Gen Z, Work-Life Balance dan Masa Depan Tempat Kerja

imej dari @Lifestylememory dari freepik.com
Gen Z kini menjadi tumpuan perbincangan, khususnya dalam dunia pekerjaan. Mereka ialah generasi yang dikenali dengan keinginan terhadap fleksibiliti, keseimbangan hidup, dan kadangkala berdepan cabaran menyesuaikan diri di tempat kerja.
Menurut laman web e-Central, penamaan “Generasi Z” sebenarnya terhasil daripada undian secara dalam talian yang dijalankan oleh akhbar USA Today pada tahun 2012. Ia merupakan kesinambungan logik daripada generasi sebelumnya, iaitu Generasi Y. Nama ini mencerminkan sifat generasi yang lahir dan membesar dalam era digital sepenuhnya.
Apa Maksud Gen Z?
Gen Z, atau turut dikenali sebagai Generasi Zoomers, merujuk kepada individu yang lahir antara tahun 1997 hingga 2012. Mereka membesar dalam dunia yang didominasi teknologi, menjadikan mereka dikenali sebagai digital natives. Gen Z menyaksikan perkembangan pesat media sosial, telefon pintar, dan teknologi digital sejak kecil lagi.
Akses kepada maklumat kini hanya berada di hujung jari mereka, namun pendedahan yang terlalu awal kepada dunia media sosial turut menyebabkan tekanan untuk kelihatan “sempurna”dan ini sering dikaitkan dengan isu kesihatan mental seperti stres dan kemurungan.
Apa yang Membezakan Gen Z?
Antara ciri utama Gen Z adalah:
- Bergantung kepada Teknologi
Generasi ini sangat bergantung kepada teknologi, mereka menggunakan telefon pintar dan internet untuk hampir semua aspek kehidupan seperti pendidikan, komunikasi serta hiburan. Mereka membesar dengan platform seperti Instagram, TikTok, YouTube, X, dan Threads. - Kesedaran Sosial dan Alam Sekitar
Gen Z lebih menunjukkan minat yang tinggi terhadap isu global seperti perubahan iklim, keadilan sosial, dan hak kebebasan bersuara. Mereka lebih cenderung menyokong organisasi atau jenama yang seiring dengan nilai-nilai mereka. - Keseimbangan Kerja dan Kehidupan (Work-Life Balance)
Berbeza dengan generasi sebelumnya, mereka tidak hanya mencari pekerjaan demi kestabilan kewangan, tetapi juga kerjaya yang lebih bermakna. Ramai dalam kalangan mereka sanggup memilih pekerjaan yang menawarkan work-life balance walaupun gaji tidak terlalu tinggi, asalkan dapat menjamin kelangsungan hidup. - Kesedaran terhadap Kesihatan Mental
Gen Z lebih terbuka membincangkan isu kesihatan mental. Mereka juga memanfaatkan teknologi seperti aplikasi meditasi, kaunseling atau platform psikologi dalam talian untuk menjaga kesejahteraan diri mereka.
Bagaimana Gen Z Mengubah Dunia Kerja
Dalam artikel World Economic Forum bertajuk “Tomorrow’s workforce changed yesterday – now what for businesses that want to be future-ready?”, dijelaskan bahawa Gen Z kini merupakan penggerak utama perubahan dalam budaya kerja global. Dengan nilai dan jangkaan yang unik, mereka bukan sahaja mencabar sistem kerja tradisional — malah sedang membentuk semula masa depan tempat kerja.
Ciri-ciri ini juga dapat dilihat dalam konteks Malaysia, di mana Gen Z:
- Mengutamakan fleksibiliti dan pekerjaan yang bermakna
- Lebih terbuka membincangkan isu kesihatan mental di tempat kerja
- Aktif menjalankan kerja sampingan atau side hustle
- Tidak teragak-agak untuk berpindah kerja jika nilai mereka tidak dihormati
Artikel ini mungkin menarik minat anda:
Bagaimana Gen Z Boleh Melangkah ke Peranan Kepimpinan Pertama Mereka
Work-Life Balance: Nilai Teras Gen Z
Salah satu nilai paling penting bagi Gen Z ialah keseimbangan antara kerja dan kehidupan (work-life balance). Mereka menolak idea “hidup untuk kerja”, sebaliknya memilih “kerja untuk hidup”. Bagi mereka, kejayaan bukan semata-mata berkaitan pangkat atau gaji yang tinggi, tetapi kemampuan untuk menjalani kehidupan yang sihat, seimbang dan bermakna. Menurut Deloitter Global 2024 survey, keseimbangan kerja-kehidupan merupakan keutamaan utama Gen Z dalam memilih kerjaya.
Permintaan Gen Z terhadap keseimbangan hidup merangkumi:
- Sokongan majikan dalam menjaga kesihatan mental
- Teknologi kerja yang lancar dan mesra pengguna, setanding dengan aplikasi harian mereka
- Hubungan kerja yang terbuka tanpa hierarki yang terlalu kaku
Mereka kini tidak terikat kepada satu pekerjaan sahaja. Ramai Gen Z bijak membina jenama peribadi, mengusahakan perniagaan digital, dan berkarya di platform seperti TikTok, Shopee, dan Instagram. Sebahagian besar Gen Z turut menjana pendapatan melalui kerja sampingan atau perniagaan dalam talian. Ada juga yang menjadi pempengaruh (influencer) dalam pelbagai niche seperti penjagaan kulit, kesihatan, dan gaya hidup.

Apa yang Organisasi Perlu Lakukan?
World Economic Forum menyarankan tiga strategi penting yang relevan untuk organisasi di Malaysia:
- Galakkan Kerjasama Pelbagai Generasi
Bina pasukan pelbagai yang terdiri dari pelbagai lapisan umur, hapuskan stereotaip, bias seperti “Gen Z terlalu manja” atau “generasi lama kolot”, dan wujudkan ruang dialog secara dua hala. - Latihan dan Upskilling yang Disesuaikan
Walaupun Gen Z mahir teknologi, mereka masih perlukan latihan praktikal yang interaktif dan relevan — seperti penggunaan AI, automasi dalam kerja harian. - Teknologi Berpusatkan Manusia
Organisasi perlu menggunakan teknologi untuk menyokong Gen Z memudahkan kerja, menjaga kesejahteraan, dan mengekalkan empati serta hubungan bermakna.
Gen Z adalah Masa Depan
Gen Z bukan lagi sekadar tenaga kerja pada masa depan tetapi mereka sudah berada dalam dunia kerja pada hari ini dan pengaruh mereka semakin kuat. Mereka bukan hanya menuntut beberapa perubahan, malah mereka sedang membentuknya satu per satu.
Organisasi yang mahu kekal relevan perlu:
- Menjadi lebih fleksibel, bukan kaku
- Mengutamakan nilai kemanusiaan, bukan hanya produktiviti
- Bersedia menerima pandangan dan budaya kerja baharu
Kepimpinan
Berlatarkan pendidikan dalam Bahasa dan Linguistik Melayu, Amirah Nadiah gemar membaca dan mengikuti perkembangan semasa, yang membolehkannya kekal peka terhadap pelbagai isu. Sebagai seorang Content Editor, beliau aktif dalam kerja terjemahan serta penghasilan kandungan yang menarik dan meyakinkan. Pada masa lapang, beliau suka berkongsi frasa self-love di platform X miliknya.