Ukirkan Senyuman, Amalkan Sifat Optimis

Oleh Roshan Thiran|06-10-2017 | 1 Minit
Anda Juga Mampu Menghasilkan Sesuatu Yang Hebat Jika Anda Seorang Optimis

Dua orang staf saya sampai lambat ke mesyuarat perancangan intensif yang berlangsung baru-baru ini. Saya tersenyum apabila melihat mereka berjalan secara selamba masuk ke dalam bilik mesyuarat.  

Salah seorang daripada mereka menganggap senyuman saya secara positif — ‘bos amat lega melihat saya; saya orang yang penting dalam pasukan ini’. Dia percaya senyuman saya menandakan saya betul-betul memerlukannya untuk menyiapkan kerja tersebut.

Yang seorang lagi pula menganggap senyuman saya senyuman sinis, disebabkan rasa tidak senang hati dan marah kerana dia tidak sampai tepat pada masa.

Seminggu kemudian, semasa saya meneliti kerja mereka hasil daripada mesyuarat itu, saya ternampak perbezaan ketara. Seorang membuat tugasannya dengan gembira manakala seorang lagi, yang masih kecewa dengan senyuman saya, menganggap tugasannya sebagai kerja semata-mata.

Senyuman yang sama tetapi dua reaksi yang berbeza. Winston Churchill pernah menceritakan tentang dua jenis orang:

‘Seorang pesimis nampak kesukaran dalam setiap peluang. Seorang optimis nampak peluang dalam setiap kesukaran.’

Seseorang yang melambangkan contoh ini dalam dunia perniagaan adalah Soichiro Honda, pengasas Honda Motors.

Tahun-tahun awal yang optimis

Soichiro Honda dilahirkan pada 17 November 1906. Ibunya, Mika adalah seorang penganyam, dan ayahnya, Gihei seorang tukang besi yang turut mengusahakan perniagaan membaiki basikal.

Honda amat lembap di sekolah. Kerana tidak mahu mengecewakan ibu bapanya, beliau mengukir hieroglif keluarganya atas tayar buruk dan ‘menandatangani’ kad laporannya sendiri. Pada mulanya, beliau berjaya meloloskan diri. Malah, beliau mula membuat cop palsu untuk rakan sekelasnya. Tetapi kemudian beliau ditangkap. Namun, ini tidak membuatkan Honda berhenti tersenyum apabila ditengking guru kelas. Ayahnya menghukumnya bukan kerana kesalahan ‘menipu’, tetapi sebab beliau begitu bodoh sehingga pecah tembelang!       

Apabila beliau tercicir sekolah semasa berusia 15 tahun, beliau memberikan alasan bahawa “sijil diploma yang dikeluarkan mana-mana sekolah mempunyai nilai yang lebih rendah daripada tiket wayang.” Ini merupakan permulaan sistem kepercayaan bagi Honda, yang memandang positif setiap perkara yang berlaku, sama ada yang baik atau buruk. Pada usia itu, tanpa pendidikan formal, Honda berhijrah ke Tokyo untuk mencari kerja.

Beliau menjalani latihan perantis di garaj Art Shokai. Tetapi kerana beliau yang paling muda, kerjanya hanya melibatkan pembersihan dan penyediaan makanan untuk pekerja lain. Namun, hal ini tidak membantut niat Honda. Beliau menganggap pengalaman ini sebagai sesuatu yang positif dan bekerja dengan keras.

Semasa gempa bumi berlaku pada tahun 1923, apabila semua orang lari untuk menyelamatkan diri, Honda memandu tiga buah kereta keluar dari garaj yang sedang terbakar. Insiden itu menjadikannya seorang hero, lebih-lebih lagi kerana beliau tidak pernah memandu kereta sebelum ini.

Honda bekerja sebagai mekanik kereta di Art Shokai selama enam tahun. Beliau menerima paten dan membantu Art Shokai menambah pendapatan dengan ketara. Beliau cuba mencipta gelang omboh tetapi pengarah-pengarah Shokai menganggap ideanya tidak masuk akal. Maka pada tahun 1928, ketika berusia 22 tahun, beliau berhenti kerja dan memulakan perniagaan milik sendiri iaitu membaiki kenderaan.

Seorang optimis yang tegar

Jepun dilanda kegawatan ekonomi yang teruk pada tahun 1930. Honda membuka bengkel kecil yang dipanggil Tōkai Seiki, dalam usaha membangunkan konsep gelang omboh. Beliau berharap dapat menjual omboh tersebut kepada Toyota. Beliau berjerih-perih siang dan malam, sehingga tidur di bengkel. Kemudian beliau mengalami kesempitan wang. Biarpun itu, beliau tetap positif bahawa ideanya masih akan berhasil. Maka beliau menggadaikan barang kemas isterinya sebagai modal kerja.

Akhirnya, beliau berjaya menyiapkan gelang omboh dan menghantar ciptaannya kepada Toyota. Jurutera di situ mentertawakannya dan menyatakan gelang omboh Honda tidak menepati standard mereka. Daripada berfikir tentang kegagalannya, beliau terus bekerja. Selama dua tahun beliau bergelut dengan kesusahan dan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Akhirnya beliau berjaya memeterai kontrak dengan Toyota.

Aura positif selalu membuahkan hasil positif.

Nasib malang tidak akan menghalang seorang pemimpin

Semasa prestasi perniagaannya kian meningkat, beliau dipanggil untuk menjalani perkhidmatan ketenteraan. Biarpun beliau tidak mahu melencong daripada matlamat perniagaannnya, beliau tetap meninggalkan segala-galanya dan menyertai angkatan tentera dengan penuh keazaman untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik. Beliau membuat pemeriksaan kesihatan dan didapati buta warna. Honda dapat mengelakkan diri daripada perkhidmatan tentera dan kekal di Tōkai Seiki untuk meneruskan usaha menghasilkan gelang omboh untuk Toyota.

Peperangan meletus tetapi atas sebab kontraknya dengan Toyota, Honda menumpukan fokus membina kilang untuk mengeluarkan gelang omboh. Namun beliau mengalami kekurangan bekalan bahan binaan. Apa yang Honda lakukan? Beliau mencipta proses pembuatan konkrit yang baharu yang membolehkannya membina kilangnya.

Kilang tersebut siap dibina namun nasib malang terus menimpanya. Kilang itu dibom sebanyak dua kali. Namun Honda membina semula kilang itu tanpa lelah. Tetapi keluli yang ada tidak mencukupi. Aduh! Sekali lagi? Adakah Honda mengeluh dan berputus asa?

Tidak sama sekali. Beliau mula mengutip tong gasolin lebihan yang dibuang oleh tentera Amerika Syarikat, menggelarnya sebagai ‘hadiah daripada Presiden Truman’, yang digunakannya sebagai ‘bahan mentah’ baharu untuk kilangnya. Akhirnya, gempa bumi Mikawa memusnahkan kilangnya dan impiannya ranap. Honda tinggal sehelai sepinggang tetapi semangat positif tetap membara dalam sanubarinya. 

Akibat peperangan ini, penduduk Jepun mengalami kekurangan gasolin, memaksa mereka berjalan kaki atau menggunakan basikal. Honda menyedari trend ini lalu mencipta enjin yang kecil dan memasangnya pada basikal. Orang di sekelilingnya inginkan basikal seperti Honda, maka terhasillah Honda Motors. Sekali lagi bencana melanda dan tiada bahan yang boleh didapati sebagai bekalan bagi menepati permintaan pelanggan.

Honda kekal positif. Beliau menulis surat kepada 18,000 pemilik kedai basikal; surat yang membangkitkan inspirasi, mengajak mereka untuk menyuntik nafas baharu kepada Jepun. Seramai 5000 orang membalas surat Honda dengan mendahulukan wang mereka supaya Honda dapat mengeluarkan enjin basikal ciptaannya. Malangnya, model pertama basikalnya terlalu berat. Beliau terus bekerja dan menyesuaikan enjin tersebut sehinggalah ‘The Super Cub’ menjadi realiti dan berjaya dikeluarkan. Dengan kejayaannya di Jepun, Honda mula mengeksport enjin basikalnya ke benua Eropah dan Amerika.

Beberapa kali Honda Motors hampir jatuh muflis, namun Honda tidak pernah mengalah. Apabila skuter Juno tidak laku dan Honda di ambang kebankrapan, beliau mula mengambil bahagian dalam program perlumbaan Trofi Pelancongan di mana kenderaannya berjaya menarik perhatian orang ramai.

Honda sentiasa berfikiran positif sepanjang hidupnya. Pada tahun 1970-an, kekurangan gas menyebabkan rakyat Amerika menginginkan kereta yang lebih kecil. Dalam sekelip mata, Honda memastikan Honda Corps mengeluarkan kereta-kereta kecil, lantas menempa satu lagi gelombang kejayaan.

Perkara positif membawa hasil positif

Sikap positif Honda menghasilkan pengalaman yang positif. Kajian terbaharu menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mengukir senyuman di wajah mereka menarik perhatian orang ramai. Manusia tertarik dengan budak-budak yang kelihatan positif berbanding yang bermuka masam.

Orang yang berpandangan jauh mempunyai lebih banyak pengalaman positif. Kajian menunjukkan bahawa sungguhpun nasib malang seseorang selalu dikaitkan dengan nasib yang buruk, kemungkinan nasib tidak memainkan peranan. Hukum Tarikan (Law of Attraction) menyentuh bahawa seseorang yang mempunyai semangat negatif cenderung mengalami perkara yang negatif. Maka sikap kita menentukan pengalaman yang bakal kita hadapi, yang kemudiannya membawa kepada peluang dan masalah yang bakal kita tempuh.

Pada 7 Jun 1936, Honda mengalami kemalangan dalam kereta ‘Hamamatsu’ dalam perlumbaan pembukaan di Litar Tamagawa. Beliau tidak dapat mengelakkan diri daripada melanggar kereta lain yang dalam perjalanan pulang ke trek selepas berada di hentian pit. Honda terlempar keluar dari keretanya tetapi kecederaan yang dialaminya tidak begitu serius. Adik lelaki dan mekaniknya iaitu Benjiro retak tulang belakang.

Walaupun isteri dan ayah Honda menyelarnya daripada mengambil bahagian dalam mana-mana perlumbaan, beliau mendaftar untuk satu lagi perlumbaan pada bulan Oktober pada tahun yang sama. Beliau berasa kemalangan yang dihadapinya ibarat malang tak berbau dan mengambil keputusan meneruskan rancangannya. Kebanyakan orang yang pesimis akan menganggap rintangan yang melanda sebagai bukti bahawa seluruh dunia tidak menyebelahi mereka lalu berputus harapan.

Honda bukanlah seorang yang terlebih positif dalam semua perkara dan meluahkan kata-kata positif di mana-mana sahaja beliau berada. Itu sifat percaya membabi-buta. Beliau hanya bersikap positif akan masa hadapannya, selalu percaya bahawa suatu hari nanti usahanya bakal membuahkan hasil. Beliau mempunyai keyakinan bahawa beliau mampu menempuh segala cabaran dan akhirnya berjaya.

Bersifat optimis 

Pandangan kita terhadap perkara yang berlaku dalam dunia dan cara kita berinteraksi dengannya menentukan reaksi dan respons yang bakal kita terima. Dalam sebuah kajian penting yang dijalankan oleh Headey dan Wearing, mereka menemui bahawa orang yang ‘bernasib baik’ memang selalu beruntung. Manakala orang yang ‘bernasib malang’ akan terus diselubungi pengalaman yang buruk satu demi satu. Hasil kajian ini kemudiannya disahkan oleh kajian-kajian lain, yang meramalkan golongan pesimis cenderung untuk mengalami perkara yang negatif manakala yang optimis mempunyai lebih banyak pengalaman positif.

Sikap optimis juga membuahkan manfaat yang lain. Menurut kajian yang dijalankan di kalangan mahasiswa di Harvard pada 1940-an, sikap positif yang tinggi bagi seseorang semasa berumur 20-an menjanjikan mereka kesihatan yang bagus pada usia 65 tahun. Sedangkan mereka yang sangat pesimis semasa kajian mula-mula dijalankan, gagal ditemui pada usia 65 tahun dan dipercayai sudah meninggal dunia.

Kajian yang dijalankan ke atas 100,000 orang wanita oleh saintis Amerika Syarikat menemukan bahawa golongan pesimis mempunyai tahap kolesterol yang tinggi serta darah tinggi. Wanita yang optimis pula mempunyai 9% risiko yang lebih rendah untuk mengalami sakit jantung dan 14% risiko yang lebih rendah untuk meninggal atas apa-apa sebab. Orang yang optimis sukakan kehidupan. Mereka kurang mengalami tekanan dan cenderung menikmati kehidupan sosial yang lebih baik.

Honda merupakan seorang lelaki yang menikmati kegembiraan daripada perkara-perkara yang sangat biasa, seperti terlibat dalam pengeluaran kereta, jualan dan berurusan dengan pelanggan.

Pada tahun 1956, Honda membentangkan deskripsi kerja standard yang bertajuk ‘Tiga Jenis Kegembiraan’, yang perlu diamati setiap pekerjanya. Kegembiraan pertama ialah kegembiraan menghasilkan dan mengeluarkan kereta yang berkualiti. Kegembiraan kedua ialah kegembiraan sebagai penjual apabila pembeli melanggan produk keluaran Honda. Manakala kegembiraan ketiga ialah kegembiraan pembeli. Pembeli patut berasa girang apabila membeli produk Honda. Dalam kepala Honda, beliau nampak kegembiraan dalam segenap perkara.

Akhir kata

Honda percaya bahawa setiap dugaan dan rintangan yang dihadapi bersifat sementara dan bukanlah disebabkan olehnya sahaja. Menurut ahli psikologi Elaine Fox,

“orang yang optimis menerima nasib mereka di dunia Dengan senang hati dan percaya bahawa setiap orang mempunyai kebaikan dalam diri. Hal ini bertentangan dengan orang yang pesimis; fikiran mereka serabut dengan pemikiran negatif dan yakin bahawa masalah mereka mustahil untuk dikawal dan tidak akan dapat diselesaikan.”

Adakah anda seorang manusia yang pesimis? Berita baiknya ialah anda boleh mengubah diri menjadi lebih optimis. Kemahiran ini boleh diasah. Apa yang harus dilakukan ialah anda perlu lebih banyak ketawakan diri, lebih bersifat pemaaf, curahkan lebih banyak kasih sayang, lebih banyak memberi dan menganggap setiap perkara yang berlaku dengan positif.

Tengoklah, anda bakal merasakan semuanya mula berubah menjadi positif. Honda, seorang yang tercicir sekolah, menubuhkan sebuah syarikat atas sikap positifnya. Anda juga mampu menghasilkan sesuatu yang hebat. Semuanya bermula dengan seukir senyuman.

 
Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Smile Like Soichiro.

Sila Kongsi

Perkembangan Peribadi

Tag: Identiti

Roshan is the Founder and CEO of the Leaderonomics Group. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe", in their own special ways. He is constantly featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com
Leaderonomics Logo

Izinkan kami meminta bantuan anda untuk menderma kepada penyelengaraan laman kami. Mahal jugak lah nak jaga blog ni.

Ramai di luar sana tidak ada akses kepada sumber yang diperlukan untuk mengasah potensi kepimpinan mereka. Oleh itu, content kami akan sentiasa diberikan kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Sudikan kamu membantu?

© 2022 Leaderonomics Sdn. Bhd. Hak cipta terpelihara.

Perhatian: Pandangan yang dikongsi di blog ini adalah pendapat peribadi para pengarang dan tidak semestinya dikongsi oleh Leaderonomics.