Adakah Anda Realistik Atau Idealistik?

Sep 17, 2018 1 Minit
visi, pandangan, realiti

Pada tahun 2017, kami menganjurkan persidangan untuk ketua-ketua pegawai eksekutif (KPE) yang menerajui syarikat-syarikat berbentuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Hampir 350 KPE menyertai persidangan itu. Mereka berpeluang berkongsi idea, amalan-amalan terbaik dan memberi sokongan kepada rakan-rakan niaga dalam usaha mengembangkan perniagaan masing-masing.

Dalam perbincangan dengan mereka, dua isu sering diutarakan: kepayahan memikirkan visi yang hebat dan menarik; dan ketidakmampuan melaksanakannya.

Impian bakal usahawan

Ketika saya memikirkan tentang dilema yang dihadapi ramai KPE dan organisasi baharu ini, saya menerima mesej daripada seorang profesional muda yang teringin untuk mencuba nasib dengan memulakan perniagaannya sendiri.

Dia tersedar bahawa selama ini dia sering berlengah-lengah untuk berbuat sesuatu tentang impiannya.

Dalam mesejnya, dia menulis: “Saya mempunyai pekerjaan yang bagus, jadi saya rasa yang saya perlu realistik tentang keperluan untuk memulakan perniagaan saya sendiri.

“Saya juga menggambarkan segala macam kebarangkalian yang mungkin timbul setelah mencuba nasib. Saya berbelah bahagi antara ingin menjadi realistik atau idealistik, tidak tahu yang mana patut saya ikuti.

“Tetapi artikel anda (mengenai Chris Gardner, tokoh perniagaan dan penceramah motivasi) membuatkan saya sedar yang saya tidak perlu memilih. Saya boleh menjadi realistik dan idealistik pada masa yang sama.”

Berkaitan: Atasi Halangan, Tiada Yang Mustahil!

Dalam artikel itu, Gardner berkata:

“Masa hadapan tidak pasti sama sekali. Ada banyak rintangan, desakan dan putaran, tetapi selagi kita terus bergerak ke hadapan, setapak demi setapak, suara ketakutan dan malu, pesanan mereka yang mahu kita percaya diri kita tidak cukup baik, akan terhenti.” – Chris Gardner

Mesej wanita muda itu juga membuatkan saya teringat akan formula mudah saya untuk kepimpinan yang berjaya:

Visi (fikirkan ke mana hala tuju anda) + Realisme yang sihat (maju ke hadapan dari kedudukan anda – bukan dari tempat yang ingin anda capai) + 3P (Planning-Passion-Perseverance / Merancang-Nyala Rasa-Ketabahan).

Terus bermimpi

Apabila saya berbual dengan anak-anak muda yang bertanya tentang kemajuan kerjaya atau yang ingin memulakan perniagaan sendiri, nasihat yang saya berikan selalu adalah:

Sentiasa peka di mana anda berada: ini membantu anda berpijak di bumi nyata; tetapi jangan lupa untuk mengimpikan tentang kemungkinan-kemungkinannya. Ini yang memberi anda motivasi untuk terus berusaha untuk merealisasikannya.

Tidak kira sama ada ia sesuatu yang fizikal, emosional, rohaniah, atau kombinasi ketiga-tiganya, kita mungkin perlu realistik dalam matlamat kita demi memastikan perubahan yang bermakna. Langkah pertama adalah memulakannya! – Dana Arcuri

Dari setiap lapisan masyarakat, terutamanya dalam pembangunan profesional, kita cenderung untuk melihat kelebihan satu pendekatan itu berbanding yang lain.

Adakah ia lebih baik untuk menjadi realistik dan berhati-hati? Atau haruskah kita menjadi idealistik, mengambil risiko, tanpa menghiraukan akibatnya?

Sebenarnya, kedua-dua pendekatan ini – jika digunakan sebaik-baiknya – berupaya untuk memberikan segala yang dikehendaki seorang usahawan untuk berjaya.

Kenali diri

Dengan mengambil contoh sifat berlengah-lengah seorang bakal usahawan, agak wajar dikatakan yang dia peka kepada situasi dan keadaan yang dilaluinya.

Agak keterlaluan jika dia dengan mudahnya melepaskan jawatan yang baik dan mencuba perniagaan baharu tanpa mempunyai apa-apa idea tentang apa dan bagaimana hendak melaksanakannya.

Sebaliknya pula, membiarkan sisi realistiknya bertindak bebas hanya akan mengekangnya daripada menghidupkan idea-ideanya.

Berkaitan: Jujur Menilai Diri

Jika kita menunggu untuk saat yang tepat, kita hanya akan sentiasa menanti; jika kita perlukan segalanya untuk sempurna, kita tidak akan bermula.

Sebaliknya, kita akan menghidapi analisis paralisis dan langsung tidak memulakan perjalanan itu. Langkah yang paling sukar adalah langkah permulaan.

“Berpegang teguh pada impian, kerana jika impian mati, kehidupan seperti burung kepatahan sayapnya yang tidak bisa terbang.” – Langston Hughes

Berani bermimpi

Di sinilah bermulanya keberanian untuk bermimpi. Chris Gardner sentiasa mempunyai rasa realisme yang sihat: dia sentiasa tahu di mana dia berada, dan dia tahu usaha yang bagaimana yang akan membawanya keluar dari kesusahan dan kepayahan.

Tetapi Gardner juga mempunyai impian, visi tentang siapa yang dia ingin menjadi dan ke mana arah tujunya. Impian inilah yang membantunya kekal bermotivasi dan mendorongnya untuk maju.

Jika kita tidak mempunyai impian, jika kita gagal untuk bayangkan segala kemungkinan, kita tidak akan pergi jauh.

Visi kita adalah kuasa magnetik yang menarik kita ke arah kejayaan. Realisme kita membantu kita mengharungi halangan-halangan di sepanjang perjalanan.

Model kepimpinan saya

Sebenarnya, model kepimpinan saya yang mudah ini berkisar tentang elemen-elemen yang telah saya sebutkan di atas:

Visi + Realisme + 3P (Merancang+Nyala Rasa+Ketabahan)

Saya percaya setiap orang mempunyai rancangan dan proses kepimpinan yang berbeza kerana kita mempunyai visi dan titik permulaan yang berbeza (Poin semasa di mana anda berada sekarang).

Bagi saya, titik permulaan adalah bagaimana kita mengimbangi kedua-dua cabaran – mempunyai visi yang memberikan inspirasi dan berpijak di bumi nyata.

Jika kita asyik dengan realisme, mungkin sahaja kita akan kemukakan berjuta-juta alasan mengapa halangan itu tidak harus langsung dicabar.

Sebaliknya, jika kita leka bermimpi, kita mungkin ketinggalan peluang untuk mencuba mengatasi cabaran yang mendatang.

Kita perlu ada impian untuk berjaya tetapi pada masa yang sama memahami apa yang perlu dilakukan untuk mengubah impian itu menjadi realiti – itulah jalan menuju kejayaan.

Langkah terakhir adalah berkenaan nyala rasa, perancangan, dan ketabahan. Kita harus merancang tetapi janganlah terlampau memikirkan tentang rancangan kita apabila ia gagal atau tersasar.

Di sinilah nyala rasa kita akan membantu kita untuk terus tabah. Apabila halangan dan cabaran lain menjejaskan perancangan kita menuju visi kita, kita harus tabah dan mencari jalan lain.

Ini yang membezakan mereka yang berjaya berbanding mereka yang gagal.

Jadi, pastikan anda jelas tentang visi dan juga realiti anda. Kemudian rancanglah, tetapi jangan berputus asa jika ia tidak kesampaian. Bertabahlah dan impian bakal menjadi kenyataan.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Are You Realistic Or Idealistic?

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Wanita

Kita Perlu Bercakap Mengenai ‘Fleksibiliti’ untuk Wanita di Tempat Kerja dan Mengapa Ia Tidak Berkesan

Oleh Dr. Tiffany De Sousa Machado. Terokai mengapa fleksibiliti di tempat kerja sering gagal untuk wanita dan keperluan mendesak untuk perubahan sistemik untuk menyokong peranan dua mereka dalam penjagaan dan kerjaya.

Jul 28, 2024 6 Minit

Komunikasi

COVID-19 Merubah Komunikasi bersama Roshan Thiran

Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.

Mar 16, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Tingkap yang Pecah

Dalam episod ini, Roshan Thiran, Ketua Pegawa Eksekutif Leaderonomics cuba memberi tipnya mengenai kuasa seseorang untuk mengendalikan benda-benda yang kecil. Jika kami dapat menjayakan benda-benda yang kecil, lama-lama ia akan membawa kejayaan yang besar

Jan 04, 2018 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest