'Digital Decluttering': Bukan Hanya Rumah yang Perlu Dikemas

imej dari magnific.com
Baru-baru ini saya berpindah rumah dan perkara pertama yang saya sedar ialah betapa banyaknya barang yang saya simpan selama ini.
Ada barang yang masih digunakan seperti baju-baju beberapa tahun lepas, dengan harapan saya akan memakainya pada masa akan datang. Ada juga barang yang sudah lama tersimpan tanpa tujuan, malah ada yang saya sendiri terlupa kenapa masih menyimpannya.
Proses mengemas rumah tentunya bukan mudah. Ia memerlukan usaha untuk mengasingkan barang lama, barang yang masih boleh digunakan dan barang yang sudah tidak diperlukan.
Proses ini membuatkan saya terfikir, perkara yang sama juga berlaku dalam ruang digital kita. Bukan sahaja ruang fizikal yang perlu dikemas, tetapi ruang digital juga perlu diberi perhatian.
Apabila Ruang Digital Mula Berserabut
Dalam kehidupan seharian, kita sering mengumpul pelbagai perkara dalam telefon dan komputer tanpa kita sedar. Gambar lama, aplikasi yang jarang digunakan, e-mel yang tidak dibaca, fail kerja yang sudah tidak relevan, serta terlalu banyak maklumat daripada media sosial.
Semuanya terkumpul sedikit demi sedikit sehingga satu hari kita sedar bahawa ruang digital kita juga sudah mula berserabut. Tanpa kita sedar, perkara ini boleh memberikan tekanan dan mengganggu fokus kita.
Mungkin sudah tiba masanya kita mengaplikasikan digital decluttering dalam kehidupan harian.
Apa Itu Digital Decluttering?
Digital decluttering adalah proses membersihkan dan menyusun semula ruang digital supaya kita hanya menyimpan perkara yang benar-benar penting. Ia bukan bermaksud kita perlu menghapuskan teknologi daripada kehidupan kita, tetapi belajar menggunakan teknologi dengan lebih bijak.
Sama seperti rumah yang dipenuhi barang boleh membuatkan kita rasa sesak, ruang digital yang tidak terurus juga boleh memberi kesan kepada cara kita berfikir dan bekerja.
Bayangkan apabila kita membuka komputer untuk memulakan kerja, tetapi desktop dipenuhi dengan pelbagai fail yang tidak tersusun. Atau apabila kita membuka e-mel dan melihat ratusan mesej yang belum dibaca. Belum lagi notifikasi daripada pelbagai aplikasi yang sentiasa meminta perhatian kita.
Tanpa kita sedar, perkara kecil ini boleh menjadi gangguan yang membuatkan kita sukar untuk memberi fokus.
Ruang Digital Memberi Kesan Kepada Cara Kita Bekerja
Dalam dunia pekerjaan hari ini, kita bergantung kepada teknologi hampir setiap masa. Kita menggunakan e-mel untuk berkomunikasi, aplikasi pengurusan kerja untuk menyusun tugasan, dan pelbagai platform digital untuk bekerjasama dengan rakan sekerja.
Namun, semakin banyak teknologi yang kita gunakan, semakin penting untuk kita mengurus ruang digital dengan baik.
Kadang-kadang kita mencari aplikasi baharu untuk menjadi lebih produktif, tetapi lupa bahawa masalah sebenar mungkin bukan kekurangan alat. Masalahnya adalah terlalu banyak perkara yang bersaing untuk mendapatkan perhatian kita.
Mulakan Dengan Perubahan Kecil
Digital decluttering boleh bermula dengan langkah kecil:
- Memadam fail atau aplikasi yang sudah tidak digunakan.
- Menyusun dokumen kerja supaya lebih mudah dicari.
- Membersihkan e-mel lama yang tidak lagi diperlukan.
- Mengurangkan notifikasi yang tidak penting.
- Menilai semula akaun media sosial yang kita ikuti.
Nampak seperti perkara kecil, tetapi perubahan kecil ini boleh memberikan rasa lebih teratur dan membantu kita bekerja dengan lebih tenang.
Kita sering menganggap kekemasan hanya melibatkan ruang fizikal. Kita mengemas rumah, menyusun meja kerja, dan membuang barang yang tidak diperlukan. Tetapi ruang digital juga merupakan sebahagian daripada kehidupan kita yang perlu diberi perhatian. Mungkin sebelum kita mencari cara baharu untuk meningkatkan produktiviti, kita boleh bermula dengan mengurangkan perkara yang mengganggu fokus kita. Kerana kadang-kadang, untuk bergerak lebih jauh, kita bukan perlu menambah lebih banyak perkara. Kita hanya perlu belajar melepaskan perkara yang tidak lagi memberi nilai.
Artikel ini mungkin menarik minat anda:
Perkembangan Peribadi
Amirah berlatarbelakangkan bidang Linguistik dan Bahasa Melayu. Beliau mempunyai pengalaman sebagai copywriter dan minat dalam bidang penulisan. Di luar kerja, Amirah gemar menonton Netflix, mencari makanan menarik dan menikmati matcha.




