Tabiat Mendengar Podcast Anda Mungkin Sebenarnya Sekadar Tangguh Kerja

imej oleh Antoine Borowiak dari Unsplash
Salah satu bentuk penangguhan yang paling meyakinkan dalam kalangan mereka yang ingin membina sesuatu ialah dengan membaca satu lagi buku. Atau memuat turun satu lagi podcast. Atau membeli satu lagi kursus. Dan ya, ada tabiat yang lebih buruk daripada ini. Tetapi jika anda pernah “binge” kandungan tentang founder, mengumpul kursus yang tidak habis dalam e-mel, dan masih tertanya-tanya kenapa anda tidak maju, anda akan faham maksudnya.
Kita kini mempunyai akses kepada ilmu lebih banyak daripada mana-mana generasi usahawan dalam sejarah. Podcast, surat berita, kursus, mastermind dan mentor hanya di hujung jari. Namun, ramai masih terperangkap dalam fasa persediaan. Jurangnya jelas bukan pada maklumat. Walaupun berkemampuan, ramai individu yang bercita-cita tinggi menggunakan pembelajaran sebagai pengganti kepada tindakan.
Bentuk penangguhan yang paling meyakinkan yang anda akan lihat
Sophie mempunyai idea untuk perniagaan produk. Dia bijak, berdisiplin dan berkebolehan, dan ideanya memang berpotensi. Masalahnya, dia seorang fisioterapis dan tidak tahu cara membina perniagaan e-dagang. Jadi. dia melakukan apa yang kebanyakan orang bijak lakukan apabila mencuba sesuatu yang baharu—dia mula belajar.
Lima belas kursus dalam talian, tepat sekali. Pelayarnya dipenuhi dengan topik seperti penguasaan Shopify, penciptaan kandungan AI, fotografi produk dan penulisan iklan. Dia telah membelanjakan ribuan ringgit dan berjam-jam di YouTube, tetapi hampir tiada yang benar-benar dilaksanakan.
Apabila Sophie datang kepada saya untuk sesi bimbingan, saya sudah menjangka dia sedang menjadikan saya kursus nombor enam belas.
Dia bukan kes terpencil. Malah, semakin bijak dan berkeupayaan seseorang, semakin mudah mereka terperangkap dalam perangkap ini. Pakar sains motivasi Profesor Ayelet Fishbach, salah seorang penyelidik terkemuka dunia dalam motivasi manusia, menunjukkan bahawa manusia cenderung tertarik kepada matlamat di mana mereka sudah merasa cekap, dan mengelakkan situasi di mana mereka perlu menjadi orang baru yang tidak mahir.
Sudah tentu begitu. Jika anda sudah biasa berjaya, menjadi orang baru dalam sesuatu perkara boleh terasa mengancam. Kejayaan sering berkait dengan rasa selamat, penerimaan dan nilai diri, jadi otak menjadi sangat pandai membawa anda ke arah perkara yang nampak mengagumkan, dan menjauhkan anda daripada perkara yang boleh mendedahkan kelemahan anda.
Belajar sangat sesuai untuk itu. Ia kelihatan produktif, terasa bertanggungjawab, dan tiada siapa perlu melihat anda tidak mahir. Tetapi, mengumpul maklumat melalui pembelajaran bukan sama dengan mengumpul data melalui tindakan. Satu melindungi identiti anda, satu lagi membentuknya.
Mengapa orang bijak kekal tersekat
Yang menjadikan perangkap ini sukar dikesan ialah kerana ia terasa seperti kemajuan.
Jika anda mengelakkan perniagaan dengan menonton Netflix, anda tahu anda sedang menangguh. Tetapi, jika anda mengelakkannya dengan mendengar podcast tentang customer acquisition, membaca buku kepimpinan, atau membeli kursus tentang scaling, ia terasa seperti anda sedang bergerak.
Itulah sebabnya perangkap ini bertahan lama. Anda boleh meyakinkan diri bahawa anda sedang “bekerja pada perniagaan”, sedangkan anda sebenarnya masih selamat di luar bahagian yang paling penting—iaitu mencuba secara nyata dan diuji di dunia sebenar.
Anda mungkin menyukai artikel ini:
Bekerja Sambil Mendengar Muzik: Berkesan atau Tidak?
Kenapa otak anda terus mengekalkan anda dalam “mod belajar”
Sophie sebenarnya bukan sedang mensabotaj diri sendiri—dia sedang melindungi dirinya. Ahli psikologi Fuschia Sirois dan Tim Pychyl, antara penyelidik utama dalam bidang penangguhan (procrastination), menjelaskan bahawa pengelakan ialah satu strategi pengawalan emosi. Kita bukan mengelakkan tugasan kerana malas, tetapi kerana untuk seketika, mengelak itu membuatkan kita rasa lebih lega.
Kursus, podcast dan sesi perancangan memberi kelegaan jangka pendek—daripada rasa tidak pasti, dan daripada ancaman terhadap identiti diri.
Bagi Sophie, dia sudah biasa berjaya, tetapi memulakan sesuatu yang baru menuntut sesuatu yang berbeza. Tiada kelayakan untuk bersandar, tiada jalan yang jelas, dan tiada jaminan dia akan mahir. Jika dia melancarkan produk dan gagal, dia mungkin perlu menerima hakikat bahawa dia tidak sehebat yang disangka. Jika dia berjaya, hidupnya akan berubah sepenuhnya. Dalam kedua-dua keadaan, dia perlu menjadi seseorang yang baharu. Jadi, otaknya “memilih keselamatan” dengan mengekalkannya dalam keadaan statik. Selagi dia berada dalam mod belajar, impian dan identiti dirinya kekal selamat.
Perubahan yang benar-benar menggerakkan anda
Apabila Sophie berkata dia tidak boleh melancarkan perniagaan kerana dia tidak tahu cara membuat iklan Facebook, saya bertanya apa yang akan berlaku jika dia tidak melakukannya.
“Macam mana orang nak jumpa produk ini?”
“Kalau awak cuma beritahu 10 orang yang awak kenal?”
Hening seketika.
“Itu bukan cara untuk lancarkan bisnes.”
“Siapa kata?”
“Semua kursus yang saya beli.”
Jadi, saya tanya soalan lain.
Bagaimana jika dia berhenti cuba “melancarkan perniagaan” dan mula cuba menguji sama ada orang benar-benar mahukan produk itu?
Sophie ada stok produk di rumah, jadi dia bawa ke tempat kerja dan tawarkan kepada pelanggan fisioterapinya. Dua minggu kemudian, dia mesej dan beritahu semuanya habis terjual. Seorang pelanggan berkongsi tentangnya secara dalam talian, dan dua orang asing datang ke kaunter bertanya di mana mereka boleh membelinya.
“Macam mana perasaan awak?” saya tanya.
“Takut,” dia ketawa. “Tapi juga rasa macam… saya sebenarnya boleh buat ini.”
Itulah titik yang kita perlukan.
Sophie berhenti menunggu untuk rasa bersedia dan mula mencari apa yang benar. Dia bertindak dahulu, dan semuanya menjadi lebih jelas selepas itu. Keyakinan sering berfungsi begitu.
Sentiasa akan ada podcast lain, rangka kerja lain, atau pelan 6 langkah lain untuk “launch yang sempurna”. Tetapi, kejayaan seterusnya jarang tersembunyi dalam kandungan. Ia biasanya ada pada tindakan yang anda asyik tangguhkan.
Apa yang anda masih “bersiap” untuk lakukan?
Mulakan dari situ. Jalankan eksperimen.
Perkembangan Peribadi
Tamsin Simounds menggunakan sains perkembangan manusia untuk membantu individu bekerja dengan lebih berkesan, memimpin dengan lebih baik dan membina kerjaya yang bermakna. Beliau ialah seorang jurulatih kepimpinan, penceramah utama, pengasas syarikat pakaian sukan tahan bocor JumpProof, serta penulis buku The Experiment Mindset: Unlocking the Science of Personal Growth (Wiley). Untuk maklumat lanjut, layari tamsinsimounds.com.





