Menyokong Mereka yang Mengalami 'Burnout'

imej dari magnific.com
Salah seorang pesakit saya, kita namakan dia Johan, datang ke pejabat saya kerana mengalami burnout, walaupun perkataan “mengadu” mungkin terlalu kuat untuk menggambarkan apa yang saya lihat. Dengan sedikit rasa malu seperti seorang lelaki yang memulangkan peralatan yang rosak, dia hanya berkata, “Ada sesuatu dalam diri saya yang sudah tidak berfungsi.”
Burnout, seperti yang sering kita dengar, boleh menjejaskan pelbagai aspek. Dari segi emosi, seseorang mungkin berasa letih, sinis atau sekadar kebas. Namun, rasa kebas ini boleh menjadi sesuatu yang kejam kerana ia menyamar sebagai kelegaan. “Akhirnya,” fikir dirinya yang sudah keletihan, “saya sudah tidak peduli lagi.”
Dari segi fizikal pula, terdapat keletihan yang tidak hilang walaupun selepas tidur. Kita biasanya menganggap keletihan sebagai hutang yang boleh dilangsaikan dengan rehat. Namun, dalam keadaan burnout, lapan jam menjadi sembilan, sembilan menjadi sebelas, tetapi orang itu masih bangun dengan perasaan seolah-olah tenaganya sudah habis.
Dari segi kognitif, seseorang mungkin sukar menumpukan perhatian. Membuat pilihan kecil seperti apa yang mahu dimakan, sama ada mahu membalas mesej seseorang atau tugasan mana yang perlu dimulakan boleh menjadi sesuatu yang sangat membebankan. Fikiran yang dahulunya mampu mengendalikan pelbagai perkara kini menjadi keliru walaupun hanya berdepan dengan satu perkara.
Lebih daripada sekadar keletihan, mereka mungkin berasa bodoh kerana terlalu mengambil berat atau marah kerana pernah mempercayai sistem yang kini seolah-olah menolak mereka.
Lebih daripada Sekadar Keletihan
Burnout ialah keletihan yang ditambah dengan rasa dikhianati. Seseorang mungkin telah memberikan bertahun-tahun hidupnya kepada sesuatu jawatan atau organisasi. Mereka melampaui batas kemampuan kerana merasakan pertaruhannya terlalu besar untuk mereka berundur. Malah, identiti diri mereka bergantung kepadanya. Namun, lama-kelamaan, sesuatu yang pada awalnya dianggap sebagai komitmen mula terasa seperti eksploitasi.
Sesuatu dalam diri mereka telah digunakan secara berlebihan. Kecekapan mereka menjadi alasan untuk memberikan lebih banyak tugas kepada mereka. Dan apabila mereka akhirnya mula goyah, kegagalan itu pula dianggap sebagai kelemahan peribadi.
Itulah sebabnya burnout boleh membuat seseorang berasa sangat keliru dari segi nilai dan perasaan. Lebih daripada sekadar keletihan, mereka mungkin berasa bodoh kerana terlalu mengambil berat atau marah kerana pernah mempercayai sistem yang kini seolah-olah menolak mereka. Kebiasaannya, mereka berasa malu kerana tidak lagi mampu memberikan prestasi seperti dahulu.
Sebab itu juga, rehat biasa mungkin tidak mencukupi. Pelanggaran kepercayaan seperti ini memerlukan usaha pemulihan yang menyeluruh.
Nasihat untuk Rakan dan Rakan Sekerja
Sebagai pakar psikoanalisis dan jurulatih eksekutif, saya sering membantu individu seperti Johan yang merasakan hidup mereka sudah tidak bermakna. Walaupun saya sangat percaya bahawa bantuan profesional perlu dicari dalam keadaan seperti ini, saya menulis artikel ini untuk memberikan panduan kepada pengurus, rakan sekerja, ahli keluarga dan rakan-rakan kepada individu seperti Johan. (Jika anda seorang profesional dalam bidang membantu, saya telah menerbitkan artikel yang lebih menyeluruh mengenai perkara ini di Medium.)
Apabila berhadapan dengan seseorang yang sedang mengalami keputusasaan, kita mungkin terdorong untuk berkata, walaupun dengan niat yang baik:
“Tetapi banyak lagi perkara yang boleh membuatkan kamu terus hidup. Fikirkan keluarga kamu. Kamu cuma perlukan sedikit rehat.”
Ungkapan seperti ini tidak semestinya salah, tetapi ia seolah-olah menganggap keputusasaan sebagai pandangan yang perlu diperbetulkan. Memberitahu Johan bahawa hidup ini berbaloi untuk diteruskan ibarat memberitahu seorang yang sedang kelaparan bahawa restoran itu wujud. Benar, tetapi tidak membantu keadaan emosinya.
