

Oleh NURULATIKA YUNUS
Adakah pekerjaan yang kita miliki harus sealiran dengan bidang yang diambil ketika di universiti?
Secara peribadi jikalau dilihat pada pekerjaan saya yang sekarang memang sangatlah berbeza dengan apa yang dipelajari semasa di universiti. Oleh itu, saya kurang bersetuju bahawa pekerjaan harus selari dengan apa yang diambil semasa di universiti dulu.
Kalau boleh kita memang mahu punya pekerjaan yang sama dengan bidang yang diambil semasa belajar, tetapi rezeki akan datang itu kita tidak pasti.
Bagi saya apa pun pekerjaan yang dilakukan asalkan ia menghasilkan pendapatan serta rezeki yang kita dapat itu bermanfaat dan halal. Kalau kita cari pekerjaan yang sempurna sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat kerja.
Mengapa kebanyakkan orang berfikiran bahawa setiap pekerjaan itu harus selari dengan bidang yang diambil ketika di universiti?
Hal ini demikian kerana merasakan belajar selama 3 – 5 tahun itu adalah sia-sia sekiranya ijazah yang dimiliki tidak dapat digunakan. Ataupun berasa sia-sia kerana sudah buang masa belajar begitu lama tetapi ternyata pekerjaan yang diperoleh adalah lain.
Seharusnya kita ubah corak pemikiran kita tentang belajar, kerana saya juga punya pemikiran yang sama dimana kita belajar dengan harapan akan mempunyai pekerjaan yang baik.
Dan kebanyakkan kita memilih jurusan kerana melihat kepada prospek pekerjaan, kita hanya memilih bidang yang mempunyai prospek pekerjaan diluar. Hal ini kerana ketakutan dalam diri bahawa kita tidak akan mendapat pekerjaan pada masa akan datang.
Mungkin ramai yang kata bahawa sia-sia saya belajar tetapi akhirnya saya mengambil keputusan untuk tidak memilih pekerjaan selari dengan bidang yang diambil. Tetapi bagi saya segala ilmu yang dipelajari semasa di universiti itu sedikit pun adalah tidak sia-sia.
Pertama sekali kenapa saya rasa belajar psikologi itu adalah bukan perkara yang sia-sia?
Sebab sekurang-kurangnya saya mempunyai pengetahuan tentang psikologi yang kebanyakkan orang tidak tahu.
Pemikiran saya in terms of psychology lebih kritis misalnya seperti psikologi perkembangan kanak-kanak, pengetahuan tentang kanak-kanak dalam keluarga bermasalah, psikologi abnormal dan asas perubahan tingkah laku. Sifat ingin tahu itu lebih cenderung kepada psikologi.
Apa yang saya belajar ketika di universiti itulah yang membentuk peribadi diri saya yang sekarang. Saya menjadi seorang yang peka dengan perkembangan kanak-kanak, mula menyampaikan ilmu berkaitan dengan keibubapaan di blog dan berkongsi pengalaman ketika berada di universiti.
Jadi saya merasakan bahawa saya tidak belajar sia-sia, tidak rugi waktu dan wang kerana ilmu apapun yang dipelajari suatu hari nanti pasti akan memberi manfaat kepada diri kita dan orang lain.
Adakah pekerjaan harus dilakukan hanya setelah kita habis belajar atau menerima ijazah?
Saya mula bekerja ketika berumur 14 tahun. Saya bekerja di kilang. Itupun secara kerja sambilan dan semasa cuti sekolah. Sejak dari itu saya mula mencari kerja-kerja sambilan setiap kali cuti sekolah. Antara kerja yang saya pernah buat adalah juruwang di sebuah supermarket, kerja kilang, jurujual, dan promoter. Malah sehinggalah saya di universiti saya masih melakukan kerja sambilan sebagai housekeeping di sebuah homestay.
Adakah seseorang harus mempunyai pekerjaan yang jelas barulah dia dianggap mempunyai pekerjaan?
Misalnya jadi blogger sepenuh masa tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap ataupun menjual barang secara online juga tidak mempunyai pendapatan yang tetap. Malahan ada orang yang bekerja online mempunyai pendapatan yang jauh lebih tinggi berbanding dengan orang yang bekerja makan gaji setiap bulan. Semuanya bergantung dengan usaha dan kerajinan kita.
Sekiranya dapat job review, dapat bayaran jadi tunjukkan bukti pada mereka inilah hasil anda sepanjang berblog. Mulanya mereka mungkin rasa pekerjaan kita itu tidak menjamin masa depan, tetapi sekiranya kita betul-betul jujur dan yakin dengan apa yang kita buat, InsyaAllah mereka pasti akan menerimanya.
Belajar dan bekerja dua perkara yang berbeza. Apa yang kita belajar mungkin tak akan sama dengan kerja. Walaupun bekerja di bidang yang sama dengan bidang belajar, kita tetap juga akan rasa kejutannya.
Jangan sesekali katakan apa yang kita belajar itu salah atau sia-sia.
Dengan ilmu psikologi inilah keluarga saya lebih memahami tentang maksud kanak-kanak OKU yang sebenar. Dengan belajar psikologi inilah saya dapat berkongsi pengalaman dengan orang lain, pengalaman sepanjang 3 tahun saya belajar di Universiti Malaysia Sabah.
Mungkin seseorang individu tidak dapat menyambung pelajaran ke tahap lebih tinggi, mungkin itu adalah rezeki dia kerana dia mungkin lebih berjaya apabila bekerja selepas habis SPM. Rezeki setiap individu tidak sama.
Jangan merasa kecewa dan tidak bersemangat jika mendapat pekerjaan yang luar dari bidang. Apa yang dipelajari tetap boleh digunakan dalam keadaan lain, kerana belajar itu proses seumur hidup.
Berfikirlah secara bijak dan berfikir diluar kotak. Gunakan ilmu yang kita ada untuk cipta pekerjaan baharu. Tidak mungkin seumur hidup kita hanya mahu bekerja dibawah orang sahaja?
Sedangkan orang yang makan gaji pun ada yang cari sumber pendapatan lain. Bukan sebab gaji tidak mencukupi, tetapi kepuasan bekerja setiap orang itu adalah tidak sama.
Diterbitkan dengan kebenaran. Untuk berhubung dengan lebih lanjut, email editor@leaderonomics.com