Peraturan 80/20 dalam Membuat Keputusan

imej dari magnific.com
Prinsip 80/20, yang juga dikenali sebagai Prinsip Pareto, menyatakan bahawa dalam banyak keadaan, 80% hasil datang daripada 20% input atau aktiviti yang dilakukan. Prinsip ini membantu kita mengenal pasti perkara yang paling memberikan impak supaya kita dapat menggunakan masa, tenaga dan sumber dengan lebih berkesan.
5 Tip Menggunakan Prinsip 80/20 untuk Membuat Keputusan
Setiap orang perlu membuat pilihan dalam kehidupan. Pilihan yang dibuat boleh membawa kepada hasil yang positif atau sebaliknya. Oleh itu, kita perlu mempertimbangkan setiap pilihan dengan teliti agar keputusan yang diambil dapat memberikan manfaat dan membawa kebaikan dalam kehidupan.
Membuat keputusan ibarat bermain catur. Setiap langkah perlu dirancang dengan teliti kerana tindakan yang diambil boleh mempengaruhi langkah seterusnya.
Berikut ialah lima tip untuk menggunakan prinsip 80/20 dalam membuat keputusan.
1. Kenal pasti aktiviti yang memberikan impak terbesar
Ambil sehelai kertas dan senaraikan aktiviti yang dilakukan dalam kehidupan seharian. Kemudian, kenal pasti aktiviti yang memberikan hasil atau impak terbesar terhadap kerja dan matlamat anda.
Jika perlu, dapatkan pandangan ketua atau penyelia tentang tugasan yang paling penting dan memberikan nilai kepada organisasi. Gunakan pendekatan yang sama dalam kehidupan peribadi untuk mengenal pasti perkara yang benar-benar menjadi keutamaan.
2. Tanyakan soalan yang mudah
Apabila berhadapan dengan projek baharu atau tugasan tambahan, tanyakan satu soalan mudah kepada diri sendiri: “Adakah tugasan ini akan membantu atau menjejaskan keupayaan saya untuk memberikan tumpuan kepada aktiviti yang paling penting?”
Soalan ini membantu kita menilai sama ada sesuatu tugasan wajar diberikan keutamaan atau hanya akan menambah beban kerja tanpa memberikan hasil yang setimpal.
Artikel ini mungkin menarik minat anda:
Cara Membuat Keputusan dengan Lebih Pantas dan Mendapatkan Sokongan Pasukan
3. Hapuskan atau agihkan tugasan
Senarai tugasan kita tidak seharusnya dipenuhi dengan aktiviti yang kurang memberikan manfaat. Jika sesuatu aktiviti tidak menyumbang kepada matlamat atau menghasilkan nilai yang bermakna, pertimbangkan sama ada aktiviti tersebut boleh dikurangkan, dihapuskan atau diserahkan kepada orang lain.
Melalui pengagihan tugasan yang sesuai, kita dapat meluangkan lebih banyak masa dan tenaga untuk perkara yang benar-benar penting.
4. Gantikan, bukan sekadar menambah
Ingatlah bahawa masa dan tenaga kita terhad. Jika projek baharu lebih penting dan kita mempunyai kemampuan untuk melaksanakannya, pertimbangkan untuk menggantikannya dengan aktiviti sedia ada yang kurang memberikan nilai.
Dengan cara ini, kita dapat mengelakkan beban kerja yang berlebihan dan memastikan tumpuan kekal pada tugasan yang memberikan impak terbesar.
5. Amalkan penangguhan secara strategik
Apabila menyedari bahawa sesuatu projek bukanlah keutamaan, kita boleh menangguhkan pelaksanaannya dan meletakkannya dalam senarai “Untuk Dilakukan Kemudian” (Someday List).
Namun, penangguhan ini perlu dibuat secara sedar dan terancang, bukannya sekadar mengelakkan tanggungjawab. Kita boleh menilai semula projek tersebut apabila keadaan berubah atau apabila projek itu menjadi lebih relevan dengan matlamat semasa.
Mengamalkan prinsip 80/20 memerlukan masa dan latihan. Pada peringkat awal, kita mungkin berasa sukar untuk melepaskan projek atau aktiviti yang pernah dianggap penting.
Walau bagaimanapun, melalui amalan yang konsisten, kita akan menjadi lebih peka dalam mengenal pasti perkara yang benar-benar bernilai dan membezakan keutamaan daripada aktiviti yang hanya menggunakan masa tanpa memberikan hasil yang setimpal.
Akhirnya, prinsip ini membantu kita membuat keputusan dengan lebih bijak, mengurus sumber dengan lebih berkesan dan memberikan tumpuan kepada perkara yang paling penting.
“If you don’t do the choosing, life will choose for you, and it may not be the choice you want.” — Robert Anthony
Perkembangan Peribadi
Dr. Azura Hashim merupakan seorang HRDC Certified Training Provider, pakar dalam Handwriting Analysis, serta Transformational Coach yang berpengalaman dalam bidang kepimpinan dan pembangunan diri. Dengan gabungan pendekatan ilmiah dan inspirasi, beliau komited dalam membina keyakinan, mencetuskan transformasi positif, dan membantu individu serta organisasi mencapai potensi sepenuhnya.