Tahan dorongan untuk membetulkan rasa putus asa itu dan sebaliknya cuba memahaminya. Ini bukan bermaksud anda perlu bersetuju dengan apa yang dikatakannya. Cukup dengan mendengarnya. Kesediaan untuk bersama seseorang dalam menghadapi keputusasaannya — termasuk ketika dia berdiam diri — tanpa tergesa-gesa cuba menghilangkannya adalah sesuatu yang sangat penting.
Perkara ini lebih penting jika anda ialah pengurusnya. Jangan berkata, “Mari kita bantu kamu kembali produktif sepenuhnya” atau “Pernahkah kamu pertimbangkan seminar tentang keseimbangan kerja dan kehidupan?”
Nasihat seperti itu mungkin sebenarnya sebahagian daripada perkara yang menyebabkan Johan jatuh sakit sejak awal. Burnout dan kepatuhan sering saling berkait. Seseorang mungkin hidup di bawah pengaruh seorang “pemerintah dalaman” yang terbentuk sejak dahulu — mungkin akibat seorang bapa yang terlalu menuntut, ibu yang terlalu bergantung kepadanya atau guru yang bersifat diktator dan memberikan ganjaran apabila dia menurut.
Apa yang mereka perlukan ialah membebaskan diri daripada corak pemikiran tertentu.
Artikel ini mungkin menarik minat anda:
Bagaimana untuk Bangkit Semula Selepas Kegagalan?
Menangani Fikiran untuk ‘Membunuh Diri’
Selepas anda mendengar dan menahan diri daripada berhujah atau memberikan nasihat yang kononnya “membantu”, jangan teragak-agak untuk bertanya secara terus dan menggunakan bahasa yang jelas tentang sebarang fikiran untuk membunuh diri:
“Pernahkah anda terfikir untuk membunuh diri?”
“Adakah anda mempunyai akses kepada cara atau alat yang boleh digunakan untuk melakukannya?”
“Pernahkah anda mencubanya sebelum ini?”
Terdapat kebimbangan umum bahawa soalan seperti ini akan menguatkan fikiran tersebut dan bahawa bertanya mengenainya seolah-olah mencadangkannya. Namun, bukti tidak menyokong tanggapan ini. Soalan-soalan ini ibarat membuka tingkap dalam sebuah bilik yang sudah dipenuhi gas. Ia memberi ruang untuk seseorang bernafas.
Satu lagi soalan penting yang boleh ditanya ialah,
“Apakah yang membuatkan anda terus bertahan sehingga sekarang?”
Jika sesuai dan boleh dilakukan, libatkan individu yang dipercayai oleh orang tersebut. Anda boleh mengenal pasti siapa yang menjadi sumber sokongannya dengan bertanya,
“Adakah orang lain tahu bahawa anda sedang berasa begini?”
Burnout sering melibatkan kesedihan yang tidak diluahkan. Mereka mungkin bersedih atas masa yang telah hilang, tetapi lebih-lebih lagi terhadap kisah hidup yang selama ini membuatkan pengorbanan itu terasa berbaloi.
Perkara yang Boleh Dicuba
Jika soalan anda mendedahkan risiko bunuh diri yang ketara, bertindak segera dengan melibatkan perkhidmatan kecemasan, intervensi krisis atau kemasukan ke hospital bergantung pada keadaan. Akses kepada perkara yang boleh digunakan untuk mencederakan diri atau membunuh diri juga perlu dihalang.
Namun, setelah perkara berkaitan hidup dan mati ini ditangani, apakah langkah seterusnya yang boleh diambil selain mendapatkan kaunseling?
1. Mulakan dengan perkara asas
Jangan terlalu memikirkan cara untuk “menyelamatkan jiwa” seseorang pada peringkat awal. Jaga tubuh mereka terlebih dahulu: tidur, makanan, pergerakan fizikal, cahaya matahari, pemeriksaan kesihatan dan mengurangkan pengambilan bahan yang memudaratkan.
Ini mungkin kedengaran terlalu mudah, tetapi jiwa manusia berada dalam tubuh, dan tubuh mempunyai keperluan yang tidak boleh dirunding. Seseorang yang hanya tidur empat jam setiap malam selama enam bulan memerlukan tidur REM yang mencukupi dan, kemungkinan besar, makanan yang berkhasiat.
2. Beritahu mereka bahawa anda menghargai mereka, apa jua keadaan
Jika ada sesuatu yang perlu “mati”, biasanya ia ialah kepercayaan lama bahawa nilai seseorang bergantung pada sejauh mana mereka berguna kepada orang lain dan bahawa kegunaan itu perlu dibuktikan berulang kali setiap pagi.
Saya mendapati bahawa individu yang mengatakan diri mereka tidak berguna sering menyimpan kemarahan yang mendalam. Contohnya, mereka mungkin marah terhadap budaya yang memaksa pekerja bekerja secara berlebihan sebelum menawarkan program “kesejahteraan” yang sekadar memenuhi syarat.
Mereka mungkin marah kepada pasangan yang melihat kejatuhan mereka sebagai gangguan kepada rutin rumah tangga. Mereka juga mungkin marah kepada ibu bapa yang mengajar mereka bahawa menjadi seorang yang boleh diharapkan adalah segala-galanya.
Jika pemikiran seperti ini mula muncul, kekal tenang. Individu yang mengalami burnout sering memendam kemarahan terlalu lama kerana takut kemarahan itu akan menyebabkan orang lain menjauhi mereka.
Kemarahan yang mendalam paling baik ditangani dalam ruang psikoterapi yang selamat. Namun, sehingga mereka mendapatkan bantuan tersebut, akui bahawa mereka berhak meluahkan perasaan dan bahawa emosi mereka adalah sah.
3. Tunjukkan empati terhadap apa yang telah hilang
Burnout sering melibatkan kesedihan yang tidak diluahkan. Seseorang mungkin mempunyai harapan tertentu yang akhirnya tidak menjadi kenyataan. Mungkin mereka baru menyedari bahawa ganjaran yang dijanjikan selepas berdekad-dekad berkorban sebenarnya hanyalah peluang untuk berkorban dengan lebih cekap pada suku tahun berikutnya.
Mereka mungkin sedang meratapi imej diri sebagai seseorang yang pernah menjadi pekerja berprestasi tinggi, malah dianggap tidak boleh digantikan. Mungkin mereka menyangka bahawa prestasi yang dikekalkan dengan pengorbanan yang mencukupi untuk tempoh yang cukup lama akhirnya akan memberikan mereka rasa selamat.
Mereka mungkin bersedih atas masa yang telah hilang, tetapi lebih-lebih lagi terhadap kisah hidup yang selama ini membuatkan pengorbanan itu terasa berbaloi.
4. Lama-kelamaan, sokong mereka untuk mendapatkan semula kawalan dan keinginan diri
Ini merupakan proses yang paling halus dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.
“Cari minat anda” berada dalam kategori yang sama dengan “Jadilah diri sendiri”. Begitu juga ayat seperti “Segala yang berlaku ada hikmahnya” mungkin bertujuan memberikan ketenangan, tetapi sebenarnya tidak memberikan apa-apa.
Keinginan tidak akan kembali hanya kerana kita menyuruhnya kembali. Pada mulanya, ia mungkin muncul sebagai satu pilihan kecil atau secercah rasa ingin tahu. Malah, ia mungkin muncul dalam bentuk rasa jengkel:
“Saya tak mahu pergi ke majlis makan malam itu.”
Ini sebenarnya petanda yang positif.
Kemudian, orang tersebut mungkin berkata, “Saya rindu bermain muzik.”
Itu satu perkembangan.
Begitu juga dengan, “Saya benci pekerjaan saya.”
Walaupun kebencian bukan matlamat akhirnya, ia menunjukkan bahawa seseorang sedang bergerak keluar daripada sikap tidak peduli dan kebas emosi. Seseorang yang membenci sesuatu mungkin, pada waktunya, mendapati bahawa mereka juga mampu menyayangi sesuatu.
Jangan mendesak. Jangan memberikan cadangan. Cukup dengan menyokong mereka.
Kehidupan Tanpa Belenggu
Hakikat yang agak ironik ialah ramai individu yang mengalami burnout tidak perlu menjadi lebih seimbang. Mereka perlu menjadi lebih berani untuk melawan aturan lama.
Saya merujuk kepada keengganan untuk terus mematuhi aturan lama dan menjadi hamba kepada belenggu psikologi. Mereka perlu mengecewakan “jawatankuasa dalaman” yang selama ini bersarang dalam fikiran mereka.
Mereka perlu berhenti menyerahkan setiap keinginan kepada birokrat dalaman yang tidak pernah meluluskan permohonan untuk menikmati keseronokan tanpa terlebih dahulu membuat mereka berasa bersalah.
Mereka perlu merasai kebebasan untuk menjadi — apabila mereka mahu — letih, terbatas, memerlukan bantuan, bosan, suka bermain, kadangkala tidak berguna dan sesekali berasa sangat gembira.
Bukan kerana mereka perlu membuktikan sesuatu.
Tetapi hanya kerana mereka wujud, dan kewujudan mereka itu sendiri sudah memadai.
Baca lagi:
Kepimpinan
Manfred F. R. Kets de Vries ialah Profesor Klinikal Terbilang Pembangunan Kepimpinan & Perubahan Organisasi di INSEAD dan Raoul de Vitry d'Avaucourt Pengerusi Profesor Pembangunan Kepimpinan, Emeritus. Beliau ialah Pengarah Program The Challenge of Leadership, salah satu program Pendidikan Eksekutif terbaik INSEAD.





