Apabila Usaha Belum Membuahkan Hasil

imej dari magnific.com
Ada masanya kita sudah menyiapkan tugasan, memenuhi tanggungjawab dan cuba memperbaiki cara kerja, tetapi hasilnya masih belum seperti yang diharapkan. Mungkin sasaran belum tercapai, idea yang dikemukakan belum diterima atau usaha yang dilakukan masih belum mendapat perhatian.
Keadaan ini boleh membuatkan kita tertanya-tanya sama ada cara kerja kita sudah betul atau ada sesuatu yang perlu diperbaiki. Namun, sebelum membuat kesimpulan, cuba lihat semula keadaan yang sedang dihadapi. Ada perkara yang boleh kita ubah sendiri, tetapi ada juga perkara yang memerlukan masa, maklum balas atau sokongan daripada orang lain.
Kenal Pasti Apa yang Boleh Diperbaiki
Apabila hasil kerja tidak seperti yang diharapkan, kita mungkin terdorong untuk terus bekerja lebih keras. Namun, menambah usaha tanpa memahami puncanya tidak semestinya membantu.
Cuba nilai semula cara anda menjalankan tugasan. Adakah arahan yang diterima jelas? Adakah anda mempunyai maklumat dan sumber yang mencukupi? Atau adakah terdapat bahagian kerja yang boleh dilakukan dengan cara berbeza?
Jika masih tidak pasti, dapatkan maklum balas daripada pengurus atau rakan sekerja. Pandangan mereka boleh membantu anda mengenal pasti perkara yang mungkin terlepas pandang. Daripada meneka apa yang perlu diperbaiki, anda boleh mengambil langkah yang lebih jelas berdasarkan maklum balas tersebut.
Jangan Ukur Kemajuan Berdasarkan Hasil Sahaja
Dalam pekerjaan, kita sememangnya mudah mengukur kemajuan melalui perkara yang boleh dilihat, seperti sasaran yang dicapai, projek yang berjaya atau pengiktirafan yang diterima. Apabila perkara ini belum berlaku, kita mungkin merasakan usaha sendiri tidak membawa perubahan.
Namun, perkembangan juga boleh dilihat melalui cara kita menyelesaikan masalah, mengurus tugasan dan bekerjasama dengan orang lain. Mungkin anda kini lebih cekap mengurus masa, lebih yakin berkongsi idea atau lebih memahami keperluan pasukan.
Perkara ini mungkin tidak terus menghasilkan pencapaian besar, tetapi boleh membantu anda menjalankan tugas dengan lebih baik pada masa hadapan.
Pada masa yang sama, penting untuk memahami bahawa tidak semua hasil bergantung pada usaha individu. Keutamaan organisasi, sumber yang tersedia dan keputusan pihak lain juga boleh mempengaruhi hasil kerja. Mengenali perkara ini membantu kita membezakan antara perkara yang boleh diperbaiki dengan perkara yang berada di luar kawalan sendiri.
Tahu Bila Perlu Berhenti dan Menilai Semula
Apabila sesuatu usaha tidak berhasil, kita mungkin terus mencuba cara yang sama dengan harapan hasilnya akan berubah. Namun, jika pendekatan tersebut masih tidak berkesan, mungkin sudah tiba masanya untuk menilai semula strategi yang digunakan.
Contohnya, jika tugasan sering tertangguh kerana terlalu banyak kerja perlu diselesaikan serentak, cuba berbincang dengan pengurus tentang keutamaan tugasan. Jika idea yang dikemukakan tidak mendapat sambutan, dapatkan maklum balas untuk memahami perkara yang perlu diperbaiki.
Anda juga perlu memberi ruang kepada diri sendiri untuk berehat. Apabila terlalu fokus untuk mencapai hasil, kita mungkin tidak menyedari bahawa keletihan mula menjejaskan tumpuan dan kualiti kerja.
Mengubah pendekatan bukan bermakna anda tidak cukup berusaha. Sebaliknya, anda sedang mencari cara yang lebih sesuai dengan keadaan semasa.
Terus Bergerak dengan Arah yang Lebih Jelas
Tidak semua usaha akan memberikan hasil dalam masa yang singkat. Namun, apabila berdepan keadaan ini, anda boleh mengambil peluang untuk memahami cara kerja sendiri, mendapatkan maklum balas dan mengenal pasti perkara yang boleh diperbaiki.
Daripada terus menambah beban kerja atau menyalahkan diri sendiri, cuba fahami apa yang diperlukan untuk bergerak ke hadapan. Kadangkala, anda hanya perlu memperbaiki satu perkara kecil. Ada masanya pula, anda perlu mendapatkan sokongan atau mempertimbangkan pendekatan yang berbeza.
Yang penting, pastikan usaha yang dilakukan mempunyai arah yang jelas, bukannya sekadar bekerja lebih keras tanpa mengetahui apa yang perlu diubah.
Perkembangan Peribadi
Amirah ialah editor Bahasa Melayu di Leaderonomics dengan latar belakang dalam bidang Linguistik dan Bahasa Melayu. Bagi Amirah, menulis bukan sekadar tugas, tetapi ruang untuk meneroka idea dan berkongsi perspektif. Di luar kerja, dia gemar menonton Netflix, mencuba makanan baharu dan menikmati secawan matcha.




