Strategi Kasih Dalam Kepimpinan Yang Unggul

Feb 24, 2017 8 Minit
kasih, hati

“Kasih itu sabar; kasih itu murah hati; ia tidak cemburu. Ia tidak memegahkan diri dan tidak sombong. Ia tidak melakukan yang tidak sopan dan tidak memburu kepentingan sendiri. Ia tidak cepat marah dan tidak menyimpan kesalahan orang lain. Kasih tidak bersukacita kerana ketidakadilan, ia gembira meraikan kebenaran. Kasih tidak pernah berputus asa, tetapi percayakan segala-galanya, berharap akan segala-galanya, terus-menerus menanggung segala-galanya. Kasih tidak pernah gagal.
– Paulus dari Tarsus  

Apabila suasana kasih menyelubungi Hari Valentine, saya terkenang masa saya berada di apartmen lama saya di Dallas yang terletak berhampiran Love Field, pangkalan syarikat penerbangan ‘cinta’, Southwest. Identiti diri pita Southwest di Bursa Saham New York adalah “LUV”. Southwest adalah syarikat penerbangan terbesar dan satu-satunya syarikat yang meraih keuntungan dengan konsisten walaupun sewaktu melalui masa huru-hara. Model kejayaan Southwest telah memberi inspirasi kepada banyak organisasi termasuk AirAsia.

Yang menakjubkan sekali ialah pengasas dan mantan pemimpin Southwest, Herb Kelleher, membina bisnesnya atas dasar kasih. Pada penghujung kerjayanya, Kelleher berkata kasih adalah penyebab keunggulan Southwest.

“Jika anda inginkan kejayaan yang berterusan untuk bisnes anda, layani pekerja-pekerja anda seperti keluarga dan Pimpinlah Dengan Kasih.”

Kelleher melantik Colleen Barrett, yang memulakan kerjayanya sebagai seorang setiausaha undang-undang, sebagai penggantinya, kerana “beliau tahu bagaimana untuk mengasihi orang untuk mencapai kejayaan”. Menurut Barrett, beliau menghabiskan 85% daripada masanya bersama-sama tenaga kerja. Kelleher menambah, “… penerapan kasih sayang merupakan ramuan yang penting, tetapi sering diabaikan dalam mana-mana suasana bisnes”.

Ini adalah sesuatu yang menarik. Jarang sekali kasih ditonjolkan sebagai kecekapan kepimpinan. Namun, kekurangan kasih pada umumnya mengakibatkan kegagalan dalam kepimipinan.

Kita mahu pelanggan kita mengasihi kita dan produk kita. Kita mahu pekerja kita mengasihi pekerjaan dan syarikat mereka. Namun, apabila kita bercakap mengenai kepimpinan, kita mengabaikan unsur kasih. “Ia mungkin kedengaran sedikit pelik,” kata Ken Blanchard, pakar kepimpinan, “tetapi salah satu kunci kepimpinan yang berkesan adalah mengasihi semua orang yang anda pimpin.”

Jadi, kenapakah kasih selalu diabaikan? Ini mungkin kerana kasih biasanya disalahsamakan dengan seks, kecantikan dan bentuk fizik, justeru itu menjadikannya kurang sesuai diperbualkan dalam suasana organisasi. Tambahan pula, kasih adalah sesuatu yang tidak dapat diterangkan, menyebabkan para pemimpin berasa ragu-ragu. Kebanyakan pemimpin bimbang berbicara mengenai kasih kerana percaya ia berkaitan dengan memberi pelukan, bercakap dengan lemah-lembut atau seolah-olah berpegang tangan mengelilingi unggun api sambil menyanyi lagu “Rasa Sayang”.

Tetapi apa yang dimaksudkan oleh Kelleher apabila beliau berkata “memimpin dengan kasih” ialah benar-benar mengambil tahu, melayani dan mengasihi pekerja dan pelanggan kita. “Kami tidak pernah menamatkan perkhidmatan pekerja kami,” kata Kelleher. “Pekerja kami tahu bahawa jika mereka sakit, kami akan menjaga mereka. Jika mereka mengalami peristiwa-peristiwa yang sedih atau gembira, kami pasti akan bersama mereka. Kami menghargai mereka sebagai insan, bukan alat atau mesin,” tambahnya.

Kelleher benar-benar mengasihi para pekerja dan pelanggannya. Beliau mengenali mereka semua dan nama mereka masing-masing. Beliau juga mengambil berat tentang kesejahteraan mereka tanpa meletakkan diri atas segala-galanya.

Walaupun Southwest adalah syarikat penerbangan kos rendah tetapi gaji tenaga kerjanya adalah setaraf dengan syarikat penerbangan lain. Dan kerana produktiviti pekerja mereka kekal di tangga tertinggi, ia boleh menawarkan tiket pada harga yang rendah.

Juruterbang Southwest menghabiskan lebih banyak masa di udara berbanding masa di darat. Pesawat-pesawatnya boleh terbang semula dalam masa 20 minit berbanding penerbangan lain yang bergelut dengan hal ini. Penerbangan jarak dekatnya lebih jimat tenaga berbanding penerbangan jarak jauh kebanyakan syarikat penerbangan yang besar. Oleh kerana pemimpin Southwest mengasihi pekerja mereka dan mempunyai strategi ‘kasih’, pekerja mereka selalu menjalankan tugas mereka dengan baik.

Satu lagi contoh pengamal kasih yang berjaya ialah Mark Cuban, pemilik Dallas Maverick NBA. Oleh kerana beliau selalu berusaha memberi kasih penuh kepada pelanggan-pelanggannya, Mark kini adalah seorang jutawan. Apabila timbul sebarang sesuatu yang berkaitan dengan pelanggan-pelanggannya, Mark dengan bersungguh-sungguh akan memastikan bahawa pelanggan-pelanggannya berasa gembira dan puas hati walaupun ini mungkin bermakna beliau dan tenaga kerjanya perlu bekerja 24 jam untuk berbuat demikian.

Berkaitan: Siapa Lipat Payung Terjun Anda

Strategi kasih untuk bisnes

Menurut Patch Adams, seorang pakar ‘kasih’, setiap organisasi memerlukan ‘strategi kasih’ kerana ia memberikan Pulangan untuk Pelaburan (ROI) yang lebih baik daripada apa-apa bentuk pelaburan yang lain. Penyelidikan terbaharu menunjukkan bahawa pemimpin yang menggabungkan kasih ke dalam pekerjaan mereka lebih berjaya daripada mereka yang memimpin dengan mempergunakan ketakutan.

Pemimpin yang hebat didorong oleh kasih – mereka mengasihi apa yang mereka lakukan dan orang yang bekerja dengan mereka. Indra Nyooyi, Ketua Pegawai Eksekutif PepsiCo, mencipta semula Pepsi dengan memberi nafas baru kepada soal-soal berhubung kemanusiaan dan alam sekitaran, justeru itu mendorong PepsiCo menjadi “syarikat hijau” iaitu organisasi yang mementingkan perihal persekitaran.

Kebanyakan pemimpin bisnes enggan menerima kasih sebagai strategi bisnes kerana mereka sudah biasa percaya bahawa kepimpinan bermaksud bersikap gagah, agresif dan tidak menjalin persahabatan dengan rakan sekerja. Mereka percaya kasih adalah untuk yang pengecut dan sekiranya mereka berbaik-baik dengan rakan sekerja, mereka akan dianggap sebagai pemimpin yang lembut dan ini akan mengakibatkan mereka kehilangan cengkaman kepimpinan.

Tidak ada apa-apa yang lebih jauh daripada kebenaran. Pemimpin yang mengasihi pekerja-pekerja lebih cenderung mendorong mereka untuk melaksanakan kerja yang sesuai dengan potensi masing-masing dan dengan diberi maklum balas yang jujur. Mereka secara konsisten akan menaikkan garisan kecemerlangan, sama seperti seorang ibu atau bapa yang sukakan apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka, mendisiplinkan mereka dan memastikan anak-anak mereka tabah menghadapi kesukaran supaya mereka boleh belajar dan berkembang.

Milton Mayeroff percaya bahawa kasih adalah “promosi pertumbuhan orang lain tanpa mementingkan diri kita sendiri”.

Kasih adalah tindakan

Kasih bukan apa yang anda katakan atau rasakan tetapi apa yang anda lakukan. Kepimpinan Mahatma Gandhi didorong oleh kesungguhan dan tindakan. Beliau hidup dengan merendahkan diri kerana beliau mengasihi orang lain dan mahu melibatkan diri dengan semua lapisan masyarakat.

Kasih adalah tindakan. Kasih membawa kepada pemikiran yang positif; pemikiran kepada kata-kata dan kata-kata kepada tindakan. Emosi yang negatif boleh memusnahkan sesebuah organisasi. Humberto Maturana, seorang ahli biologi yang terkenal, menyatakan bahawa kasih adalah satu-satunya emosi manusia yang secara konsisten menghasilkan tindakan yang produktif dan bijak. Pemimpin tidak boleh mengabaikan perasaan kerana kepimpinan adalah emosi yang berurusan dengan impian, semangat, inspirasi dan kasih.

Tetapi bertentangan dengan kasih adalah kebencian. Kebencian memaparkan diri melalui ketakutan. Ketakutan mengekang perilaku. Kasih pula membebaskannya. Ketakutan membendung keusahawanan, melemaskan kreativiti, dan menghalang orang daripada meregang dan berkembang. Ketakutan mendorong pematuhan tetapi tidak mendorong komitmen.

Malangnya, kebanyakan amalan kepimpinan kita mendorong ketakutan dan ini sudah sedia berakar umbi dalam struktur serta budaya kerja kita.

Kasih membawa kejayaan

Jurulatih legendaris bola keranjang, John Wooden, yang memegang rekod 10 anugerah NCAA, menganggap kasih sebagai “perkara yang paling berkuasa pernah wujud.” Kasih membekal tenaga kepada kerjayanya sebagai jurulatih. Beliau berkata, “Pemain anda mesti tahu bahawa anda mengambil berat tentang mereka lebih daripada sekadar sebagai atlet. Mereka memang tahu mereka ada di sana kerana keupayaan keolahragawan mereka. Tetapi apabila mereka berada di bawah pengawasan anda, maka terpulanglah kepada anda untuk memastikan bahawa mereka tahu anda mengambil berat tentang mereka sebagai individu. Saya tidak pernah mempunyai seorang pun yang saya tidak kasihi.”

Wooden pasti belajar ini daripada Seni Perang (The Art of War) Sun Tzu – “Dia yang mengasihi mereka sebagai anak-anak sendiri akan merangsangkan mereka supaya terus berjuang bersama biarpun sampai ke lembah yang paling dalam.”

Kajian menunjukkan bahawa kasih lebih berkesan dalam memacu perubahan budaya organisasi daripada kenyataan berwawasan atau matlamat yang cemerlang. Malah pemimpin yang tegas seperti Rudy Giuliani, mantan Datuk Bandar Bandaraya New York, juga percaya bahawa “jangan jadi pemimpin jika anda tidak mengasihi orang.”

Dalam mengkaji pemimpin yang berjaya, kami mendapati bahawa kejayaan sesebuah organisasi adalah didorong oleh kualiti hubungan kasih dalam organisasi berkenaan. Hubungan kasih ini dilihat melalui pemaparan tingkah laku seperti belas kasihan, komitmen, mengambil berat, kebaikan, refleksi, gerak hati, keterangkuman dan pengampunan.

Seorang pemimpin yang terkemuka, John Hope Bryant, yang merupakan pengasas Operasi HOPE, percaya terdapat empat hukum kepimpinan berasaskan kasih untuk bisnes:

  • Ketakutan melumpuhkan. Memimpin dengan mempergunakan ketakutan adalah cara yang kuno dan melumpuhkan. Kasih sayang adalah penawar untuk ketakutan.
  • Kasih menguntungkan. Hubungan kasih yang terjalin dengan pelanggan dan pekerja akan memanfaatkan semua orang dalam jangka panjang.
  • Keterbukaan diri adalah kuasa. Apabila anda mengamalkan sikap terbuka dengan orang lain, mereka juga akan berbuat sedemikian dengan anda.
  • Memberi adalah menerima. Memberi akan mengilhamkan kesetiaan dan memberikan kekayaan sebenar.

Rockefeller yang dianggap sebagai orang terkaya pernah hidup dimotivasi oleh kasih dan percaya bahawa adalah lebih hebat untuk memberi daripada menerima. Orang lain tertarik kepadanya kerana beliau suka memberi. Beliau kemudian menggunakan kekayaannya untuk membina universiti dan membiayai pelbagai usaha murni.

Kasih dalam tentera

Sesuatu yang menghairankan ialah tahap kepercayaan yang tinggi terhadap pemimpin-pemimpin tentera. Kebanyakan orang menyangka ketakutan adalah gaya kepimpinan yang dominan tetapi menurut kolonel bersara Scott Snook, ia sebenarnya adalah kasih. Tambahnya, “kasih yang mendalam dan rasa hormat terhadap seseorang komrad” adalah sifat yang paling penting dalam medan pertempuran.

Pakar-pakar sosiologi Shils dan Janowitz telah menjalankan kajian untuk memahami kenapa askar-askar berjuang sehingga mati. Kesimpulan mereka adalah seorang askar akan terus berjuang bermati-matian walaupun mereka telah kalah dalam pertempuran “selagi dia memberi kasih kepada dan menerima kasih daripada ahli-ahli lain dalam skuadnya.”

Askar-askar saling kasih-mengasihi dan bersedia untuk mengorbankan nyawa untuk satu sama lain. Jika kasih boleh menjadi batu uji kepimpinan dalam kerjaya yang penuh keganasan seperti tentera, mengapa ia tidak boleh diterapkan dalam dunia bisnes?

Snook menambah, bahkan semasa latihan ketenteraan di West Point, kasih tetap ditekankan secara berterusan: Kasih terhadap negara, kasih terhadap rakan sekelas dan kawan-kawan, kasihi pegawai-pegawai yang anda bakal berkhidmat dengan, serta kasihi askar-askar yang suatu hari nanti anda akan pimpin. Komander yang hebat mengasihi askar-askar mereka dan mengutamakan kesejahteraan mereka.

Akhir kata

Berikut adalah tujuh soalan untuk membantu anda memupuk kasih sayang dalam organisasi anda, dan memulakan perjalanan sebagai pemimpin yang berasaskan kasih:

  • Bilakah kali terakhir anda melakukan sesuatu kebaikan yang tidak disangka-sangka untuk seseorang di tempat kerja?
  • Bilakah kali terakhir anda mengucapkan terima kasih atau mengiktiraf seseorang untuk usaha istimewa yang mereka lakukan bagi syarikat anda?
  • Siapakah yang anda terlepas pandang untuk mengucapkan terima kasih atas usahanya yang amat berguna terutama sekali dalam menolong anda baru-baru ini?
  • Siapakah yang telah membuat kerja tambahan (contohnya bekerja lewat atau melakukan kerja di luar batas tanggungjawabnya) yang anda telah terlepas pandang?
  • Apakah perkara yang anda boleh lakukan dengan lebih kerap untuk meningkatkan suasana “kasih” di tempat kerja anda?
  • Apakah tindakan yang boleh anda ambil untuk benar-benar ‘mengasihi’ pelanggan anda? (Bukan tindakan yang bermotifkan alasan-alasan bisnes dan pemasaran)
  • Apakah yang boleh anda lakukan untuk membawa keriangan dan kegembiraan di tempat kerja?

Tentera unggul Mejar Jeneral John Stanford, yang dikenali kerana kesetiaan luar biasanya terhadap angkatan tenteranya, mendakwa bahawa “Kunci kepada kejayaan adalah hidup dengan penuh kasih sayang. Perasaan ini akan merangsangkan anda untuk menggalakkan orang lain. Seseorang yang tidak mengenali kasih tidak akan berasa keseronokan yang membantunya untuk memimpin orang lain. Saya tidak tahu apa-apa rangsangan lain atau sebarang apa pun yang lebih menyeronokkan dan positif selain daripada rasa kasih.”

Ramai di antara kita semestinya masih ingat akan kegembiraan yang mengasyikkan semasa kita jatuh cinta dan bercinta. Kita memerlukan tenaga seperti itu di tempat kerja kita juga. Kepimpinan adalah suatu urusan hati.

Kasih bermula dengan anda. Anda perlu tanya diri dan memutuskan bahawa pekerja dan organisasi anda berhak mempunyai pemimpin yang berani dan yang mengasihi mereka.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik What’s Your Love Strategy?

 

 

Sila Kongsi

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Cadangan Buat Kamu

Pemimpin

Mengapa Anda Perlu Tahu Bila dan Bagaimana untuk Berundur?

Oleh Michelle Gibbings. Pemimpin boleh kekal terlalu lama, merosakkan legasi dan organisasi mereka. Ketahui mengapa mengetahui tarikh luput anda adalah penting.

Sep 03, 2024 4 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Akui Kesilapan Di Tempat Kerja: 10 Cara Terbaik

Kita tidak boleh lari dari kesilapan. Biarpun naluri kita akan lazimnya mempertahankan diri tetapi sekiranya kita bersalah, akuilah kesilapan itu. Tontoni video TOP 10 untuk belajar cara-cara mengakui kesilapan di tempat kerja.

Aug 09, 2017 8 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest