Kenali Potensi Diri Melalui Pengalaman Seharian

imej dari magnific
Setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing. Namun, kadangkala kita tidak menyedari perkara yang sebenarnya kita mahir lakukan. Kita mungkin terlalu fokus pada perkara yang belum dikuasai sehingga terlupa akan kebolehan yang sudah ada.
Sebenarnya, anda tidak perlu mencuba sesuatu yang baharu untuk mengenali potensi diri. Cuba lihat perkara yang anda lakukan setiap hari, sama ada di tempat kerja atau ketika berurusan dengan orang lain. Pengalaman ini boleh membantu anda mengenali kekuatan yang mungkin selama ini tidak disedari.
Perhatikan Perkara yang Mudah Anda Lakukan
Cuba fikirkan perkara yang mudah anda lakukan. Mungkin anda cepat memahami arahan, pandai menyusun kerja, suka menulis atau mudah menerangkan sesuatu kepada orang lain.
Perkara yang terasa mudah bagi anda mungkin memerlukan lebih banyak usaha daripada orang lain. Contohnya, seseorang yang mudah menyusun kerja mungkin mempunyai kemahiran merancang dan mengurus masa dengan baik. Jadi, jangan abaikan perkara yang anda lakukan dengan baik kerana ia mungkin menunjukkan potensi yang boleh dikembangkan.
Kenal Pasti Perkara yang Sering Orang Minta Bantuan Anda
Perhatikan perkara yang sering diminta oleh orang lain. Mungkin rakan sekerja selalu meminta anda menyemak penulisan, memberikan pendapat atau membantu menyelesaikan masalah.
Jika orang lain sering meminta bantuan anda dalam perkara yang sama, mungkin mereka melihat kelebihan yang anda sendiri tidak sedari. Contohnya, rakan sekerja yang sering meminta pendapat anda mungkin menghargai cara anda memberikan pandangan atau membantu mereka melihat sesuatu masalah dari sudut berbeza.
Lihat Cara Anda Menghadapi Cabaran
Cara anda menghadapi masalah juga boleh menunjukkan kebolehan diri. Setiap orang mempunyai cara tersendiri apabila berdepan dengan sesuatu cabaran. Ada yang lebih suka berbincang untuk mencari penyelesaian, manakala ada yang mengambil masa untuk memahami masalah sebelum membuat keputusan.
Perhatikan cara anda bertindak dalam situasi seperti ini. Mungkin anda mempunyai kemahiran komunikasi, pemikiran kritis atau kebolehan menyelesaikan masalah yang boleh terus dikembangkan.
Terima Maklum Balas daripada Orang Lain
Kadangkala, orang lain lebih mudah melihat kelebihan yang kita sendiri tidak sedari. Cuba dapatkan pandangan daripada rakan sekerja, keluarga atau kenalan tentang perkara yang mereka rasa anda lakukan dengan baik.
Maklum balas ini boleh membantu anda melihat kebolehan diri daripada sudut yang berbeza. Anda mungkin mendapati bahawa perkara yang dianggap biasa oleh diri sendiri sebenarnya merupakan kelebihan yang dihargai oleh orang lain.
Kenali Kekuatan Diri untuk Terus Berkembang
Mengenali potensi diri tidak semestinya memerlukan pengalaman baharu. Kadangkala, anda hanya perlu melihat semula perkara yang sudah biasa dilakukan setiap hari.
Perhatikan kebiasaan, cara bekerja dan tindakan anda ketika menghadapi cabaran. Setelah mengenal pasti kelebihan tersebut, carilah peluang untuk mengembangkannya melalui pengalaman dan pembelajaran baharu.
Anda tidak perlu menguasai semua perkara untuk terus maju. Kenali dahulu perkara yang anda lakukan dengan baik dan gunakan kelebihan tersebut sebagai langkah untuk mengembangkan potensi diri.
Perkembangan Peribadi
Amirah ialah editor Bahasa Melayu di Leaderonomics dengan latar belakang dalam bidang Linguistik dan Bahasa Melayu. Bagi Amirah, menulis bukan sekadar tugas, tetapi ruang untuk meneroka idea dan berkongsi perspektif. Di luar kerja, dia gemar menonton Netflix, mencuba makanan baharu dan menikmati secawan matcha.




