Inilah caranya Profesor Madya Dr. Hajah Rohani Arshad memperkenalkan diri sewaktu pertemuan dengan Leaderonomics baru-baru ini.
Biarpun terasa beliau amat bangga sekali dengan kerjayanya apabila berkata demikian, tetapi insan ini rendah hati orangnya. “Panggil saya Rohani, tak payah Doktor atau Prof”, itu katanya.
Rohani ialah seorang pengamal dan pentadbir kejururawatan sejak dari tahun 1973, selepas menamatkan pengajiannya di St George Hospital, Kogarah, Australia.
Bermula sebagai seorang jururawat am berdaftar, beliau dinaikkan pangkat jawatan demi jawatan sepanjang perkhidmatannya di Hospital Universiti (kini dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Malaya) bawah naungan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Dua puluh lima tahun kemudian, semasa bertugas sebagai matron (penyelia jururawat) kanan, beliau mengambil keputusan untuk melawan arus. Rohani yang sepatutnya menyambung perkhidmatan dalam Pentadbiran Kejururawatan menukar angin ke bidang Pendidikan Kejururawatan. Hal ini berlaku selepas beliau berjaya mencapai ijazah Sarjana Sains dalam Kejururawatan dan Pendidikan di Universiti Edinburgh, Scotland.
Rohani menjadi pensyarah dan kemudiannya memegang tampuk sebagai Ketua Jabatan Sains Kejururawatan di Unit Pendidikan Kejururawatan di bawah Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Rohani kemudiannya bersara sebagai seorang profesor madya pada tahun 2008.
Persaraan tiada dalam kamus hidupnya
“Setelah 40 tahun menyumbang dalam industri penjagaan kesihatan, terutamanya kejururawatan, saya tidak boleh duduk diam. Saya masih rasa saya perlu lagi melengkapkan dan mendayaupayakan jururawat pada setiap peringkat, untuk menaikkan standard kejururawatan bagi kemaslahatan mereka.
“Mereka perlu sedar bahawa kerja jururawat bukanlah kerja yang tiada masa hadapan. Kerjaya ini membuka banyak pintu bagi peluang-peluang yang lain,” kata Rohani, pemenang anugerah Tokoh Jururawat Malaysia sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 2004 dan 2014.
Rohani kini merupakan Profesor Adjung di Fakulti Kejururawatan Universiti MAHSA dan Pengerusi Eksekutif bagi Nursing Professional Group (Kumpulan Profesional Kejururawatan). Syarikat pembangunan profesional dan pendidikan kejururawatan yang menggalas moto ‘Daripada Jururawat untuk Jururawat’ ini dimiliki dan dikendalikan oleh sekumpulan jururawat.
“Matlamat utama saya sebagai pensyarah kejururawatan adalah untuk mencabar, mendorong dan menyuntik inspirasi kepada pelajar dan jururawat lain supaya mereka berusaha menggapai matlamat dengan sebaik mungkin.
“Ini bermakna pesakit akan dapat menikmati penjagaan yang terbaik daripada pelajar-pelajar yang terbaik,” ujar satu-satunya jururawat yang telah menulis sebuah buku bertajuk Effective Communication in Nursing (Komunikasi Berkesan Dalam Kejururawatan) yang digunakan secara meluas.
“Pengalaman saya sendiri menjadi bukti bahawa jururawat merupakan kerjaya yang fleksibel dan terpulang pada mereka untuk menetapkan sejauh mana mereka mahu pergi,” kata Rohani.
Perjalanan luar biasa anak kedua daripada 12 beradik ini sememangnya memberi inspirasi; pada suatu ketika dahulu beliau pernah disuruh “duduk sahajalah di rumah dan menjaga adik-adik!”
Memupuk kepercayaan
“Hanya seseorang yang pernah mencuba benda yang tidak masuk akal mampu melaksanakan sesuatu yang nampak mustahil” ― Albert Einstein
Merenung kembali kembara hidupnya, Rohani terkenang perbualannya dengan ayahnya pada suatu masa dahulu.
“Apabila keputusan Senior Cambridge diumumkan, saya mendapat Gred 2. Saya cukup bangga dengan pencapaian yang diperoleh kerana walaupun perlu mengurus 10 orang adik, membuat kerja rumah dan menyiapkan kerja sekolah, saya berjaya mendapat gred tersebut!
“Tiada sesiapa memberi peluang kepada saya kecuali ayah. Ayah seorang sahaja yang sentiasa percaya dan memberi sokongan kepada saya.
“Apabila saya menyatakan hasrat untuk menjadi seorang jururawat hanya atas sebab mahu menyarung uniform putih yang segak itu, jawab ayah, ‘Kamu boleh menjadi jururawat tetapi bukan jururawat yang biasa-biasa, kamu mesti menjadi Profesor Dr. Hajah Rohani bte Hj. Arshad.’
“Saya membalas, “Ayah, jururawat mana boleh bergelar Doktor atau Profesor, itu hanya untuk doktor (perubatan).’ Ayah merenung dalam-dalam lalu tersenyum, seakan-akan mengetahui sesuatu.
“Hari ini, benih-benih kepercayaan yang disematkan pada saya menjadi realiti, walaupun pelbagai rintangan dan halangan yang menimpa.
Pada tahun 2013, ketika usianya mencecah 61 tahun, Rohani dianugerahkan ijazah Falsafah Kedoktoran dalam Pendidikan oleh Open University Malaysia.
Daripada seorang pelajar kejururawatan yang takut-takut semasa menuntut di Australia sewaktu zaman remajanya, Rohani pulang ke tanah air sebagai jururawat berdaftar di Hospital Universiti, dan terus mengorak langkah menjadi matron pertama di Malaysia yang beralih ke bidang akademik.
Inilah dia Profesor Madya Dr. Hajah Rohani bte Hj. Arshad. Ya, anak ayah ini telah merealisasikan visi bapa dan impian sendiri akhirnya menjadi realiti!
Melangkah keluar dari zon selesa
“Kapal yang berada di pelabuhan, keadaannya selamat tetapi ini bukanlah tujuan sebenar sebuah kapal dibina.” ― kata-kata pujangga
Penglibatannya dalam pelbagai bidang kejururawatan bertitik tolak dari saat beliau dipanggil untuk berjumpa dengan ketua jururawat di wad ginekologi. Namanya Mary Thomas.
“Rohani, kamu berjaya mendaki gunung yang curam dengan cemerlang namun kini kamu berada di takuk yang sama. Bangun dan teruskan pendakianmu. Kamu ada potensi untuk melakukan lebih lagi! Dan ingatlah, walaupun kamu di landasan yang betul, kamu akan tersungkur sekiranya tidak beranjak langsung!” ujar Mary.
Ini merupakan saat kesedaran buat Rohani. Sejak itu, beliau tidak pernah menoleh ke belakang. Nasihat yang diterima menjadikannya berani, kuat dan yakin untuk berganjak dari kepompong yang selesa setiap kali beliau berhenti sejenak di kepompong yang selesa sepanjang perjalanan kerjayanya.
Kata-kata pendorong ini jugalah yang meyakinkan beliau untuk meneruskan kembara ke tahap dan paras yang tidak pernah dijangka sewaktu beliau mula-mula melangkah kaki memakai uniform putih yang segak itu pada suatu ketika dahulu.
Jadi, memang betullah, sebuah cetusan mampu terus menyalakan api cita-cita. Adakah anda atau sesiapa yang anda kenali memerlukan cetusan sebegini? Apa lagi, semarakkan api cita-cita itu!
Amalan 5P
Dilahirkan di Terengganu, belajar dan membesar di Singapura, berkahwin dengan seorang lelaki yang berasal daripada keluarga Melayu Pulau Pinang, hakikatnya Rohani telah banyak mencapai kejayaan dalam hidupnya.
Apabila diajukan soalan berkenaan prinsip yang menjadi pegangannya, penerima Anugerah Pekerja Cemerlang dan Anugerah Dedikasi dari Universiti Malaya ini berkongsi:
Aman: Sentiasa mengekalkan keamanan dalaman dan luaran.
“Apabila seseorang menyakiti dan menjatuhkan anda, jangan bersedih kerana anda duduknya di atas, mereka ada di bawah.”
Nyalarasa: Betul-betul menyukai apa yang dilakukan, anda bakal menuai hasilnya.
“Orang ramai akan melempar kerikil di laluan perjalanan; kutiplah semua kerikil itu dan gunakannya untuk membina sebuah jambatan bagi anda mencapai cita-cita anda, bukannya dijadikan sebagai tembok penghalang.”
Cekap: Buat perancangan dan berusahalah untuk mendapat hasil yang menakjubkan; sentiasa sasarkan yang terbaik.
“Jika anda tidak meluangkan masa untuk membuat persediaan, anda akan membazir masa dengan membaiki kesalahan. Kisah yang lepas senang diungkit, namun tidak bagus untuk terus dikenang. Teruskan sahaja hidup anda.”
Tekun: Jangan putus asa. Dengar isi hati anda.
“Ambil risiko. Jika anda menang, andalah pemimpinnya. Jika kalah, anda akan beroleh pengajaran dan boleh membimbing orang lain untuk tidak membuat kesilapan itu. Jika berhadapan dengan konflik, jangan cabut lari. Berusahalah untuk menanganinya dengan jalan penyelesaian.”
Doa: Tuhan Maha Esa yang menentukan segalanya.
“Anda boleh merancang dan menentukan apa yang anda mahu dan inginkan, namun Tuhan Maha Esa yang akan mengabulkan doa dan usaha anda.”
Rohani juga menekankan keseimbangan tiga cabang dalam kehidupan yang merangkumi kerohanian, keperibadian dan kerjaya.
“Ketiga-tiga cabang ini mestilah seimbang. Sekali-sekala ada pertindanan tetapi kita harus sedar dan cepat-cepat betulkannya. Jangan menyendeng terlalu lama dalam mana-mana cabang,” nasihat Rohani, ibu kepada empat cahaya mata dan nenek kepada 11 orang cucu ini
Kejururawatan bukanlah kerjaya yang buntu
Berpegang teguh pada misinya untuk memberi ilham kepada jururawat supaya mereka terus membangunkan kemahiran kognitif bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dalam kerjaya kejururawatan, hakikatnya Rohani telah ‘membuka banyak pintu’ untuk orang lain.
Mariam Mohd Nasir A.M.N., bekas staf, memulakan kerjayanya sebagai jururawat berdaftar. Dia menyambung pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan, kemudian itu Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan. Dia juga memperoleh sijil dalam Pendidikan Kontinens, Ostomi dan Luka dari Hospital Princess Margaret di Hong Kong.
Mariam merupakan Ketua Pegawai Kejururawatan dan Ahli Terapi Enterostomi di Pusat Perubatan Universiti Malaya sebelum beralih arah menubuhkan syarikat sendiri iaitu M&T Network Consultancy.
“Dr Rohani? Pengaruhnya sangat besar dalam hidup saya. Beliau memberi impak yang besar dalam kerjaya saya. Beliau tidak pernah putus akal untuk membuat yang hebat-hebat. Insan ini dinamik orangnya. Saya mahu mengikut jejak langkahnya,” ujar Mariam, yang kini seorang penceramah yang sangat dicari-cari di peringkat antarabangsa.
Indiranee Batumalai, bekas pelajar Rohani, memulakan kerjayanya sebagai jururawat berdaftar pada tahun 1988. Berbekalkan Ijazah Sarjana dalam Sains Kejururawatan, dia kini memegang jawatan sebagai Matron Negeri Selangor di bawah Kementerian Kesihatan Selangor.
Haslina Zainuddin menamatkan pengajian dengan Diploma Kejururawatan pada tahun 1982. Dengan adanya bimbingan daripada Rohani, Haslina ‘memecah keluar’ dari zon selesanya.
Dia melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan, dan kini memegang jawatan sebagai Naib Presiden Perkhidmatan Korporat dan Pengurusan Bakat di Hospital Pakar DEMC Shah Alam. Haslina pernah bekerja di bawah Rohani sebagai seorang jururawat.
Dr. Tan Li Yoong adalah pelajar kejururawatan semasa Rohani berjawatan pensyarah, dan kemudian pensyarah muda semasa Rohani bosnya. Kini Dr. Tan ialah pensyarah kanan di Jabatan Sains Kejururawatan di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.
“Kepimpinan Rohani menyemarakkan transformasi. Beliau menentukan hala tuju, membantu orang lain melakukan perkara yang betul, menggalas visi penuh inspirasi dan mendorong orang lain menggapai visi tersebut,” ujar Dr. Tan.
“Memang menjadi harapan kami supaya lebih ramai jururawat, daripada 130,000 jururawat di Malaysia, akan terus memantapkan diri dengan kemahiran kognitif yang lebih baik supaya lama-kelamaan golongan jururawat akan menerima pengiktirafan bahawa mereka memikul peranan penting dalam industri penjagaan kesihatan,” kata Rohani.
Akhir kata
Kembara Rohani dan ‘anak-anak buahnya’ adalah bukti bahawa kejururawatan bukanlah kerjaya yang buntu, yang tiada masa hadapan. Sepertimana kerjaya yang lain, tidak ada hadnya. Hal ini bergantung pada kita untuk melompat lebih tinggi ataupun tidak.
“Berani bermimpi dan binalah laluan impian anda. Jika tidak, orang lain akan menggaji anda untuk membina impian mereka.”
Demikiankah nasihat Profesor Madya Dr. Hajah Rohani, pengamal kejururawatan, pentadbir, pendidik, penyelidik dan usahawan.