Perangkap Perbandingan: Bila Kita Rasa Tak Cukup

Aug 18, 2026 • 2 Minit
life
Sumber:

imej dari magnific.com

Pernah tak anda melihat kehidupan orang lain lalu terfikir, “Kenapa hidup aku belum sampai tahap itu?”

Ada yang sudah memiliki kerjaya yang baik, membeli rumah atau kereta, berkahwin, melancong atau mencapai sesuatu yang diimpikan. Dengan media sosial pula, pencapaian dan kehidupan orang lain sentiasa berada di depan mata. Tanpa sedar, perjalanan sendiri mula dibandingkan dengan perjalanan mereka.

Saya sendiri pernah berada dalam keadaan itu, rasa seperti tertinggal dalam banyak perkara. Pada usia tertentu, mungkin timbul rasa seolah-olah sudah sepatutnya mempunyai kerjaya yang lebih baik, kewangan yang lebih stabil atau mencapai lebih banyak perkara dalam hidup.

Tetapi, adakah benar-benar sedang tertinggal? Atau hanya terperangkap dalam perangkap perbandingan?

1. Semua Orang Nampak Lebih Berjaya

Media sosial membuatkan pencapaian orang lain mudah dilihat. Kita nampak pekerjaan baharu, rumah pertama, kereta baharu, percutian, pertunangan, perkahwinan atau gaya hidup yang kelihatan sempurna.

Kadang-kadang, perkara kecil pun boleh mencetuskan perbandingan. Melihat rakan mendapat kenaikan pangkat boleh membuat seseorang tertanya-tanya mengapa kerjaya sendiri masih di tempat yang sama. Melihat seseorang berkongsi percutian pula boleh membuat hidup sendiri terasa membosankan.

Tanpa sedar, muncul persoalan, “Kenapa aku tak macam dia?”

2. Hanya Nampak “Highlight” Mereka

Masalahnya, yang dilihat hanyalah apa yang mereka pilih untuk dikongsikan.

Seseorang mungkin membeli rumah, tetapi tidak diketahui berapa lama mereka menyimpan wang untuk mendapatkannya. Seseorang yang kelihatan berjaya dalam kerjaya pula mungkin telah melalui banyak kegagalan sebelum sampai ke tahap tersebut.

Begitu juga dengan media sosial. Gambar percutian yang kelihatan sempurna mungkin hanya mewakili beberapa hari daripada kehidupan seseorang yang sebenarnya jauh lebih kompleks.

Akhirnya, keseluruhan hidup sendiri dibandingkan dengan beberapa detik terbaik dalam hidup orang lain.

3. Bila Perbandingan Membuatkan Diri Rasa Tak Cukup

Terlalu banyak membandingkan diri boleh menghakis keyakinan dan membuat pencapaian sendiri terasa tidak bermakna.

Seseorang mungkin sudah mendapat pekerjaan yang diinginkan, tetapi mula rasa tidak cukup apabila melihat orang lain mendapat gaji lebih tinggi. Kehidupan yang sudah membahagiakan juga boleh mula dipersoalkan apabila orang lain kelihatan lebih berjaya. Lebih membimbangkan, seseorang mungkin mula mengejar sesuatu bukan kerana benar-benar mahukannya, tetapi kerana mahu membuktikan bahawa mereka juga mampu mencapai apa yang orang lain ada.

4. Tukar Perbandingan Kepada Inspirasi

Membandingkan diri tidak semestinya sentiasa buruk. Ia menjadi masalah apabila kejayaan orang lain membuatkan diri sendiri terasa rendah.

Daripada bertanya, “Kenapa aku tak macam dia?”, cuba tanya, “Apa yang aku boleh belajar daripada dia?”

Jika seseorang berjaya dalam kerjaya, mungkin ada usaha dan kemahiran yang boleh dijadikan inspirasi. Jika seseorang berjaya mengurus kewangan, cara mereka merancang mungkin boleh dijadikan panduan.

Kejayaan orang lain boleh menjadi inspirasi, bukan ukuran nilai diri.

Setiap orang mempunyai masa, keadaan dan laluan yang berbeza. Ada perkara yang mungkin dicapai lebih awal, dan ada perkara yang memerlukan lebih banyak masa.

Tidak perlu mempunyai kehidupan yang sama seperti orang lain untuk menganggap kehidupan sendiri berjaya. Kadang-kadang, yang diperlukan hanyalah berhenti melihat sejauh mana orang lain sudah pergi dan mula menghargai sejauh mana diri sendiri telah melangkah.

Artikel ini mungkin menarik minat anda:
Adakah Saya Perlu Bersaing untuk Berkembang?

Sila Kongsi

Perkembangan Peribadi

Alt

Amirah ialah editor Bahasa Melayu di Leaderonomics dengan latar belakang dalam bidang Linguistik dan Bahasa Melayu. Bagi Amirah, menulis bukan sekadar tugas, tetapi ruang untuk meneroka idea dan berkongsi perspektif. Di luar kerja, dia gemar menonton Netflix, mencuba makanan baharu dan menikmati secawan matcha.

Alt

Cadangan Buat Kamu

Alt

7 Tabiat Terbaik untuk Diamalkan pada Hari Minggu

Oleh Dr. Azura Hashim. 7 tabiat mudah untuk menyusun semula kehidupan dan memulakan minggu dengan lebih baik.

Jul 16, 2026 • 2 Minit

里程

Cara Kenal Pasti Kerja yang Sesuai dengan Minat

Kerjaya yang tepat bermula dengan mengenali diri sendiri. Ketahui bagaimana minat, personaliti dan kekuatan diri boleh membantu anda menemukan bidang pekerjaan yang bukan sahaja sesuai, tetapi juga memberi kepuasan dan ruang untuk berkembang.

Feb 17, 2026 • 3:46 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest