Pengajaran Kepimpinan Penuh Inspirasi Daripada Tun Mahathir

Nota: Seorang warga asing yang menetap di Malaysia menulis refleksi yang menginspirasikan ini (dalam bahasa Inggeris – skrol ke bawah) berkenaan Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun Mahathir), yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Yang Ketujuh pada 10 Mei 2018. Biarpun kami tidak tahu siapa penulis ini, tetapi refleksinya kami terjemahkan dan kongsikan di sini memandangkan kita boleh mengambil ikhtibar daripadanya.
Kebelakangan ini saya telah mengikuti ucapan-ucapan Tun Mahathir yang amat menginspirasikan dalam banyak cara. Mari kita menatapi beberapa pengajaran daripada beliau.

1. Umur
Umur cuma angka. Mereka yang berjaya tidak risau tentang umur mereka. Ia tidak mendefinisikan siapa mereka, serta keupayaan mereka untuk berfikir dan bertindak. Apabila anda mempunyai minat mendalam dalam sesuatu, anda akan mengerahkan semua tenaga dan otak anda untuk mengejar tujuan anda hingga akhir hayat.
2. Tentukan nasib sendiri
Hampir setiap hari, ada orang yang bercakap tentang umur Tun Mahathir, keupayaannya untuk berfikir dan membuat keputusan, dan kesilapan beliau pada masa lepas.
Tetapi tiada sebarang apa pun yang menghalang atau memperlahankannya. Beliau tahu dengan tepat sekali apa yang dikehendakinya, dan tidak menghiraukan semua persepsi yang tidak membantunya mencapai matlamat-matlamatnya. Beliau mengajar kita ‘menjadi tuan kepada nasib sendiri’, ‘jangan benarkan orang lain menentukan nasib anda’.
Berkaitan: Nasib Manusia Siapa Yang Tahu
3. Berjiwa pahlawan
Pahlawan ialah seseorang yang sedia berkorban asalkan mencapai kemenangan. Ini bermakna bukan sekadar membuat sesuatu lebih daripada sepatutnya, tetapi selagi badan dikandung nyawa. Anda tidak berhenti. Anda tidak memberi alasan. Anda tidak lari dari cabaran. Anda berani berhadapan dengan masalah atau cabaran yang sukar.
Sesungguhnya, kita melihat sendiri bagaimana Tun Mahathir berhadapan dengan orang lain, pengkritik-pengkritik kuatnya dan kesediaannya untuk berhadapan dengan sesiapa pada bila-bila masa. Seorang pemimpin adalah seorang pahlawan dalam setiap aspek.
4. Pemimpin adalah pembaca
Seorang pembaca tidak semestinya seorang pemimpin tetapi seorang pemimpin pastinya seorang pembaca yang bersemangat. Kenapakah, malah pada umur 93 tahun, beliau boleh berpidato dengan begitu mahir dan kuat impak? Ini kerana beliau banyak membaca supaya tetap lengkap dengan semua pengetahuan dan maklumat yang diperlukan. Pengetahuan adalah kuasa.
5. Kuasa pujukan
Sebagai pemimpin, keupayaan anda untuk memujuk adalah teramat penting. Tengok sahaja bagaimana Tun Mahathir berjaya menyatukan mereka yang pada suatu masa dahulu telah mengkritik, malah tersangat bencikan, beliau. Kesemua mereka kini menerima beliau sebagai pemimpin mereka. Hakikatnya, seseorang pemimpin tahu bagaimana membangkitkan diri daripada yang lain biarpun wujud perbezaan kerana beliau mahir dalam seni pujukan.
6. Satu visi satu matlamat
Keputusan yang kuat patut disusuli tindakan yang tidak berkompromi. Tun Mahathir mahu menjatuhkan Perdana Menteri yang lepas. Itu begitu ketara. Tun Mahathir menggembleng pasukannya supaya berfokus, dan berjaya merangkul perhatian orang ramai terhadap apa yang dikatakan dan dibuatnya. Mesejnya tepat dan teliti, jelas dan berpusat pada orang ramai, menjadikan matlamatnya matlamat bangsa.
7. Mengurus emosi
Inilah kualiti paling penting yang diperlukan seseorang pemimpin. ‘Bukan peristiwa yang menentukan keputusan; cara anda memberi respons terhadap sesuatu perkara yang menentukan keputusannya’ adalah petikan yang terlintas dalam minda saya setiap kali Tun Mahathir berhadapan dengan cabaran.
Begitu kerap beliau berada di tengah-tengah situasi yang mencabarkan, sesetengahnya amat kritikal buat beliau. Walaupun nampak mustahil, beliau telah memaparkan kemahiran dan keupayaan yang begitu menakjubkan, menguruskan emosinya, dan dengan itu mengawal setiap situasi dengan begitu baik sekali.
Pada usia 93 tahun, banyak lagi yang terkandung dalam jiwa insan ini yang mampu berbakti kepada negara kita, Malaysia!