Apa yang Membuatkan Tempat Kerja Menjadi Toksik?

Feb 03, 2026 • 2 Minit
Alt
Sumber:

imej dari freepik.com

Ramai orang pernah mengalami tempat kerja yang toksik, malah ada yang terpaksa berhenti kerana tidak tahan. Ramai beranggapan tempat kerja toksik sebab kerja banyak. Sebenarnya, yang paling memenatkan ialah persekitaran yang menekan emosi, mematikan suara, dan membuat pekerja rasa tidak dihargai walaupun sudah berusaha sehabis baik.

Berikut adalah lima faktor utama yang menjadikan tempat kerja toksik:

1. Kepimpinan Lemah dan Mengawal

Pemimpin yang terlalu mengawal, tidak peka terhadap emosi, atau membuli pekerja merosakkan rasa selamat di tempat kerja. Pekerja mula takut buat silap, takut bersuara, dan akhirnya bekerja sekadar untuk mengelakkan masalah, bukan untuk memberi yang terbaik. Budaya seperti ini membunuh keyakinan dan motivasi dari dalam diri.

2. Kurang Ketelusan dalam Keputusan

Keputusan penting yang dibuat secara diam-diam membuat pekerja merasa dipinggirkan. Maklumat yang sampai lewat, berubah-ubah, atau hanya diketahui “orang tertentu” menimbulkan spekulasi dan rasa tidak adil. Lama-kelamaan, pekerja berhenti peduli terhadap hala tuju organisasi kerana mereka tidak pernah benar-benar dilibatkan. Kepercayaan merosot, dan motivasi turut hilang.

3. Budaya Gosip dan Puak-Puak

Tempat kerja sepatutnya ruang profesional, bukan medan politik senyap. Apabila gosip lebih cepat daripada komunikasi rasmi, dan puak-puak kecil mula terbentuk, hubungan kerja menjadi penuh syak wasangka. Pekerja tidak lagi fokus pada kerja, tetapi sibuk menjaga kedudukan dan reputasi sendiri. Tekanan emosi tersembunyi tetapi berterusan, meresap setiap hari.

4. Budaya Kerja Sampai Burnout

Kerja lebih masa dianggap normal, bahkan dipuji, manakala rehat dianggap malas. Hakikatnya, keletihan berpanjangan bukan bukti dedikasi, tetapi tanda sistem yang tidak sihat. Pekerja yang burnout bukan sahaja hilang tenaga, tetapi juga kehilangan kreativiti, fokus, dan minat terhadap kerja yang dulunya mereka suka.

Artikel ini mungkin menarik minat anda:

Burnout di Tempat Kerja: Tanda, Punca dan Cara Mengatasinya

5. HR yang Tidak Melindungi Pekerja

Apabila HR lebih menekankan imej syarikat daripada kesejahteraan pekerja, sistem sokongan dalaman menjadi tidak bermakna. Aduan tidak diambil serius, isu berulang tanpa penyelesaian, dan pekerja belajar bahawa bersuara hanya akan menyusahkan diri sendiri. Dalam jangka panjang, tingkah laku toksik terus berlaku tanpa akibat.

Kesimpulannya

Tempat kerja toksik bukan sekadar tentang kerja yang banyak, tetapi tentang persekitaran yang gagal menghormati manusia di dalamnya. Tekanan emosi dianggap normal, keletihan dijadikan budaya, dan suara pekerja tidak diendahkan yang rosak bukan sahaja prestasi, tetapi juga kesihatan mental dan harga diri.

Yang paling pedih, ramai pekerja mula menyalahkan diri sendiri, sedangkan masalah sebenar ialah sistem yang memang tidak sihat sejak awal.

Sila Kongsi

Perkembangan Peribadi

Alt

Amirah ialah editor Bahasa Melayu di Leaderonomics dengan latar belakang dalam bidang Linguistik dan Bahasa Melayu. Bagi Amirah, menulis bukan sekadar tugas, tetapi ruang untuk meneroka idea dan berkongsi perspektif. Di luar kerja, dia gemar menonton Netflix, mencuba makanan baharu dan menikmati secawan matcha.

Cadangan Buat Kamu

stres

Tekanan yang Kita Cipta Sendiri dan Cara Menghapuskannya

Oleh Dan Rockwell. Otak anda mungkin sedang membesarkan tekanan yang sebenarnya tidak wujud. Pelajari cara untuk menulis semula tekanan tersebut.

Feb 18, 2026 • 2 Minit

健康

Mindset Positif - Bagaimana untuk Mempunyai Minda Positif?

Pelajari cara untuk menyingkirkan pemikiran negatif, membina mindset yang berdaya tahan dan fokus kepada perkembangan, serta membuka manfaat pemikiran positif dalam setiap aspek kehidupan anda—baik secara peribadi mahupun profesional.

Jan 04, 2025 • 2:17 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest