Jasamu Dikenang, Cikgu

May 15, 2018 1 Minit
jasa seorang cikgu

Saya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Malik, Kulim. Lepas itu, saya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah, juga di Kulim, untuk persekolahan menengah. Sepanjang persekolahan saya, saya sungguh bertuah dibimbing oleh guru-guru yang bukan sahaja mengambil berat tentang kualiti pembelajaran tetapi juga pembentukan perwatakan saya. Daripada kalangan mereka, saya belajar beberapa nilai murni. Antaranya:

Bertanggungjawab dan bersikap positif

Ibu saya, Puan Syamala, adalah idola saya. Dia adalah tenaga pengajar di sekolah rendah saya dan juga mengajar saya di darjah 4. Dia menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab — mengambil berat tentang murid-muridnya dan memberi komitmen penuh dalam sesi pembelajaran. Dia sentiasa menggalakkan anak muridnya supaya bersikap positif dalam menghadapi sebarang cabaran dan dugaan hidup.

Berdisiplin tinggi

Tuan Utam Singh adalah guru penyelia sesi petang ketika itu. Semua murid sangat takut dengannya kerana standard disiplinnya yang amat tinggi. Namun, saya amat menghargai sumbangannya memupuk sifat disiplin yang tinggi dalam anak-anak muridnya. Ini kerana disiplin tinggi memang satu sifat yang amat penting dalam dunia kerja yang sibuk dan penuh cabaran.

Ulang, ulang, ulang

Encik Iskandar mengajar saya selama dua tahun. Salah satu teknik pengajarannya ialah pengulangan setiap perkataan sebanyak 20 kali supaya kami mengingati ejaan perkataan tersebut. Latihan bertubi-tubi itu menjadikan saya amat yakin semasa menulis karangan panjang.

Bersikap tenang dan bertekad kuat

Semasa saya ke Tingkatan 1, saya tidak pasti tentang kelebihan saya. Kerana saya suka menyanyi walaupun suara tidak seberapa merdu, saya menyertai sesi uji bakat kumpulan koir sekolah. Saya terpilih dan mewakili sekolah dalam beberapa pertandingan koir sehingga Tingkatan 5. Pengalaman menyertai kumpulan koir sekolah adalah detik yang amat manis. Saya amat berterima kasih kepada Cik Edna Lim kerana memberi saya peluang tersebut.

Penulis bersama kumpulan koir sekolah, dengan Cik Edna Lim (tengah)
Penulis (baris depan, pertama dari kiri) bersama kumpulan koir sekolah, dengan Cik Edna Lim (tengah)

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, seperti segelintir pelajar tidak menghadiri sesi latihan, atau nada nyanyian yang kurang tepat, Cik Lim sentiasa senyum dan bertekad memastikan bahawa kami, sebagai sebuah kumpulan, mencapai tahap tertinggi dalam persembahan kami.

Mengenal pasti cabaran dan mengambil langkah

Saya amat berminat dalam Matematik sejak dari kecil lagi. Tetapi entah kenapa, salah satu subjek yang amat mencabarkan dalam Tingkatan 4 adalah Matematik Tambahan. Saya mengambil masa yang terlalu lama untuk menyelesaikan setiap soalan, justeru saya tidak dapat menghabiskan seluruh kertas soalan.

Puan Vazvarasi, guru Matematik Tambahan semasa saya di Tingkatan 5, sering memberi latihan tubi. Walaupun dia tegas dengan murid-muridnya, saya menghargai langkah yang diambilnya. Setelah membuat latihan demi latihan bertubi-tubi kali, berserta dengan pelbagai tip menjawab soalan dengan teliti dan pantas, saya mula bertambah yakin dan dapat menyelesaikan soalan-soalan dengan lebih cepat.

Buat selebihnya

Semasa saya di Tingkatan 5, guru Bahasa Malaysia ialah Puan Habibah. Walaupun saya menghadiri tuisyen, saya masih tidak dapat menulis karangan yang bertaraf cemerlang. Saya pun berjumpa dengannya untuk mendapatkan nasihat. Katanya, saya perlu lebih giat membaca dan kedua, saya perlu menghayati perkara yang saya tulis. Walaupun ada struktur yang perlu diikuti, karangan saya perlu ada elemen-elemen kreatif dan pada kala tertentu, bernada personal. Saya pun mengikuti nasihatnya.

Yang saya cukup bersyukur ialah kesudiannya memeriksa karangan tambahan yang saya tulis setiap dua minggu, biarpun ini merupakan beban kerja tambahan baginya. Berbekalkan latihan bertubi-tubi ini, keyakinan dan kemahiran saya bertambah, dan akhirnya saya mendapat keputusan yang cemerlang.

Terima kasih daun keladi dan Selamat Hari Guru kepada cikgu-cikgu saya, dan semua warga pendidik di negara kita, Malaysia!

 

Pravin Nair berasa amat bertuah diberkati dengan guru-guru yang cukup bertanggungjawab dan prihatin terhadap prestasi anak-anak murid mereka. Dia berazam meneladani mereka dalam kembara kerjaya dan hidupnya. Untuk menghubunginya, anda boleh menghantar e-mel ke editor@leaderonomics.com.

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Nilai Murni, Perwatakan

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Pemimpin yang Bersedia untuk Masa Depan

Adakah Anda Seorang Pemimpin yang Bersedia untuk Masa Depan?

Oleh Michelle Gibbings. Semasa ketidaktentuan dan perubahan, pemimpin berada di pusat tindakan, memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah, mengurus pihak berkepentingan dan banyak lagi. Baca di sini beberapa prinsip asas abadi untuk menyediakan anda untuk masa hadapan.

Nov 08, 2022 4 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

'Tamparan Idea' ialah podcast Bahasa Melayu yang mengupas topik dan isu semasa berkaitan dengan kepimpinan. Program ini diceriakan oleh Waheeda Hasbullah, seorang pengacara yang sentiasa membawa aura gembira kepada anda semua. Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Manfaatkan Bakat Anda

Setiap orang mempunyai bakat istimewa yang tersendiri. Baik kita pandang ke dalam, cungkilkan dan manfaatkan bakat kita itu.

Aug 16, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest