Kekal Relevan: Kunci Kepada Pertumbuhan Kerjaya Dan Bisnes

Sep 24, 2018 1 Minit
prihatin, haiwan, komunikasi

Beberapa dekad kebelakangan ini, kita telah menyaksikan beberapa syarikat yang berada di puncak industri mereka diatasi oleh pesaing-pesaing yang tidak dikenali yang entah dari mana datangnya.

Motorola yang dikenali sebagai peneraju telefon selular, ketinggalan dalam anjakan kepada digital dan disingkir oleh Nokia. Nokia adalah syarikat Finland yang mengeluarkan tayar salji dan but getah 10 tahun sebelum mereka menguasai dunia wayarles selular.

IBM, raja dalam dunia pengkomputeran, terlepas sepenuhnya revolusi komputer peribadi dan diatasi oleh Microsoft, Dell dan beberapa syarikat permulaan yang kecil.

Pada masa yang sama, syarikat-syarikat yang berinovasi digantikan oleh peniru mereka. Xerox mencipta mesin fotokopi tetapi Canon mengangkatnya ke peringkat yang baharu dengan mesin fotokopi berwarna.

Selama bertahun-tahun Ford dan GM menguasai kepimpinan automobil tetapi terus lingkup apabila peniru dari Jepun tiba dengan kereta bermutu tinggi yang ekonomi. Mengapa semua syarikat ini jatuh terlingkup?

Mengapa organisasi-organisasi gagal?

Syarikat-syarikat yang mengamalkan dasar tertutup dan hanya memfokuskan kepada isu dalaman sahaja besar kemungkinan akan ketinggalan apabila berlakunya perubahan.

Organisasi yang berhenti melihat ke luar dan tidak nampak akan perubahan yang berlaku lambat-laun akan hilang arah.

Ia sama seperti kita sebenarnya. Apabila kita terlampau sibuk dengan kerja, anak-anak, jadual dan mesyuarat kita, kadang-kadang kita terlepas pandang akan perubahan yang berlaku di sekeliling kita.

Dan perubahan ini semua mempunyai kesan langsung ke atas kerjaya kita.

Saya teringat pada ibu rakan saya yang bekerja sebagai seorang setiausaha pada zaman 70-an. Dia sangat hebat menggunakan mesin taip dan dapat menaip dengan pantas sekali. Tetapi apabila komputer mula memasuki pasaran pada tahun 80-an, dia dianggap sebagai lewah dan digantikan dengan seorang yang celik komputer namun tidak dapat menaip sepantasnya. Oleh kerana  dia terlalu taksub untuk meningkatkan keupayaan menaip dengan pantas, dia terlepas pandang gambaran yang lebih meluas, iaitu kepentingan menaip pantas menggunakan mesin taip tidak sama dengan mempelajari menggunakan komputer.

Syarikat-syarikat juga menghadapi dilema yang sama. Apabila mereka begitu sibuk dengan operasi dan proses dalaman, mereka lupa akan dunia sekeliling mereka dan lambat-laun akan digantikan dengan syarikat-syarikat baharu.

Fikirkan tentang produk dan perkhidmatan yang anda gunakan hari ini. Berapa banyak produk dihasilkan oleh syarikat yang wujud 60 tahun lalu? Kita terbang bersama AirAsia, beli perabot daripada IKEA, komputer daripada Dell, minum kopi di Starbucks, mencari maklumat menerusi Google dan mendapat latihan kepimpinan daripada Leaderonomics!

Mempunyai syarikat dengan larik nama ‘ditubuhkan pada tahun 1850’ kini hampir menjadi liabiliti. Reputasi sudah tidak bermakna lagi. Berpusat di United Kingdom, Shell mempunyai reputasi sebagai pengeluar minyak petrol bermutu tinggi. Tetapi dalam pasaran UK, pasar raya Tesco adalah peruncit petrol terbesar.

Jadi, bagaimana syarikat-syarikat ini kehilangan kedudukan kepimpinan mereka?

Salah satu sebab mungkin ‘bukti sosial’, teori yang dipelopori ahli psikologi Robert Cialdini.

Lebih ramai orang yang berada di lokasi kemalangan, berkemungkinan besar tiada sesiapa yang akan menolong mangsa. Jika setiap orang bersifat pasif, mereka akan menganggap kemalangan itu tiada kecemasan.

Teori Cialdini mendapati, “Jika ramai orang melakukan perkara yang sama, mereka mesti tahu sesuatu yang kita tidak tahu.”

Syarikat-syarikat mengamalkan sikap ‘ikut pemimpin anda’ tanpa usul periksa. Wang Laboratories, yang memantapkan kedudukan mereka sebagai pengeluar komputer terbesar pada tahun 80-an,, mengambil keputusan mengekori langkah pemimpin industri IBM dan mengetepikan pasaran komputer peribadi (PC). Hari ini, mereka sudah lenyap.

Mahaguru perniagaan Charan dan Useem menegaskan bahawa satu lagi sebab adalah “beberapa kajian mendapati kebarangkalian mereka yang berjaya untuk membuat keputusan optimum berkurangan setelah menikmati kejayaan yang berpanjangan. Enron, Lucent, WorldCom semuanya menuju puncak sebelum masalah melanda. Seseorang patut memberitahu mereka bahawa kebanyakan kemalangan di pergunungan berlaku dalam perjalanan turun.”

Tambah Gary Hamel:

“Anak benih kegagalan selalunya tersemai ketika di puncak kehebatan.”

Saat sesebuah syarikat itu menjadi pemimpin industri, pemikiran mempertahankan diri mula meresapi dan tiada sesiapa yang mencabar status quo.

Ramai yang menjadi sempit pemikiran dan terlepas perubahan yang sedang berlaku, lantas menjadi tidak relevan kepada para pelanggan mereka.

Pemimpin hebat memandang ke hadapan dan tidak dibuai kegemilangan lalu atau terjebak dengan isu dalaman. Bill Gates sentiasa berkata:

“Microsoft sentiasa berada dua tahun daripada kegagalan.”

Gates memahami keperluan untuk melibatkan diri dengan dunia sekeliling, trend serta perubahan pasaran.

Pengarang buku ‘Good to Great’ Jim Collins, menulis, “Tanda yang penting – ujian litmus – adalah sama ada anda cepat menerangkan tentang fakta kejam atau berhadapan dengannya secara langsung.” Pemimpin hebat memaksa diri mereka melihat dari luar, mengenal pasti fakta kejam yang mendepani mereka dan membuat perubahan yang sewajarnya.

Berkaitan: Anda Menunggang Kuda Nazak?

Jadi, apakah pengajaran yang dapat dipelajari untuk kerjaya serta kehidupan kita?

Pertama sekali, perubahan berlaku setiap masa, jadi kita tidak perlu menjadi curiga. Kita harus berhati-hati dan sentiasa memerhati setiap yang berlaku di dalam dan di luar. Perubahan bukan hanya berlaku di dalam industri anda tetapi di mana-mana sahaja. Peruncit buku tidak pernah memahami bagaimana Amazon.com tiba-tiba muncul dan menyebabkan mereka gulung tikar kerana mereka tidak menjejaki revolusi Internet.

Kedua, kita harus berwaspada apabila kita mula menjadi terlampau fokus kepada hal-hal dalaman dan terbawa-bawa dengan tugasan serta perkara-perkara yang perlu dibuat. Pemimpin hebat belajar untuk mengenang kembali dan mengambil masa untuk perasan ‘perkara kecil’ yang berlaku di dalam hidup mereka. Terdapat banyak tanda-tanda kecil bertebaran di sekeliling kita, memberitahu kita tentang ketibaan perubahan dalam kerjaya dan kehidupan kita. Adakah kita nampak tanda-tanda sedemikian?

Akhir sekali, berjaga-jaga apabila anda menjadi defensif dan menentang kemajuan. Inilah titik permulaan kejatuhan anda dari puncak. Pemimpin hebat yang berada di atas buat jangka masa yang lama selalunya akan merendahkan diri untuk percaya bahawa pembelajaran dan pertumbuhan tidak pernah berhenti.

Jadi, apa yang kita perlu lakukan? Kita boleh bermula dengan berhenti sebentar dari ‘kesibukan’ kehidupan kita dan ‘memerhati dunia’. Cukup dengan hanya 20 minit setiap hari akan dapat meningkatkan kualiti kerjaya anda. Ada banyak ‘perubahan’ kecil yang akan melanda industri dan tempat kerja anda dan jika anda terlalu sibuk  bekerja keras untuk meningkatkan ‘kemahiran menaip’ dalam organisasi anda, ‘perubahan’ itu mungkin akan membuatkan anda menjadi dinosaur yang tak relevan.

Jadi, bukalah mata dan tukarlah kisah anda apabila perlu!

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Keeping Relevant: Key To Career Growth.

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Kepimpinan

Peranan Kepimpinan dalam Pengurusan Perniagaan Antarabangsa

Oleh Sari Cada. Landskap perniagaan telah menjadi semakin global. Syarikat tidak lagi dihadkan oleh sempadan negara, menerokai pasaran baharu dan menjalin perkongsian merentasi benua. Persekitaran yang dinamik ini memberikan cabaran yang unik dan menuntut jenis kepimpinan tertentu - yang boleh mengemudi kerumitan, memupuk pemahaman budaya dan memacu kejayaan di arena antarabangsa.

May 27, 2024 4 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Kepimpinan Itu Ekstrem

Kepimpinan ekstrem adalah gelagat pemimpin yang hebat. Mereka bijak memilih tindakan yang bersesuaian dengan keadaan dan masa. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Kepimpinan Itu Sesuatu Yang Ekstrem!

Jul 16, 2017 3 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest