Asah Kemahiran Berfikir Dan Menyelesaikan Masalah

Feb 21, 2018 1 Minit
pemikiran, ilmu, penyelesaian masalah

Pembangunan kemahiran berfikir adalah antara pembangunan sumber manusia yang paling penting dalam sesebuah organisasi. Tetapi malangnya, banyak organisasi memandang sepi pembangunan kemahiran ini. Kenapa pula?

Menurut Mohd. Michael Abdullah dalam bukunya ‘Pemikiran Kritis’, pemikiran adalah kebolehan manusia untuk mencipta gagasan dan pengertian, berhujah, menilai dan membuat keputusan.

Jika melihat pada tafsiran ini, maka ini adalah antara kemahiran yang paling diperlukan oleh seseorang pekerja untuk menjadi lebih produktif dan efektif dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Malahan menurut laporan Bank Dunia, selain kemahiran komunikasi, kemahiran yang paling kurang dalam graduan baru Malaysia adalah kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah.

Mungkin kerana menyedari kekurangan ini, maka kerajaan telah menyemai pelbagai usaha sejak dari sekolah rendah untuk meningkatkan kemahiran berfikir dengan melaksanakan program pembelajaran seperti Pemikiran Kritis dan Kreatif pada akhir 90-an dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (K-BAT) pada beberapa tahun lepas.

Tetapi bagaimanakah golongan pekerja boleh meningkatkan kemahiran berfikir? Berikut disenaraikan antara langkah-langkah untuk berbuat demikian.

1. Ikut kursus berkaitan dan manfaatkan pembelajaran yang diperoleh 

Antara cara paling mudah untuk meningkatkan kemahiran berfikir adalah dengan menghadiri kursus yang berkaitan.

Terdapat banyak syarikat latihan yang menawarkan latihan berfikir tetapi yang paling penting adalah pengajar tersebut hendaklah berkemahiran tinggi dalam bidang tersebut.

Kursus yang dicadangkan hendaklah melibatkan kaedah pengajaran yang berkesan dan melibatkan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian. Kaedah pengajaran melalui ‘slaid’ adalah tidak digalakkan. Latihan perlulah melibatkan penyertaan aktif  pengajar dan pelajar.

Dari segi kos, majikan boleh memohon untuk mendapatkan dana daripada Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

Baca: 10 Skim Kewangan Dan 4 Inisiatif PSMB

Untuk mencapai situasi menang-sama-menang, pihak majikan perlu lebih terbuka dan sentiasa menerima dengan fikiran terbuka idea-idea pekerja yang baru balik menghadiri kursus.

Terdapat banyak kes di mana, pekerja yang baru balik dari kursus tidak dapat mengaplikasikan ilmu baharu mereka kerana pihak atasan tidak dapat menerima idea-idea baharu.

2. Zahirkan budaya berfikir dan menyelesaikan masalah 

Kebanyakan organisasi kurang selesa dengan pekerja yang suka berfikir dan menyelesaikan masalah kerana pekerja sebegini dianggap sebagai pekerja yang suka memberontak dan tidak mendengar cakap pihak atasan kerana mempunyai idea-idea tersendiri.

Baca: Hargai Penyimpang Demi Kejayaan Bisnes

Pekerja sebegini seharusnya dibimbing dan diberi perhatian lebih kerana berani berfikir dan tidak membuta tuli menerima arahan.

Budaya kerja yang sihat dapat mengoptimumkan potensi diri seseorang dan dengan ini juga menyumbang kepada kemajuan syarikat secara tidak langsung. Sumber utama bagi sesebuah organisasi adalah pekerjanya dan hendaklah dihargai sebaik mungkin.

3. Kurangkan budaya bermesyuarat secara fizikal

Malaysia terkenal dengan budaya bermesyuarat. Budaya ini kebanyakannya tidak menyelesaikan masalah tetapi lebih kepada menyampaikan masalah. Budaya bermesyuarat mengambil masa yang panjang setiap hari dan lebih merupakan satu kerugian masa.

Masa bermesyuarat secara fizikal boleh diringkaskan sekiranya mereka yang terlibat menggunakan alatan teknologi seperti Google Drive untuk mengadakan sesi sumbangsaran (brainstorming) buat tempoh tertentu.

Sesi sumbangsaran dapat menjimatkan masa dan lebih menyumbang kepada budaya kerja yang aktif di mana setiap orang bebas memberi pendapat dan semua pendapat dicatat dan diambil perhatian. Budaya bersumbangsaran juga dapat membentuk pekerja untuk lebih banyak berfikir dan berani memberi pendapat.

Mesyuarat secara fizikal boleh diadakan pada akhir tempoh sesi sumbangsaran untuk menetapkan hala tuju yang ingin diambil untuk maju dalam sesebuah projek berkenaan. 

Baca: Keringkasan – Kunci Ke Arah Kejayaan Bekerja Dengan Generasi Muda

4. Gunakan kaedah berfikir atau penyelesaian masalah yang inovatif 

Terdapat banyak kaedah berfikir dan penyelesaian masalah.

Yang paling mudah adalah 5W1H, iaitu kaedah bertanya (siapa, apa, di mana, bila, kenapa, bagaimana) soalan berhubung sesuatu proses atau masalah penambahbaikan.  Dengan cara ini, pengguna dapat megenal pasti masalah dengan berkesan. Kaedah ini lebih merupakan cara asas.  

Antara tokoh terkemuka dalam penyelesaian masalah adalah seperti Edward De Bono dan Buzan. De Bono terkemuka dengan konsep pemikiran lateral (lateral thinking), iaitu proses yang menggunakan maklumat untuk mewujudkan pembentukan semula kreativiti dan wawasan. Buzan pula adalah pencipta peta minda (mind map), teknik grafik hebat yang berupaya membuka potensi otak manusia.  

Bagi tokoh yang terlibat kebanyakannya dalam bidang kawalan kualiti, nama seperi Ishikawa, Juran dan Deming adalah nama yang terkenal. Tokoh-tokoh ini telah mencipta kaedah mudah untuk mengenal pasti masalah dan mencari punca utama masalah tersebut.

Ahli fizik terkemuka dunia, Albert Einstein pernah berkata jika beliau mempunyai 1 jam untuk menyelesaikan masalah, maka 50 minit akan digunakan untuk mengenal pasti punca masalah tersebut.

Dengan alat-alat berfikir, punca sesuatu masalah dapat dikenal pasti dan penyelesaian masalah juga mengambil masa lebih pendek dan lebih efektif.

5. Lanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi

Pelajaran formal adalah antara cara paling mudah untuk meningkatkan kemahiran berfikir. Dalam menuntut ilmu, kemahiran penyelesaian masalah akan digunakan secara sepenuhnya apabila seseorang mahu menyelelesaikan tugasan atau latihan yang diberi oleh pensyarah masing-masing.

Jika seseorang pekerja mahu meningkatkan kemahiran berfikir, dicadangkan untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Pihak syarikat juga dapat memberi bantuan kewangan seperti menaja pekerja untuk melanjutkan pelajaran atau memberikan elaun khas bagi pekerja yang mahu melanjutkan pelajaran

Akhir kata

Pembangunan diri bukanlah mengambil masa sehari dua untuk melihat hasilnya. Bak kata pepatah, ‘Yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.’ Ini bermakna dalam sesuatu pekerjaan, usaha sentiasa diperlukan dan setiap usaha itu perlu dikerjakan dengan bersungguh-sungguh.

Dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 seseorang boleh memiliki pelbagai kemahiran dan ilmu tetapi tanpa kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah yang tinggi, segala ilmu dan kemahiran yang ada akan gagal digunakan secara optimum.

Baca: Talent Development: Berkolaborasi Dengan Teknologi

 

Mohd Hasnul Mohd Sani ialah seorang jurutera kawalan kualiti, Beliau aktif menulis mengenai sains dan teknologi, sastera dan pembangunan diri. Anda boleh menghubunginya dengan menghantar e-mel ke editor@leaderonomics.com.

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Nilai Murni, Kebolehan Diri

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

 Majikan

10 Strategi Perbualan untuk Mempamerkan Kualiti Kepimpinan Anda

Oleh William Arruda. Ingin dilihat sebagai pemimpin dalam temu duga kerja anda? Temui 10 petua perbualan untuk mempamerkan kemahiran kepimpinan anda.

Dec 27, 2023 3 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

'Tamparan Idea' ialah podcast Bahasa Melayu yang mengupas topik dan isu semasa berkaitan dengan kepimpinan. Program ini diceriakan oleh Waheeda Hasbullah, seorang pengacara yang sentiasa membawa aura gembira kepada anda semua. Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Akui Kesilapan Di Tempat Kerja: 10 Cara Terbaik

Kita tidak boleh lari dari kesilapan. Biarpun naluri kita akan lazimnya mempertahankan diri tetapi sekiranya kita bersalah, akuilah kesilapan itu. Tontoni video TOP 10 untuk belajar cara-cara mengakui kesilapan di tempat kerja.

Aug 09, 2017 8 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest