Tak Semua Hari Kita Perlu Produktif

Sep 29, 2026 • 2 Minit
BUSY
Sumber:

imej oleh @cookie_studio dari magnific

Bangun awal pagi, kita mungkin rasa lemau dan tidak begitu bersemangat, lebih-lebih lagi apabila memulakan minggu baharu seperti hari Isnin. Hujung minggu kita boleh berehat atau melakukan apa sahaja aktiviti yang kita suka. Lain pula apabila masuk minggu bekerja. Badan seolah-olah perlu mengambil sedikit masa untuk kembali kepada rentak biasa.

Ada hari kita produktif dan ada hari kita cuma cuba bertahan.

Sejujurnya, tidak mengapa.

Pada hari yang produktif, kita biasanya datang dengan niat dan semangat baharu. Kita cuba menyelesaikan perkara mengikut jadual yang ditetapkan, menyiapkan tugasan dan mengejar perkara yang mungkin tertangguh. Ada masanya kita terkejut melihat betapa banyak perkara yang sebenarnya boleh kita selesaikan dalam sehari.

Bagi yang bekerja dari rumah, perkara ini mungkin lebih terasa. Bekerja dari rumah memerlukan disiplin, tetapi pada masa yang sama, tahap produktiviti kita juga tidak semestinya sama setiap hari.

Salah satu perkara kecil yang boleh dilakukan sebelum memulakan kerja ialah mengemas bilik dan menyapu ruang kerja. Kedengarannya biasa, tetapi ruang yang bersih dan kemas boleh membantu kita berasa lebih tenang sebelum memulakan kerja.

Apabila ruang sekeliling lebih teratur, fikiran juga terasa sedikit lebih lapang. Walaupun perkara ini nampak kecil, rutin seperti ini kadangkala membantu kita bersedia untuk memulakan hari bekerja.

Namun, ada hari lain apabila rutin yang sama masih dilakukan tetapi semuanya terasa lebih berat.

Kita membuka laptop, menyemak e-mel dan melakukan tugasan seperti biasa. Tetapi entah kenapa, semuanya memerlukan lebih banyak tenaga daripada kebiasaannya. Perkara yang biasanya boleh diselesaikan dalam masa yang singkat pun terasa mengambil masa lebih lama.

Pada hari seperti itu, kita mungkin tidak dapat mencapai sebanyak yang kita harapkan. Dan itu tidak semestinya bermakna kita malas.

Ada hari kita mampu memberikan yang terbaik. Ada hari kita hanya mampu menyelesaikan perkara yang paling penting dan melakukan apa yang termampu.

Mungkin kita terlalu biasa mengukur hari yang baik berdasarkan berapa banyak perkara yang berjaya diselesaikan. Bila banyak perkara dapat ditanda sebagai selesai, kita rasa produktif. Bila senarai tugasan masih panjang, kita mula rasa seperti tidak melakukan apa-apa.

Sedangkan tenaga, fokus dan keadaan kita tidak semestinya sama setiap hari.

Tidak semua hari perlu menjadi hari yang paling produktif. Ada hari kita bergerak laju, ada hari kita bergerak perlahan. Kedua-duanya tetap sebahagian daripada kehidupan bekerja.

Namun, jika hampir setiap hari terasa seperti kita hanya cuba bertahan, mungkin itu sesuatu yang perlu kita perhatikan. Hari yang perlahan sekali-sekala adalah perkara biasa. Tetapi jika rasa berat itu berpanjangan, mungkin ada sesuatu yang lebih besar yang sedang mempengaruhi kita.

Jadi, mungkin kita tidak perlu terlalu keras terhadap diri sendiri apabila ada hari yang kurang produktif.

Kita masih bekerja. Kita masih mencuba. Dan kadangkala, untuk satu hari itu sahaja, itu sudah memadai.

Sila Kongsi

Perkembangan Peribadi

Alt

Amirah ialah editor Bahasa Melayu di Leaderonomics dengan latar belakang dalam bidang Linguistik dan Bahasa Melayu. Bagi Amirah, menulis bukan sekadar tugas, tetapi ruang untuk meneroka idea dan berkongsi perspektif. Di luar kerja, dia gemar menonton Netflix, mencuba makanan baharu dan menikmati secawan matcha.

Cadangan Buat Kamu

perkataan

3 Perkataan yang Jarang Didengar Tetapi Sangat Ingin Didengar oleh Semua Orang

Oleh Terry Small. Tiga perkataan ajaib yang sentiasa memberi kesan, tetapi kebanyakan orang tidak pernah mendengarnya.

Apr 12, 2026 • 2 Minit

Wanita

Kehidupan Seharian Pekerja Gudang Wanita di NinjaVan Malaysia

Pernah terfikir bagaimana rasanya menjadi seorang wanita yang bekerja dalam industri yang kebanyakannya didominasi oleh lelaki? Dalam video ini, kami berbual dengan Nurazlin, seorang pekerja gudang wanita di #NinjaVanMalaysia, untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman dan kejayaannya sebagai seorang wanita dalam dunia lelaki.

Mar 15, 2023 • 10 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest