Nasihat Gates Buat Graduan Kelas 2017

Jun 16, 2017 6 Minit
graduan, kejayaan

Pada bulan Mei 1996, kira-kira 21 tahun dahulu, saya memperoleh segulung ijazah daripada Universiti Bridgeport dan melangkah masuk ke dunia pekerjaan dengan menyertai General Electric (GE) Capital.

Mengimbas kembali tempoh dua dekad ini, saya percaya kembara kerjaya saya amat menarik dan memberi kepuasan biarpun saya membuat banyak kesilapan dan kecelaruan dalam pelbagai perkara sama seperti orang lain.

Ketika itu, Internet masih pada peringkat awal, dan terdapat hanya sedikit nasihat dan bimbingan kerjaya. Alangkah baiknya kalau pada ketika itu saya dapat menerima kata-kata hikmat yang dikongsikan oleh insan-insan terulung, sebelum mengorak langkah dalam dunia kerjaya.

Fasa hidup yang seterusnya

Pengijazahan merupakan detik yang sangat kritikal dalam kehidupan seseorang. Peranan kita beralih daripada seorang penuntut menjadi pekerja bergaji. 

Keputusan yang besar menanti kita – perlukan kita memulakan perniagaan sendiri atau bekerja untuk sesebuah organisasi? Industri apakah yang perlu kita ceburi? Organisasi manakah yang betul-betul sesuai dengan diri kita? Apakah pekerjaan atau peranan yang perlu kita mohon? Apa yang bakal terjadi sekiranya kita gagal mendapatkan pekerjaan yang bagus? Apa maksud pekerjaan yang bagus?

Terlalu banyak persoalan yang menyelubungi diri. Ditambah pula dengan berbagai-bagai ketidaktentuan, termasuklah keadaan ekonomi semasa, hal ini kadang-kadang menyebabkan graduan universiti yang masih muda berada dalam kegusaran dan tekanan.

Pertemuan dengan bos yang pertama

Saya sangat bertuah kerana bos pertama saya sangat tegas; dia sentiasa memberi nasihat yang keras tetapi praktikal. Dia menggesa saya supaya menceburi fungsi-fungsi kerja yang tidak saya minati.

Dia ‘memaksa’ saya untuk bekerja lebih keras melangkaui kepompong keselesaan, menjadikan kerja yang sukar tampak mudah, dan mengajar saya bahawa tiada ‘kotak’ atau ‘siling’ yang membatasi sesuatu perkara. Saya akan sentiasa menghargai nasihat dan pandangannya.

Menyingkap kata-kata hikmat Gates

Seorang insan yang tidak menamatkan pengajian di universiti tetapi kaya dengan kata-kata hikmat yang amat bernilai ialah Bill Gates, pengasas dan mantan ketua pegawai eksekutif Microsoft. Dia meninggalkan Universiti Harvard semasa dalam tahun kedua di sana dan tidak menamatkan pengajiannya.

Walaupun Gates sendiri bukanlah seorang graduan universiti, baru-baru ini beliau berkongsi nasihat dengan para pelajar yang tamat pengajian pada tahun 2017. Secara peribadi, saya telah banyak membaca artikel yang ditulisnya serta menonton video mengenainya, maka saya yakin nasihat Gates sangat bermanfaat buat penuntut yang menamatkan pengajian universiti pada tahun ini.

Berikut adalah teks penuh nasihat Gates untuk majlis pengijazahan pelajar yang tamat pengajian universiti pada tahun 2017, diperoleh daripada Mic.com.

Tahniah! Kalian baru sahaja mencapai sesuatu yang tidak pernah saya berjaya lakukan — mencapai segulung ijazah daripada universiti.

Saya pasti anda akan menerima banyak nasihat baik daripada pengucaptama majlis pengijazahan mahupun setiap orang dewasa yang hadir untuk meraikan pengijazahan anda. Namun itu, saya ingin berkongsi beberapa perkara dengan anda.

Graduan universiti yang baru tamat pengajian seringkali meminta pendapat saya berhubung kerjaya. Saya bernasib baik kerana semasa umur saya mencecah awal 20-an, revolusi digital baru sahaja mahu berkembang.  Saya dan Paul Allen berpeluang mengambil bahagian dalam pembentukannya. (Inilah sebabnya saya tidak meneruskan pengajian di universiti. Saya bimbang tidak dapat melibatkan diri dalam revolusi digital!)

Tiga bidang yang menguja

Jika saya sedang melangkah ke dunia pekerjaan hari ini dan mencari peluang yang sama untuk membuat impak yang besar di dunia, saya akan memberi pertimbangan kepada tiga bidang.

Pertama ialah kecerdasan buatan (artificial intelligence). Kita baru sahaja mengorak langkah untuk memanfaatkannya dalam pelbagai cara ia akan menjadikan kehidupan seseorang lebih produktif dan kreatif.

Kedua ialah tenaga. Penghasilan tenaga yang bersih, pada kadar yang berpatutan dan boleh dipercayai, sangat penting dalam membendung kemiskinan dan perubahan iklim.

Ketiga ialah biosains. Bidang ini terbuka luas dengan peluang untuk membantu manusia menikmati kehidupan yang lebih lama dengan lebih sihat.

Realiti kehidupan

Tetapi beberapa realiti kehidupan memang benar, tidak kira kerjaya yang anda pilih. Bukankah ia baik sekiranya saya lebih arif tentang beberapa perkara ini semasa saya meninggalkan bangku sekolah. Misalannya, kepintaran tidaklah begitu penting seperti mana saya fikirkan, dan ia wujud dalam berbagai bentuk.

Apabila Microsoft mula-mula ditubuhkan, saya berpendapat bahawa jika seseorang mampu menulis kod dengan hebat, dia mampu untuk mengurus manusia dengan baik atau mengetuai pasukan pemasaran atau memikul apa-apa tugasan. Sangkaan saya meleset. Saya terpaksa menerima hakikat — mengenali dan menghargai bahawa manusia dianugerahkan dengan bakat yang berbeza-beza. Lebih cepat anda sedar akan hal ini, sekiranya masih belum, kehidupan anda akan menjadi lebih bermakna.

Satu lagi perkara yang sepatutnya saya ketahui lebih awal ialah rupa sebenar ketidaksamaan dalam hidup. Saya betul-betul tidak menyedari hal ini, sehingga umur saya mencecah lewat 30-an, apabila saya dan Melinda menjejakkan kaki ke Afrika. Kami sangat terkejut dengan apa yang kami lihat. Sejurus sahaja pulang, lebih banyak yang kami belajar. Fikiran kami berlegar-legar dengan penderitaan berjuta-juta kanak-kanak akibat penyakit yang tidak pernah menjadi kebimbangan negara-negara yang kaya. Kami rasa inilah perkara yang paling tidak adil di dunia. Kami sedar kami tidak boleh berlengah-lengah; kami perlu melakukan sesuatu, iaitu menyumbang kepada masyarakat dengan serta-merta.

Kalian mengetahui lebih banyak perkara berbanding saya semasa umur yang sama. Teknologi membolehkan kalian melihat permasalahan dari sisi yang tidak dapat digarap saya dan rakan-rakan. Kesedaran ini memperkasakan kalian untuk membantu melalui cara yang tidak kami mampu. Kalian boleh menangani ketidaksamaan dengan lebih pantas, sama ada dalam komuniti kalian sendiri atau di mana-mana negara di ceruk dunia.

Insan yang mencabar, mengajar dan mendorong

Sementara itu, saya menggalakkan kalian untuk mengelilingi diri dengan insan yang mencabar, mengajar, dan mendorong kalian menjadi manusia yang terbaik. Melinda melakukan hal yang sama pada saya, dan saya menjadi insan yang lebih baik kerananya. Seperti rakan kami Warren Buffet, saya menilai kebahagiaan dengan melihat sama ada insan yang dekat dengan saya berasa gembira dan menyayangi diri saya, dan melalui perubahan yang saya lakukan dalam kehidupan yang lain.

Jika saya boleh menghadiahkan kalian sesuatu sebagai hadiah pengijazahan, saya akan memberi sebuah buku berjudul ‘The Better Angels of Our Nature’, hasil tulisan Steven Pinker. Setelah beberapa tahun belajar, kalian mungkin tidak begitu teruja untuk membaca naskhah setebal 700 muka surat. Tetapi masukkan buku ini dalam senarai yang akan kalian baca suatu hari nanti. Buku ini merupakan buku yang paling banyak memberi inspirasi, berbanding buku-buku yang pernah saya baca.

Dunia semakin hari semakin baik

Pinker mengemukakan hujah yang meyakinkan, bahawa dunia ini semakin hari semakin baik, bahawa kita tinggal dalam zaman yang paling aman dalam sejarah manusia. Pendapat sebegini sukar untuk diutarakan, terutamanya pada masa sekarang. Apabila kalian memberitahu orang lain bahawa dunia ini berubah ke arah yang lebih baik, mereka akan melihat kalian seolah-olah kalian naif ataupun gila!

Tetapi hal ini benar. Dan apabila kalian memahami hal ini, kalian akan melihat dunia ini dari sisi yang berbeza. Jika kalian berfikir keadaan menjadi semakin baik, maka kalian akan ingin mengetahui perkara yang menghasilkannya supaya kalian akan berusaha mempercepatkan proses berkenaan dan menyebarkannya kepada segenap umat manusia dan pelosok dunia.

Ini tidak bermakna kalian mengetepikan masalah serius yang kita hadapi sekarang. Ini bermakna kalian percaya masalah boleh diselesaikan, dan kalian tergerak untuk bertindak atas kepercayaan ini.

Akhir kata

Ini ialah intipati pandangan hidup saya. Hal ini membolehkan saya tekal dalam menghadapi kesukaran dan menjadi sumber keterujaan untuk saya terus melakukan kerja-kerja amal, yang kini melangkaui lebih 17 tahun. Saya yakin hal ini akan membuahkan hasil yang sama kepada kalian.

Semoga kalian mencapai kejayaan. Inilah zaman kehidupan yang amat menakjubkan. Maka buatlah sebanyak mungkin yang terdaya.

– Bill Gates

Artikel berkaitan: Cabaran Hidup Selepas SPM

Renungan

Apabila saya merenungi nasihat Gates, saya teringat kembali matlamat peribadi sejurus tamat pengajian – iaitu menjadikan dunia ini sebuah tempat yang lebih baik. Gates mengingatkan kita bahawa pandangan hidup amat kritikal dalam interaksi kita dengan dunia.

Jika kita benar-benar percaya bahawa dunia semakin hari semakin baik dan peranan kita adalah untuk “mempercepatkan proses berkenaan dan menyebarkan kepada segenap umat manusia dan pelosok dunia”, maka kita boleh menjadi pemangkin untuk mengubah dunia menjadi lebih baik.

Akhir kata

Hasrat saya buat setiap penuntut yang akan menamatkan pengajian pada tahun ini, tidak kira apa kerjaya atau peranan atau perniagaan yang anda pilih, berusahalah untuk menjadikan dunia ini lebih baik melalui tindakan, keputusan dan perlakuan anda.

Saya percaya jika setiap penuntut mempunyai aspirasi yang membuak-buak untuk membawa kesan yang positif kepada dunia, kita akan terus menikmati hidup yang lebih baik pada tahun-tahun yang mendatang.

Semoga setiap daripada anda menikmati kerjaya yang penuh bermanfaat! Semoga semua impian anda terlaksana dan anda mampu membawa cahaya menerangi kegelapan di dunia ini, menjadikannya lebih baik.

Nasihat Roshan kepada kepada penuntut, buatlah kerja yang tidak diingini orang lain, dan laksanakan dengan sebaiknya, kerana ini merupakan peluang untuk anda melakukan lompatan kerjaya yang terbesar dalam hidup. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Graduation Advice From Bill Gates, The Richest Man In The World.

 

 

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Sayangi Diri

Adakah Anda Penghindar Penjagaan Diri? Bagaimana Pemimpin Boleh Menipu Diri Mereka untuk Mencintai Penjagaan Diri

Oleh Julie Funt. Penjagaan diri sering diabaikan, terutamanya apabila memimpin sesebuah pasukan. Ketahui lebih lanjut tentang cara untuk sentiasa mengingatkan diri anda bahawa penjagaan diri adalah penting.

Jun 11, 2023 4 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Kepimpinan Itu Ekstrem

Kepimpinan ekstrem adalah gelagat pemimpin yang hebat. Mereka bijak memilih tindakan yang bersesuaian dengan keadaan dan masa. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Kepimpinan Itu Sesuatu Yang Ekstrem!

Jul 16, 2017 3 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest