Belajar Kepimpinan Daripada Spiderman

Apr 25, 2018 1 Minit
Spiderman

Ketika saya masih kecil, apabila ibu bapa menyuruh saya memadamkan lampu dan tidur, saya akan mengambil lampu suluh lalu membaca komik kegemaran saya, Spiderman, di bawah selimut.

Kisah-kisahnya sungguh menarik dan Peter Parker, atau Spiderman, merupakan salah satu superhero yang paling berjiwa manusia yang pernah saya ketemui.

Waktu muda, Parker melalui detik hidup yang amat sukar.  Dia seorang geek yang paling ekstrem. Perawakannya yang kurus melidi dan lemah membuatkannya menjadi mangsa buli ‘bintang’ sekolah tinggi, Flash Thompson.

Parker juga amat antisosial, tersangat kurang keyakinan diri, dan terlampau takut dengan wanita (kebanyakan remaja lelaki jatuh dalam kategori ini, termasuk saya; sebab itulah saya gemar membaca komik Spiderman!).  

Walaupun dikurniakan kuasa hebat setelah digigit labah-labah radioaktif, Parker masih mengalami pergelutan dalam diri.

Salah satu punca yang mengakibatkan kematian pakciknya, Ben adalah sikap kurang bertanggungjawabnya untuk memberhentikan jenayah berkenaan. Kemudian, bapa kepada teman wanitanya, Gwen Stacy iaitu kapten detektif polis bandar raya New York, George Stacy terbunuh dalam pertembungan antara Spiderman dan Doctor Octopus (Isu #90, Nov. 1970).

Cinta hatinya, Gwen pula meninggal dunia tidak lama kemudian apabila Green Goblin menghumbankannya dari menara jambatan (Isu #121 Jun 1973). Apa yang lebih memedihkan bagi Parker adalah hasil ujian autopsi mendapati bahawa kesan lecut yang dialami Gwen ketika taut selaput Spiderman memautnya secara tiba-tiba yang membunuhnya.

Parker sering dilanda kepedihan hidup. Walau bagaimanapun, dia tidak membenarkan kesakitan dan kesengsaraan yang dialami mengalih fokusnya daripada misi dan matlamat hidupnya, iaitu membantu orang lain tanpa mengira usia, jantina dan latar belakang.

Mengimbau kembali kisah-kisah Spiderman yang pernah saya baca, saya teringat bagaimana budak lelaki pendiam dan pemalu ini, yang sering ketakutan terutamanya dengan perempuan, menjadi anak muda yang mengahwini supermodel terhebat dunia dan menjadi superhero terhebat dalam sejarah komik (pada pendapat saya!). Bukan calang-calang orang yang dapat mencecah tahap hidup ini. 

Jadi, saya pun mengambil keputusan menulis tujuh pelajaran tentang kepimpinan yang saya peroleh daripada Peter Parker. Berikut adalah senarainya.

1. Berjiwa insaniah 

Kebanyakan pemimpin berfikir kerana mereka mempunyai gelaran yang gah, mereka perlu berkelakuan lain daripada yang lain dan mengelakkan emosi sesama manusia.

Beberapa kali Parker mencuba sedaya upaya untuk berlagak seperti hero dan bukan seperti diri sendiri. Ini membawa kesan buruk terhadap perkahwinannya dengan Mary Jane. 

Captain America, yang sebelum ini mengalami masalah yang sama, menasihatinya bahawa “topeng adalah untuk menyembunyikan muka, bukan hati anda”. Parker menuruti nasihat itu dan tetap ikhlas dengan diri sendiri dan personalitinya.

Sebagai pemimpin, janganlah sekali-kali kita memakai topeng, terutamanya apabila berurusan dengan perkara berkaitan hati dan perhubungan.

2. Ambil tanggungjawab

Pemimpin yang hebat bertanggungjawab atas setiap tindakan mereka — terutamanya kesilapan dan kegagalan.

Spiderman harus dijadikan teladan kerana bukan sahaja dia mengakui kelemahan dan kegagalannya, dia juga tidak menyalahkan sesiapa.

Seperti yang diingatkan pakciknya, “Semakin kita menjadi berkuasa, semakin besar tanggungjawabnya.”

Ramai pemimpin tidak sedar betapa banyaknya kuasa yang dipegang mereka. Pekerja anda memandang tinggi pada anda. Sebagai pemimpin, setiap patah perkataan yang anda tuturkan akan dianalisis dan diulang di seluruh jabatan atau organisasi.  

Sebagai ibu bapa juga, anak-anak kita memberi kuasa penting kepada kita. Adakah kita betul-betul faham kuasa yang kita pegang, dan adakah kita juga seperti Spiderman yang mengambil penuh tanggungjawab ke atas kuasa ini? Atau adakah kita jahil tentang kuasa yang kita pegang?

3. Senyum selalu

Spiderman selalu tersenyum (dalam sutnya) meskipun dia menggalas beban yang tidak terperi dan hidupnya penuh kesakitan. Dia kehilangan cinta sejatinya dan keluarga tersayang terutamanya ibu, bapa, pakcik dan makciknya. Pada suatu ketika, isterinya diculik orang. Setiap hari dia juga berhadapan dengan detik-detik cemas yang mengancam meragut nyawanya.  Biarpun itu, dia masih berupaya berjenaka dan senyum. Bukan senang nak menjadi ‘Spiderman Jiran Yang Peramah’.

Hampir kesemua pemimpin yang hebat menguntum senyuman sepanjang masa. 

Saya bertemu dengan pemenang Hadiah Nobel Mohamad Yunos, yang pada ketika itu melalui episod yang sukar dengan kerajaannya. Namun, semasa pertemuan sarapan pagi kami, senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya.

Pemimpin yang hebat melalui saat-saat yang pedih dan sengsara, sama seperti kita.  Namun, mereka sedar akan kuasa senyuman di wajar mereka.

Adakah anda selalu tersenyum? Adakah anda selalu mengucapkan terima kasih? Jika Spiderman boleh lakukannya, anda juga boleh. Sentiasa berjenaka dan senyum selalu.

Berkaitan: Ukirkan Senyuman, Amalkan Sifat Optimis

4. Terus berkhidmat 

Memberi khidmat kepada orang lain pasti akan mendatangkan faedahnya suatu hari nanti.

Dalam kisah Amazing Spiderman, kita menyaksikan bagaimana Spiderman memerlukan bantuan beberapa orang operator kren. Bantuan tiba tepat pada waktunya kerana formen kren tersebut adalah ayah kepada budak yang Spiderman selamatkan di awal cerita.

Berkaitan: Pemimpin Adalah Pemberi

Memberi lebih baik daripada menerima. Anda akan mendapat ganjarannya pada saat-saat genting dalam hidup anda.

Demikian juga bagi saya. Pada ketika saya menghadapi masalah demi masalah, tiba-tiba bantuan muncul. Saya kemudian sedar bahawa bantuan itu adalah daripada orang yang pernah saya tolong dahulu. 

Karma yang baik akan sentiasa kembali ke pangkuan kita jika kita rajin membantu orang lain. Adakah anda memberi khidmat sebagi seorang pemimpin?

5. Sentiasa bertabah 

Jangan biarkan kesusahan dan kesakitan menghalang anda. Spiderman melalui kehidupan yang sangat susah dan penuh kebuntuan. Tetapi, dia tidak pernah menjadikan itu sebagai alasan untuk berputus asa. Dia tidak pernah menjadi tebusan kepada isu-isu kompleks yang menyelubunginya.

Kebanyakan orang akan berhenti menolong orang lain jika ia bermakna dia akan kehilangan insan tersayangnya. Spiderman kehilangan cinta sejatinya, Gwen Stacy kerana dia sangat suka menolong orang lain. Dia juga kehilangan rakan baiknya, Harry dan yang lain-lain. Sebenarnya, selepas kehilangan Gwen, dia tidak menyangka akan berjumpa cinta baharu. Namun dia teruskan juga dan tidak membiarkan rasa ragu membelenggu diri. Akhirnya dia bertemu Mary Jane yang mencintainya dengan sepenuh hati, seperti Gwen.

Ketabahan membuahkan hasil tidak kira jika anda membina perniagaan atau karier. Anda harus terus maju ke hadapan dan semuanya akan menjadi baik-baik belaka.

6. Kepimpinan bukannya percuma

Ramai pemimpin lupa tentang kos kepimpinan. Menjadi pemimpin memerlukan pengorbanan masa, wang dan usaha serta keupayaan menahan kesakitan dan kesusahan.

Kita selalu bercakap tentang faedah kepimpinan tetapi gagal mengira kos yang terlibat. Spiderman memahami kos yang ditanggung sebagai superhero. Dia hilang banyak perkara termasuk kebersendirian dan keluarga.

Sebagai pemimpin, pernahkah kita mengira kos kepimpinan? Sepertimana segala-gala yang bernilai mempunyai kos yang perlu ditanggung, begitu juga dengan kepimpinan.  Adakah kita mengira kos kepimpinan? Adakah kita sedar berapa banyak semuanya itu?

Spiderman mengajar kita untuk mengira kos tetapi tetap terus menjadi pemimpin. Tetapi jika kita mengambil masa untuk memahami kos kepimpinan, kita akan menyerah dan tidak akan membuat apa-apa apabila timbul masalah dan krisis.

7. Anda tidak perlu menjadi pemimpin sepanjang masa

Spidey bukanlah pemimpin semula jadi. Tetapi, ketika krisis melanda atau apabila dia diperlukan untuk memimpin, dia bingkas mengambil peranan. Dalam kisah panjang Titanus, Spiderman memimpin Wolverine, the Hulk, Nova, Ms. Marvel, She-Hulk dan yang lain untuk menyerang makhluk asing Titanus.  

Ada juga masa-masa tertentu yang Spiderman membiarkan yang lain menjadi pemimpin. Dia berjaya beralih peranan daripada seorang pengikut yang setia dan berdedikasi menjadi seorang pemimpin yang tegas dan dihormati.

Kita semua boleh belajar memainkan peranan berbeza pada peringkat berlainan dalam organisasi kita. Adakah kita membenarkan orang lain untuk memimpin? Dan tahukah kita saatnya kita harus menyambung peranan sebagai pemimpin?

Akhir kata

Ada banyak lagi yang boleh dipelajari daripada Spiderman. Tetapi perkara yang paling penting adalah kita harus menghayati dan menggunakan pengajaran sebaik mungkin dalam kehidupan kita.

Makcik Spiderman, May Parker pernah berkata,

“Saya percaya dalam diri setiap orang ada hero yang membuatkan kita jujur, memberi kita kekuatan, melahirkan insan mulia, dan akhirnya memberi kita kebanggaan pada saat kita menghembus nafas terakhir.”

Yakinlah, ada Spiderman dalam diri setiap daripada kita. Kita semua boleh belajar daripadanya dan menjadi pemimpin-pemimpin hebat dan hero dalam organisasi kita dan juga keluarga kita.

Jadi, teruskan belajar dan senyum. Moga-moga kita semua mempunyai kerjaya ala Spiderman dan perjalanan kepimpinan yang menakjubkan.

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Toksik

Cara Menangani Bos yang Toksik

Ditulis oleh Manfred F.R. Kets de Vries. Tangani bos toksik: Strategi untuk memulihkan kesihatan mental anda dan berjaya di tempat kerja!

Jun 26, 2024 5 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Biar Mereka Gagal

Setiap pemimpin yang hebat pasti pernah gagal berulang kali dalam kembara kehidupannya. Belajar daripada setiap kegagalan. Jangan ulanginya. Jadikan kegagalan-kegagalan itu sebagai batu asas kejayaan masa hadapan. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Tidak Mengapa, Biar Mereka Gagal.

Jul 06, 2017 3 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest