Kebaikan Self-Talk untuk Kesihatan Mental dan Emosi

imej @stockking dari freepik.com
Semasa asyik menatal media sosial pada waktu pagi, saya tertarik dengan satu posting di Threads oleh Dr. Datin Hjh Mahidah. Ia menceritakan tentang satu kajian yang pernah dibuat pada tahun 2003. Dalam kajian itu, seorang ahli imunologi tingkah laku yang mengkaji corak penyakit kronik menemui sesuatu yang pelik.
Golongan yang hampir tidak pernah jatuh sakit, tiada burnout, tiada selesema berpanjangan, semuanya mempunyai satu tabiat luar biasa: mereka bercakap dengan diri sendiri secara lantang. Di pasar raya, semasa memandu, bahkan ketika berjalan sendirian. Bukan kerana mereka tidak stabil, tetapi kerana tanpa sedar mereka sedang mengatur semula sistem saraf mereka.
Penyelidik tersebut memasang alat pemantau pada para sukarelawan untuk menjejak paras kortisol dan penanda imun secara masa nyata. Sesuatu yang mengejutkan berlaku: sebaik sahaja seseorang meluahkan fikirannya secara lisan, hormon stres mereka turun sebanyak 35%. Namun mereka yang kekal berdiam diri menunjukkan paras kortisol yang tinggi selama berjam-jam. Seorang penyelidik berkata:
“Tubuh anda melayan emosi yang ditekan seperti toksin yang tidak dapat dibuang.”
Seorang eksekutif berprestasi tinggi dalam kajian itu turut berkongsi:
“Saya bangga kerana tidak pernah meluahkan apa yang saya rasa. Kemudian mereka tunjukkan penanda imun saya, saya mempunyai profil keradangan seperti pesakit penyakit kronik. Hari saya mula menyuarakan stres saya di bilik kosong, keputusan saya berubah dalam seminggu.”
Mekanismenya mudah: Apabila kita bersuara, ia mengaktifkan vagus nerve, memperlahankan degupan jantung dan memberi isyarat kepada sistem imun untuk berhenti bertindak seolah-olah tubuh sedang diserang. Penyelidik itu memanggil fenomena ini sebagai “pencernaan boleh dengar”, iaitu minda perlu menghadam emosi seperti mana tubuh menghadam makanan.
Penemuan paling pahit: Mereka yang dibesarkan dengan ajaran “bertahan dan diam” menunjukkan penindasan imun yang paling teruk. Seorang doktor merumuskan dengan pedih:
“Sistem imun anda mencerminkan cara anda berkomunikasi. Apa yang anda enggan luahkan, tubuh anda berhenti mempertahankan.”
Katanya, kebanyakan penyakit kronik bermula daripada senyap yang terkunci dalam sistem saraf.
Menariknya, konsep menzahirkan emosi ini bukan hanya dibincangkan dalam kajian moden, tetapi turut disebut dalam kisah para nabi. Nabi Ya’qub A.S. pernah berdoa:
“Aku hanya mengadu kesusahanku dan kesedihanku kepada Allah.” – Surah Yusuf 12:86
Para ulama tafsir menjelaskan bahawa Nabi Ya’qub menzahirkan kesedihannya dengan suara, bukan hanya memendamnya dalam hati.

Apa itu Self-Talk?
Self-talk ialah berbicara dengan diri sendiri secara positif. Amalan ini dapat membantu seseorang membuat keputusan dengan lebih tepat dan menjadi lebih bijak dalam menghadapi masalah kehidupan.
Melalui positive self-talk, seseorang akan terdorong untuk berfikir positif, optimis, termotivasi, dan sentiasa berusaha melihat sisi baik dalam setiap perkara.
Manfaat Self-Talk
Melalui perkongsian ini, jelaslah bahawa bercakap dengan diri sendiri dapat mendatangkan pelbagai kebaikan. Kita juga boleh mengamalkan self-talk positif kerana ia membantu meningkatkan keyakinan dan motivasi diri.
Self-talk bukan sekadar kata-kata, tetapi bentuk pengharapan dan latihan untuk bersangka baik terhadap apa yang berlaku pada masa kini dan masa hadapan. Amalan ini dapat mengurangkan stres dan risiko kemurungan. Amalan ini juga membantu kita mengembangkan pemikiran yang lebih optimis ketika berhadapan situasi sukar.
Self-talk turut mampu menjadikan hidup lebih bahagia dan meningkatkan kualiti hidup kerana ia membawa ketenangan kepada hati.
Anda mungkin menyukai artikel ini:
Perkembangan Peribadi
Berlatarkan pendidikan dalam Bahasa dan Linguistik Melayu, Amirah Nadiah gemar membaca dan mengikuti perkembangan semasa, yang membolehkannya kekal peka terhadap pelbagai isu. Sebagai seorang Content Editor, beliau aktif dalam kerja terjemahan serta penghasilan kandungan yang menarik dan meyakinkan.





