Anda Konduktor Orkestra?

Sep 12, 2017 5 Minit
Alt
Untuk Berjaya, Anda Harus Berfikir Seperti Seorang Konduktor Orkestra

Pada tahun 2004, saya menonton The Apprentice musim pertama di mana Donald Trump memecat seorang peserta pada setiap episod.

Pada episod  terakhir, dua orang peserta sahaja yang tinggal – Kwame Jackson dan Bill Rancic. Donald Trump kemudiannya memecat Jackson. Rancic dinobatkan sebagai pemenang pertama The Apprentice.

Dilahir dan dibesarkan di Chicago, Rancic memang telah lama terpaut dengan dunia keusahawanan. Perniagaan pertamanya adalah menjual pankek bersama neneknya.

“Saya belajar membuat pankek dengan nenek saya. Dia akan menjemput kawannya untuk makan sarapan tengah hari di rumah. Sedang saya mengemas pinggan dari meja, saya mendapati bahawa setiap wanita berambut biru telah meninggalkan nota $5 di bawah pinggan masing-masing. Saya mula memujuk emak saya supaya menghantar saya ke rumah nenek setiap hujung minggu. Di situlah bermulanya perjalanan keusahawanan dan kepimpinan saya.”

Rancic percaya,

“untuk berjaya, anda harus berfikir seperti seorang konduktor orkestra. Seorang konduktor orkestra mungkin bukan pakar bermain setiap alat muzik, tetapi dia tahu bagaimana membuat kesemuanya bergabung secara harmoni dan menghasilkan bunyi yang indah.”

Ini membuatkan saya berfikir. Berapa ramai pemimpin perniagaan yang sama seperti konduktor orkestra? Atau adakah mereka lebih selesa memainkan ‘alat masing-masing’?

Kebanyakan konduktor orkestra memulakan karier dengan kemahiran bermain satu jenis alat muzik. Tetapi, untuk memimpin orkestra, mereka mencipta semula peranan daripada seorang pakar menjadi pemimpin untuk memastikan kesemua alat muzik dimainkan bersama dengan sempurna demi menghasilkan muzik yang mengagumkan.

Kebisingan menjadi muzik yang mengagumkan

Menurut pakar dalam bidang orkestra dan kepimpinan, Itay Talgam, cara memimpin orkestra boleh dijadikan model untuk mengurus kumpulan.

Semasa Forum Ekonomi Dunia di Davos, Talgam menganjurkan bahawa seseorang boleh belajar ‘prinsip-prinsip memimpin’ dengan memahami kaedah bekerja konduktor orkestra yang unggul.

Menurutnya, konduktor orkestra menghadapi cabaran kepimpinan paling tinggi. Dia terdaya mencipta harmoni murni tanpa mengeluarkan sepatah perkataan pun. 

Talgam menambah, “Dalam keadaan kucar-kacir, seorang konduktor orkestra boleh mencipta susunan. Bunyi bising menjadi muzik.” Seorang pemimpin perniagaan juga sama kerana dia perlu mencipta keselarasan yang sempurna dalam perniagaan.

Pada satu sesi TEDTalk, Talgam menceritakan tentang konduktor orkestra yang mempunyai stail yang berbeza.

Riccardo Muti ialah seorang konduktor orkestra yang suka memerintah, sehingga menimbulkan rasa tidak gembira di kalangan ahli orkestranya. Dia menerima surat yang ditandatangani oleh 700 pemuzik La Scala, memintanya supaya meletakkan jawatan.

Mengapa? Kerana dia tidak membenarkan ahli muziknya berkembang. Mereka merasa diri diperlakukan sebagai alat muzik, bukan sebagai rakan.

Perkara yang sama boleh diperkatakan tentang sesetengah pemimpin autoritatif; mereka sememangnya berwibawa tetapi mempunyai pekerja yang sangat tidak gembira.    

Talgam memberi contoh beberapa lagi jenis konduktor orkestra. Akhirnya dia memaparkan konduktor yang ‘sempurna’ — iaitu seseorang yang membenarkan setiap pemuziknya melahirkan perasaan, namun begitu dia masih dapat menguasai orkestra supaya tiada cacat cela.

Talgam juga menunjukkan tayangan video kejadian yang tidak diingini berlaku untuk konduktor orkestra yang ‘sempurna’ ini di mana pemain trombonnya memainkan nada sumbang. Dia tidak panik malahan membimbing pemainnya kembali supaya harmoni dapat dicapai semula dalam orkestra itu.

Memahami kumpulan anda

Seperti konduktor orkestra, pemimpin sesebuah organisasi mempunyai cabaran yang sama. Dia perlu mencipta harmoni yang sempurna di kalangan pelbagai pemboleh ubah dalam perniagaan bagi memastikan produk yang dicipta adalah ‘cantik’ dan memberi keuntungan.

Talgam berkata seorang konduktor orkestra yang terbaik memahami pemuziknya, membenarkan mereka berkembang, melayan mereka dengan hormat, dan membimbing mereka menghasilkan muzik yang indah.  

Sebagai seorang pemimpin, anda mungkin mempunyai strategi yang sebaik simfoni nukilan Mozart, tetapi jika orkestra tidak dipimpin dengan baik, ia hanya akan mengeluarkan bunyi bising dan bukannya muzik.

Berkaitan: Giat Berlatih Untuk Mencapai Kecemerlangan

10 pengajaran kepimpinan terbaik 

Di sini saya menggariskan 10 pengajaran kepimpinan terbaik yang dapat dipelajari daripada konduktor orkestra (beberapa pengajaran dipetik daripada karya terbaik Michael Hyatt tentang Konduktor Simfoni):

  1. Konduktor orkestra terbaik selalu bermula dengan skor muzik – bagaimana muzik itu akan didengari? Adakah anda mempunyai visi jelas tentang matlamat akhir anda? Adakah anda punyai rancangan (skor muzik) yang dapat membantu anda mencapai matlamat?  
  2. Berlatih dan terus berlatih sehingga mencapai kesempurnaan. Untuk menghasilkan konsert terbaik, latihan perlu dilakukan tidak kira betapa bagusnya konduktor orkestra itu. Adakah anda “melatih untuk menyempurnakan” kepimpinan anda? Atau adakah anda menganggap yang anda akan, secara automatik, melahirkan kepimpinan ‘muzik’ terbaik tanpa latihan?
  3. Konduktor orkestra yang baik membenarkan pemuziknya memberikan yang terbaik pada masa yang tepat. Mereka memastikan pemuzik merasa penting, diterima dan selamat. Konduktor orkestra memerlukan pemuziknya. Begitu juga seseorang pemimpin memerlukan pengikutnya dan memerlukan masa untuk mengembangkan anggota kumpulannya.  
  4. Konduktor orkestra mengetuai dengan hati mereka dan mempunyai minat yang sangat mendalam terhadap pekerjaan mereka. Adakah anda ghairah dengan visi dan misi organisasi anda? Adakah anda mengetuai dengan keghairahan dan keyakinan? Keghairahan seorang pemimpin itu selalunya berjangkit dan secara amnya, akan menjalar ke dalam organisasi itu. 
  5. Konduktor orkestra sedar akan kepentingan gerak isyarat dan impak mereka. Gerak isyarat mereka harus tepat, jika tidak pemuzik tidak dapat mengikuti rentak. Semua yang dibuat ada maksudnya. Adakah anda pemimpin yang ada tujuan?  
  6. Konduktor orkestra berkongsi pentas dengan pemuziknya. Apabila konsert tamat dan penonton bertepuk  tangan, konduktor berpaling ke arah penonton dan tunduk memberi hormat. Konduktor yang baik akan terus berpaling semula dan menjemput pemuziknya untuk berkongsi penghargaan. Adakah anda pemimpin yang berkongsi penghargaan dengan ahli kumpulan?
  7. Konduktor orkestra yang baik bukanlah manusia luar biasa. Mereka tidak membuat segala-galanya. Sebenarnya mereka mengagihkan tugas kepada mereka yang lebih berkemahiran. Konduktor orkestra muncul di atas pentas apabila tiba masanya untuk memimpin. Pemimpin yang hebat tahu bila dia sepatutnya memimpin dan bila masanya melepaskan tanggungjawab sebagai ketua kepada orang lain. Tahukah anda bila masanya untuk memimpin?  
  8. Konduktor orkestra fokus pada tugasnya dan membelakangi penonton. Pemimpin baik memberi perhatian kepada tugas di hadapan mereka daripada memikirkan atau risau tentang apa yang diperkatakan atau dibuat di belakang mereka. Steve Jobs adalah contoh terbaik seseorang yang membelakangi audiensnya. Beliau tidak peduli apa yang dikatakan orang; beliau cuma ingin mereka mencipta produk yang akan menggembirakan audiens.
  9. Konduktor orkestra selalunya berdiri atas platform dan boleh dilihat oleh setiap anggota orkestranya. Ini untuk memastikan orkestra itu kekal dalam jajarannya. Adakah anda pemimpin yang senang ditemui pekerja dan ahli kumpulan anda? Atau adakah anda pemimpin yang kurang meluangkan masa dengan ahli kumpulan dan mengakibatkan salah jajaran dalam perniagaan?
  10. Konduktor orkestra yang bagus memimpin.Kebanyakan pemuzik dalam orkestra lebih berbakat daripada konduktornya. Mereka adalah pakar pemain alat muzik masing-masing. Mereka memerlukan pemimpin untuk membimbing mereka, bukan untuk nasihat teknikal. Samalah juga dalam organisasi. Kebanyakan pemimpin bukanlah pakar teknikal atau fungsian. Mereka mestilah bijak memberi inspirasi, mencipta keseronokan, mempunyai visi yang jelas dan memimpin. Adakah anda seorang pemimpin?

Akhir kata

Kembali kepada Rancic dan ceritanya. Saya bertanya kepada Rancic bagaimana dia memenangi The Apprentice? Katanya,

“dengan memikirkan  setiap langkah dan menukar rancangan apabila dikehendaki.”

Rancicl memenangi rancangan realiti itu kerana dia mencipta “muzik” terbaik buat Trump.

Bagaimana dengan anda? Adakah anda mengepalai kumpulan anda menuju kejayaan? Adakah anda konduktor orkestra yang baik? Adakah anda seorang pemimpin?

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Are You A Conductor?

Sumber foto utama: therakyatpost.com

 

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Alt

Cadangan Buat Kamu

Kepimpinan

Kepimpinan dan Pertumbuhan: Pembiayaan Pintar Untuk Pertumbuhan

Perjalanan pembiayaan inovatif untuk pertumbuhan melibatkan membuat keputusan strategik, menggunakan teknologi, mengimbangi risiko dan ganjaran, berfikir ke hadapan, dan komited kepada kemampanan jangka panjang.

Jan 22, 2024 5 Minit

Komunikasi

COVID-19 Merubah Komunikasi bersama Roshan Thiran

'Tamparan Idea' ialah podcast Bahasa Melayu yang mengupas topik dan isu semasa berkaitan dengan kepimpinan. Program ini diceriakan oleh Waheeda Hasbullah, seorang pengacara yang sentiasa membawa aura gembira kepada anda semua. Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.

Mar 16, 2023 10 Min Podcast

Alt

Jadilah Pemimpin: Mengukir Sesuatu Kelainan Yang Ketara

Sesuatu kelainan yang ketara boleh diukir untuk meninggalkan impak yang besar. Tetapi, ia harus bermula dengan anda. Berikut adalah langkah-langkah yang anda boleh ikuti untuk mengukir sesuatu kelainan.

Feb 14, 2017 0 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest