Adakah Anda Seorang Pemberi Atau Penerima?

Feb 25, 2017 7 Minit
pemimpin, pemberi, penerima

“Pemimpin yang hebat adalah pemberi yang hebat.” — John Maxwell

Saya sering diberitahu bahawa wang tidak dapat membeli kebahagiaan. Tetapi kini ahli sains pula mengatakan sebaliknya iaitu ia mampu memberi kebahagiaan selagi kita membelanjakannya untuk orang lain!

Menurut kajian saintifik oleh Profesor Elizabeth Dunn dan pasukannya di Universiti British Columbia, “Tanpa mengira pendapatan, mereka yang membelanjakan wang ke atas orang lain menikmati hidup yang lebih bahagia daripada mereka yang menggunakannya demi kepentingan diri sendiri.”

Profesor Michael Norton dari Universiti Harvard pula berkata tindakan menderma, biarpun sekadar beberapa ringgit, memadai untuk meningkatkan tahap kebahagiaan seseorang.

Kesan yang sama juga boleh dikatakan mengenai negara-negara. Menurut kajian global Arwin dan Lew, “Bukti statistik daripada kajian ini mencadangkan bahawa untuk menikmati kebahagiaan, adalah lebih baik memberi daripada menerima bantuan.”

Dengan berasaskan Pangkalan Data Kebahagiaan Dunia, kajian ini menunjukkan bahawa negara-negara yang memberi bantuan mencatatkan tahap kebahagiaan yang berkaitan manakala tahap kebahagiaan negara yang menerima pula tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Yang menarik adalah situasi ini sama untuk dunia bisnes. Bisnes yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan nilai pemegang saham (iaitu meraih keuntungan) mempunyai tenaga kerja yang kurang gembira berbanding bisnes permulaan (‘start-up’) dan keusahawanan sosial (iaitu syarikat yang memberi kepada masyarakat).

Banci yang dilakukan di United Kingdom juga menunjukkan bahawa biarpun pekerja di syarikat besar dibayar gaji yang jauh lebih tinggi daripada generasi sebelumnya tetapi mereka tidak lebih gembira. Tenaga kerja yang tidak gembira bermakna produktiviti yang rendah dan kos penjagaan kesihatan yang lebih tinggi.

Kebanyakan orang lupa bahawa kepimpinan yang berinspirasi adalah mengenai orang,   bukannya produk atau keuntungan. Organisasi dan pemimpin yang lebih cenderung memberi daripada menerima merupakan sumber ilham yang kuat kepada orang ramai.

Belajar nilai memberi daripada pemimpin masa silam

Sejarah penuh dengan manfaat memberi. Kubur Christopher Chapman yang bertarikh tahun 1680 di Westminster Abbey tertulis:

“Apa yang aku berikan, aku miliki. Apa yang aku belanjakan, pernah aku miliki. Apa yang aku tinggalkan menjadi kerugian kerana tidak sempat diberikan kepada orang lain.”

Longfellow menulis, “Berikan apa yang anda miliki.” Seorang penulis terkenal, John Bunyan, mengingatkan kita, “Ada seorang lelaki, walaupun orang menganggapnya tidak siuman, semakin banyak dia memberi semakin banyak pula harta yang dimilikinya.”

Ada pula orang yang percaya bahawa mereka tidak mampu untuk memberi dengan banyak, dan pemberian kecil mereka tidak akan membuat sebarang perbezaan. Mother Teresa melawan corak berfikir sedemikian dengan berkata:

“Kehidupan yang tidak digunakan untuk orang lain bukanlah kehidupan.”

Jika ada seseorang yang benar-benar mengamalkan gaya hidup memberi, orang itu ialah Mother Teresa.

Pemimpin kadangkala memberi dengan kos pengorbanan diri yang besar. Mahatma Gandhi kehilangan nyawanya demi perjuangannya. Begitu juga dengan Martin Luther King. Tetapi legasi kepimpinan mereka hidup selama-lamanya.

Bagaimanapun, hari ini kita melihat suatu bentuk kepimpinan yang berbeza iaitu yang tidak habis-habis menerima. Dalam filem Wall Street, Gordon Gekkober berkata “ketamakan adalah bagus”. Ini menunjukkan kenapa tindakan menerima kini adalah mantera kepimpinan yang baharu.

Jurnal Wall Street pula mengutarakan bahawa ‘budaya ketamakan’ adalah punca krisis kewangan kebelakangan ini. Pelabur juta-jutawan, Stephen Jarislowsky, juga menekankan bahawa ‘ketamakan yang melampau’ harus dipersalahkan untuk krisis tersebut. Ini jelas kelihatan apabila kita tetap membaca tentang pemimpin sesebuah syarikat yang kian menjadi kaya walaupun syarikatnya berada di ambang kehancuran.

Tiga ciri kepimpinan pemimpin legenda yang menonjol

Apabila kita menerokai penyelidikan baharu mengenai ‘pemimpin-pemimpin legenda’, berikut adalah tiga ciri kepimpinan yang menonjol:

  • Mengejar kesignifikan (orang) dan bukannya kejayaan (keuntungan). Mereka menghargai orang – keluarga, pekerja dan pelanggan. Mereka membuat keputusan berdasarkan kesan ke atas pihak-pihak berkepentingan yang utama.
  • Membuat sesuatu kerana melayani tujuan dan bukan semata-mata untuk mencapai keputusan. Pemimpin-pemimpin legenda menahan tekanan untuk menikmati kepuasan segera dan menumpukan kepada tujuan jangka panjang. Mereka menilai produk dan perkhidmatan baharu berdasarkan keperluan pasaran serta bagaimana ia mampu meningkatkan kehidupan penggunanya.
  • Pemimpin-pemimpin legenda memberi tumpuan kepada “apa yang boleh saya berikan?” dan bukan “apa yang boleh saya terima?” Mereka mengikuti falsafah berkelimpahan. Mereka bukan berjuang untuk mendapatkan potongan kek yang lebih besar, tetapi bekerja untuk menjadikan kek tersebut lebih besar.

Ketiga-tiga sifat tersebut menunjukkan ciri-ciri seorang pemimpin yang memberi. Ini bertentangan dengan Gordon Gekko dalam Wall Street. Mereka menumpukan perhatian kepada orang dan bukannya keuntungan. Mereka mementingkan tujuan jangka panjang yang akan membawa kebaikan kepada masyarakat. Yang menariknya, keusahawanan sosiallah yang menumpukan kepada kesignifikan dan memastikan kesannya terhadap masyarakat. Organisasi-organisasi inilah yang akhirnya membuka pasaran baharu di dalam proses tersebut.

Misi berkhidmat kepada masyarakat

Tidak lama sebelum ini, saya telah dijemput untuk menjadi salah seorang hakim bagi rancangan realiti TV3, Sejuta Impian, yang bertujuan membantu rakyat Malaysia untuk memenuhi ‘impian’ mereka asalkan impian tersebut membawa kebaikan kepada masyarakat.

Saya sungguh kagum dengan pembentangan impian kesemua 92 peserta peringkat akhir untuk mendapatkan pendanaan. Mereka bersungguh-sungguh ingin membuat sesuatu untuk masyarakat. Yang lebih menarik lagi adalah kewujudan keusahawanan sosial seperti cendawan dengan misi sosial yang jelas dan rancangan yang padu untuk terus mampan dan meraih keuntungan.

Organisasi yang ‘memberi’

Semakin banyak organisasi hari ini beralih daripada ‘mengejar keuntungan’ kepada misi-misi ‘berkhidmat kepada masyarakat’. General Electric menceburi kehijauan alam dengan misi ‘eko-imaginasi’; Google dengan misi ‘tidak melakukan kejahatan’; manakala misi sosial AirAsia pula adalah memastikan “semua orang boleh terbang”. Semakin banyak organisasi mula sedar bahawa amalan memberi menjamin pulangan yang besar, justeru itu mereka kini mengubah tumpuan daripada hanya meraih keuntungan kepada misi yang berasaskan kemasyarakatan.

Keusahawanan sosial dan syarikat-syarikat yang ‘memberi’ bukan sekadar menderma wang dan hadiah sahaja. Mereka memberi semula kepada masyarakat untuk menjadikan dunia ini lebih baik, serta melibatkan diri dengan pihak-pihak berkepentingan dan masyarakat setempat. Mereka memberi semula kepada pekerja mereka melalui amalan-amalan kerja yang lebih baik.

Syarikat-syarikat yang mempertimbangkan pihak-pihak berkepentingan dan masyarakat setempat secara konsisten menunjukkan peningkatan prestasi sebanyak dua kali ganda daripada S&P 500 sejak 15 tahun yang lalu (Schmidt, 2000). Keputusan tersebut disahkan Universiti Harvard, yang mendapati syarikat-syarikat yang ‘berasaskan kemasyarakatan’ menunjukkan peningkatan sebanyak empat kali ganda dan kadar pengambilan pekerja meningkat sebanyak lapan kali ganda apabila dibandingkan dengan syarikat-syarikat yang mementingkan pemegang-pemegang saham semata-mata (Universiti Harvard, 2000).

Organisasi yang ‘memberi’ lebih beruntung

Mengapakah syarikat-syarikat yang ‘memberi’ menunjukkan prestasi yang mengatasi organisasi-organisasi yang mementingkan ‘peningkatan nilai pelabur’ secara tradisional? C.K. Prahalad, dalam bukunya yang berjudul The Fortune at the Bottom of the Pyramid (Harta Kekayaan Di Bawah Piramid), mencabar syarikat-syarikat besar dengan memaparkan bahawa keuntungan yang lebih boleh diraih dengan menumpukan kepada mereka yang bergaji serendah $2 sehari.

Dia menunjukkan bagaimana keusahawanan sosial yang memberi tumpuan kepada orang miskin dan isu-isu sosial yang lain memperoleh keuntungan yang lebih signifikan daripada syarikat-syarikat besar. Bank Grameen di Bangladesh mengatasi semua bank yang lain. Tetapi misi utama mereka adalah berkhidmat kepada orang miskin, bukan meningkatkan nilai pemegang saham.

Perniagaan tradisional bersaing dari segi harga, tahap kualiti ataupun perkhidmatan manakala agensi-agensi bukan kerajaan (NGO) sering menggunakan nilai perkhidmatan atau faedah masyarakat sebagai kelebihan daya saing mereka.

Keusahawanan sosial pula mengambil kesempatan kedua-dua kelebihan daya saing ini, tetapi turut menekankan khidmat sosial yang boleh digunakan untuk tujuan persaingan seperti memberi bantuan kepada masyarakat, identiti jenama yang lebih unggul, komitmen pelanggan terhadap perjuangan sosial mereka, dan penglibatan pekerja.

Tidak ada perkara yang mampu menyatukan orang ramai (terutama sekali para pekerja) sebaik kerjasama untuk berkhidmat kepada masyarakat. ‘Memberi’ akan membuat para pekerja anda berasa teruja dan menguatkan semangat mereka untuk mencapai tujuan syarikat sehingga menjamin prestasi dan keuntungan yang lebih tinggi.

Pemimpin kanan yang ‘memberi’

Kita sering mendengar cerita-cerita tentang pemimpin yang meninggalkan jawatan ketua pegawai eksekutif untuk mencari sesuatu yang lebih bermakna. Ia adalah fenomena yang ganjil di mana seorang yang sudah berusaha kuat dan kini berada di puncak kerjaya tiba-tiba berasa terdesak untuk ‘memberi semula’.

Peter Lynch berada di puncak kerjayanya bersama Tabung Fidelity Magellan ketika dia tergerak untuk meninggalkan pekerjaannya untuk memulakan dana dermawan. Begitu juga dengan Bill Gates, Carnegie dan Rockfeller.

Mengapakah fenomena ‘memberi’ mengambil tempat pada fasa akhir kerjaya seseorang?

Memberi adalah mudah. Memberi bukan hanya bermakna menyediakan bantuan kewangan. Pemimpin-pemimpin terbaik percaya bahawa “anda akan menerima yang terbaik daripada orang lain apabila memberi yang terbaik daripada diri anda” dan mereka mula memberi sejak dari usia yang muda lagi.

Tiga cara mudah memberi dalam kehidupan harian

Jadi, bagaimanakah pemimpin dalam dunia bisnes melibatkan diri dalam usaha memberi sepanjang kerjaya mereka? Berikut adalah tiga cara mudah yang boleh kita lakukan dalam proses memberi semula.

  • Mendengar – Ihsan terbaik yang boleh diberikan seorang pemimpin adalah mendengar. Setiap orang ingin didengar. Masalahnya adalah bahawa kebanyakan pemimpin tidak mempunyai masa untuk mendengar dan memberi telinga empati kepada rakan sekerja, tenaga pekerja, pembekal dan pelanggan mereka. Anda pasti terkejut dengan informasi dan idea-idea yang akan anda terima dengan mendengar kepada mereka.
  • Memberi maklum balas kepada pekerja – Pemimpin yang berani tahu bahawa memberi dan menerima maklum balas di dalam perbualan adalah diperlukan untuk menginspirasikan hubungan. Sebanyak 70% daripada pekerja merasa mereka kurang mendapat maklum balas dan masa berinteraksi dengan majikan mereka. Maklum balas positif dan membina juga adalah kurang. Kebanyakan orang melihat penilaian prestasi sebagai proses yang teruk untuk memberi maklum balas. Secara peribadi, saya bergelut dengan perkara ini kerana ia sangat memakan masa, tetapi semakin banyak maklum balas yang anda berikan, semakin baiklah pencapaian pasukan anda.
  • Membina orang lain – Kepimpinan bukanlah anjakan untuk memanipulasi orang lain tetapi untuk membina mereka. Legasi seorang pemimpin bukan dikira melalui pencapaian, tetapi tindakan melatih pengganti yang akan mencapai kejayaan yang lebih baik. Sekiranya anda ingin berjaya sebagai seorang pemimpin, tumpukan kepada apa yang boleh anda lakukan untuk orang lain dan bukan kepada apa yang boleh anda terima daripada mereka. Ajar, latih dan mentor pekerja anda. Sebagai balasan, mereka akan mencecah tahap kejayaan yang melebihi tahap anda.

Akhir kata

Memberi adalah terhad apabila anda memberikan harta milik anda. Tetapi apabila anda memberi diri, baharulah anda benar-benar memberi dan mendapat ganjarannya. Seperti yang dikatakan Albert Einstein:

“Nilai seorang manusia terletak pada apa yang diberinya dan bukan apa yang boleh diterimanya.”

Jadilah pemimpin yang murah hati – selalulah memberi kepada orang lain.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Are You A Giver Or Receiver?

 

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Pengurusan

RPM Pengurusan Kapasiti

Oleh Julie Funt. Mengutamakan kualiti tertentu boleh membantu pasukan mengunjurkan komitmen mereka dalam projek yang akan datang. Baca lebih lanjut untuk mengetahui rangka kerja pengurusan kapasiti ini.

Aug 01, 2023 4 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Fokus Pada Perubahan Kecil

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita menumpukan usaha untuk membawa perubahan kecil pada diri. Lama-kelamaan perubahan menyeluruh akan tercapai. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

Jul 19, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest