Perbezaan adalah Cara Kita Berkembang

Jun 07, 2026 3 Minit
Alt
Sumber:

imej dari tirachardz, Magnific

Pernah merasa seperti “tidak sesuai” di tempat kerja?

Apabila orang lain kelihatan mudah mesra dengan atasan, cepat menyampaikan idea, dan sentiasa yakin, kita pula lebih banyak diam dan cenderung berfikir sendiri. Lama-kelamaan, timbul persoalan:

“Adakah aku kurang baik… atau hanya berbeza?”

Di tempat kerja, individu yang aktif dan vokal sering lebih mudah dilihat. Sementara mereka yang tenang kadangkala dianggap kurang inisiatif, walaupun tidak semestinya begitu.

Saya pernah (dan mungkin masih) berada dalam fasa di mana saya rasa perlu menjadi versi lain daripada diri sendiri supaya dianggap cukup baik. Perlu lebih banyak bercakap, lebih kerap tampil, dan lebih mudah bergaul, walaupun ia sebenarnya meletihkan. Rasanya seperti memakai “topeng kerja” setiap hari.

Tidak semua orang bersinar dengan cara yang sama

Setiap orang mempunyai cara kerja yang berbeza.

Ada yang cemerlang dalam komunikasi.
Ada yang lebih kuat dalam pemerhatian.
Ada yang cepat membuat keputusan.
Ada juga yang teliti kerana terbiasa berfikir panjang sebelum bertindak.

Malangnya, persekitaran kerja sering lebih cepat melihat mereka yang menonjol secara luaran berbanding mereka yang bekerja secara senyap tetapi konsisten. Padahal, berbeza tidak semestinya bermaksud kurang.

Orang yang pendiam tidak semestinya tidak mempunyai idea.
Orang yang tidak banyak bercakap tidak semestinya tidak peduli.
Dan mereka yang tidak selalu tampil ke hadapan tidak semestinya tidak mempunyai jiwa kepimpinan.

Kadangkala kita tidak salah, hanya tidak sesuai dengan persekitaran

Ada kalanya kita sudah berusaha sebaik mungkin, tetapi masih terasa tidak kelihatan. Bukan kerana kita gagal, tetapi mungkin kerana persekitaran tersebut lebih menghargai jenis personaliti tertentu.

Dan itu tidak menjadikan kita kurang bernilai.

Kerana di tempat yang sesuai, sisi diri yang dahulu dianggap “terlalu diam” atau “terlalu teliti” boleh menjadi kekuatan.

Apa yang dianggap terlalu banyak berfikir boleh menjadi keupayaan analisis.
Apa yang dianggap pendiam boleh menjadi kemahiran mendengar yang baik.
Dan apa yang dianggap lambat mungkin sebenarnya sangat teliti.

Jadi, apa yang boleh dilakukan?

Perbezaan bukan sesuatu yang perlu dihapuskan. Namun, kita tetap perlu memahami diri sendiri dan berkembang tanpa kehilangan jati diri.

1. Berhenti membandingkan cara kerja dengan orang lain

Tidak semua orang perlu mempunyai gaya yang sama untuk berjaya.

Jika anda lebih selesa bekerja secara tenang berbanding terlalu banyak bercakap, itu bukan kelemahan. Fokus pada kekuatan semula jadi anda.

2. Kenali nilai yang anda bawa

Kadangkala kita terlalu fokus pada kekurangan sehingga terlupa kekuatan sendiri.

Cuba tanya:

Apakah perkara yang sering orang lain minta bantuan daripada saya?

Apakah yang saya lakukan dengan baik secara konsisten?

Apakah yang menjadikan cara kerja saya berbeza?

Jawapannya selalunya lebih banyak daripada yang kita sangka.

3. Belajar untuk menunjukkan diri, bukan mengubah diri

Kita tidak perlu menjadi orang lain untuk berkembang. Namun, dalam dunia kerja, orang lain perlu tahu sumbangan kita.

Mulakan dengan langkah mudah:

lebih aktif menyampaikan idea,

mengemas kini progres kerja,

atau berani bersuara apabila mempunyai pandangan.

Bukan untuk menarik perhatian, tetapi supaya usaha kita tidak terus tidak kelihatan.

Kesimpulan

Mungkin selama ini kita terlalu keras terhadap diri sendiri hanya kerana merasa berbeza.

Padahal, bukan semestinya kita kurang baik. Mungkin kita hanya belum menemukan tempat dan cara yang paling sesuai untuk berkembang sebagai diri sendiri.

Pada akhirnya, dunia kerja tidak memerlukan semua orang untuk menjadi sama. Sebaliknya, perbezaan cara berfikir dan bekerja itulah yang membolehkan sesebuah pasukan berkembang dan bertumbuh bersama.

Sila Kongsi

Perkembangan Peribadi

Alt

Manisha ialah editor dan penulis di Leaderonomics. Beliau percaya bahawa tulisan mempunyai kekuatan untuk mendidik dan membawa perubahan dengan memberi inspirasi kepada ramai orang.


 

Alt

Cadangan Buat Kamu

tumbuh

Kita Tidak Tumbuh dengan Mengelak 'Panas'

Oleh Chester Elton. Proses menjadi seseorang jarang sekali mudah. Bagaimana jika 'panas' yang kamu cuba elak itulah yang sebenarnya membentuk diri kamu?

Feb 04, 2026 5 Minit

Alt

Mindset Positif: Bagaimana Saya Dapat Menghilangkan Fikiran Negatif?

Menghadapi fikiran negatif? Video ini menawarkan petua dan teknik praktikal untuk membantu anda melepaskan diri daripada corak pemikiran yang merosakkan dan memupuk pemikiran yang lebih positif dan tenang. Pelajari cara untuk mengawal fikiran anda dan mencipta ruang mental yang lebih sihat.

Mar 05, 2025 1:42 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest