Piktochart Dan Acestar: Gunakan Personaliti Semulajadi Untuk Membentuk Gaya Kepimpinan Tersendiri 

Nov 13, 2017 5 Minit
topeng, personaliti tersendiri

Dalam sejarah, ada banyak gaya kepimpinan berbeza yang ditonjolkan oleh pemimpin wanita yang tidak dapat dilupakan. Kalau dirumuskan, terdapat dua jenis gaya stereotaip –  yang tidak gentar seperti yang dipaparkan Boudica atau Joan of Arc, dan yang lebih bersifat mengasuh seperti yang ditonjolkan Mother Teresa dan Florence Nightingale.

Ada pemimpin wanita yang tegas, ada yang penyayang dan relasional, tetapi setiap wanita ini mengubah sejarah manusia kerana keupayaan mereka memanfaatkan personaliti masing-masing.

Dalam percubaan membentuk gaya kepimpinan sendiri, ramai orang menggunakan personaliti semulajadi sebagai garis asas. Selain menampakkan keikhlasan anda kepada para pekerja anda, ini adalah resipi terbaik untuk kejayaan. Akan tetapi anda perlu membataskan sesetengah elemen diri bagi menyerlahkan kebolehan kepimpinan anda.

Terlalu bersifat mengasuh? 

Goh Ai Ching, Piktochart

Salah seorang pemimpin wanita yang berjaya di Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) dan Pengasas Bersama Piktochart, Goh Ai Ching, mengaku bahawa dia pernah menjadi ‘terlalu mesra’ pada sesuatu ketika dalam kariernya.

Bersama-sama rakan kongsinya yang kini menjadi suaminya, Andrea Zaggia, Goh telah menubuhkan sebuah syarikat kecil di Pulau Pinang. Pasangan ini telah berjaya mengembangkan Piktochart hingga menjadi salah sebuah syarikat infografik terkemuka di dunia. Syarikat ini kini mempunyai lebih daripada 50 orang pekerja.

Keseimbangan gaya kepimpinan Goh yang lebih bersifat mengasuh dan Zaggia yang lebih  mementingkan matlamat telah membawa syarikat mereka mencapai kejayaan yang hebat. Walau bagaimanapun, Goh menghadapi cabaran bagaimana memanfaatkan sifatnya yang lebih relasional.  

“Ketika saya menubuhkan syarikat ini, saya tahu yang personaliti relasional saya yang semulajadi ini akan menjadi aset ketika memimpin pasukan,” katanya.

“Tetapi ia tetap mempunyai keburukan kerana ada kalanya saya menjadi terlalu lembut, terutamanya semasa menggaji dan memecat pekerja. Saya membuat banyak kesilapan tetapi kini saya telah belajar mengimbangi personaliti saya.

“Dahulu saya terlalu baik hati dan sukar sangat memecat sesiapa atau membuat keputusan yang akan menyakiti hati seseorang.”

Dia berjaya membina penetapan minda “berkata benar dengan perasaan sayang”. Ini  bermakna dia belajar untuk memindahkan sifat mengasuh kepada sifat yang lebih tegas apabila berhadapan dengan kelemahan pekerja tetapi masih tetap dengan matlamat untuk membantu mereka berkembang.

Yin dan Yang

Suaminya pula terbalik — dia sedang belajar mempertajamkan kemahiran berurusan sesama orang.

“Kadang-kadang saya terpaksa menjadi ‘penulis iklan’nya dan menapis penulisannya,” kata Goh. 

“Sebelum dia menghantar e-mel, saya akan membacanya dahulu dan menasihatinya agar ‘jangan berkata sedemikian’. Dia pandai menyampaikan mesej tetapi tidak memikirkan bagaimana dia patut berbuat demikian. Saya rasa dia masih perlu belajar menjadi lebih relasional.  

“Saya bukanlah ingin menggelar kami berdua sebagai yin dan yang tetapi saya rasa gandingan ketua lelaki dan wanita adalah resepi kejayaan kerana secara jujurnya mereka mengimbangi antara satu sama lain.”  

Terlalu fokus kepada matlamat?

Natalie Sit (duduk, kedua dari kiri) dengan pasukan Acestar di Maldives

Seorang pemimpin wanita Malaysia yang mempunyai gaya kepimpinan seperti Zaggia ialah Pengasas dan KPE Acestar, Natalie Sit. Berbekalkan bakat dalam bidang jualan, usahawan teknologi ini menubuhkan syarikatnya di Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, kemahiran itu tidak dapat dimanfaatkan untuk menguruskan tenaga pekerja.

“Saya fikirkan jualan adalah segala-galanya. Saya tahu saya bijak menguruskan jualan dan saya anggap yang saya juga boleh mengendalikan sebuah syarikat

“Ia sebenarnya sangat berbeza. Saya pernah berfikiran jika kita membayar gaji yang tinggi kepada tenaga pekerja, mereka akan bekerja dengan baik untuk kita.”

Lantas, dia menggunakan kemahiran berurus niaga dan tidak menghiraukan kemahiran berurusan dengan tenaga pekerja. Dan dia langsung tidak faham mengapa para pekerjanya tidak membuat kerja mereka dengan sepenuh hati sepertinya.

Apabila Sit pulang dari cuti panjang ketika tahun-tahun awal penubuhan Acestar, dia terkejut apabila ketiga-ketiga pekerjanya meletakkan jawatan. Dia terus mengikuti kursus kepimpinan di London untuk lebih memahami bagaimana membantu para pekerjanya berkembang.

Budaya syarikat

Dia belajar bahawa dia perlu membentuk budaya dalaman yang dapat membuatkan para pekerjanya bangga dengan kerja yang mereka lakukan. Bermula dari saat itu, dia terus mengembangkan syarikatnya. Buat masa ini, syarikatnya mempunyai 14 orang pekerja yang bermotivasi tinggi yang bersatu di bawah budaya syarikat yang mantap dalam suasana yang penuh harmoni.

“Saya sedar  jika saya menjaga pekerja saya, mereka akan menjaga klien-klien dengan baik,” katanya.

“Sekarang, saya sedia meluangkan masa saya dengan para pekerja kerana mereka adalah aset syarikat.

“Untuk membina sesuatu budaya, kita memerlukan sesuatu yang boleh kita kaitkan dengan diri kita. Itulah sebab mengapa kami mengadakan rombongan percutian syarikat supaya kami lebih mesra dan rapat.”

Percutian syarikat ini telah menjadi acara kemuncak tahunan bagi setiap pekerja Acestar. Tahun lepas, mereka pergi ke Jepun; awal tahun ini pula ke Maldives. Semangat bekerjasama telah menjadi tumpuan utama dalam perjalanan kepimpinan Sit dan dia sering menggalakkan pekerjanya untuk mengamalkan sikap ‘kekitaan’ dalam setiap kerja yang dilakukan.

“Gaya kepimpinan saya boleh dikatakan sebagai ‘lembut tetapi tegas’ dan sangat berfokus pada membina semangat berpasukan,” katanya.

“Untuk setiap tugasan yang diberikan, saya akan bertanya adakah anda boleh membuatnya secara sendirian atau lebih mudah jika dilakukan bersama-sama sebagai satu kumpulan?” 

Membawa kepimpinan ke peringkat antarabangsa

Menelusuri perjalanan kepimpinan bukanlah satu sahaja persamaan yang terdapat di antara kedua-dua pemimpin wanita ini. Kedua-dua mereka juga menyertai program Pecutan Rangkaian Inovasi Global (GAIN) anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). 

Melalui program GAIN, MDEC menyediakan platform yang telah membolehkan Piktochart membina reputasi sebagai salah sebuah syarikat multinasional yang terbesar di Pulau Pinang. Bagi Acestar pula, program ini telah menyediakan peluang membentuk hubungan yang mantap di luar negeri.

“Kami mempunyai hubungan yang baik dengan MDEC. Peluang menyertai program GAIN adalah sesuatu yang tidak akan kami lepaskan,” kata Goh.

“Mereka selalu mengambil tahu dan menolong sebaik mungkin, mengenal pasti di mana kelemahan syarikat kami dan membantu kami mencapai kejayaan. Kami merasa sungguh lega.” 

Sit juga bersependapat dengan Goh apabila dia bercerita tentang masa yang diluangkan dalam program itu.

“Saya berjaya membina syarikat saya ke satu tahap, tetapi memerlukan bantuan untuk ke peringkat antarabangsa,” akui Sit.

“Saya beruntung kerana berpeluang menyertai program GAIN yang bersungguh-sungguh dalam misi mengembangkan syarkat-syarikat Malaysia di rantau ini. Tanpa bantuan program ini, tidak mungkin saya mendapat akses ke peringkat antarabangsa. Saya terhutang budi kepada MDEC atas pemindahan pengetahuan dan segala bantuan perkembangan.

“Impian kami adalah untuk ke pentas global. Jika anda ingin berkembang ke luar batas Malaysia, program GAIN adalah platform terbaik untuk melakukannya,” kata Sit.

Seiring dengan visi meningkatkan ekonomi digital Malaysia, program Pecutan Rangkaian Inovasi Global (GAIN) dilancarkan oleh MDEC untuk memangkinkan perkembangan teknologi Perusahaan Kecil dan Sederhana tempatan yang berpotensi untuk menjadi pemain global menerusi kemasukan pasaran, kepimpinan dan perkembangan kebolehan, gangguan teknologi dan modal skala naik.Untuk maklumat lanjut mengenai:

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Use Your Natural Personality To Shape Your Leadership Style

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Visi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Sidang Kemuncak Kepimpinan Malaysia 2023

Kejayaan ke Masa Depan: Wawasan daripada Sidang Kemuncak Kepimpinan Malaysia 2023 (Bahagian 1)

Oleh Kiran Tuljaram dan Irfan Razali. Temui wawasan tentang kepimpinan, pengurusan perubahan dan banyak lagi daripada Sidang Kemuncak Kepimpinan Malaysia 2023. Serlahkan potensi sebenar anda dalam dunia yang semakin berkembang hari ini.

Jul 04, 2023 12 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Jadilah Pemimpin: Mengukir Sesuatu Kelainan Yang Ketara

Sesuatu kelainan yang ketara boleh diukir untuk meninggalkan impak yang besar. Tetapi, ia harus bermula dengan anda. Berikut adalah langkah-langkah yang anda boleh ikuti untuk mengukir sesuatu kelainan.

Feb 14, 2017 0 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest