Hidup Selalu Sibuk? Belajar Hadir Dengan Mindfulness

Aug 20, 2025 3 Minit
Mindfulness
Sumber:

imej oleh @jcomp dari freepik.com

Pernah tak anda rasa hidup terlalu padat? Bangun pagi sudah fikir tentang kerja, tengah kerja teringat hal rumah dan keluarga, masa rehat pula risaukan masa depan serta pelbagai masalah lain. Otak anda seakan tidak pernah berhenti – penuh sesak seperti kesesakan jalan raya dalam kepala.

Inilah yang membuatkan anda penat walaupun badan tidak banyak bergerak. Hakikatnya, otak juga memerlukan ruang untuk berehat. Di sinilah mindfulness hadir membantu.

Menurut YouTube Dr. Rozanizam Zakaria, seorang psikiatri, pensyarah dan mental health advocate, mindfulness bukan sekadar teori atau teknik “bertenang” yang biasa. Ia adalah kemahiran hidup yang perlu dialami (experiential learning) – proses melatih diri untuk hadir sepenuhnya pada saat sekarang, tanpa menghakimi apa yang anda rasa atau fikir.

“Mindfulness is about giving our mind a break from everything else,
dan hanya memberi fokus kepada satu perkara.”
– Dr. Rozanizam Zakaria

Malaysia Mindfulness Association pula mentakrifkan mindfulness sebagai:

“The practice of paying attention on purpose, in the present moment, with an attitude of openness, kindness and curiosity.”

Dalam bahasa mudah, mindfulness ialah latihan untuk sedar sepenuhnya – di sini, pada saat ini – dengan hati yang terbuka.

Mindfulness vs. Mindless

Jika mindfulness bermaksud hadir sepenuhnya dalam saat ini, lawannya ialah mindless — hidup secara automatik tanpa benar-benar sedar.

Anda mungkin melaluinya tanpa disedari:

  • Sedang solat, tahu-tahu sudah selesai empat rakaat, tapi fikiran entah ke mana.
  • Memandu, tiba-tiba sudah sampai rumah tanpa ingat perjalanan tadi.
  • Makan, tetapi tidak menikmati rasa makanan kerana fikiran sibuk memikirkan perkara lain.

Keadaan mindless menyebabkan anda hilang peluang menikmati kehidupan sepenuhnya. Anda hidup, tetapi tidak benar-benar “hadir”.

Artikel ini mungkin menarik minat anda:

Pelajaran Psikologi yang Akan Mengubah Hidup dan Minda Anda

Fungsi Otak: Thinking vs. Sensing

Otak manusia berfungsi dalam dua cara utama:

  • Thinking (berfikir) – merancang, mengingat, membuat keputusan.
  • Sensing (merasai) – menerima input daripada lima deria: melihat, mendengar, merasa, menyentuh, menghidu.

Kedua-duanya sepatutnya berjalan seiring. Namun dalam realiti, anda banyak menghabiskan masa dengan thinking dan jarang memberi ruang kepada sensing.

Contohnya, ketika sibuk bekerja anda jarang perasan suhu bilik, cahaya matahari di luar tingkap, atau bunyi kipas. Itu normal, tetapi apabila berada dalam keadaan tertekan, dominasi thinking (90%) berbanding sensing (10%) boleh menjadi berbahaya.

Kenapa? Kerana ketika stres, fikiran mudah ditarik kepada emosi negatif, misalnya anda berasa: 

  • “Aku tak berguna.”
  • “Orang lain lebih bagus daripada aku.”
  • “Aku gagal.”

Jika dibiarkan, fikiran negatif ini akan membebankan emosi dan menutup peluang untuk melihat realiti dengan lebih tenang.

Bagaimana Mindfulness Membantu?

Mindfulness mengajar anda untuk mengimbangi thinking dengan sensing. Dengan kata lain, ia mengajak anda kembali kepada deria.

Cuba luangkan masa seketika untuk:

  • Perhatikan apa yang anda nampak di sekeliling.
  • Dengar bunyi kipas, burung, atau orang berbual.
  • Rasa sentuhan kerusi yang anda duduki atau mouse di tangan.
  • Hidu aroma kopi, teh atau udara sekitar.
  • Nikmati rasa makanan anda perlahan-lahan.

Pengalaman deria ini mungkin sering anda abaikan kerana terlalu sibuk berfikir. Tetapi apabila anda melatih diri hadir sepenuhnya pada deria, tubuh dan minda mula berasa lebih tenang.

Hidup Lebih Bermakna Dengan Mindfulness

Mindfulness bukan bermaksud berhenti berfikir, tetapi menjadi lebih sedar dengan apa yang sedang berlaku. Ia boleh diamalkan dalam perkara harian: semasa makan, bernafas, berbual, bermain dengan haiwan peliharaan, atau sekadar menikmati alam sekitar.

Apabila anda hadir dalam saat ini, anda belajar menghargai kehidupan dengan lebih mendalam. Dari situlah hadirnya rasa syukur, tenang, dan bahagia.

Aplikasi dan Manfaat Mindfulness

Dalam dua dekad kebelakangan ini, mindfulness telah digunakan secara meluas dalam bidang kesihatan, institusi pendidikan, dan juga sektor korporat di negara-negara Barat. The Mindful Nation UK Report (2015) menunjukkan bukti yang menjanjikan serta memberikan cadangan kukuh bagaimana mindfulness boleh meningkatkan kesejahteraan dan memberi impak positif merentas pelbagai bidang dasar.

Para saintis juga telah menemui pelbagai manfaat mindfulness, antaranya:

  • Menguatkan fokus dan perhatian.
  • Meningkatkan rasa kesejahteraan diri.
  • Memperbaiki kualiti tidur.
  • Mengurangkan stres dan keresahan.
  • Memberi lebih fleksibiliti kognitif.
  • Menguatkan sistem imun tubuh.

Mindfulness di Tempat Kerja

Di pejabat, kita sering dikejar deadline, email yang masuk tanpa henti, dan mesyuarat berturut-turut. Dalam keadaan begini, mindfulness boleh membantu kita untuk:

  • Lebih fokus semasa mesyuarat.
  • Mengurangkan stres sebelum membuat keputusan besar.
  • Menghargai kerjasama dengan rakan sekerja.

Contoh mudah: sebelum mula bekerja, tarik nafas perlahan-lahan sebanyak tiga kali dengan penuh sedar. Atau semasa minum kopi pagi, berhenti sejenak untuk betul-betul merasai aroma dan kehangatannya.

Latihan kecil ini memberi ruang kepada otak untuk “reset” dan kembali fokus.

“Bila kita hadir sepenuhnya, hidup terasa lebih ringan, 

tenang, dan bermakna.”

Mulakan dengan satu minit hadir bersama nafas anda hari ini. Dari situ, anda akan mula nampak perubahannya.

Sila Kongsi

Perkembangan Peribadi

Alt

Berlatarkan pendidikan dalam Bahasa dan Linguistik Melayu, Amirah Nadiah gemar membaca dan mengikuti perkembangan semasa, yang membolehkannya kekal peka terhadap pelbagai isu. Sebagai seorang Content Editor, beliau aktif dalam kerja terjemahan serta penghasilan kandungan yang menarik dan meyakinkan. Pada masa lapang, beliau suka berkongsi frasa self-love di platform X miliknya.

Alt

Cadangan Buat Kamu

Bersenam

Bersenam untuk Healing: Terapi Kesihatan Mental

Oleh Che Aiman. Bersenam bukan semata-mata untuk menurunkan berat badan atau membina otot supaya kelihatan estetik. Ia lebih daripada itu. Bersenam juga merupakan alat yang sangat berkesan untuk meningkatkan kesihatan mental kita.

Aug 05, 2025 2 Minit

Wanita

Kehidupan Seharian Pekerja Gudang Wanita di NinjaVan Malaysia

Pernah terfikir bagaimana rasanya menjadi seorang wanita yang bekerja dalam industri yang kebanyakannya didominasi oleh lelaki? Dalam video ini, kami berbual dengan Nurazlin, seorang pekerja gudang wanita di #NinjaVanMalaysia, untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman dan kejayaannya sebagai seorang wanita dalam dunia lelaki.

Mar 15, 2023 10 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest