Persediaan Penting Sebelum Graduasi

imej oleh Kawê Rodrigues, Pexels
“Tesis sudah sampai bab berapa?”
Jika anda kini berada di tahun akhir pengajian, soalan itu mungkin sudah menjadi perkara biasa. Daripada pensyarah, ahli keluarga hinggalah rakan-rakan yang sama-sama sedang menyiapkan tesis dan membuat persediaan untuk pembentangan akhir, seolah-olah semua perhatian hanya tertumpu pada satu perkara: menamatkan pengajian.
Tidak salah untuk memberi keutamaan kepada perkara itu. Menamatkan pengajian sememangnya satu pencapaian yang membanggakan. Namun, di sebalik kesibukan membuat pembetulan tesis, mengumpul data dan membuat persediaan untuk pembentangan akhir, ada satu perkara yang sering terlepas pandang, iaitu membuat persediaan untuk memasuki alam pekerjaan.
Tidak sedikit pelajar yang hanya mula memikirkan soal kerjaya selepas tamat pengajian. Akibatnya, mereka berasa keliru tentang langkah pertama yang perlu diambil. Ada yang masih belum mempunyai CV, belum pasti jawatan yang ingin dipohon, malah belum pernah memahami bagaimana proses pengambilan pekerja dijalankan oleh syarikat.
Hakikatnya, anda tidak perlu menunggu sehingga bergraduasi untuk mula membuat persediaan. Malah, tahun akhir pengajian merupakan masa yang sesuai untuk memulakan langkah sedikit demi sedikit. Bukan kerana anda perlu mendapatkan pekerjaan dengan segera, tetapi supaya anda lebih bersedia apabila peluang itu tiba.
Perkara ini selari dengan laporan National Association of Colleges and Employers (NACE) yang menegaskan bahawa kesiapsiagaan kerjaya (career readiness) seharusnya dibina sepanjang tempoh pengajian melalui pengalaman sebenar seperti projek, penglibatan dalam organisasi, latihan industri dan pembelajaran berasaskan amali. Dengan kata lain, persediaan untuk memasuki alam pekerjaan tidak bermula selepas bergraduasi, tetapi sejak masih bergelar pelajar.
Kenal Pasti Haluan Kerjaya yang Ingin Diceburi
Sebelum menghantar permohonan ke pelbagai syarikat, tanyakan kepada diri sendiri: Apakah bidang pekerjaan yang benar-benar ingin anda ceburi?
Anda tidak perlu mempunyai jawapan yang sempurna. Namun, mempunyai gambaran awal dapat membantu anda membuat persediaan dengan lebih terarah. Sebagai contoh, anda mungkin berminat dalam bidang pemasaran, sumber manusia, media, pendidikan atau teknologi. Selepas itu, kenal pasti kemahiran yang biasanya diperlukan oleh majikan untuk jawatan tersebut.
Dengan cara ini, baki tempoh pengajian boleh dimanfaatkan untuk mempelajari kemahiran yang benar-benar relevan dengan matlamat kerjaya anda.
Sediakan CV Seawal Mungkin
Ramai pelajar beranggapan bahawa CV hanya perlu disediakan selepas tamat pengajian. Sebenarnya, tiada salahnya jika anda mula menyediakannya dari sekarang.
Jika anda belum mempunyai pengalaman bekerja, jangan cepat berasa rendah diri. Pengalaman dalam persatuan, jawatankuasa program, kerja sukarela, projek universiti, pertandingan dan latihan yang pernah disertai juga mampu menunjukkan bahawa anda memiliki pelbagai kemahiran yang terus berkembang.
Anggap sahaja CV pertama anda sebagai draf. Apabila pengalaman semakin bertambah, anda hanya perlu mengemas kininya. Ia jauh lebih mudah berbanding menyediakan semuanya dari awal ketika sedang sibuk memohon pekerjaan.
Artikel ini mungkin menarik minat anda:
15 Kerjaya Popular Menjelang 2030 dan Kursus Berkaitan
Bina Portfolio, Walaupun Masih Kecil
Jika bidang yang anda minati memerlukan portfolio, jangan tunggu sehingga anda mula bekerja.
Pelajar reka bentuk boleh mula mengumpulkan hasil kerja terbaik mereka. Pelajar komunikasi boleh menyimpan kandungan atau projek media yang pernah dihasilkan. Pelajar sastera pula boleh menghimpunkan penulisan yang pernah diterbitkan. Malah, projek universiti yang disiapkan dengan bersungguh-sungguh juga boleh dijadikan bukti keupayaan anda.
Portfolio bukan sekadar menunjukkan jumlah pengalaman yang dimiliki, tetapi bagaimana anda mempamerkan hasil kerja dan kemahiran yang telah dibangunkan.
Luaskan Pengetahuan dan Jaringan Profesional
Alam pekerjaan akan menjadi lebih mudah difahami jika anda mula mengenalinya sejak di bangku universiti.
Sertailah seminar kerjaya, webinar, karnival kerjaya atau sesi perkongsian bersama alumni. Melalui program seperti ini, anda dapat memahami proses pengambilan pekerja, cabaran yang bakal dihadapi di tempat kerja serta kemahiran yang sedang mendapat permintaan tinggi dalam industri.
Jika anda mempunyai akaun LinkedIn, lengkapkan profil anda secara berperingkat. Berhubunglah dengan pensyarah, alumni atau profesional dalam bidang yang diminati. Tujuannya bukan semata-mata untuk mencari pekerjaan, tetapi untuk mempelajari pengalaman dan mendapatkan pandangan daripada mereka.
Baca lagi:
Terus Tingkatkan Kemahiran
Ijazah memang penting, tetapi majikan juga menilai sejauh mana seseorang terus berusaha mengembangkan diri.
Selain kemahiran teknikal mengikut bidang pengajian, banyak organisasi turut menghargai kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerja berpasukan, pemikiran kritis, pengurusan masa dan penyelesaian masalah.
Berita baiknya, semua kemahiran ini boleh terus dipelajari dan dipertingkatkan. Anda boleh mengikuti kursus dalam talian, menyiapkan projek peribadi, membaca buku atau memanfaatkan pelbagai sumber pembelajaran yang kini semakin mudah diakses.
Jangan Tunggu Sehingga Rasa Benar-Benar Bersedia
Salah satu perkara yang sering menghalang pelajar ialah perasaan bahawa diri mereka masih belum cukup bersedia. Ada yang merasakan diri belum cukup bijak, belum mempunyai pengalaman yang mencukupi atau masih kurang yakin.
Hakikatnya, keyakinan selalunya hadir selepas kita mula mencuba.
Mungkin CV pertama anda masih jauh daripada sempurna. Mungkin portfolio anda masih belum sebanyak orang lain. Itu bukanlah satu masalah. Yang penting, anda sudah mengambil langkah pertama. Setiap pengalaman yang dikumpulkan hari ini akan menjadi bekalan yang amat bernilai apabila anda melangkah ke alam pekerjaan kelak.
Menyiapkan tesis sememangnya menjadi keutamaan pada tahun akhir pengajian. Namun, perjalanan anda tidak berakhir sebaik sahaja pembentangan akhir selesai atau nama dipanggil semasa majlis graduasi.
Setiap langkah kecil yang anda ambil hari ini akan menjadi persediaan yang berharga untuk masa hadapan.
Namun, bagaimana pula apabila saat yang dinanti akhirnya tiba? Toga sudah ditanggalkan, ijazah sudah berada di tangan, dan ucapan "Tahniah atas graduasi!" mula digantikan dengan soalan, "Sekarang sudah bekerja di mana?"
Di situlah bermulanya babak seterusnya.
Bersambung dalam Dari Kampus ke Kerjaya #2.
Belia
Manisha ialah editor dan penulis di Leaderonomics. Beliau percaya bahawa tulisan mempunyai kekuatan untuk mendidik dan membawa perubahan dengan memberi inspirasi kepada ramai orang.



