Buka Minda Kepada Perspektif Yang Berbeza

Apr 24, 2018 1 Minit
perspektif berbeza

Dalam imej di atas, adakah anda lihat garisan mendatar yang lurus atau garisan yang serong?

Semasa saya memegang jawatan kepimpinan di Eropah, Amerika Syarikat dan Asia, yang menarik bagi saya adalah bagaimana orang melihat sesuatu realiti yang sama tetapi membuat kesimpulan yang sangat berbeza.  

Ketika mengajar program kepimpinan IMD di Eropah, saya berkongsi pengalaman bekerja di General Electric. Saya terkejut sekali dengan reaksi yang saya terima.

Para peserta Asia mengerti bahawa organisasi hebat mendorong dan ‘memaksa’ kakitangannya menangani cabaran dan pengalaman yang sukar. Warga Eropah pula tercengang dan merasa kurang senang — berani syarikat memaksa kakitangannya bekerja begitu keras! Para peserta Amerika Syarikat dan Britain pula mendapati ia amat menyegarkan mempelajari bagaimana perkembangan berlaku di rantau lain. Perkongsian yang sama tetapi yang mendapat interpretasi makna yang cukup berbeza!

Kebolehan berkompromi

Apabila berbicara tentang kepimpinan, kualiti penting yang perlu ada pada seorang pemimpin adalah kebolehan untuk berkompromi apabila perlu — membina kepercayaan dan hubungan baik dengan mencari titik persamaan menerusi penghargaan dan pemahaman tentang perspektif yang berbeza daripada pandangan diri.

Kebanyakan daripada kita pasti pernah mengalami kebuntuan, di mana kita sangat yakin dengan tindakan terbaik yang diambil, atau bagaimana sesuatu kejadian itu berlaku. Di sudut lawan dan menanti untuk bertarung pula adalah rakan sekerja yang mempunyai pandangan tegar dan berbeza sama sekali dengan kita. Selalunya apa yang terjadi adalah kedua-dua pihak beria-ia untuk memenangkan pandangan masing-masing tanpa ingin berganjak.

Pada masa yang sama, kita mengetepikan matlamat bersama kerana kita terlalu fokus pada pendapat kita. Siapa yang kita tolong sebenarnya? Apa kebaikannya apabila kita mendengar untuk menjawab dan bukan untuk memahami? Selain untuk bermegah-megah buat sementara, adakah terdapat kebaikan lain dalam percubaan ‘menjaga air muka’, terutamanya apabila kita sendiri tidak pasti sama ada cara kita memang lebih baik daripada pandangan pihak yang satu lagi?  

Bagi menjawab soalan pada awal artikel ini, garisan-garisan mendatar itu adalah lurus; tetapi kerana kotak-kotak hitam dan putih yang ditindan tidak selari, imej itu memperdaya otak kita untuk melihat garisan-garisan yang menyendeng atau bengkok, bergantung kepada perspektif kita. Walau bagaimanapun, saya dapat mengagak bahawa pasti ada ramai orang yang akan mempertikaikannya, yang hanya akan menganggap bahawa perspektif mereka sahaja yang betul.

Komunikasi yang efektif

Apabila kita fikirkan tentang makna berkomunikasi, kita selalunya berbicara tentang menyampaikan mesej dalam bentuk lisan. Tetapi berkomunikasi secara efektif bermakna kita mendengar untuk mendengar; mendengar untuk memahami; dan memahami untuk belajar apa yang ingin diperkatakan orang lain serta mengapa.

Komunikasi adalah tentang memberi respons dan bukan memberi reaksi. Ia juga adalah tentang memberi ruang kepada orang lain untuk melahirkan pendapat dalam cara yang akan membuatkan mereka didengari dan dihormati.

Berkaitan: Reaksi Atau Respons – Yang Mana Pilihan Anda?

Komunikasi yang efektif tidak bermakna kita harus menyerah bulat-bulat kepada idea lain yang besar kemungkinan bukanlah yang terbaik. Ia bererti kita patut memberi peluang kepada idea-idea tersebut untuk didengari.

Inilah yang dilakukan oleh para pemimpin yang hebat — mereka tahu apa sebabnya kita mempunyai dua telinga dan satu mulut. Mereka sedar bahawa manusia hanya akan memahami apabila mereka difahami, dan akan bersedia menerima idea daripada mereka yang dari awalnya cuba untuk menerima idea serta kedudukan mereka.   

Beberapa tahun lalu, saya menjadi fasilitator kepada sebuah lembaga pengarah yang mengalami kesukaran membuat keputusan, sekaligus membantutkan kemajuan organisasi tersebut. Sekilas pandang, saya merumuskan bahawa tiada sesiapa yang mendengar buah fikiran yang lain. Setiap orang hanya mendengar dengan ringkas dan terus mencelah untuk memberi pendapatnya pula, jadi tiada kemajuan langsung dicapai.

Bagi memintasi permasalahan tersebut, kami terpaksa bermula dari bawah dan mengajar para pemimpin itu bagaimana untuk mendengar dan pada masa yang sama menunjukkan ketegasan ketika memberi pendapat mereka.

Kesimpulannya — pada asasnya semua orang mengatakan perkara yang sama dan ingin mengikut arah yang sama. Bezanya cuma mereka menggunakan terma dan perkataan yang berlainan bagi perkara yang sama. Tetapi memandangkan tiada sesiapa yang betul-betul mendengar, maka tiada kemajuan dapat dicapai. Apabila mereka mula mendengar, semua orang mula menjadi kawan baik dan usaha mencapai kata sepakat menjadi lebih mudah.

Mendengar itu menyeksakan

Jadi, bagaimana kita memulakan proses untuk menjadi pendengar yang lebih baik? Ia bermula dengan menjadi lebih peka. Bunyinya mudah tetapi sebenarnya ia paling sukar untuk dilakukan. Rentangan perhatian kita lebih pendek daripada ikan emas, lebih kurang lapan saat sahaja, jadi mendengar seseorang berbicara boleh menjadi tugasan yang memenatkan. Dan, minda kita suka berlegar-legar.

Dan dalam dunia yang mengalami gangguan digital dan kesaratan maklumat ini, mendengar adalah proses yang memeritkan. Tetapi, jika kita benar-benar mendengar kata-kata seseorang, ia akan memberi erti yang sangat besar kepada orang tersebut.

Berkaitan: Mendengar: Sifat Kepimpinan Yang Perlukan Disiplin Dan Latihan

Ada juga kajian yang mendapati bahawa otak kita kadang kala tidak dapat membezakan antara dicintai dan didengari dengan mendalam. Jadi, jika anda seorang pemimpin yang memerlukan seseorang melakukan tugasan penting untuk anda, besar kemungkinan anda akan mendapat sokongan mereka jika mereka merasa mereka didengari anda.

Tunggu, ada berita buruk lagi. Menurut kajian Ralph Nichols, profesor di Universiti Minnesota, semakin kita berusia, semakin teruk pendengaran kita. Kanak-kanak sebenarnya adalah pendengar yang lebih baik daripada orang dewasa.

Mengapa? Otak manusia mempunyai kapasiti memahami sehingga 400 perkataan dalam seminit.  Tetapi penutur yang laju seperti saya hanya dapat bercakap lebih kurang 125 patah perkataan setiap minit. Ini bermakna lebih daripada dua pertiga otak kita disia-siakan. Kanak-kanak, dengan otak yang belum mencapai pertumbuhan maksimum, tidak perlu berhadapan dengan isu ini. Jadi apa yang kita boleh buat?

Beberapa tahun lalu, saya berhadapan dengan isu ini. Maklum balas yang saya terima daripada kakitangan adalah saya perlu meningkatkan kemahiran mendengar saya.  

Dalam perbualan dengan rakan baik saya yang juga bekas pakar runding tebusan, George Kohlrieser, dia berkongsi bahawa cara terbaik untuk betul-betul mendengar adalah untuk mengehadkan ayat-ayat kita kepada maksimum empat ayat dan akhiri ayat keempat dengan soalan.

Alasan yang diberikan Kohlrieser adalah kerana jika kita menggunakan terlalu banyak ayat, maka lebih sukar kita didengari.

Begitu juga kisahnya apabila dialog yang hebat akan hanya berlaku apabila dua orang bercakap dan bukannya apabila seorang memperdengarkan monolog yang panjang berjela. Bentuk dialog ini membolehkan kita berfokus dan memastikan objektif utama dicapai.

Akhir kata

Kita harus lebih membuka minda kepada pendapat dan perspektif yang berbeza. Inilah cara yang baik untuk terus maju, dan pada masa yang sama memastikan bahawa mereka yang banyak menolong kita merasa dihormati, bermotivasi dan berkuasa. Dan cara terbaik adalah dengan mendengar dan berbual dengan penuh bermakna.

Makin anda berkeras dan tidak mengubah pendapat anda, kelak akan timbul lebih banyak masalah buat diri anda serta orang sekeliling. Daripada cabaran-cabaran yang dialami oleh pemimpin bisnes dan pengurus kanan kini, mungkin yang terbesar adalah menerima hakikat yang kita mempunyai banyak lagi perkara untuk dipelajari, dan pembelajaran itu kadang kala datang dari tempat-tempat yang tidak dijangka.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik OMG, Why Aren’t They Seeing What I See?!

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Anda Seorang Pemimpin

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Cadangan Buat Kamu

Penangguhan

Petua Mengatasi Berlengah-lengah Mengikut Puncanya

Oleh Marulam Sitohang. Lebih banyak anda tahu tentang sebab anda berlengah-lengah, lebih bersedia anda untuk mengubah pemikiran anda mengenai tingkah laku itu.

Dec 18, 2023 3 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Pembelajaran Efektif

Cuma 10% daripada pembelajaran efektif diperolehi daripada latihan dalam kelas, 70% adalah berasaskan pengalaman, dan 20% adalah melalui pemerhatian.

Jan 04, 2024 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest