah mempunyai pekerjaan impian, rancangan hidup untuk lima tahun akan datang atau jawapan yang pasti tentang kerjaya.
Yang penting, jangan berhenti bergerak hanya kerana belum mengetahui matlamat akhir dengan sempurna.
Anda boleh bermula dengan menentukan langkah yang paling dekat terlebih dahulu.
Beri Diri Anda Masa, Tetapi Jangan Hilang Arah
Selepas melalui tempoh pengajian yang panjang, mengambil masa untuk berehat bukanlah sesuatu yang salah. Anda mungkin mahu meluangkan masa bersama keluarga, tidur tanpa memikirkan tarikh akhir tugasan atau sekadar melakukan perkara yang tertangguh ketika menyiapkan tesis.
Silakan.
Namun, cuba tetapkan had masa untuk diri sendiri. Sebagai contoh, selepas berehat selama beberapa minggu, mula susun semula rutin dan tentukan perkara yang ingin dilakukan seterusnya.
Rehat itu penting, tetapi terlalu lama berhenti juga boleh membuatkan anda semakin sukar untuk bermula.
Tentukan Hala Tuju, Bukan Sekadar Matlamat
Tidak semua orang terus mengetahui pekerjaan impian mereka. Oleh itu, anda tidak perlu memaksa diri untuk mencari satu jawapan besar.
Cukup bermula dengan soalan mudah.
Bidang apa yang menarik untuk anda cuba? Pekerjaan seperti apa yang sesuai dengan kemahiran anda? Apakah jenis persekitaran kerja yang membuatkan anda selesa?
Jawapan anda mungkin berubah dari semasa ke semasa dan itu tidak mengapa.
Apa yang anda perlukan sekarang bukanlah peta kehidupan yang lengkap. Anda hanya perlu mengetahui ke arah mana langkah seterusnya akan diambil.
Artikel ini mungkin menarik minat anda:
6 Kesilapan Menghalang Matlamat Anda
Mulakan dengan Mencari Tahu Peluang yang Ada
Selepas mempunyai gambaran awal, mulakan dengan mencari tahu peluang yang tersedia.
Jangan hanya fokus pada satu syarikat atau satu jawatan. Luangkan masa untuk melihat pelbagai jawatan kosong dan membaca syaratnya. Dari situ, anda boleh memahami kemahiran yang banyak dicari dan perkara yang masih perlu dipelajari.
Mungkin anda juga akan menemui pekerjaan yang sebelum ini tidak pernah terlintas dalam fikiran.
Proses mencari pekerjaan bukan sekadar tentang syarikat menilai sama ada anda sesuai untuk mereka. Anda juga sedang mencari tahu sama ada pekerjaan tersebut sesuai untuk anda.
Bina Rutin Baharu
Salah satu perubahan terbesar selepas tamat pengajian ialah kehilangan rutin kehidupan di kampus.
Tiba-tiba, tiada lagi jadual kelas atau tarikh akhir tugasan. Hari-hari boleh terasa kosong, terutama jika anda masih belum mula bekerja.
Oleh itu, cuba bina rutin yang mudah. Sebagai contoh, luangkan masa untuk mencari peluang pekerjaan, mengemas kini resume, mempelajari kemahiran baharu atau mengikuti perkembangan industri yang anda minati.
Anda tidak perlu menghabiskan sepanjang hari untuk mencari pekerjaan. Apa yang lebih penting ialah konsisten.
Mempunyai rutin juga boleh membantu anda berasa masih mempunyai hala tuju sepanjang tempoh peralihan ini.
Jangan Terlalu Sibuk Membandingkan Perjalanan
Selepas tamat pengajian, anda mungkin melihat rakan-rakan bergerak ke arah yang berbeza.
Ada yang terus bekerja. Ada yang masih mencari pekerjaan. Ada yang menyambung pengajian. Ada juga yang memilih untuk membantu perniagaan keluarga atau mencuba laluan lain.
Tiada satu laluan yang paling tepat untuk semua orang.
Mungkin rakan anda sudah bekerja sekarang, sementara anda hanya mendapat peluang beberapa bulan kemudian. Itu tidak bermakna anda ketinggalan. Setiap orang bermula dengan keadaan, peluang dan perjalanan yang berbeza.
Daripada terus melihat sejauh mana orang lain telah melangkah, lebih baik fokus pada langkah yang boleh anda lakukan hari ini.
Baca lagi:
Fokus Pada Pilihan Anda, Bukan Penilaian Orang Lain
Ingat, Tamat Pengajian Bukan Garisan Penamat
Menjadi siswazah baharu memang boleh terasa menggembirakan dan mengelirukan pada masa yang sama.
Anda akhirnya menyelesaikan satu fasa, tetapi belum tentu tahu bagaimana fasa seterusnya akan berjalan. Namun, mungkin memang begitulah rasanya apabila memulakan sesuatu yang baharu. Tidak semua jalan akan kelihatan jelas sejak awal.
Anda tidak perlu terus mendapat pekerjaan impian.
Anda tidak perlu terus mengetahui keseluruhan rancangan hidup anda.
Dan anda juga tidak perlu bergerak sepantas orang lain.
Buat masa ini, mulakan dengan satu langkah.
Mungkin dengan mengemas kini resume. Mungkin dengan mencari tahu bidang yang ingin anda cuba. Atau mungkin dengan melihat satu jawatan kosong dan mula memahami perkara yang sebenarnya dicari oleh syarikat.
Kerana selepas jubah konvokesyen ditanggalkan dan ucapan tahniah semakin berkurangan, perjalanan seterusnya barulah benar-benar bermula.
Namun, selepas menentukan hala tuju, persoalan seterusnya ialah: bagaimana untuk benar-benar mula memasuki dunia pekerjaan? Adakah cukup sekadar menghantar resume kepada sebanyak mungkin syarikat?
Bersambung dalam Dari Kampus ke Kerjaya #3
Perkembangan Peribadi
Manisha ialah editor dan penulis di Leaderonomics. Beliau percaya bahawa tulisan mempunyai kekuatan untuk mendidik dan membawa perubahan dengan memberi inspirasi kepada ramai orang.




