Bagaimana Bias Tanpa Sedar Mempengaruhi Perkembangan Kerjaya di Tempat Kerja?

Nov 24, 2026 • 3 Minit
tempat kerja
Sumber:

imej dari magnific

Setiap pekerja mempunyai latar belakang, pengalaman dan cara kerja yang berbeza. Namun, perbezaan ini kadangkala boleh mempengaruhi cara seseorang dinilai di tempat kerja, terutamanya apabila keputusan dibuat berdasarkan andaian atau tanggapan tertentu. Akibatnya, pekerja yang mempunyai kemahiran dan prestasi kerja yang hampir sama mungkin tidak mendapat peluang perkembangan kerjaya yang setara. Salah satu faktor yang boleh menyumbang kepada keadaan ini ialah bias tanpa sedar (unconscious bias). Bias ini boleh mempengaruhi cara pemimpin menilai kebolehan pekerja, mengagihkan tanggungjawab dan membuat keputusan berkaitan perkembangan kerjaya mereka.

Tidak Semua Pekerja Mendapat Peluang yang Sama

Bayangkan dua orang pekerja yang mempunyai kemahiran dan prestasi kerja yang hampir sama. Namun, hanya seorang daripada mereka yang kerap dipilih untuk mengetuai projek atau menerima tugasan baharu. Keadaan ini mungkin berlaku apabila pemimpin lebih cenderung mempercayai pekerja yang pernah bekerjasama dengan mereka sebelum ini. Tanpa disedari, pekerja lain mungkin kurang diberikan peluang untuk menunjukkan kebolehan dan potensi mereka. Apabila individu yang sama terus diberikan peluang, jurang pengalaman antara pekerja juga boleh semakin melebar. Keadaan ini boleh menjadi salah satu petunjuk bahawa persekitaran kerja kurang inklusif, terutamanya apabila pekerja tertentu secara konsisten menerima lebih banyak peluang berbanding rakan sekerja mereka. Baca juga artikel tentang tanda-tanda tempat kerja anda mungkin tidak inklusif.

Bias Tanpa Sedar Boleh Mempengaruhi Cara Pemimpin Menilai Pekerja

Menurut University of Victoria (UVic), bias tanpa sedar merujuk kepada andaian, kepercayaan, sikap dan stereotaip yang dimiliki seseorang terhadap kumpulan tertentu tanpa menyedarinya. Tanggapan ini boleh mempengaruhi cara kita melihat dan memberikan respons kepada orang lain.

UVic turut menjelaskan bahawa setiap orang mempunyai bias tanpa sedar, termasuk bias yang mungkin bercanggah dengan kepercayaan atau nilai yang dipegang oleh diri sendiri. Walaupun bias ini tidak selalu mudah dikenal pasti, ia boleh mempengaruhi pertimbangan dan tindakan seseorang.

Dalam konteks kepimpinan, seorang pengurus mungkin lebih cenderung memilih pekerja yang mempunyai gaya komunikasi yang serupa dengan dirinya atau individu yang sudah dikenalinya. Keadaan ini boleh mempengaruhi cara pengurus menilai kebolehan dan potensi pekerja lain, walaupun mereka mempunyai kemahiran dan pengalaman yang setanding.

Sesetengah Pekerja Mungkin Terlepas Peluang untuk Menonjolkan Potensi Diri

Seperti yang dijelaskan oleh UVic, bias tanpa sedar boleh memberikan kelebihan yang tidak sepatutnya kepada kumpulan tertentu, manakala kumpulan lain mungkin berada dalam keadaan yang kurang menguntungkan. Di tempat kerja, keadaan ini boleh berlaku apabila pekerja tertentu lebih kerap diberikan tanggungjawab baharu, peluang mengikuti latihan atau perhatian daripada pihak pengurusan. Pekerja yang sering menerima peluang sebegini berpeluang membina pengalaman dan menunjukkan kebolehan mereka. Sebaliknya, pekerja yang jarang dipertimbangkan mungkin menghadapi kesukaran untuk membuktikan potensi diri, walaupun mereka mempunyai kemahiran yang diperlukan. Keadaan ini juga boleh mempengaruhi keputusan kenaikan pangkat. Pemimpin mungkin tanpa sedar lebih mengutamakan pekerja yang sudah dikenali atau mereka yang sumbangannya lebih mudah dilihat, sekali gus terlepas pandang pekerja lain yang mempunyai kelayakan dan kebolehan setanding. Lama-kelamaan, corak keputusan seperti ini boleh mewujudkan ketidaksamarataan dalam peluang perkembangan kerjaya.

Bagaimana Pemimpin Boleh Mengurangkan Bias Ketika Membuat Keputusan?

Pemimpin perlu menilai pekerja berdasarkan kemahiran, pengalaman dan sumbangan mereka, bukannya bergantung sepenuhnya pada tanggapan peribadi. Salah satu caranya adalah dengan menetapkan kriteria yang jelas ketika memilih pekerja untuk mengetuai projek, mengikuti latihan atau dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat. Penggunaan sistem seperti KPI (Key Performance Indicators) dan OKR (Objectives and Key Results) juga boleh membantu pemimpin menilai prestasi pekerja berdasarkan sasaran dan hasil kerja yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, kriteria ini perlu digunakan secara konsisten. Pemimpin juga perlu menyemak cara peluang diagihkan dalam pasukan bagi memastikan individu yang sama tidak terus dipilih berulang kali sehingga pekerja lain terlepas peluang. Selain itu, pemimpin boleh mendapatkan pandangan daripada ahli pasukan yang berbeza dan mendengar maklum balas pekerja. Perbincangan secara terbuka dapat membantu mereka memahami sama ada pekerja merasakan bahawa mereka mempunyai akses yang adil kepada peluang untuk berkembang dan meningkatkan kemahiran.

Membina Kepimpinan yang Lebih Inklusif

Mengurangkan bias tanpa sedar bermula apabila pemimpin bersedia mengenali kecenderungan diri sendiri dan menilai semula cara mereka membuat keputusan. Dengan lebih peka terhadap andaian dan tanggapan peribadi, pemimpin dapat mengelakkan keputusan harian yang secara tidak sengaja mengehadkan peluang perkembangan kerjaya pekerja. Mewujudkan persekitaran kerja yang lebih adil memerlukan lebih daripada sekadar niat yang baik. Pemimpin perlu mengambil langkah yang jelas untuk memastikan setiap pekerja dinilai secara adil dan diberikan peluang untuk menunjukkan kebolehan mereka. Untuk memahami bagaimana pemimpin boleh mengenali kecenderungan diri sendiri dan mengenal pasti titik buta (blind spots) dalam membuat keputusan, terokai kursus e-pembelajaran Paul Larsen, Inclusive Leadership: Practice DEI for Everyday Decisions. Melalui topik Recognizing Unintentional Exclusion and Blind Spots, pemimpin dapat mempelajari bagaimana andaian dan keputusan tanpa sedar boleh menyebabkan sesetengah pekerja tersisih daripada peluang perkembangan kerjaya.

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt

Amirah ialah editor Bahasa Melayu di Leaderonomics dengan latar belakang dalam bidang Linguistik dan Bahasa Melayu. Bagi Amirah, menulis bukan sekadar tugas, tetapi ruang untuk meneroka idea dan berkongsi perspektif. Di luar kerja, dia gemar menonton Netflix, mencuba makanan baharu dan menikmati secawan matcha.

Alt

Cadangan Buat Kamu

paper kites

Orang Bijak yang Mematahkan Impian

Oleh Juliet Funt. Ketahui bagaimana maklum balas daripada pemimpin kanan, walaupun berniat baik, boleh mematahkan semangat pekerja junior dan menghalang idea mereka daripada berkembang.

Oct 21, 2026 • 5 Minit

Alt

E-Buku Coronavirus untuk Masyarakat Bersama Conrad Fernandez

Di episod 6, Waheeda kembali semula menemubual dengan Encik Conrad Fernandez dari syarikat LeapEd. Beliau mengongsikan berita baik tentang e-buku Coronavirus yang telah dikongsikan di laman sesawang yang boleh digunakan untuk semua peringkat umur.

Mar 17, 2023 • 32 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Tingkap yang Pecah

Dalam episod ini, Roshan Thiran, Ketua Pegawa Eksekutif Leaderonomics cuba memberi tipnya mengenai kuasa seseorang untuk mengendalikan benda-benda yang kecil. Jika kami dapat menjayakan benda-benda yang kecil, lama-lama ia akan membawa kejayaan yang besar

Jan 04, 2018 • 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest