Jujur Menilai Diri

Sep 11, 2017 6 Minit
air
Penilaian Diri Sendiri Membolehkan Kita Mengenali Diri Dengan Lebih Baik

Penilaian Diri Sendiri Membolehkan Kita Mengenali Diri Dengan Lebih Baik

Minggu lepas, saya menyedari bahawa saya memang teruk dalam membuat penilaian diri. Tetapi apabila saya bertanya kepada orang lain, saya menyedari bahawa bukan saya sahaja yang terkena ‘penyakit’ ini, malah hampir setiap kenalan saya.

Contohnya, 95% ibu bapa berasa anak mereka mempunyai prestasi melebihi tahap sederhana. Lebih daripada 98% daripada kita percaya kemahiran kepimpinan kita lebih daripada tahap sederhana.

Kebanyakan orang percaya mereka ‘berisiko rendah’ diserang penyakit jantung atau penyakit kritikal yang lain, tanpa mengira rejim senaman mereka.

Majoritinya bersifat optimis walaupun tidak realistik akan risiko kesihatan diri berbanding rakan sebaya yang lain. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan pelajar universiti sangat bagus meramal tempoh hubungan romantis rakan sebilik mereka akan bertahan, barbanding hubungan mereka sendiri.

Contoh-contoh sebegini jelas menunjukkan bahawa manusia tidak menilai diri sendiri secara objektif. Malah, kajian menunjukkan “kebanyakan orang mengaku mereka boleh membuat penilaian diri yang lebih tepat berbanding rakan sebaya”. Itu sendiri memaparkan betapa teruknya kita dalam menilai diri.

Ilusi positif

Beberapa tahun yang lalu, adik-beradik Chip & Dan Heath menulis buku yang hebat bertajuk Switch, yang menghuraikan bagaimana individu boleh menghidap ‘ilusi positif’. Mereka juga merumuskan bahawa kebanyakan orang menilai diri sendiri dengan teruk.

Mereka percaya ini disebabkan oleh ketakmampuan kita untuk berubah kerana kita sering hanyut dalam delusi kekuatan dan kelemahan diri, lalu kita berpendapat bahawa kita tidak perlu berubah. 

Dalam buku ini, dua beradik Heath ini menyokong hasil eksperimen yang dijalankan oleh ahli psikologi Peter Borkenau dan Anette Liebler. Eksperimen ini ditandakan sebagai kajian ‘Penyampai Cuaca Palsu’ (Fake Weatherman).

Pakar-pakar ini membawa masuk seorang penyampai cuaca yang palsu ke dalam sebuah bilik yang dipenuhi orang. Penyampai cuaca itu kemudian memberi laporan cuaca selama 90 saat.

Hadirin dalam bilik itu perlu meneka tahap kepintaran (IQ) penyampai cuaca tersebut. Mereka juga meminta penyampai cuaca palsu itu untuk meneka tahap IQ sendiri.

Apakah yang ditemui dalam kajian ini? Yang luar biasa, hadirin yang menjadi pemerhati memberi ramalan yang lebih tepat berbanding penyampai cuaca itu, walaupun mereka langsung tidak mengenalinya! 

Eksperimen ini kemudiannya diulangi dalam bentuk lain. Setiap kali dijalankan, hadirin yang tidak tahu apa-apa atau mempunyai pengetahuan terhad tentang latar belakang orang yang diperhatikan membuat penilaian yang lebih baik berbanding orang yang diperhatikan itu sendiri.

Kesedaran diri

Bagaimanakah ini berlaku? Setiap daripada kita sepatutnya boleh menilai diri dengan lebih baik daripada orang yang tidak dikenali, bukan? Tetapi berulang kali, nampaknya kita membuat telahan yang kurang tepat mengenai diri berbanding orang yang tidak kita kenali.

Kenapa ini terjadi? Hakikatnya ialah tiada sesiapa pun yang boleh menerima kebenaran tentang keburukan diri sendiri. Sukar juga untuk kita mengaku kita tidak sebaik orang lain, atau yang lebih teruk, terpaksa mengaku kesilapan diri.

Tetapi pemimpin yang mencari penilaian diri berbuat demikian kerana mereka mahu terus belajar dan berkembang. Tanpa kesedaran ini mereka kekal dalam takuk lama.

Tanyalah mana-mana pemimpin, kebanyakan daripada mereka akan bersetuju bahawa kesedaran diri penting untuk berjaya. Lebih mendalam kesedaran diri, lebih hebat pemimpin itu. Malangnya, kebanyakan pemimpin tidak mempunyai masa untuk refleksi kendiri.

KPE yang PEDIT

Beberapa tahun lepas, seorang ketua pegawai eksekutif (KPE) meminta saya supaya melatih barisan pemimpin organisasinya. Apabila saya duduk berborak dengannya, dia betul-betul berasa jengkel dan berang dengan kualiti pemimpin bawahannya.

Malah, dia menggunakan perkataan yang kasar seperti ‘bodoh’ dan ‘tak berguna’ untuk menekankan betapa teruk orang bawahannya itu. Saya mendengar dengan teliti dan berkata saya akan berjumpa kembali dengannya setelah bertemu dan membuat penilaian tentang orang bawahannya.

Yang memeranjatkan, semasa bertemu barisan pemimpin organisasi ini, hasil yang diperoleh tidak bertepatan dengan versi yang disampaikan KPE itu.

Berkaitan: Adakah Anda Kenal Diri Sendiri?

 

Ini membuatkan saya tertanya-tanya. Maka saya memberitahu KPE tersebut bahawa saya memerlukan masa untuk menentukan apakah isu sebenar dalam organisasi ini. Dia tetap dengan pendiriannya bahawa dia mempunyai barisan pemimpin yang berprestasi teruk.

Yang pelik, dalam semua ceritanya, dia seperti ayam yang berkokok tanpa henti; dia seorang sahaja yang memajukan perubahan dan yang menentukan agenda bagi ahli lembaga organisasi.

Namun, kesemua pemimpin yang melapor kepadanya sama-sama bekerja keras untuk kejayaan organisasi dan mereka percaya KPE itulah penyebab organisasi mereka tidak berkembang.

Apabila saya cuba ‘melatih’ KPE itu, dia mempertahankan dirinya dan terus menegaskan bahawa dirinya betul dan orang lain tidak tahu apa-apa. Keadaan ini berlanjutan selama empat minggu sehinggalah saya berterus-terang memberitahunya bahawa dia mungkin menghidap penyakit PEDIT.

Dengan serta-merta, dia memandang tajam terhadap saya dan bertanya apakah jenis penyakit itu dan bolehkah ia diubati. Saya menjawab,

“Penyakit PEDIT ini berlaku apabila kita menilai diri dengan teruk. PEDIT bermaksud Penilai Diri yang Teruk. Dan satu-satunya cara untuk mengubati penyakit ini adalah dengan membuat renungan diri dan menanggung tanggungjawab untuk tindakan sendiri.”

Saya digugurkan dari tugasan itu dan tidak bertemunya lagi. Khabarnya, tidak lama kemudian, dia juga kehilangan jawatannya sebagai KPE.

Penilaian diri di tempat kerja

Di tempat kerja, penilaian diri yang tersasar tidak hanya terhad kepada KPE dan pemimpin kanan. Para pekerja juga membuat anggapan yang berlebihan tentang kemahiran diri, menjadikannya sukar untuk menyampaikan maklum balas yang betul-betul kepada mereka.

Sangat sukar untuk berbincang dengan pekerja yang ‘tahu’ semua dan berasa dirinya sentiasa betul. Malah, saya selalu berwaspada terhadap calon sedemikian dan tidak akan menawarkan mereka pekerjaan apabila dapat mengecam sikap sebegini semasa temu duga.

Penilaian diri dan wanita

Pada tahun 2015, Talent Corp melancarkan Program Galakkan Wanita Kembali Bekerja untuk menggalakkan kaum wanita kembali ke dunia kerja. Salah sesuatu yang kaum wanita perlu sedar adalah cara menulis penilaian diri.

Andrea Kramer, rakan kongsi firma guaman dan penganjur kaum wanita, percaya bahawa kaum wanita tidak menggunakan proses penilaian diri dengan baik. Mereka kerap memberi penilaian diri yang rendah dan kekok menyatakan diri yang bertanggungjawab untuk sesuatu hasil kerja yang baik.

Dia menganjurkan bahawa kaum wanita mesti membuat penilaian diri yang bagus dan jangan terlalu, mahupun kurang, menyatakan kesungguhan diri.

Kaum lelaki pula pandai menunjukkan lebihan keyakinan diri, terutama dalam bidang yang mereka kenali. Tetapi kaum wanita pula cenderung berlaku sebaliknya biarpun mempunyai kemahiran dan pengetahuan.

Jadi, pada ketika kita berjaga-jaga supaya tidak memandang diri setinggi langit, kita juga harus berwaspada terhadap melakukan yang bertentangan dan memaparkan diri di bawah tahap keupayaan sebenar. Ini biasanya berlaku semasa sesi penilaian prestasi apabila kita membuat penilaian diri dan tidak mengambil pujian untuk kerja baik yang dilakukan.

Langkah-langkah menilai diri 

Pokoknya, pandangan kita tentang diri selalunya berbeza daripada tingkah laku dan prestasi kita yang sebenar. Kita biasanya menilai diri terlalu tinggi (atau terlalu rendah). Jadi, bagaimana caranya untuk kita menjadi penilai diri yang lebih baik? Berikut adalah empat langkah untuk kita menjadi penilai diri yang lebih bagus:

  1. Kumpul maklumat. Sebelum membuat penilaian untuk diri sendiri, kita perlu mengumpul maklumat sebanyak mungkin daripada pelbagai sumber. Dapatkan maklum balas 360 darjah daripada rakan sekerja, pengurus dan sahabat handai. Isi mana-mana borang penilaian, termasuklah yang digunakan untuk pembangunan diri. Minta maklum balas yang jujur berkenaan kekuatan dan kelemahan diri daripada seramai orang yang mungkin.
  2. Analisis maklumat. Apabila anda telah mengumpul maklumat sebanyak mungkin, analisis data tersebut. Semak maklum balas dan cuba berlaku jujur pada diri sendiri. Jangan cuba mencari kesalahan pada data itu atau mencari alasan atau mempertahankan diri. Berfikiran terbuka semasa anda menganalisis data dan bayangkan anda sedang menganalisis data kepunyaan orang lain.
  3. Buat kesimpulan. Gariskan laporan terperinci tentang diri anda dengan jelas. Kenal pasti kekuatan, ruang untuk ditambah baik dan di manakah anda berbanding orang lain. Nyatakan dengan jelas dalam laporan itu betapa bagus (atau teruk) diri anda dalam pekerjaan, hubungan dan matlamat. Ini mungkin berat untuk dilakukan sendirian maka anda mungkin memerlukan pasangan atau kawan rapat untuk membantu anda dalam proses ini.
  4. Buat pelan tindakan. Akhir sekali, buat perancangan jelas untuk membaiki diri. Matlamat latihan ini bukan sahaja untuk pengetahuan kita tetapi maklumat yang diperoleh ini perlu diselaraskan dengan tindakan. Bina perancangan dan tetapkan tempoh masa yang jelas berkenaan cara untuk menangani kekurangan dan masalah diri.

Ingat, proses ini bukanlah untuk mencari kesalahan diri. Ia dilakukan untuk mengenal pasti ruang yang kita tidak berapa sedar – seperti situasi yang menyebabkan kita hilang sabar, bertikam lidah secara berlebihan, menipu atau apabila kita berasa terlalu bagus dalam sesuatu perkara. Kemudian bina suatu perancangan dan mulakan dengan membaiki diri.

Akhir kata

Kajian menunjukkan orang yang benar-benar mengenali diri berasa lebih gembira dan berpuas hati dengan kehidupan mereka.

Amat sukar sekali untuk betul-betul memeriksa diri dan karakter, termasuklah kekurangan dan keterbatasan diri. Namun, dengan mengenali diri, kita mampu ‘melangkau lebih jauh’ dan mempunyai kesedaran yang lebih tinggi.

Hanya apabila kita sedar bahawa kita tidak ‘sempurna’ dan perlu ‘diperbaiki’, baharulah kita dapat berkembang dan membangun menjadi pemimpin seperti yang diidamkan.

Ingat, pengurusan diri hanya boleh berlaku apabila kita sedar diri sendiri terlebih dahulu. Kita tidak dapat ‘membaiki’ apa-apa sekiranya kita tidak mengetahui apakah yang perlu kita baiki.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Being Objective: Nobody Is Good At Self-Evaluation

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Alt

Cadangan Buat Kamu

Kerja

Lima Petua untuk Berhenti daripada Melakukan Kerja

Oleh Michelle Gibbings. Apabila "meja pejabat" anda tidak pernah lebih daripada beberapa kaki dari anda, anda berisiko untuk tidak dapat berhenti kerja. Mempunyai sempadan yang sihat dan ingat untuk memutuskan hubungan dari kerja apabila perlu.

Jan 09, 2023 3 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Jadilah Pemimpin: Mengukir Sesuatu Kelainan Yang Ketara

Sesuatu kelainan yang ketara boleh diukir untuk meninggalkan impak yang besar. Tetapi, ia harus bermula dengan anda. Berikut adalah langkah-langkah yang anda boleh ikuti untuk mengukir sesuatu kelainan.

Feb 14, 2017 0 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest