FOMO: Apa Itu ‘Fear of Missing Out’ dan Cara Mengatasinya untuk Hidup Lebih Tenang

imej dari freepik.com
Apa Itu FOMO?
Pernahkah anda berasa takut terlepas sesuatu? Atau sering membandingkan diri dengan orang lain di media sosial? Itu mungkin tanda anda mengalami FOMO (Fear of Missing Out).
FOMO turut didefinisikan oleh pakar akademik dalam jurnal saintifik Computers in Human Behavior sebagai “perasaan takut apabila ketinggalan daripada perkembangan semasa.” Bagi sesetengah individu, perasaan tidak selesa ini timbul apabila mereka melihat kehidupan orang lain yang kelihatan lebih menyeronokkan di media sosial.
Istilah ini diperkenalkan pada awal tahun 2000-an oleh Patrick J. McGinnis, graduan Harvard Business School. FOMO adalah fenomena psikologi sosial yang menyebabkan seseorang berasa cemas dan resah apabila tidak dapat mengikuti atau menyertai aktiviti yang dianggap menyeronokkan oleh orang lain.
Antara contoh FOMO ialah apabila ramai pengguna media sosial “hype” membeli makanan viral seperti kek tapak kuda, chicken tenders, kek tiramisu dan minuman boba sampai sanggup beratur panjang untuk mendapatkannya. Dengan pelbagai maklumat di hujung jari, ramai yang cepat terpengaruh dengan apa sahaja yang tular, seolah-olah tidak mahu ketinggalan daripada arus semasa. Ini mencerminkan budaya pengguna yang sangat responsif, ingin tahu, dan mudah terpengaruh dengan trend.

imej oleh rawpixel.com
Bagaimana FOMO Terjadi?
Antara punca FOMO dalam kalangan rakyat Malaysia ialah kecenderungan untuk berkongsi, mencuba dan membandingkan pengalaman, yang menjadikan mereka mudah terpengaruh dengan arus viral. Selain itu, budaya suka mencuba sesuatu yang baharu juga menjadikan masyarakat Malaysia lebih terbuka terhadap inovasi dan pengalaman baharu.
Media sosial pula memberi peluang untuk berhubung, tetapi pada masa sama mencetuskan tekanan sosial. Melihat orang lain berkongsi kejayaan, percutian, atau gaya hidup mewah boleh membuat kita merasa tertinggal. Akhirnya, kita menjadi terlalu bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan rasa puas dan pengiktirafan.
Kesan FOMO Terhadap Kesihatan Mental
FOMO bukan sekadar rasa ingin tahu, tetapi juga boleh menjejaskan kesejahteraan emosi dan keseimbangan hidup. Antara kesan utamanya termasuk:
- Kebimbangan dan tekanan: Takut terlepas peluang atau pengalaman menarik.
- Ketidakpuasan diri: Terlalu fokus pada kehidupan orang lain boleh menjejaskan penghargaan diri.
- Gangguan sosial: Sukar berinteraksi secara sihat dengan orang sekeliling.
- Pembaziran masa: Terlalu banyak masa di media sosial boleh mengalihkan tumpuan daripada matlamat sebenar hidup.
Individu yang mengalami FOMO juga cenderung mengabaikan tugas harian, mengganggu corak tidur, serta menjejaskan interaksi sosial dalam kehidupan sebenar.
Cara Mengatasi FOMO
Berita baiknya, FOMO boleh dikawal dengan beberapa langkah mudah berikut:
- Berfikir Secara Rasional
Ingat, apa yang anda lihat di media sosial hanyalah sebahagian kecil daripada kehidupan seseorang. Tidak semua yang dipaparkan menggambarkan realiti sebenar. Fokus pada diri sendiri dan jalani kehidupan dengan baik tanpa perlu membandingkan diri dengan sesiapa pun. - Tetapkan Sempadan Digital
Hadkan masa penggunaan media sosial seperti Twitter, Threads, TikTok dan Instagram setiap hari. Gunakan fungsi Screen Time atau Digital Wellbeing untuk membantu mengawal ketagihan. Ini membantu anda menyiapkan urusan lain yang lebih penting. - Fokus pada Masa Kini
Nikmati segala yang ada di depan mata. Beri perhatian kepada pengalaman sebenar seperti berbual, berjalan, atau menikmati alam sekitar tanpa gangguan skrin. Belajar hadir dengan kesedaran (mindfulness). - Bina Keyakinan Diri
Percayalah bahawa kehidupan anda juga berharga. Dengan kesedaran diri yang positif, anda akan lebih tenang menghadapi tekanan sosial.
Hidup di Dunia Sebenar
Kembali kepada hubungan sebenar dan alam semula jadi membantu kita menghargai kehidupan dengan lebih mendalam. Hidup pada masa kini bermakna tidak membiarkan penyesalan masa lalu atau kebimbangan masa depan menjejaskan kebahagiaan sekarang.
Apabila kita benar-benar hadir dalam dunia nyata, kita lebih mampu menilai maklumat media sosial secara rasional dan tidak mudah terpengaruh dengan penampilan sempurna orang lain, sebaliknya lebih memahami keperluan diri sendiri.
Kesimpulan
Dalam dunia yang sentiasa berubah ini, keaslian dan kesedaran terhadap masa kini ialah kunci kepada keseimbangan dan kebahagiaan. Dengan memahami dan mengawal FOMO, kita dapat menjalani kehidupan yang lebih tenang, bermakna, dan tulen di dunia sebenar, bukan hanya di skrin.
Perkembangan Peribadi
Sumber Rujukan:
- https://www.sinarharian.com.my/article/736766/suara-sinar/analisis-sinar/virus-media-sosial-punca-sindrom-fomo
Berlatarkan pendidikan dalam Bahasa dan Linguistik Melayu, Amirah Nadiah gemar membaca dan mengikuti perkembangan semasa, yang membolehkannya kekal peka terhadap pelbagai isu. Sebagai seorang Content Editor, beliau aktif dalam kerja terjemahan serta penghasilan kandungan yang menarik dan meyakinkan.