Kesejahteraan Emosi Bukan Datang Sendiri, Ia Dibina Setiap Hari
Emotional wellness atau kesejahteraan emosi, yang juga dikenali sebagai kesihatan atau keseimbangan emosi, merujuk kepada keupayaan seseorang mengurus perasaan serta menghadapi pelbagai pengalaman dalam kehidupan. Menurut National Center for Emotional Wellness, kesejahteraan emosi ialah “kesedaran, pemahaman dan penerimaan terhadap perasaan kita, serta keupayaan untuk menguruskannya dengan berkesan ketika berdepan cabaran dan perubahan.”
Kesejahteraan emosi memberi kesan besar dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam hubungan, kerja atau pelajaran, serta kesihatan mental. Dalam hubungan, keupayaan memahami dan mengawal emosi membantu kita menangani perbezaan pendapat dengan tenang dan mengekalkan hubungan yang sihat. Di tempat kerja, pengurusan emosi yang baik membolehkan kita menghadapi tekanan, cabaran, dan konflik dengan lebih matang serta kekal positif untuk mencapai hasil yang lebih baik. Selain itu, kesejahteraan emosi juga memainkan peranan penting dalam kesihatan mental kerana apabila kita sedar dan mampu mengurus perasaan sendiri, kita lebih bersedia menghadapi tekanan dan cabaran hidup dengan lebih stabil.
Membina Kesejahteraan Emosi yang Lebih Stabil
Jika kita ingin meningkatkan kesejahteraan emosi, penting untuk membina amalan tertentu dalam kehidupan seharian. Mulakan dengan belajar menghargai kesunyian (solitude), kerana kesunyian berbeza dengan pengasingan; pengasingan berlaku apabila seseorang terputus daripada orang lain kerana sebab negatif seperti penolakan atau ketakutan, manakala solitude ialah ruang yang dipilih secara sedar untuk bersendirian dan selesa dengan diri sendiri. Jika kita tidak mampu duduk bersendirian tanpa gangguan, itu adalah petanda penting yang perlu diperhatikan.
Tubuh dan emosi kita saling berkait, jadi laburkan masa untuk kesihatan fizikal melalui senaman seperti jogging, brisk walk, atau latihan beban, kerana aktiviti fizikal membantu mengurangkan tekanan, melepaskan hormon yang meningkatkan mood, mengurangkan keresahan, serta menjadikan kita lebih gembira, tenang, dan optimistik. Selain itu, beri ruang kepada diri untuk ketawa dan berehat, kerana hidup yang terlalu fokus kepada produktiviti mudah menyebabkan burnout; aktiviti santai, humor, dan masa bermain bukanlah pembaziran masa, sebaliknya ia membantu menstabilkan emosi. Luangkan masa bersama ahli keluarga atau rakan untuk mengurangkan stres melalui berkaraoke, bermain game, atau aktiviti santai lain.
Anda mungkin menyukai artikel ini: Take Nothing Personally: Belajar Hidup Lebih Tenang
Antara cara lain untuk menjaga kesejahteraan emosi ialah menerokai perkara yang memberi semangat dan kepuasan dalam hidup. Tidak semestinya kita perlu menukar kerjaya untuk mengikuti minat; meluangkan masa untuk hobi atau aktiviti yang selari dengan diri sendiri juga membantu meningkatkan kepuasan emosi. Sebagai contoh, jika kita mempunyai hobi mengambil gambar, bawa kamera atau telefon setiap kali pergi ke sesuatu tempat untuk menangkap momen indah dan pemandangan menarik. Seterusnya, kita juga perlu bersedia menghadapi kesukaran kerana cabaran adalah sebahagian daripada kehidupan, dan menjangkakan masalah membuat kita lebih bersedia secara mental serta tidak mudah panik apabila berdepan tekanan.
Untuk meningkatkan kesejahteraan emosi, tingkatkan kesedaran diri dengan mengenali corak emosi, pencetus tekanan, dan kecenderungan diri, kerana kesedaran ini membolehkan kita mengurus reaksi dengan lebih matang dan memulakan pertumbuhan emosi secara berterusan. Kita juga perlu berani mengambil risiko kerana ia membantu perkembangan diri; kekal terlalu selesa akan mengehadkan potensi, manakala apabila kita berani mencuba perkara baharu, keyakinan diri meningkat dan ketahanan emosi menjadi lebih kuat.
Cara lain untuk memperbaiki minda dan emosi adalah dengan melindungi tenaga emosi melalui penetapan sempadan dan berkata “tidak” apabila perlu, kerana sesetengah individu tanpa sedar boleh menguras tenaga kita. Akhir sekali, jangan takut untuk meminta bantuan apabila diperlukan, kerana kekuatan bukan bermaksud menanggung semuanya seorang diri; memberi dan menerima sokongan membantu membina kestabilan emosi yang lebih sihat.
Baca lagi: Menetapkan Sempadan—Mengapa Ia Sukar dan Cara Melakukannya
Bagi pemimpin yang memikul lebih daripada sekadar jawatan mereka…
Sertai Malaysia Immersion Week 2026!
Ikuti perjalanan selama 8 hari (24 Jun – 1 Julai 2026) yang direka khas untuk pemimpin yang mahukan masa dan ruang untuk berhubung dengan pemimpin perniagaan sehaluan. Anda akan mendapat akses VIP ke Malaysia Leadership Summit, menyertai masterclass bersama pemimpin global, serta mengalami pengalaman imersi budaya yang memberi perspektif baru tentang diri anda dan pasukan anda.
Daftar sekarang!

Perkembangan Peribadi
Sumber Rujukan:
- https://www.verywellmind.com/emotional-wellness-5206535
Berlatarkan pendidikan dalam Bahasa dan Linguistik Melayu, Amirah Nadiah ialah seorang Content Editor yang berpengalaman dalam kerja terjemahan serta penghasilan kandungan yang jelas, menarik, dan meyakinkan.






