Cara Kekal Hadir dan Benar-Benar Mendengar Orang Lain

imej dari @tirachard dar freepik.com
Lebih Hadir pada Saat Ini
Adakah hari-hari anda terasa kelam-kabut, hiruk-pikuk dan tidak terkawal dan bukannya tenang dan bermakna? Dengan jadual yang padat, senarai tugasan yang tidak berkesudahan, serta pelbagai tuntutan kehidupan moden, anda mungkin mendapati sukar untuk benar-benar hadir bersama orang di sekeliling anda.
Apa yang sebenarnya diinginkan orang daripada anda apabila mereka bersama anda ialah kehadiran—perhatian penuh dan tidak berbelah bahagi. Tanda fokus dan keprihatinan.
Apabila mereka menerimanya, kesannya sangat besar, sebahagiannya kerana pengalaman menerima perhatian sepenuhnya daripada seseorang kini semakin jarang berlaku.
Apakah Itu Kehadiran?
Apakah maksudnya untuk hadir bersama seseorang? Kehadiran bermaksud anda benar-benar selaras dengan individu yang bersama anda. Anda sedar akan saat yang sedang dilalui dan apa yang berlaku dalam diri anda dari segi emosi. Ia merangkumi:
- Terlibat secara mental, emosi dan fizikal (tidak terganggu atau leka)
- Mendengar dengan penuh perhatian (tanpa memikirkan bagaimana anda akan membalas)
Untuk hadir, kita memerlukan perhatian yang penuh kesedaran (mindful attention). Sebagai permulaan, ini bermaksud meletakkan telefon ke tepi. Namun, ia juga bermaksud penyeyapan suara dalaman tentang senarai tugasan atau perkara yang merunsingkan anda. Intinya ialah memberi fokus sepenuhnya kepada saat ini.
“Kehadiran bukanlah suatu keadaan luar biasa yang perlu kita cari atau cipta. Secara ringkas, ia ialah rasa kesedaran, keterbukaan dan kelembutan yang muncul apabila kita benar-benar hadir di sini dan kini bersama pengalaman kita.” — Tara Brach
Artikel ini mungkin menarik minat anda:
Ubah Hidup Anda: Fokus Pada Tabiat, Bukan Semangat
Manfaat Kehadiran
Apakah manfaat kehadiran? Apabila anda benar-benar hadir bersama orang lain, ia:
menunjukkan rasa hormat dan keprihatinan
- Mewujudkan suasana yang selamat
- Membantu mereka berasa dilihat, dihargai dan difahami
- Memberi kelegaan emosi kepada mereka yang berasa tertekan atau terpinggir
- Mengangkat interaksi daripada sekadar permukaan kepada hubungan yang tulen
- Membina kepercayaan
- Memperbaiki komunikasi
- Mengukuhkan hubungan
- Memperdalam keintiman
- Menjadikan pertemuan lebih bermakna dan mudah diingati
“Apabila anda menyayangi seseorang, perkara terbaik yang boleh anda berikan ialah kehadiran anda. Bagaimana anda boleh mencintai jika anda tidak benar-benar hadir?” — Thich Nhat Hanh
Kehadiran juga memberi kesan positif kepada pemberinya, bukan hanya penerima. Dengan hadir, ia boleh menjadi penawar kepada keresahan, meningkatkan kegembiraan, serta memperdalam penghargaan anda terhadap insan dan perkara di sekeliling.
Apakah yang Menghalang Anda Daripada Benar-Benar Hadir?
Mengapa untuk benar-benar hadir bersama orang lain terasa sangat sukar? Terdapat banyak halangan kepada kehadiran, antaranya:
- Lambakan gangguan digital setiap hari
- Emosi yang melimpah dan sukar dikawal
- Tekanan yang belum diproses
- Kebimbangan yang belum diselesaikan
- Celoteh minda yang tidak berhenti
- Tabiat multitugas secara refleks
Sebahagian masalah berpunca daripada budaya kita yang terlalu tergesa-gesa. Adakah anda takut untuk memperlahankan langkah kerana bimbang ketinggalan atau terlepas sesuatu? Dan adakah ketakutan itu membuatkan anda sentiasa melompat dari satu perkara ke perkara lain? Adakah penggunaan teknologi dan peranti menghakis keupayaan anda untuk hadir dan kekal fokus?
“Dalam abad ke-21, untuk benar-benar hadir pada saat ini menjadi satu cabaran besar, dan kita hidup dalam keadaan gangguan yang hampir berterusan.”
— Charlie Huntington,
“Presence: Meaning, Benefits, & Theory,” Berkeley Well-Being Institute
Cara Menjadi Lebih Hadir Bersama Orang Lain: Hentikan Sikap ‘Sekadar Hadir’
Berikut lapan cara untuk anda menjadi lebih hadir bersama orang lain:
- Ingat kembali betapa tidak menyenangkannya apabila orang lain terganggu dan tidak memberi perhatian kepada anda.
- Simpan telefon anda. (Serius—jika ia berada berdekatan, ia akan menarik anda ke dalam virtual vortex.)
- Berhenti seketika dan tarik nafas sebelum memulakan perbualan.
- Kekalkan hubungan mata.
- Perhatikan butiran seperti nada suara dan bahasa tubuh mereka.
- Sedari apabila perhatian anda mula melayang, dan bawa kembali fokus kepada orang di hadapan anda.
- Akui poin utama dan perasaan mereka.
- Ajukan soalan susulan (contohnya, “boleh ceritakan lebih lanjut?”).
Baca lagi:
Hidup Selalu Sibuk? Belajar Hadir Dengan Mindfulness
Seruan untuk Hadir
Kehadiran semakin sukar dan semakin jarang dalam era rampasan perhatian ini. Algoritma semakin licik. Aktiviti seperti menatal tanpa henti, doom scrolling, dan menonton berlebihan tidak membantu kita untuk benar-benar hadir bersama orang lain.
Apabila anda hadir sepenuhnya bersama orang di sekeliling, anda membantu mencipta detik yang lebih bermakna. Dan tentu sekali, ia tidak memerlukan apa-apa selain masa dan perhatian.
Mengapa tidak benar-benar hadir untuk orang di sekeliling anda? Berikan mereka hadiah berupa masa dan perhatian yang tidak berbelah bahagi. Anda berdua pasti akan menghargainya. — Gregg
Perkembangan Peribadi
Gregg Vanourek ialah seorang eksekutif, pembuat perubahan dan pengarang yang memenangi anugerah yang melatih, mengajar dan bercakap tentang kepimpinan, keusahawanan dan reka bentuk kehidupan dan kerja. Beliau mengendalikan Gregg Vanourek LLC, sebuah usaha latihan yang memberi tumpuan kepada memimpin diri sendiri, memimpin orang lain, dan memimpin perubahan. Gregg ialah pengarang bersama tiga buku, termasuk Triple Crown Leadership (pemenang Anugerah Buku Antarabangsa) dan LIFE Entrepreneurs (manifesto untuk menyepadukan kehidupan dan kerja kita dengan tujuan dan semangat).





