Keterbatasan Fizikal Bukan Penghalang Kejayaan Hidup

OlehEditor
Mar 21, 2018 6 Minit
Sukur Ibrahim, inspirasi, matlamat, kejayaan

Semasa Sukur Ibrahim masih kecil, dia kerap bertanyakan ibu bapanya tentang keadaan fizikalnya.

Kenapa saya jadi begini?

Kenapa saya dilahirkan sebegini?

Apa salah saya sehingga ditakdirkan seperti ini?

Kisah Sukur tidak seperti kisah yang selalu kita dengar. Dia dilahirkan dengan kecelaruan genetik, yang dikenali sebagai kekerdilan. Keadaan sebegini disifatkan dengan fizikal yang ketot.

Bagi Sukur, cabaran datang dalam pelbagai bentuk dan hal ini menjadikan zaman kanak-kanak dan remaja tempoh masa yang sukar dilaluinya.

Kami dari Leaderonomics berkesempatan bertemu dan mendengar ceramah motivasinya semasa program temu duga terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang berlangsung pada 24-25 Februari di Pameran Taman Agro Malaysia Serdang (MAEPS).

Ini merupakan kisah kejayaannya, serta pengajaran yang boleh diikuti para graduan dan diri kita sendiri.

Keperitan yang berlanjutan

Sukur dilahirkan di Muar, Johor pada tahun 1984 dan merupakan anak keempat daripada enam beradik. Kata Sukur, dia sangat pemalu.

Dia sedar, penampilan fizikalnya sangat berbeza dengan orang lain dan amat payah baginya reda dengan keadaan diri.

Katanya: “Apabila tetamu berkunjung ke rumah, saya melarikan diri dan bersembunyi di bilik. Jika mereka mencari saya di dalam bilik, saya akan menyorok di bawah katil. Jika mereka memeriksa bawah katil, saya akan sembunyikan diri di dalam kotak!”

Semasa berada di sekolah rendah, dia selalu mengundang pandangan yang tidak diingini dan kurang menyelesakan.

Rakan sebayanya kadang-kadang bertanyakan guru mereka: 

Kenapa dia ketot macam tu?

Kenapa tangan dan kakinya pendek sangat?

Dia itu hantu ke?

Detik perubahan bagi Sukur adalah apabila ayah Sukur membawanya ke program pemulihan komuniti yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Di situlah dia menyedari ada orang yang keadaannya lebih teruk, sehingga mereka perlu bergantung pada orang lain.

Ujarnya, “Kaki saya mungkin nampak pendek, namun saya boleh berjalan dan naik turun tangga. Sedangkan ada orang yang tidak mampu berjalan langsung! Saya mampu mengurus diri, saya ada otak yang membolehkan saya berfikir dan saya ada lima deria yang berfungsi dengan elok.”

Saat itulah Sukur belajar untuk bersyukur dan menerima diri.

Ibu bapa yang optimistik dan banyak membantu

Keluarga Sukur, terutama ayahnya, merupakan tulang belakang yang kuat memberi sokongan sejak dari lahir. Semenjak kecil, Sukur diberi galakan terus menerus, untuk membuat persembahan, sama ada lakonan dan nyanyian dalam acara tertentu. Pendedahan sebegini merupakan salah satu faktor yang mendorongnya reda dengan diri sendiri.

Satu perkara yang tidak akan pernah luput daripada ingatannya ialah pengorbanan ibu bapanya untuk membelikannya kasut sekolah. Pertama, tiada kasut berwarna putih yang sepadan dengan kakinya dan kedua, kasutnya mudah haus kerana dia berjalan secara menyeret.

Bapanya akan membeli beberapa pasang kasut sekali gus. Jika stok di kedai sudah kehabisan, ayahnya akan membeli kasut kanak-kanak yang menyalakan lampu atau berkeriut semasa berjalan. Sukur tiada pilihan selain daripada memakainya. Ini bermakna bunyi atau lampu pada kasut akan menarik perhatian lebih ramai orang padanya.

Ujarnya, “Hati saya amat tersentuh melihat pengorbanan mereka (ibu bapa). Dari saat itu, saya bertekad ingin menjadi orang yang berjaya. Saya mahu membalas jasa mereka.”

Dan bagaimana dia mampu mencapai tahap seperti sekarang? Berikut merupakan petua daripada Sukur:

1. Lakarkan mimpi dan cita-cita

Semasa kecil, Sukur bercita-cita ingin menjadi seorang doktor dan kemudiannya jurutera. Namun, gurunya menasihati Sukur supaya tidak meneruskan cita-cita tersebut disebabkan keadaan fizikalnya.

Akhirnya dia menyambung pengajian dalam teknologi maklumat di Universiti Kebangsaan Malaysia. Bidang ini membolehkannya mengekod dan membangunkan program atau perisian walaupun terperuk di meja.

Sukur: “Hati saya amat tersentuh melihat pengorbanan mereka (ibu bapa). Dari saat itu, saya bertekad ingin menjadi orang yang berjaya. Saya mahu membalas jasa mereka.”

Selepas tamat pengajian, Sukur menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan. Namun, hal ini tidak meranapkan semangatnya. Malah, Sukur terdorong untuk memiliki perniagaan sendiri.

Tidak terlintas dalam fikirannya untuk menjadi seorang usahawan, termasuklah berdiri di atas pentas untuk berkongsi perjalanan hidupnya dalam mengecapi kejayaan. Katanya: “Anda perlu mempunyai hala tuju. Ini akan membawa anda menuju destinasi.”

Katanya, salah satu cara untuk anda membawa diri bertapak satu langkah ke hadapan  dalam mengecapi impian adalah dengan mengaitkan impian itu dengan keluarga anda.

Sukur memberi satu contoh. Dalam benak fikirannya, Sukur sentiasa menyimpan impian untuk membawa ibu bapanya menunaikan umrah. Atas titik peluh dan keberaniannya berhadapan dengan segala macam rintangan, dia berjaya memenuhi impian ini pada akhir tahun lepas, ujarnya dengan penuh bangga.

Nasihatnya: “Segalanya bermula daripada sebuah mimpi.”

2. Ambil langkah dari sekarang

Dunia keusahawanan bukannya mudah. Jalan ini memerlukan nyala rasa, kecekalan dan ketahanan yang menggunung tinggi. Contohnya Sukur sendiri. Tiga perniagaannya sebelum ini menemui kegagalan.

“Ini mungkin terjadi kerana saya kekurangan ilmu pengetahuan dalam pemasaran dan kewangan ketika itu,” katanya. 

Namun Sukur percaya akan kehandalannya dalam perniagaan. Maka dia mencuba kembali dan perniagaan keempat yang diusahakannya akhirnya berjaya!

Dstrike Solutions sudah bertapak selama lapan tahun. Syarikat ini membekalkan dan mengendalikan pemasangan permaidani dari dinding ke dinding, yang selalu kita jumpa di masjid mahupun pejabat.

Dia bermula secara kecil-kecilan tanpa pejabat. Namun selepas satu tahun, dia memiliki kedainya sendiri. Kini Sukur menggaji lima orang pekerja dan pelanggannya meliputi ke seluruh pelosok Semenanjung Malaysia.

Nasihatnya kepada para pelajar: “Anda haruslah rajin. Jika anda berat tulang dan malas mencari peluang serta menghadiri temu duga, peluang anda tipis.”

Berkaitan: SL1M: Sedia Mengharungi Badai Demi Kejayaan

3. Tekun untuk berjaya

Dalam langkah menuju kejayaan, ada pelbagai onak dan duri. Ketekunan yang dimiliki untuk memajukan diri merupakan kunci bagi memastikan seseorang dapat sampai ke destinasi.

Sukur mengaitkan dirinya dalam hal ini. Sewaktu menyampaikan ceramah, dia berkongsi jerih perih yang dilaluinya semasa berhadapan dengan pelanggan.

Katanya, ada satu kali pelanggan enggan membenarkannya masuk ke dalam pejabat kerana mereka beranggapan Sukur seorang pengemis. Pernah juga berlaku, pelanggannya bersetuju memberi sebuah projek pada Sukur dan harga sudah ditetapkan, namun apabila dia melihat Sukur secara berhadapan, dia membatalkan projek tersebut.

“Mungkin pelanggan tersebut ragu-ragu dengan kemampuan saya,” ujarnya.

Namun Sukur tidak membiarkan senario negatif sebegini menjejaskan dirinya dan hal ini tidak membantutkan usahanya untuk berjuang demi kejayaan. Dia terus bertahan dan pencapaiannya pada hari ini adalah hasil titik peluhnya.

Suatu perkara yang perlu kita sematkan dalam minda, nasihat Sukur, adalah jangan sesekali membandingkan pencapaian kita dengan orang lain.

“Kita mungkin tidak sepantas orang lain, namun pokok pangkalnya kita berjaya sampai ke destinasi.”

Sukur berkongsi pengalamannya mendaki Bukit Broga di Semenyih. Pada ketinggian 400 meter, bukit itu menawarkan pandangan saujana mata memandang, sebaik sahaja anda memijakkan kaki ke puncak.

Dalam perjalanannya mendaki bukit itu, dia dan dua rakannya berhenti untuk berehat seketika buat beberapa kali. Perasaan sesal menjengah pemikirannya. Dia merasakan bahawa dia tidak mampu meneruskan pendakian dan ingin berhenti.

Namun apabila dia ternampak beberapa kumpulan berjalan turun dari puncak bukit, dia bertanyakan mereka satu soalan, “Tinggi lagi tak puncak?”

Jawapan mereka semuanya sama: “Sikit jer lagi.”

Beberapa tahun selepas mendaki Bukit Broga, Sukur pula berjaya mendaki Bukit Bohey Dulang di Sabah, pada ketinggian 600m.

Mendengar kata-kata dorongan sebegitu, semangatnya bangkit. Dia tahu dia tidak boleh berputus asa. Percaya atau tidak, Sukur berjaya menjejakkan kaki ke puncak dalam masa 1.5 jam.

Nasihatnya: “Jangan bandingkan diri anda dengan orang lain kerana perjalanan hidup setiap insan nyata berbeza.”

Berkaitan: Jujur Menilai Diri

Akhir kata

Sukur menghadapi pelbagai cabaran semasa membesar. Berbekalkan pendedahan pada dunia luar dan sokongan yang diterima daripada ibubapanya, akhirnya Sukur reda dengan keadaan diri. Dengan matlamat yang jelas di minda, dia mengorak langkah ke arah kejayaan.

Hari ini, dia sudah gapai impiannya dan memperoleh lebih lagi! Selain bergelar usahawan, jejaka berumur 34 tahun ini gembira meniti hidup dengan isterinya. Mereka menanti hari untuk menimang cahaya mata!

Sukur bersama isterinya, Wan Nurul Syazwani

Kisahnya menjadi iktibar bahawa sesiapa sahaja mampu berjaya, tanpa mengira batasan fizikal.

Seperti yang dinyatakan Roy Bennett, penulis The Light in the Heart, katanya:

”Percayalah potensi diri yang tiada penghujungnya. Keterbatasan diri hanya wujud disebabkan oleh pemikiran anda sendiri.”

 

Adalah sukar untuk mendapat pekerjaan yang sepadan dengan bidang dan kelayakan, yang menawarkan gaji yang bagus, terutamanya dalam persekitaran kerja yang hangat dengan persaingan seperti yang terjadi pada hari ini. Jika anda mempunyai pengalaman sebegini, kami menyarankan agar anda menyertai SL1M. Apakah itu? SL1M merupakan program latihan yang matlamatnya adalah untuk membantu siswazah muda yang menganggur atau tidak dibayar gaji yang setimpal. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta dalam membantu memantapkan kebolehpasaran seseorang melalui kemahiran insani dan latihan semasa kerja selama 12 bulan.Jika prestasi peserta memberangsangkan dan terdapat kekosongan, kemungkinan besar dia akan diserap masuk menjadi pekerja sepenuh masa di syarikat tersebut.Jadi, apa yang hendak ditunggu lagi? Klik sini untuk memohon!Adakah anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang SL1M? Hantar pertanyaan anda melalui e-mel kepada balqis.rasid@epu.gov.my.Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik He is Proof That Physical Limitations Are Not An Obstacle.

Sila Kongsi

Cadangan Buat Kamu

Layang-layang

Bagaimana Pemimpin Menggunakan Tabiat Kecil untuk Keputusan yang Besar

Oleh David Dye. Bolehkah langkah mikro membuat perbezaan makro? Ketahui cara tabiat kecil menulis semula kisah kejayaan.

Aug 27, 2023 4 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Rahsia Menjadi Pemimpin Yang Hebat

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita mengenal pasti dan menjadikan tokoh-tokoh yang unggul sebagai suri teladan, dan berlatih corak kepimpinan yang ingin kita contohi.

Jun 27, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest