Berhenti Membanding, Mulakan Menghargai

Nov 04, 2025 2 Minit
Menghargai

Mungkin kita pernah rasa hidup orang lain sentiasa lebih baik daripada kita. Semakin meningkat usia, perasaan ini semakin kerap muncul tanpa sedar hingga kita mula membandingkan diri dengan orang lain. Kita sibuk memerhati apa yang orang lain miliki; ada yang baru menamatkan pengajian terus mendapat pekerjaan, ada yang sudah memiliki rumah, kereta dan kerjaya yang stabil. Namun, ada juga yang masih berusaha keras mencari peluang, menghadiri temu duga, atau bekerja lebih masa demi menyara keluarga dan menabung untuk masa depan.

Apabila kita terlalu banyak membandingkan hidup dengan orang lain, tanpa sedar kita mula hilang keyakinan diri. Rasa kecewa, sedih dan tekanan akan muncul apabila hidup tidak seperti yang kita bayangkan atau bandingkan. Lama-kelamaan, perasaan ini boleh menjejaskan kesejahteraan emosi dan membuatkan kita sukar menghargai apa yang ada.

Artikel ini mungkin menarik minat anda:

Menemukan Kegembiraan dalam Masa Kini

Hargai Apa yang Ada

Saya belajar bahawa kebahagiaan bukan tentang memiliki segalanya, tetapi menghargai apa yang sudah dimiliki. Jika hari ini kita masih ada tempat berteduh, makanan yang cukup, keluarga yang menyokong dan pekerjaan untuk meneruskan hidup, itu semua nikmat yang wajar disyukuri. Tidak perlu menunggu perkara besar untuk merasa bahagia; cukup dengan menikmati hal-hal kecil dalam kehidupan dan mengurangkan kebiasaan untuk membandingkan diri di media sosial.

Kurangkan melihat kehidupan orang lain di media sosial. Kadangkala, terlalu banyak menatal (scroll) boleh menimbulkan rasa tidak cukup dalam diri. Cuba alihkan tumpuan kepada perkara yang membuatkan kita tenang dan gembira seperti berjalan santai, membaca atau melakukan hobi yang kita suka. Dengan cara ini, masa terluang dapat diisi dengan aktiviti yang berkualiti dan membantu kita memperbaiki diri menjadi lebih baik.

imej dari freepik.com

Cara Kurangkan Membandingkan Diri

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengenal pasti apa yang sering mencetuskan pemikiran untuk membandingkan diri dan cuba elakkannya. Kawal penggunaan media sosial. Jika ada individu tertentu yang menjadi pencetus perbandingan, anda boleh unfollow atau hide kandungannya. Ingat, kekayaan, populariti dan kecantikan tidak menjamin kebahagiaan.

Paling penting, belajar untuk bersyukur dengan apa yang ada. Apabila kita benar-benar bersyukur, kita tidak lagi sibuk membandingkan diri dengan orang lain. Fokus pada kekuatan dan kelebihan diri sendiri. Akhir sekali, raikan kejayaan orang lain tanpa merendahkan diri sendiri, berasa bahagia apabila rakan atau ahli keluarga mencapai sesuatu kejayaan atau kerjaya yang lebih baik.

Belajar Tenang dan Kawal Emosi

Menjadi seorang yang tenang kelihatan mudah tetapi sebenarnya ia perlu dilatih. Dalam setiap situasi, cuba bertenang sebelum bertindak. Fikirkan dahulu kesan dan hikmah di sebalik setiap perkara yang berlaku. Belajar mengawal emosi supaya tidak mudah marah, kecewa atau terganggu dengan pencapaian orang lain.

Apabila kita mampu berdamai dengan diri dan keadaan, hidup akan terasa lebih ringan, damai dan bermakna. Bila kita berhenti membanding dan mula menghargai, barulah kita benar-benar belajar menikmati kehidupan dengan hati yang tenang. 

Baca lagi: Apa Itu ‘FOMO' dan Cara Mengatasinya untuk Hidup Lebih Tenang

Sila Kongsi

Perkembangan Peribadi

Alt

Berlatarkan pendidikan dalam Bahasa dan Linguistik Melayu, Amirah Nadiah gemar membaca dan mengikuti perkembangan semasa, yang membolehkannya kekal peka terhadap pelbagai isu. Sebagai seorang Content Editor, beliau aktif dalam kerja terjemahan serta penghasilan kandungan yang menarik dan meyakinkan.

Alt

Cadangan Buat Kamu

tugas

Fokus Pada Satu Tugas Dalam Satu Masa

Oleh Zaid Mohamad. Pernahkah anda berasa terbeban dengan terlalu banyak tugasan yang perlu dilakukan? Pernahkah anda secara tidak sengaja membahayakan anak-anak kerana terlalu leka dengan tugasan tersebut? Ini adalah soalan penting yang perlu diambil perhatian oleh para pekerja, terutamanya ibu bapa yang bekerja.

Aug 10, 2025 3 Minit

Alt

Mindset Positif: Bagaimana Saya Dapat Menghilangkan Fikiran Negatif?

Menghadapi fikiran negatif? Video ini menawarkan petua dan teknik praktikal untuk membantu anda melepaskan diri daripada corak pemikiran yang merosakkan dan memupuk pemikiran yang lebih positif dan tenang. Pelajari cara untuk mengawal fikiran anda dan mencipta ruang mental yang lebih sihat.

Mar 05, 2025 1:42 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest