Nilai Sebenar Di Sebalik Usaha Penjenamaan Peribadi

Aug 20, 2018 1 Minit
peribadi, imej, penjenamaan peribadi

Dalam masyarakat yang menitikberatkan imej, kita (sedar atau tidak) terikat dengan tahap tertentu norma tingkah laku, yang dinilai oleh persekitaran atau orang di sekeliling. Pada masa yang sama, kita perlu tampak menonjol daripada yang lain bagi meningkatkan kelebihan daya saing.

Melihat pada dunia media sosial tanpa sempadan hari ini, adakah pemikiran sebegini meningkatkan kesedaran dalam pembangunan jenama peribadi, dan apakah yang dunia mahukan daripada kita?

Cetusan pemikiran

Syukurlah dengan alam siber masa kini, mudah bagi sesiapa untuk kelabu mata dengan sejumlah besar data yang dijana setiap hari. Hal ini mungkin menjadi punca ramai orang mula melabur pada diri untuk membangunkan jenama peribadi pada awal perniagaan atau menghasilkan mesej tular bagi menarik perhatian seantero dunia.

Sebagai pengawal maklumat di Leaderonomics.com, saya berhubung dengan beberapa penulis yang menyumbang penulisan untuk memberi buah fikiran masing-masing dalam portal kepimpinan kami.

Ramai antara mereka berusaha membina kredibiliti melalui suara wibawa, namun saya sedar beberapa daripadanya hanya mempergunakan platform yang boleh dipercayai ini untuk membangunkan jenama sendiri.

Kumpulan kedua ini saya gelarkan sebagai penulis kejap ada, kejap takde. Mereka pada mulanya menghubungi anda dengan menawarkan topik menarik yang diminati ramai dan bersungguh-sungguh mengikuti status cerita hasil tulisan mereka.

Namun apabila cerita mereka diterbitkan, mereka hilang tanpa berita.

Pada dasarnya, mereka berjaya mencapai matlamat jangka pendek untuk membina jenama peribadi sebagai penulis, tetapi setakat itu sahajalah pencapaian mereka. Mungkin mereka sedar bahawa sudah tiba masanya mereka beralih ke platform yang seterusnya dalam usaha menempatkan cerita mereka.

Namun, agak mengecewakan apabila saya perasan mereka kurang komited dalam merapatkan lagi hubungan yang terbina dengan Leaderonomics.com, atau mendalami tujuan sebenar yang kami mahukan bagi setiap cerita. Dan hal ini memberi seribu satu maksud akan pemahaman mereka berkaitan ‘penjenamaan peribadi’, malangnya hal ini selalu bertumpu pada manfaat sendiri.

Manusia bukan produk yang perlu dibungkuskan dengan sempurna.

Jangan ketepikan prinsip dalam membangunkan jenama peribadi

Saya suka coretan Frank Kalman melalui sebuah artikel dalam Talent Economy, “Jenama peribadi bukannya berkisarkan media sosial; namun menyentuh pada keaslian tujuan”. Saya setuju dengannya bahawa sebarang usaha penjenamaan akan hancur jika kita tidak menghayati tujuan sebenar setiap hari.

Walaupun bunyinya klise, pokok pangkalnya adalah segalanya bermula dengan persoalan ‘mengapa’. Dan jika sesuatu perkara tidak kena dengan prinsip anda, ini menunjukkan perkara yang dilakukan tersebut bukannya sesuatu yang anda perjuangkan.

Walaupun penting untuk bekerjasama dengan pihak lain dalam zaman serba mencabar ini demi mencapai sesuatu hasil, sejauh manakah kita sanggup berbuat demikian demi kepentingan diri sendiri? Adakah kita hanya menjalinkan hubungan dengan orang yang berpengaruh dalam sesuatu acara, dan sedar tidak sedar, kita mengabaikan pemain yang lebih kecil dalam industri?

 

Adakah kita dapat duga golongan yang nampak kecil ini tidak akan menjadi pemusnah teknologi suatu masa nanti? Kenapa mudah sahaja kita membuat kesimpulan bahawa golongan ini ‘kurang’ penting lalu sedar tidak sedar, kita berat sebelah dengan mengabaikan cerita mereka atau tidak memberi mereka kesempatan?

Cuba fikirkan tentang Jack Ma — beliau berhadapan dengan penolakan demi penolakan dalam temu duga pekerjaan, permohonan ke universiti dan usaha mendapatkan dana kapitalis teroka dengan alasan yang si penyingkir sahaja yang tahu.

Bina asas yang kuat terlebih dahulu

Sheryl Sandberg, iaitu Ketua Pegawai Operasi Facebook, berpendapat bahawa idea mengembangkan jenama peribadi bukan pilihan yang tepat. Menurut Sandberg, penjenamaan sesuai bagi produk yang perlu dipakejkan dengan sempurna. Manusia pula merupakan ciptaan yang rumit dan bermacam ragam.

Anda mungkin terfikir mudah bagi seseorang seperti Sandberg untuk berkata sedemikian, lebih-lebih lagi dengan jawatannya dan syarikat dia bekerja. Bagaimana pula jika saya hanyalah seorang graduan yang ingin mendapatkan perhatian daripada bakal majikan?

Jangan kita lupa Sandberg adalah seorang ibu dan balu, yang pernah bergelut mengatasi kesedihan apabila tiba-tiba kehilangan suaminya, Dave Goldberg, Ketua Pegawai eksekutif SurveyMonkey pada tahun 2015.

Dia, dengan berhikmah menambah, kita sepatutnya bertumpu pada usaha pembangunan suara sendiri, dan menggunakannya demi kebaikan. Sekiranya kita membangunkan jenama peribadi atas tujuan membawa perubahan dalam kehidupan golongan yang kita berkhidmat untuk, atau organisasi tempat kita bekerja, saat inilah jenama peribadi memberi makna dan nilai yang lebih besar.

Sekiranya anda baru memulakan langkah di universiti atau dunia karier, luangkan masa mencari makna sebenar dalam hidup bagi menjawab persoalan sebegini:

  • Siapakah anda di rumah?
  • Apakah yang anda benar-benar hargai dan percayai?
  • Bagaimana anda boleh menyumbang kepada ______? (isi tempat kosong, boleh jadi keluarga anda, komuniti di sekeliling, atau bakal majikan)
  • Bagaimana anda boleh jadikan dunia lebih baik?

Apabila anda telah mengusahakan asas yang mantap dan berikan yang terbaik kepada orang lain, anda mungkin terkejut dengan ganjaran yang diterima daripada pelaburan yang anda buat untuk orang lain kerana penerima manfaat tersebut lambat laun akan membalas jasa dengan menaikkan jenama peribadi anda. Seperti yang disebut oleh Adam Grant dalam bukunya, Give and Take: A Revolutionary Approach to Success:

“Lagi banyak saya membantu, lagi banyak kejayaan yang saya kecapi. Namun saya menilai kejayaan dari segi kesan terhadap orang di sekeliling. Inilah anugerah yang terulung.”

Berkaitan: Langkah Awal Bina Jenama Peribadi

Model peranan dalam kalangan kita

Pada saat ini, anda mungkin mencabar saya untuk memberi contoh insan biasa dengan penjenamaan peribadi luar biasa yang dibangunkan oleh orang di sekelilingnya. Berikut adalah dua daripada mereka:

1. Syed Azmi Alhabshi
Syed Azmi (kanan) dengan sukarelawan Leaderonomics di acara amal Bersama Kita Boleh pada tahun 2016.
Syed Azmi (kanan) dengan sukarelawan Leaderonomics di acara amal Bersama Kita Boleh pada tahun 2016.

Syed Azmi terkenal dengan khidmat kemasyarakatan dalam komuniti, meliputi golongan tepi jalan, pesakit kanser, pelarian, ibu tunggal dan orang tua. Kepada rakyat Malaysia, Syed Azmi yang bekerja sebagai ahli farmasi pada siang hari dan pendukung usaha sosial pada waktu malam, adalah seorang pemberi yang tulus ikhlas dan menjadi lambang golongan yang berbuat kebajikan.

Bersama rakan-rakan, penyokong dan penderma yang ikhlas, dia menghulurkan bantuan sehabis baik kepada sesiapa yang memerlukannya. ‘Kisah helikopter‘ yang mencuri perhatian dalam usahanya menggerakkan bantuan bencana dalam kalangan rakyat Malaysia akibat banjir pada tahun 2014 menunjukkan, walaupun kita bukannya siapasiapa, sesiapa sahaja boleh menjayakan sesuatu dengan berganding bahu.

2. Huang Han (黄函)
Foto dipetik daripada akaun Weibonya.
Foto dipetik daripada akaun Weibonya.

Bagi sesiapa yang mengikuti rancangan berkenal-kenalan yang paling popular di China iaitu If You are the One, Huang Han merupakan tetamu undangan yang dipuja-puja dalam rancangan ini, sebelum dia berhenti selepas enam tahun berkhidmat atas urusan keluarga.

Sebagai profesor psikologi sosial dari Universiti Nanjing, Huang telah meraih jutaan peminat dalam kalangan anak muda di Tanah Besar China dengan sifat lemah lembutnya dan nasihat penuh hikmah berkenaan perhubungan dan perkahwinan.

Dia juga mempunyai peminat dari segenap Australia. Hal ini menunjukkan bahawa orang lain dengan sendirinya akan menaikkan jenama peribadi anda tatkala anda memilih untuk menjadi diri sendiri dan berpegang pada prinsip.

Akhir kata 

Selama bertahun-tahun, kita mencemarkan nilai sebenar jenama peribadi dengan beralih arah pada ‘saya, aku dan diriku’.

William Arruda, seorang sifu penjenamaan peribadi yang terkemuka, yang berkecimpung dalam bidang ini sejak dari awal, mengingatkan bahawa:

“penjenamaan peribadi menampakkan hasil apabila didasarkan pada keaslian dan keikhlasan untuk memberi nilai pada orang-orang di sekeliling.”

Oleh sebab tafsiran ini berubah seiring dengan masa, mungkin sudah tiba waktunya untuk kita kembali meneliti nilai teras dan menyusun semula batu asas pembangunan diri, merangkumi nilai integriti, hormat-menghormati dan kasih sayang yang tulus sesama insan.

Apabila kita mula melihat dari perspektif ini, penjenamaan peribadi bukanlah yang utama, malah jenama kita akan naik sendiri tanpa perlu berusaha keras menuai hasil daripada jenama peribadi.

 

Lim Lay Hsuan pernah berkhidmat dengan Leaderonomics.com sebagai kurator konten serta pengawal maklumat. Untuk berkongsi pendapat dengannya, hantar e-mel ke editor@leaderonomics.com.

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Nilai Murni, Identiti

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Kerja

Lima Petua untuk Berhenti daripada Melakukan Kerja

Oleh Michelle Gibbings. Apabila "meja pejabat" anda tidak pernah lebih daripada beberapa kaki dari anda, anda berisiko untuk tidak dapat berhenti kerja. Mempunyai sempadan yang sihat dan ingat untuk memutuskan hubungan dari kerja apabila perlu.

Jan 09, 2023 3 Minit

Komunikasi

COVID-19 Merubah Komunikasi bersama Roshan Thiran

'Tamparan Idea' ialah podcast Bahasa Melayu yang mengupas topik dan isu semasa berkaitan dengan kepimpinan. Program ini diceriakan oleh Waheeda Hasbullah, seorang pengacara yang sentiasa membawa aura gembira kepada anda semua. Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.

Mar 16, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Rahsia Menjadi Pemimpin Yang Hebat

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita mengenal pasti dan menjadikan tokoh-tokoh yang unggul sebagai suri teladan, dan berlatih corak kepimpinan yang ingin kita contohi.

Jun 27, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest