Duduk Sepanjang Hari? Ini Apa yang Berlaku Pada Tubuh Anda

imej dari freepik.com
Dalam era moden hari ini, banyak pekerjaan yang dahulunya memerlukan tenaga manusia kini digantikan oleh mesin dan teknologi seperti AI. Perubahan ini menyebabkan kita semakin kurang bergerak dan lebih banyak menghabiskan masa duduk, terutamanya di pejabat. Bagi mereka yang bekerja dari rumah, situasi ini juga tidak jauh berbeza kerana tetap perlu duduk berjam-jam di hadapan skrin.
Walaupun nampak seperti perkara biasa, tabiat duduk terlalu lama sebenarnya boleh membawa pelbagai masalah kesihatan — daripada kesakitan otot, gangguan penghadaman, sehinggalah kepada risiko penyakit kronik dan masalah kesihatan mental.
Kesan Fizikal dan Kesihatan Tubuh
Menurut portal kesihatan Hello Doktor, antara kesan duduk terlalu lama ialah:
1. Menjejaskan Postur Badan
Duduk terlalu lama cenderung membuatkan tubuh membongkok dengan kepala condong ke depan. Posisi ini memberi tekanan pada otot leher dan tulang belakang, sekali gus menimbulkan rasa sakit. Lama-kelamaan, ia boleh menjejaskan postur badan dan memberikan imej fizikal yang kurang baik.
Postur yang salah ini bukan sahaja menyebabkan sakit tetapi juga memberi kesan kepada penampilan fizikal.

2. Ketegangan Otot
Postur yang tidak betul menegangkan otot di bahagian leher, pinggul, dan bahu. Jika berlarutan, ia boleh menjejaskan kekuatan dan fungsi otot. Dalam jangka masa panjang, keadaan ini boleh membawa kepada masalah seperti sakit tulang belakang, slipped disc, atau rasa kebas pada tangan dan kaki akibat tekanan pada saraf.
3. Risiko Obesiti Meningkat
Gaya hidup pasif mengurangkan pembakaran kalori. Kajian Universiti Harvard menunjukkan bahawa berdiri mampu membakar 30% lebih banyak kalori berbanding duduk. Jika terlalu lama duduk, lemak dan gula lebih mudah terkumpul dalam badan, sekali gus meningkatkan risiko obesiti, diabetes, dan penyakit jantung. Oleh itu, mengurangkan masa duduk boleh membantu mengekalkan berat badan yang sihat.
4. Gangguan Penghadaman
Duduk selepas makan menekan abdomen, melambatkan penghadaman, dan boleh menyebabkan pedih ulu hati atau sembelit. Jika berterusan, ia juga boleh mengganggu penyerapan nutrien dan menjejaskan kesihatan usus.
Kesan Terhadap Kesihatan Mental
Selain kesan fizikal, gaya hidup sedentari juga memberi kesan negatif kepada kesihatan mental. Beberapa kajian mendapati bahawa tabiat duduk terlalu lama berkait rapat dengan peningkatan risiko kemurungan, kebimbangan, stres, serta gangguan tidur. Malah, semakin lama duduk tanpa bergerak, semakin tinggi risiko gangguan mental — walaupun dengan tahap aktiviti fizikal yang sama.
Artikel ini mungkin menarik minat anda:
Hidup Selalu Sibuk? Belajar Hadir Dengan Mindfulness
Risiko Kematian Awal
Satu kajian besar oleh American Cancer Society yang melibatkan lebih 120,000 orang mendapati bahawa duduk lebih 6 jam sehari dikaitkan dengan 19% risiko kematian lebih tinggi daripada pelbagai punca, termasuk penyakit jantung, kanser, strok, dan diabetes. Menariknya, risiko ini tetap wujud walaupun seseorang itu aktif bersenam selepas waktu kerja.

Petua untuk Lebih Banyak Bergerak
Menurut Patel, salah seorang pengkaji utama, bukti semakin jelas bahawa mengurangkan masa duduk adalah penting untuk gaya hidup sihat:
“Kemajuan teknologi mendorong kita menjadi pasif, jadi kita perlu lebih sedar untuk mencari cara bergerak.”
Di tempat kerja:
- Duduk pada kedudukan 135 darjah untuk mengurangkan tekanan pada belakang badan.
- Ambil rehat singkat untuk berjalan sekeliling pejabat.
- Gunakan tangga atau berjalan di eskalator berbanding menaiki lif.
- Pilih tandas yang paling jauh daripada meja kerja.
Di rumah:
- Berdiri sambil melipat pakaian ketika menonton TV.
- Lakukan senaman atau regangan ringan semasa menonton televisyen.
- Kurangkan masa menatal media sosial ketika duduk.
- Bangun dan bergerak ketika iklan TV.
- Berehat seketika dengan berjalan ke dapur atau sekitar rumah.
- Catat aktiviti harian dan cuba kurangkan tempoh duduk.
Duduk terlalu lama boleh memberi pelbagai kesan buruk terhadap kesihatan fizikal dan mental. Sebaiknya, hadkan tempoh duduk antara 1 hingga 2 jam dan lakukan sedikit pergerakan sebelum kembali duduk. Perubahan kecil seperti ini, jika diamalkan setiap hari, boleh memberi kesan besar kepada kesihatan jangka panjang.
Baca lagi:
Self-Care di Tempat Kerja: Kunci Kesihatan Mental dan Produktiviti
Perkembangan Peribadi
Sumber Rujukan:
Berlatarkan pendidikan dalam Bahasa dan Linguistik Melayu, Amirah Nadiah gemar membaca dan mengikuti perkembangan semasa, yang membolehkannya kekal peka terhadap pelbagai isu. Sebagai seorang Content Editor, beliau aktif dalam kerja terjemahan serta penghasilan kandungan yang menarik dan meyakinkan. Pada masa lapang, beliau suka berkongsi frasa self-love di platform X miliknya.