Buat Perbandingan Dengan Diri Bukan Orang Lain

Oct 15, 2018 1 Minit
perbandingan, planet

Kita semua melaluinya pada satu-satu masa dalam hidup kita.

Walaupun membandingkan diri dengan orang lain boleh memberi inspirasi atau mendorong kita untuk berusaha dengan lebih kuat, bagi kebanyakan orang ia boleh menjadi obsesi yang melemahkan serta menyebabkan kehilangan harga diri dan perkembangan diri.

Saya menerima banyak mesej daripada orang yang bertanya tentang pelbagai topik, dan mereka mempunyai persamaan dalam satu perkara iaitu mereka tidak melihat diri mereka sendiri.

Sebaliknya, mereka mengukur nilai dan kejayaan mereka dengan membandingkan diri dengan pencapaian orang lain.

Apa itu kejayaan?

“Saya rasa saya sepatut berjaya seperti kawan-kawan saya, tetapi saya rasa diri agak ketinggalan,” tulis seorang profesional muda yang runsing.

Dalam budaya di mana kebebasan kewangan dan status sangat dikagumi, orang muda terutamanya menggalas beban yang berat di bahu mereka.

Ibu bapa mereka mengharapkan supaya mereka berjaya setelah mendapatkan ijazah; mereka pula berasa tertekan apabila melihat rakan-rakan yang sedang bekerja dengan baik; atau mereka melihat pada usia mereka dan berfikir bahawa mereka patut menjadi lebih berjaya selepas mungkin 25 atau 35 tahun dari sekarang.

Lagipun, Mark Zuckerberg hanya berusia 23 ketika dia memperoleh bilion pertamanya.

Bill Gates lewat sedikit, dia mencapai status jutawan pada usia 31.

Berhenti berfikir yang awak melakukannya dengan salah. Jalan yang awak lalui tidak sama dengan orang lain kerana ia tidak boleh, tidak sepatutnya dan tidak akan. — Eleanor Brownn

Jauhi set minda yang membataskan

Apabila kita melihat hanya pada orang yang telah berjaya, kita menjadi mangsa kepada apa yang ahli psikologi sebut sebagai kemandirian berat sebelah.

Ia menerangkan tentang kecenderungan untuk memfokuskan kepada kisah-kisah kejayaan dan melupakan tentang cerita beribu-ribu orang lain yang tidak berjaya.

Sebagai contoh, katakan kita mempunyai 100 orang kawan dan, daripada 100 itu, empat daripadanya sangat berjaya.

Kita akan asyik memfokuskan kepada empat orang ini serta membandingkan diri kita dengan mereka lalu melupakan tentang majoriti 96 peratus yang berada pada tahap yang lebih kurang sama dengan kita.

Pada tahap peribadi, kemandirian berat sebelah mendatangkan keburukan bagi dua sebab utama:

  • Kita percaya bahawa kita gagal kerana kita tidak setaraf dengan contoh-contoh yang kita fokuskan; dan,
  • Ini membuatkan minda kita memupuk lebih banyak kepercayaan yang membataskan serta kata-kata negatif. Jika kita masih berada di takuk yang sama, kemajuan yang kita dambakan pasti lambat dikecapi kerana kepercayaan yang kita tidak sebagus mana makin menjadi-jadi.

Ia bukanlah sesuatu yang pelik jika kita membandingkan diri dengan orang lain – ia memberi kita rasa tentang kedudukan kita dalam dunia sosial; dan ia boleh menjadi kuasa pendorong jika kita tidak terbawa-bawa.

Akan tetapi, ramai daripada kita yang terbawa-bawa dalam membandingkan diri dengan orang lain. Dalam beberapa kes, ini mengakibatkan timbulnya tabiat pemikiran buruk yang memberi kesan kepada kesejahteraan psikologi serta persahabatan kita.

Namun begitu, terdapat beberapa alasan yang sangat baik mengapa kita harus berhenti dari membandingkan diri kita dengan orang lain.

Bagi saya, ia adalah kesedaran bahawa lebih masa yang digunakan untuk membandingkan diri kita dengan kawan-kawan dan rakan sekerja akan bermakna kuranglah masa yang digunakan untuk bekerja keras bagi mencapai tujuan yang ingin dikecapi.

Bantulah diri sendiri: jangan bandingkan diri dengan orang lain, kerana ia menidakkan kurniaan Tuhan. – Euginia Herlihy

Fokus pada usaha juga

Kita semua ada tempat kita di dunia ini. Kita mempunyai kekuatan dan kelemahan, juga laluan yang harus kita tempuhi.

Lebih penting lagi, kita semua meninggalkan belang kita di dunia ini – tidak kira apa maknanya ia kepada kita – dalam masa yang kita tentukan sendiri.

Pelukis Pablo Picasso dikenali kerana kepintaran seninya ketika umurnya 17 tahun.

Sebaliknya, Kolonel Sanders berusia dalam lingkungan 60-an sebelum francais KFCnya yang pertama dibuka di Amerika.

Bertentangan dengan kepercayaan, salah satu rahsia tersembunyi kejayaan adalah – lebih besar kejayaan yang dikejar, lebih perlahan langkah anda untuk mengecapinya.

Kita mendengar kisah-kisah tentang pemimpin dan usahawan yang mengerah kudrat mereka pada setiap minit sepanjang 18 jam sehari dan akhirnya mengecapi kejayaan.

Tetapi kisah-kisah ini tidak mengambil kira masa yang diambil oleh sebagai contoh, Elon Musk, untuk berada di kedudukannya sekarang, atau kepayahan dan kegagalan yang dilalui mereka.

Apa yang kita lihat dan dengar hanyalah persepsi indah tentang kejayaan tersebut, dan di situlah kita membuat perbandingan.

Sebaliknya, apa yang kita perlukan adalah anjakan dalam perspektif untuk melihat jumlah usaha dan kerja keras yang diambil untuk berjaya.

Bagi mereka yang menikmati kejayaan dalam masa yang singkat, kebiasaannya mereka mendapat banyak sokongan, nasib, pengaturan masa, dan faktor-faktor lain yang membuatkan kisah-kisah mereka nampak menarik dan mudah.

Tetapi kita harus memikirkan apa sebenarnya yang berlaku di belakang tabir, bukannya menghabiskan masa memfokuskan pada kisah kejayaannya sahaja.

Para pemimpin yang terhebat, iaitu mereka yang berjaya membuat bisnes mereka berkembang, tidak akan memperagakan perihal jutaan halangan yang mereka tempuhi demi mencapai impian menjadi ketua pegawai eksekutif (KPE) atau pengasas syarikat permulaan yang kaya-raya di LinkedIn setiap hari.

Para pemimpin terhebat adalah mereka yang menghabiskan banyak masa mereka membandingkan diri mereka hari ini dengan diri mereka semalam, bukan dengan orang lain.

Mereka bekerja untuk diri sendiri dan pasukan mereka, dan kisah mereka kebanyakannya menceritakan tentang kegagalan yang tidak berkesudahan. Kata-kata mereka seterusnya selalunya seperti ini, “Jadi, saya boleh berputus asa dan pulang, atau bermula dari bawah semula…”

Perbandingan hanya membuang tenaga. Setiap individu itu unik dengan bakat yang unik. Cari nyala rasa anda dan hiduplah sebaik mungkin. — Lailah Gifty Akita

Buat komitmen kepada diri sendiri

Ketika kecil, ibu bapa kita mengukur perubahan tinggi kita dengan tanda yang kita buat sebelumnya, bukan dengan tanda orang lain.

Kita tidak boleh mengawal pertumbuhan orang lain, tetapi kita mempunyai kawalan ke atas perkembangan kita mengikut masa.

Yang menjalani kehidupan anda adalah anda, dan satu-satunya perkara yang penting adalah pengalaman anda.

Apa yang dilakukan oleh orang lain, biarkan sahaja. Apa yang anda perlu lakukan adalah memberi fokus kepada cara anda membentuk masa hadapan anda sendiri.

Satu sahaja cara untuk keluar daripada penderitaan yang datang akibat membuat perbandingan dengan orang lain: berhenti melakukannya.

Mulai dari saat ini, buatlah komitmen kepada diri sendiri – di samping menjejak langkah dan mempelajari ilmu daripada orang lain, satu-satunya perbandingan yang anda harus lakukan dari sekarang adalah di antara diri anda dengan siapa diri anda 24 jam, seminggu atau enam bulan yang lalu.

Perkara paling penting adalah anda terus maju ke hadapan.

Jika anda tidak dapat terbang, maka berjalanlah; jika anda tidak dapat berjalan, maka merangkaklah; namun apa pun yang anda lakukan, anda harus bergerak ke hadapan. – Martin Luther King Jr.

Berkaitan: Infografik: Berhenti Membandingkan Diri Dengan Orang Lain

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik The Case Of Comparison: Does The Cost Outweigh The Benefit?

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Jurang

Menutup Jurang: Bagaimana Sebenarnya Meletakkan Pekerja di Tempat Pertama

Oleh Juliet Funt. Syarikat mendakwa mereka menghargai pekerja, namun bergelut untuk membiayai pembangunan pekerja. Bagaimana kita boleh merapatkan jurang dan benar-benar menyokong mereka?

Sep 17, 2024 5 Minit

Komunikasi

COVID-19 Merubah Komunikasi bersama Roshan Thiran

Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.

Mar 16, 2023 10 Min Podcast

Alt

Jadilah Pemimpin: Mengukir Sesuatu Kelainan Yang Ketara

Sesuatu kelainan yang ketara boleh diukir untuk meninggalkan impak yang besar. Tetapi, ia harus bermula dengan anda. Berikut adalah langkah-langkah yang anda boleh ikuti untuk mengukir sesuatu kelainan.

Feb 14, 2017 0 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest