Tenangkan Minda: 3 Langkah Hadapi Rasa Putus Asa

imej oleh @benzoix dari freepik.com
Beberapa hari lalu, saya duduk di meja kerja seawal pagi. Peti masuk e-mel sudah penuh, tajuk berita bergerak lebih laju daripada yang mampu saya hadam, dan dunia terasa seperti sedang berantakan. Ditambah pula, pasukan hoki yang saya sokong sedang melalui empat kekalahan berturut-turut. (Salah satunya kalah 9–0. Ya, sembilan kosong!)
Sebenarnya, tiada apa-apa yang buruk berlaku kepada saya secara peribadi. Tiada kegagalan besar. Cuma “bunyi”: tekanan kerja, kebimbangan tentang keluarga, dan aliran pendapat yang berterusan tentang bagaimana saya sepatutnya berfikir atau berasa. Saya sedar diri saya hanya memandang skrin, sudah terasa letih walaupun hari baru bermula. Saya rasa, mungkin anda juga pernah melalui perasaan ini.
Bukan satu perkara sahaja — tetapi himpunan semuanya sekali gus. Dan sejujurnya, saya rasa putus asa.
Itulah isyarat untuk saya berhenti seketika. Saya perlukan reset, dan dengan segera.
Sepanjang bertahun-tahun, saya belajar bahawa rasa putus asa jarang datang dengan tanda amaran. Ia menyelinap masuk perlahan-lahan, sedikit demi sedikit. Dan apabila itu berlaku, fokus dan rasa gembira biasanya yang pertama hilang.
Apabila saya mula perasan perkara itu, saya kembali kepada satu amalan yang menenangkan: kesyukuran.
Ia bukan helah atau penafian terhadap realiti. Ia adalah satu bentuk reset. Ia mengubah sikap saya dan membantu saya mengangkat semula kepala. Apabila saya menghitung nikmat yang ada, saya diingatkan bahawa untuk terus melangkah dan menyelesaikan perkara, ia masih mungkin — walaupun dalam waktu yang sukar.
Saya sering teringat kata-kata Martin Luther King Jr.:
Jika kamu tidak boleh terbang, maka berlarilah.
Jika tidak boleh berlari, berjalanlah.
Jika tidak boleh berjalan, merangkaklah —
tetapi apa pun yang kamu lakukan, teruskan bergerak.
Rasa putus asa menyuruh kita berhenti dan tenggelam dalam kebimbangan. Tetapi kesyukuran mengajak kita untuk terus bergerak — mungkin perlahan, tetapi dengan niat yang jelas. Kesyukuran mengingatkan kita untuk bangkit dan mengambil langkah seterusnya.
Berikut tiga “reset” kecil yang saya amalkan apabila bunyi dalam hidup mula menguasai segalanya.
3 Langkah Mudah Untuk Mengatasi Rasa Putus Asa
1. Saya fokus pada perkara yang saya boleh kawal
Saya tanya diri sendiri: Apa yang perlu saya buat hari ini? Apakah satu perbualan yang boleh saya mulakan, satu keputusan yang boleh saya buat, atau satu kebaikan yang boleh saya lakukan? Dengan hadir sepenuhnya dan menyiapkan sekurang-kurangnya satu perkara, perhatian saya kembali kepada realiti yang boleh saya pijak hari ini.
Baca artikel ini: Fokus Pada Pilihan Anda, Bukan Penilaian Orang Lain
2. Saya perlahankan ‘bunyi’ daripada luar
Ini bermaksud saya lebih berhati-hati tentang apa yang saya benarkan masuk ke dalam minda — suapan berita, keputusan perlawanan, atau kemas kini yang tidak berkesudahan. Mengurangkan semua ini membantu mengelakkan rasa hilang semangat. Bukan untuk menafikan realiti, tetapi untuk mengurus tenaga dan fokus saya dengan lebih bijak.
3. Saya mendekati, bukan menjauhkan diri
Rasa putus asa membuatkan kita mengasingkan diri, tetapi kesyukuran menghubungkan kita semula dengan orang lain. Jadi, saya hubungi mereka yang saya hargai dan beritahu betapa pentingnya mereka dalam hidup saya. Mungkin melalui mesej ringkas atau e-mel. Mungkin juga surat tulisan tangan (ya, cara lama). Atau panggilan telefon yang bermakna. Kadang-kadang, ia cuma menulis dalam jurnal kesyukuran atau menghantar makan malam kegemaran kepada seorang kawan. Lagipun, siapa yang tak gembira bila dapat pasta?
Apabila saya lakukan tiga perkara ini, dunia tidak semestinya menjadi lebih sunyi. Masih banyak kekalutan di luar sana. Tetapi saya menjadi lebih stabil. Dan apabila kita kembali berpijak dengan kukuh, kita menjadi lebih baik — di tempat kerja, di rumah, dan dalam hati kita sendiri.
Jadi, ini soalan refleksi saya untuk anda: Apabila bunyi hidup terasa terlalu bising, apakah satu langkah kecil yang anda ambil untuk terus bergerak ke hadapan? Faham? Bagus, jadi lakukanlah hari ini.
Saya sangat ingin tahu apa yang berkesan untuk anda.
Terima kasih kerana menyokong newsletter kecil saya; ia sangat bermakna bagi saya. Semoga hari anda hebat, minggu anda cemerlang, dan tahun anda luar biasa.
Artikel ini mungkin menarik minat anda:
Perkembangan Peribadi
Chester Elton ialah Pengarang "Anxiety at Work" & "Leading with Gratitude", Jurulatih Eksekutif, Penceramah Ucaptama dan Pengasas Komuniti #findyourgratitude. Beliau telah menghabiskan dua dekad membantu pelanggan melibatkan pekerja mereka dalam strategi organisasi, visi dan nilai. Dalam ceramahnya yang memberi inspirasi dan sentiasa menghiburkan, Elton menyediakan penyelesaian sebenar untuk pemimpin yang ingin membina budaya, mengurus perubahan dan memacu inovasi. Kerja beliau disokong oleh penyelidikan dengan lebih sejuta orang dewasa yang bekerja di seluruh dunia, mendedahkan rahsia terbukti di sebalik budaya dan pasukan berprestasi tinggi. Elton ialah pengasas bersama The Culture Works, sebuah syarikat latihan global, dan pengarang pelbagai pemenang anugerah, #1 New York Times, USA Today dan Wall Street Journal bestseller, All In, The Carrot Principle dan The Best Team Wins. Buku-buku beliau telah diterjemahkan ke dalam 30 bahasa dan telah terjual lebih daripada 1.5 juta naskhah.





