Amalan Berpuasa Dan Kepimpinan: Satu Refleksi

Jun 15, 2017 1 Minit
disiplin, amanah, keazaman

Pada bulan Ramadhan yang mulia, semua umat Islam di seluruh dunia menunaikan ibadah puasa iaitu salah satu daripada lima rukun Islam. Amalan berpuasa juga wujud dalam beberapa agama yang lain, antaranya Buddha, Hindu, Janism, Judaism dan Kristian.

Amalan berpuasa dipercayai sebagai salah satu amal ibadat yang mendekatkan umat manusia dengan Tuhan.  Umat yang berpuasa menekankan juga bahawa berpuasa tidak bererti hanya menahan diri daripada makan dan minum. Mereka juga perlu menjauhkan diri daripada hawa nafsu dan perkara-perkara negatif yang ditegah dalam kepercayaan masing-masing sambil beramal ibadat untuk mendekatkan sanubari dengan Maha Pencipta.

Amalan berpuasa dan disiplin

Dalam amalan berpuasa, pengamalnya dikehendaki mempunyai disiplin diri yang tinggi. Keupayaan menahan lapar dan dahaga, mengawal tingkah laku, percakapan, pemikiran dan niat dalam diri merupakan perkara yang menuntut tahap disiplin yang tinggi. Tahap disiplin yang tinggi ini disulami dengan perasaan kasih akan ciptaan Tuhan dan bersangka baik.  

Berpuasa juga menyedarkan pengamalnya kepada kehidupan sukar yang dilalui oleh orang yang kurang berkemampuan.  Ia memberi peluang kepada mereka yang berpuasa untuk mengalami bersama kehidupan serba kekurangan ini. Hasilnya, diharap mereka akan insaf dan bersyukur dengan kehidupan mereka serta bersifat murah hati dan belas kasihan terhadap golongan yang papa kedana. 

Selain daripada kebaikan berbentuk kerohanian, dunia perubatan mendapati bahawa berpuasa mendatangkan banyak faedah kepada kesihatan diri seseorang yang mengamalkannya.

Konsep puasa dan kepimpinan

Kita boleh membuat refleksi terhadap konsep puasa ini dalam perbandingannya dengan kepimpinan.  

Seseorang pemimpin perlu mengamalkan tahap disiplin yang tinggi dalam menjalankan tugas dan amanahnya.  Seperti amalan mengelak daripada makan minum dan mengawal hawa nafsu semasa berpuasa, pemimpin juga perlu mengelakkan daripada perbuatan yang negatif dalam kepimpinannya. Amalan seperti rasuah, menyalahgunakan dana dan kuasa, amalan nepostisme dan kronisme adalah antara perkara yang sering kali kita dengar membelenggu dunia kepimpinan.  

Seperti seseorang yang berpuasa, pemimpin yang memikul tanggungjawab kepimpinan perlu menjauhi dan mengelakkan kesemua perkara yang negatif ini bukan untuk satu tempoh tertentu tetapi dielakkan sama sekali sepanjang tempoh dia menggalas tanggungjawab kepimpinan.

Mengelak perasaan buruk sangka

Dalam amalan berpuasa, perasaan prasangka dan buruk sangka terhadap orang lain perlu dijauhi sama sekali. Perasaan yang negatif ini dipercayai membawa kesan dalam sanubari seseorang dan menjauhkannya daripada Tuhan.  

Begitu juga analoginya dalam kepimpinan. Seseorang pemimpin yang diberikan tanggungjawab menerajui sesebuah organisasi atau pertubuhan perlu mengelakkan perasaan buruk sangka terhadap orang lain, khususnya staf yang dipimpin.

Mengamalkan perasaan benci, dendam atau prasangka terhadap staf oleh seseorang pemimpin sudah tentu mengundang pelbagai jenis masalah dan menjejaskan keharmonian dalam organisasi. Berbaik sangka terhadap staf akan membawa perasaan gembira dalam kalangan staf yang seterusnya mampu melonjakkan prestasi kerja dan organisasi keseluruhannya.  

Suri teladan

Seseorang ketua keluarga yang berpuasa memberikan teladan kepada anak-anaknya tentang amalan yang betul mengikut pegangan dan kepercayaan yang dianuti keluarga. Anak-anak memerhati tingkah laku bapa atau emak dan menjadikannya sebagai landasan untuk diteladani.  

Seseorang bapa yang mahu mengajak anak-anaknya berpuasa perlu menunjukkan teladan yang baik dengan mengamalkan ibadah puasa berserta kesemua syarat-syaratnya. Seseorang ketua keluarga mungkin tidak dapat memperoleh keyakinan anak-anaknya jika dia menyeru mereka untuk berpuasa tetapi tidak mengamalkannya sendiri.  

Dalam organisasi pula, seseorang pemimpin perlu mengamalkan perkara yang baik dan menjadi suri teladan kepada staf bawahan. Ada pemimpin yang cukup petah mengarahkan staf berkelakuan baik dan mengamalkan nilai murni tetapi dia sendiri bertindak sebaliknya.

Mana mungkin si anak menghormati arahan bapanya untuk berpuasa jika mendapati bapanya makan secara bersorok.  Begitu juga, mana mungkin seseorang staf mengamalkan nilai murni apabila mendapati pemimpinnya melakukan yang sebaliknya.  

Peranan ketua keluarga yang berpuasa tadi dan pemimpin dalam organisasi hanya akan dihormati jika segala amalan yang disarankan dilakukan dahulu dan menunjukkan teladan yang baik dan betul. Amalan yang negatif akan terbongkar juga lambat laun walaupun dijalankan secara tersembunyi dan ini akan mengikis rasa hormat dan kepercayaan staf bawahan terhadap pemimpin.

Kemampuan mengikut keupayaan

Amalan berpuasa dilakukan oleh penganut sesebuah agama berdasarkan kemampuan. Umpamanya, umur bagi seseorang mula berpuasa mungkin seawal tujuh tahun. Ada juga kanak-kanak yang mampu berpuasa pada umur yang lebih awal. 

Sebagai pemimpin dalam organisasi, tugas yang diamanahkan kepada seseorang pekerja juga perlu dilihat dari pelbagai sudut, umpamanya tempoh staf tersebut bekerja, pengalaman, kematangan dan kecekapan dalam menjalankan tugas. 

Apabila seseorang staf yang baharu diberikan tugas yang jauh melebihi kemampuannya, tugasan itu akan menghasilkan kesan yang tidak baik kepada pekerja tersebut. Kerumitan yang dihadapi besar kemungkinan melemahkan semangat staf berkenaan. Dia mungkin mula menganggap diri serba kekurangan dari segi kebolehan bekerja.

Umpama seseorang anak kecil dipaksa berpuasa tetapi tidak mampu melaksanakannya bukan sahaja akan membawa kemudaratan kepada diri kanak-kanak tersebut tetapi juga berkemungkinan meninggalkan kesan takut atau fobia dalam dirinya.  Sepatutnya anak tersebut diperkenalkan secara berperingkat-peringkat kepada amalan berpuasa dan ditingkatkan keupayaannya sehingga mencapai tahap sepatutnya.   

Begitu juga dalam organisasi, pekerja baharu sepatutnya tidak secara terus dibebani dengan pelbagai tugasan yang berat dan dijadikan tempat longgokan kerja oleh staf yang lebih senior. Pekerja baharu perlu diberikan kerja yang setimpal dengan keupayaanya dan diberikan sokongan dari segi pembinaan kapasiti sehingga mampu melaksanakan tugasan yang lebih berat dan mencabar secara berperingkat-peringkat.  Pemimpin harus menyedari tentang perkara ini sebagai satu amalan yang baik dari segi pengurusan sumber manusia.

Hati nurani

Dalam amalan berpuasa dan juga kepimpinan, faktor hati nurani (conscience) merupakan faktor pengawal yang amat penting. Seseorang yang berpuasa mengetahui bahawa semasa berpuasa dia tidak boleh melakukan perkara yang negatif.  Pendorong kepada perlakuan baik ialah hati nuraninya.  

Begitu juga dalam kepimpinan. Seseorang pemimpin perlu mempunyai hati nurani untuk melakukan amalan yang baik. Kewujudan hati nurani akan memastikan pemimpin bersikap adil dan saksama, penyayang, bertoleransi, membina keyakinan, meniup semangat,   mengutamakan kecemerlangan dan semua perkara dilakukan dengan disiplin diri yang tinggi.

Seseorang yang lemah hati nuraninya mungkin melakukan perkara negatif secara tersembunyi malah ada yang melakukannya secara terbuka tanpa sebarang kawalan.  Makan secara sorok-sorok semasa berpuasa kerana takut akan tindakan pihak tertentu mungkin dapat mengelakkan pelakunya daripada pihak berkenaan tetapi bagaimana pula dari segi hati nuraninya?  

Begitu juga seseorang pemimpin yang melakukan perbuatan yang menyalahi etika dan perundangan secara bersembunyi. Mungkin pemimpin ini boleh memboloskan diri daripada dikesan oleh pihak berkuasa tetapi bagaimana pula dengan hati nuraninya?  Sebagaimana seseorang yang sepatutnya berpuasa diberkas pihak berkuasa semasa makan di khalayak ramai, begitu jugalah halnya dengan pemimpin yang rakus dan tamak akhirnya tersungkur di tangan pengadilan.

Akhir kata

Jelas bahawa peranan pemimpin dalam organisasi perlulah berasaskan disiplin yang tinggi sepertimana seseorang yang berpuasa. Sebagai pemimpin, segala pemikiran, niat dan perlakuan yang negatif perlu dielakkan dan prinsip kebenaran senantiasa diutamakan walau apa pun persekitaran yang dihadapi.

 

Dr. Gurcharan Singh Bishen Singh ialah Pensyarah Kanan Open University Malaysia dalam bidang pengurusan dan kepimpinan pendidikan. Beliau berpengalaman berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia dalam bidang latihan untuk kepemimpinan sekolah dan bakal pemimpin. Beliau boleh dihubungi melalui editor@leaderonomics.com.
Artikel ini adalah pendapat penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan pihak Leaderonomics.

Sila Kongsi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Kepimpinan

Mengapa Belajar adalah Kunci Kepimpinan

Oleh William Arruda. Pembelajaran adalah kawan baik pemimpin dalam dunia yang cepat berubah. Ketahui bagaimana ia adalah senjata rahsia anda untuk berjaya.

Oct 17, 2023 4 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

'Tamparan Idea' ialah podcast Bahasa Melayu yang mengupas topik dan isu semasa berkaitan dengan kepimpinan. Program ini diceriakan oleh Waheeda Hasbullah, seorang pengacara yang sentiasa membawa aura gembira kepada anda semua. Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Akui Kesilapan Di Tempat Kerja: 10 Cara Terbaik

Kita tidak boleh lari dari kesilapan. Biarpun naluri kita akan lazimnya mempertahankan diri tetapi sekiranya kita bersalah, akuilah kesilapan itu. Tontoni video TOP 10 untuk belajar cara-cara mengakui kesilapan di tempat kerja.

Aug 09, 2017 8 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest