10 Rukun Menguruskan Wang Dengan Bijak

Aug 21, 2018 6 Minit
wang, rukun wang

Tatkala usia makin meningkat (dan harapnya makin bijak), saya sedar bahawa hidup ini bukannya sekadar hitam dan putih. Banyak sahaja ruang yang diwarnai kekelabuan. Acapkali, tiada yang betul mahupun salah; yang ada hanyalah penyelesaian terbaik bagi situasi tertentu.

Saya tahu ramai orang mendambakan kepastian. Kebanyakan yang bertemu dengan saya suka mengajukan soalan, “Apakah cara terbaik untuk melabur?”

Sebenarnya, saya bukannya nabi, jadi saya sendiri pun tidak tahu.

Sekarang, saya akan menepis dari jawapan selamat seperti “bergantung pada keadaan anda”, sebaliknya berkongsi peraturan yang saya gariskan berkenaan wang. Saya akan kongsikan 10 Rukun Wang yang boleh diguna pakai oleh semua orang, di mana-mana sahaja. Ya, sesiapa sahaja.

Anda mungkin sudah atau belum lagi arif dengan ‘Rukun’ ini. Lagipun, rukun-rukun ini merupakan cetusan ilham daripada teks kuno. Tetapi saya sedar akan kebenarannya. Anda juga mungkin bersependapat dengan saya.

1. Anda tidak ada jalinan emosi dengan wang

Bagi kebanyakan orang, emosi mudah terkesan apabila melibatkan wang. Cuba anda ambil RM50 daripada dompet rakan sekerja, dan lihat kesannya.

Namun, beremosi dengan wang agak tidak sihat. Apabila kita terlalu beremosi dengan sesuatu, kita mudah tersasar daripada membuat keputusan yang wajar. Bak suatu ungkapan, “Kita membeli barangan yang kita tidak perlukan dengan wang bukan milik kita demi menarik perhatian orang yang kita tidak suka.”

Jadi, inilah rukun yang pertama dan yang rumit: jangan beremosi dengan wang. Jika anda dikelabui emosi, sekurang-kurangnya akui isu ini terlebih dahulu, kemudian barulah kita mampu atasi emosi sebegini.

2. Anda tidak menjadi hamba kepada wang

Wang bukannya pegangan agama, namun melihat pada sesetengah orang, wang sudah dianggap sebagai tuhan. Segolongan manusia mengabdikan sepenuh pemikiran dan tenaga untuk memperoleh lebih banyak wang.

Saya bukan berkata kita tidak memerlukan wang. Hakikatnya, wang itu penting. Dan dengan wang, banyak urusan boleh diselesaikan (terutamanya apabila anda tengah sesak), jadi amat mudah untuk kita menjadikan wang sebagai fokus utama dalam kehidupan.

Malah, senang sahaja untuk terperangkap dalam kitaran yang menjahanamkan apabila kita tidak berhenti mengejar lebih banyak wang, dan kita tidak pernah merasa cukup.

Namun, apabila dilihat dengan lebih mendalam, semua masalah tidak akan selesai sekalipun segenap perkara bertumpu pada wang. Sudah pasti wang tidak akan menjadikan hidup kita lebih bahagia.

Hidup ini jauh lebih bermakna daripada lembaran kunci kira-kira yang menunjukkan jumlah wang yang kita miliki. Bagaimana pula dengan aspek hidup yang lebih penting seperti keluarga, rakan-rakan dan keseronokan?

Wang hanyalah alat untuk memudahkan kehidupan, bukannya tuhan. Kita sepatutnya menjadikannya sebagai hamba; bukannya kita yang menjadi hamba kepadanya. 

3. Anda tidak meremehkan kebodohan manusia

Anda tidak akan mampu menguasai wang sekiranya anda tidak memahami perilaku manusia (dan ini dikaitkan dengan kebodohan). Syukurlah, kita hidup di zaman yang mudah untuk kita kaji sejarah dan psikologi manusia.

Kita sedar bahawa manusia merupakan makhluk yang kurang rasional. Kita tahu bahawa tanpa usaha yang gigih, kebiasaannya ramai orang tersalah membuat keputusan. Malah yang paling bijak dalam kalangan kita pun terdedah dengan sikap berat sebelah, tamak dan hilang akal.

Oleh itu, apabila kita terlalu yakin lantas mengucapkan, “Saya pasti saya betul! Saya jamin pelaburan ini boleh beri pulangan lumayan!”, marilah kita muhasabah diri dan berkata: Berhenti jadi gila!

4. Anda beringat untuk berehat; kesihatan lebih bernilai daripada wang

Secara teori, wang tidak akan habis. Sekiranya anda bijak membuat percaturan, anda boleh peroleh lebih banyak wang daripada yang anda perlukan.

Berlainan pula dengan masa yang merupakan faktor pengehad utama dalam hidup.

Adakah anda sanggup mengabdikan diri di tempat kerja demi mendapatkan wang tambahan ratusan ringgit? Lagi sedih sekiranya wang tambahan ini digunakan untuk melunaskan bil hospital.

Tidak pernah lagi kita berjumpa orang yang terbaring nazak mengimpikan masa muda mereka dihabiskan untuk mencari lebih banyak wang.

5. Anda menghormati ibu bapa. Belanjakan wang pada kebajikan

Beri sumbangan kepada ibu bapa, lebih-lebih lagi apabila hal ini sudah diterapkan dalam budaya dan agama.

Belanjakan wang untuk membantu orang lain, termasuklah golongan miskin. Berbuat baik sesama manusia dan jalinkan hubungan dengan mereka.

Bukannya kerana anda ingin dapatkan wang daripada mereka atau mempergunakan mereka untuk manfaat diri suatu hari nanti. Lakukanlah sesuatu kerana anda mahu memberi sumbangan kepada manusia.

Jika anda berbuat baik dengan orang lain, terutamanya yang sedang ditimpa kesulitan, percayalah, anda bakal beroleh ganjaran, tidak kiralah anda percaya kepada Tuhan, karma mahupun kitaran hidup.

Berkaitan: 7 Langkah Mencapai Kebebasan Kewangan

6. Anda patut cuba menciptakan sesuatu yang bernilai. Jangan jadi pengguna semata-mata. 

Kita hidup dalam zaman kegemilangan, kini mudah sahaja untuk terima, terima dan terima.

Kita boleh meluangkan masa melayari Lazada, membeli-belah barang terbaharu untuk menggembirakan hati. Tetapi hidup sebegini membuatkan kita lupa bahawa wang dijana apabila sesuatu terhasil, bukannya dengan menjadi pengguna sahaja.

Golongan pengguna tidak meraih wang, sebaliknya wang mereka mengalir keluar.

Dan pengaliran keluar wang yang tidak berkesudahan boleh menjejaskan anda. Hal ini membantutkan sisi kreatif dan kemampuan dalam menghasilkan wang.

Tetapi apabila anda mewujudkan sesuatu yang bernilai, hakikatnya anda sedang menambah duit. Lagipun, wang wujud hasil daripada sesuatu yang bernilai. Jika anda mahu menjadi kaya, anda perlu memberi nilai kepada orang lain.

Jangan sekadar menjadi manusia yang suka membeli iPhone terkini. Jadilah manusia yang terlibat dalam penghasilan iPhone terkini. Ataupun sekurang-kurangnya terlibat dalam membuat aplikasi iPhone yang terbaharu.

7. Anda harus mengawal hawa nafsu

Kita semua mempunyai nafsu. Ada antara kita yang bernafsu dengan kereta mewah, ada juga yang inginkan percutian eksotik.

Tetapi apabila melibatkan wang, anda perlu mengawal kemahuan. Adakah ini bermakna anda tidak boleh sama sekali membeli iPhone? Bukan, maksud saya kawal, bukannya tidak beli terus.

Kawalan bermakna anda memutuskan aspek yang paling penting dalam hidup dan memperuntukkan wang bagi perkara-perkara tersebut. Teliti aspek yang penting dan lupakan yang lain. Kemudian tetapkan anggaran perbelanjaan bagi hal-hal ini, dan patuhilah. Inilah yang disebut sebagai disiplin kewangan.

Makan roti sandwich avokado tidak akan membuat anda menjadi papa kedana. Tetapi cuba anda bayangkan gabungan beban menanggung hutang kereta BMW, bercuti ke luar negara setiap bulan, minum kopi Starbucks setiap hari, dan roti sandwic avokado setiap kali makan tengah hari.

8. Anda perlu menjaga hak orang lain

Anda haruslah jujur ​​dalam mengusahakan mata pencarian. Sejauh mana?

Saya tahu anda tidak mencuri daripada rakan sepejabat dan anda tidak terlibat memberi rasuah kepada pegawai kerajaan. Betul, kan? Tahniah! 

Tetapi perkara yang ingin saya utarakan ini lebih menyentuh pada isu kejujuran dengan lebih mendalam. Misalnya, tidak memasukkan perbelanjaan yang tidak berkait semasa menuntut elaun perjalanan. Tidak mencuri idea daripada rakan sepejabat tanpa memberikannya kredit. Malah, tidak mencuri masa bekerja dengan membuat perniagaan sampingan; tetapi sebaliknya membuat kerja sehabis baik bagi tugasan yang diamanahkan.

Saya tahu, ada orang yang berbuat demikian. Sekalipun ada yang melakukannya, anda boleh menjadi teladan sebagai seorang pekerja yang mencari rezeki halal. Kita sering mengadu tentang gejala rasuah, jadi mengapa kita sendiri tidak membuat sesuatu akan hal ini.

Rezeki yang halal ​​mewujudkan rasa hormat diri. Rasa hormat diri yang sihat mendorong  kejayaan. Malah senang untuk anda tidur lena pada malam.

9. Anda tidak mengkhianati kepercayaan seseorang

Kita sudah berbincang tentang kejujuran, sekarang mari kita teruskan dengan kembarnya, iaitu sifat amanah.

Sifat amanah merupakan suatu anugerah yang menghidupkan perhubungan. Amanah diibaratkan sebagai tali sutera halus yang mengikat hubungan antara kita. Sekiranya terlerai, habislah peluang untuk kita meneruskan urusan perniagaan.

Sesetengah manusia berfikir mereka boleh berbohong, menipu dan menyeleweng untuk mendapatkan wang. Ini merupakan suatu pendustaan dan hanya berhasil sekali dua.

Apabila amanah disia-siakan, hubungan yang terjalin menjadi pudar. Tiada sesiapa yang mahu menyerahkan wang kepada pendusta.

10. Anda hendaklah tidak berhasad dengki

Saya faham perasaan anda. Kehidupan orang lain seolah-olah lebih indah daripada anda. Mereka mampu pergi bercuti sepanjang masa. Ada yang memandu kereta lagi mewah dan rumahnya lebih besar.

Namun, yang kita tidak nampak ialah pengorbanan yang dicurahkan demi mencapai matlamat tersebut. Mungkin mereka seringkali bercuti kerana bencikan pekerjaan mereka. Dan mungkin mereka sebenarnya bergelut dengan hutang disebabkan bayaran rumah dan kereta yang sangat tinggi.

Maksud saya, semua orang mempunyai liku-liku hidup yang berbeza. Mengapa kita perlu bimbang dengan insan yang perjalanannya lain daripada kita?

Satu-satunya perkara yang perlu kita periksa ialah diri sendiri — adakah kita satu peratus lebih baik daripada semalam? Jadi, berhentilah membandingkan diri dengan orang lain, kerana hal ini hanya membuatkan kita menderita dan bodoh dalam mengurus wang.

***

Apa yang berlaku sekiranya anda melanggar rukun-rukun yang dikongsikan?

Jangan risau. Seperti yang saya katakan sebelum ini, wang bukannya pegangan agama dan ini bukannya ceramah dunia akhirat.

Bukannya ada tuhan wang yang akan menjatuhkan hukuman sekiranya kita melanggar peraturan. Oleh itu, jangan berkeras sangat dengan diri apabila tersilap langkah, kerana tiada manusia yang sempurna.

Tidak mudah untuk kita mengikuti semua 10 Rukun Wang ini. Haluannya sukar. Jangan putus asa; bangkit dan buatlah dengan lebih baik pada masa depan.

Anda mungkin mengecapi syurga kewangan suatu hari nanti.

 

Aaron Tang pernah bertugas di Leaderonomics dan adalah pengasas mr-stingy.com. Beliau adalah pakar dalam hal-hal berkaitan kewangan peribadi, pengurusan kewangan dan kryptowang. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik The 10 Commandments Of Money.

 

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Sudut Pakar, Kewangan

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Media sosial, kerjaya

Media Sosial Membantu atau Merumitkan Kerjaya Anda?

Oleh Michelle Gibbings. Media sosial boleh mempercepat dan meningkatkan kerjaya anda apabila anda menggunakannya dengan bijak. Baca di sini bagaimana anda boleh membuatnya untuk anda.

Nov 11, 2022 5 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Fokus Pada Perubahan Kecil

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita menumpukan usaha untuk membawa perubahan kecil pada diri. Lama-kelamaan perubahan menyeluruh akan tercapai. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

Jul 19, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest