Ternyata, Penjagaan Diri Tidak Semestinya Mahal

imej oleh magnific
Artikel ini turut tersedia dalam Bahasa Indonesia.
Kalau mendengar perkataan self-care, apa yang terus terlintas dalam fikiran anda?
Mungkin pergi ke spa, menggunakan skincare, membeli makanan kegemaran atau meluangkan masa bersendirian sambil menonton filem. Semua itu memang boleh menjadi bentuk self-care. Namun, sebenarnya, menjaga diri tidak semestinya kelihatan seperti itu.
Kadangkala, self-care hadir melalui perkara-perkara kecil yang kita lakukan setiap hari tanpa kita sedari. Malah, mungkin beberapa daripadanya sudah sering anda lakukan.
1. Menelefon rakan
Pernah rasa nak menelefon rakan hanya untuk bercerita tentang hari yang anda lalui?
Tiada masalah besar yang perlu diselesaikan. Anda cuma mahu bercerita tentang kerja, mengadu sedikit, ketawa bersama atau bercakap tentang perkara random yang sebenarnya tidak begitu penting.
Itu juga boleh menjadi satu bentuk self-care.
Sebagai manusia, kita memerlukan hubungan sosial. Bercakap dengan seseorang yang membuatkan kita berasa selesa boleh memberikan rasa keterhubungan dan mengingatkan kita bahawa kita tidak perlu menghadapi semuanya seorang diri.
Kadangkala, kita tidak memerlukan nasihat. Kita cuma perlukan seseorang yang berkata, “Ya, aku faham.”
2. Tidur lebih awal
Ada masanya kita berasa bersalah apabila memilih untuk tidur berbanding menyiapkan kerja atau menonton satu episod lagi.
Padahal, tidur ialah satu keperluan, bukan ganjaran yang hanya boleh kita dapatkan selepas semua kerja selesai.
Apabila tubuh sudah letih, memilih untuk berehat ialah salah satu bentuk perhatian terhadap diri sendiri. Tidak semua masa perlu digunakan untuk menjadi produktif.
3. Berkata “tidak”
“Maaf, saya tak boleh.”
Ayat yang ringkas ini kadangkala terasa sangat sukar untuk diucapkan.
Kita mungkin takut mengecewakan orang lain atau dianggap tidak mahu membantu. Namun, mengetahui had kemampuan diri juga penting.
Berkata tidak apabila kita memang tidak mampu bukan bermaksud kita mementingkan diri sendiri. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa kita mula memahami keperluan dan batasan diri sendiri.
4. Keluar bersendirian
Makan seorang diri, pergi ke kedai buku, duduk di kafe atau sekadar berjalan-jalan tanpa ditemani sesiapa mungkin kedengaran seperti perkara biasa.
Namun, meluangkan masa bersendirian boleh menjadi peluang untuk berehat daripada tuntutan sosial dan menikmati masa bersama diri sendiri.
Bersendirian juga tidak semestinya bermaksud kesunyian.
5. Mengemas bilik atau meja kerja
Pernah rasa fikiran sedang berserabut, kemudian tiba-tiba rasa nak mengemas meja?
Ada sesuatu yang menenangkan apabila melihat barang-barang kembali ke tempatnya. Ruang yang lebih kemas juga boleh membuatkan kita berasa sedikit lebih selesa dan terkawal.
Mungkin kita belum mampu menyelesaikan semua perkara dalam hidup. Tetapi sekurang-kurangnya, kita boleh mulakan dengan meja sendiri.
6. Menangis
Kita sering diajar untuk menahan tangisan, terutamanya apabila kita merasakan bahawa kita perlu kelihatan kuat.
Padahal, menangis juga merupakan salah satu cara tubuh kita bertindak balas terhadap emosi yang sedang dirasai.
Tidak semua kesedihan perlu segera dicari jalan penyelesaiannya. Kadangkala, kita hanya perlu mengakui bahawa hari ini memang terasa berat.
7. Tidak melakukan apa-apa
Ini mungkin bentuk self-care yang paling sukar dilakukan.
Tidak bekerja. Tidak belajar. Tidak mengejar sasaran. Tidak berasa bahawa kita perlu menghasilkan sesuatu.
Hanya duduk, baring, mendengar muzik atau menikmati secawan kopi tanpa memikirkan apa yang perlu dilakukan selepas itu.
Kerana berehat bukan bermaksud malas. Kita juga memerlukan ruang untuk berhenti seketika.
Pada akhirnya, self-care bukan tentang berapa mahal aktiviti yang kita lakukan atau betapa cantiknya hasilnya untuk dikongsikan di media sosial.
Self-care boleh jadi semudah menelefon rakan, tidur lebih awal, berkata tidak atau memberikan diri sendiri izin untuk berhenti seketika.
Jadi, mungkin selama ini anda sudah mengamalkan self-care tanpa menyedarinya.
Dan mungkin, anda tidak perlu melakukan lebih banyak perkara. Anda cuma perlu mula menyedari bahawa diri anda juga layak diberi perhatian, walaupun melalui perkara-perkara kecil.
Perkembangan Peribadi
Manisha ialah editor dan penulis di Leaderonomics. Beliau percaya bahawa tulisan mempunyai kekuatan untuk mendidik dan membawa perubahan dengan memberi inspirasi kepada ramai orang.





