Macrokiosk Dan Mindvalley: Memecah Batas Dengan Inovasi Ruang Kerja

Oleh Editor Leaderonomics|08-11-2017 | 1 Minit

“Anda adalah hasil persekitaran anda. Maka pilihlah persekitaran yang dapat memajukan anda dengan terbaik dalam mencapai objektif. Adakah elemen di sekeliling anda membantu anda menghampiri kejayaan, atau menyekat anda?” – W. Clement Stone, tokoh perniagaan Amerika Syarikat

Dengan hanya meniru konsep pejabat yang terkenal seperti Google, Microsoft atau LinkedIn tidak semestinya dapat meningkatkan produktiviti dan membawa kerjasama antara tenaga kerja dalam sesebuah organisasi. 

Ini kerana setiap syarikat mempunyai budaya masing-masing. Oleh itu, untuk menyokong dan menggalakkan kelangsungan budaya berkenaan, cara yang berlainan, dari syarikat ke syarikat, perlu digunakan.

Leadernomics memperoleh peluang keemasan untuk mengunjungi dua pejabat, kedua-duanya syarikat tempatan, yang telah memberi nafas baharu kepada ruang kerja yang inovatif.

MACROKIOSK

Di bilik mesyuarat yang luas, tempat kami mengadakan perbincangan, sterdapat sebuah arca putih budak lelaki di atas sebuah bangku, dengan jari telunjuknya menghala ke siling.

Kami bertanya kepada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Macrokiosk, Datuk Kenny Goh, kenapa arca itu ditempatkan di situ. 

Dollar (kiri), ‘mascot kesayangan’ ofis dan ruang letak basikal. Sumber foto: Macrokiosk.

Katanya, “Karya seni ini menggambarkan budak lelaki ini sedang berpesan supaya kita memandang ke atas pada setiap hari. Kami sengaja meletakkannya bersebelahan dengan skrin projector supaya semua orang akan menumpukan perhatian pada skrin.”

Sedikit sebanyak tentang Macrokiosk
Macrokiosk merupakan pemudah teknologi mudah alih yang “memperkasa kesalinghubungan” dengan menyediakan akses pasaran kepada pelanggan mereka bagi  tujuan interaksi, pemberitahuan, pengesahan, keselamatan dan/atau pembayaran dengan lebih dua bilion pengguna telefon.
Fokus utama syarikat ini pada Penyelesaian Mobiliti Perusahaan (EMS) dan Perkhidmatan Pembayaran Mudah Alih (MPS).
Goh menerangkan dalam bahasa mudah, “Contohnya perbankan mudah alih dan pengurusan tiket penerbangan. Kedua-dua ini memerlukan ciri-ciri keselamatan. Di sinilah peranan kami. Kami menyediakan kata laluan sekali mudah alih (mobile OTP, one time password), response pantas mudah alih (mobile QR, Quick Response), dan konsol paparan, misalnya.
Setakat ini, syarikat ini beroperasi secara fizikal merentas Asia dan Australia, dan  mempunyai lebih 2,000 klien dari 18 industri yang berlainan dari 37 negara.

Perincian yang indah dan bermakna

Seperti dengan arca itu, kami memerhati bahawa terdapat banyak perincian yang indah dan bermakna pada dinding dan ruang di dalam pejabat Macrokiosk yang terletak di Troika, Kuala Lumpur.

Contohnya, ada seni dinding berupa ‘Scrabble’ yang menggambarkan 12 negara di mana Macrokiosk beroperasi. Sebuah papan luncur pula tersandar pada dinding, menunjukkan kewujudan Macrokiosk di Australia.

Kami begitu takjub dengan dua ruang – ‘Den’ yang mengandungi dua pod rehat dengan hiasan Star Wars, yang membuatkan kami berasa seperti di dunia lain. Yang satu lagi ialah  ‘Space Bar’ (sempena fungsi palang penjarak dalam papan kekunci) yang merupakan pantri pejabat. Di sini, menu harian disediakan dan dihidangkan secara percuma. Satu  bahagian ruang itu pula diperuntukkan khas untuk mesyuarat dengan hanya menyelak pintu garaj lama yang berwarna kuning.

Pod rehat di Den. Sumber foto: Macrokiosk

“Memandangkan perniagaan kami tertumpu pada perniagaan-kepada-perniagaan, pintu ini sengaja diletakkan di sini sempena memperingati perniagaan pada zaman 1960-an,” jelas Goh.

Syarikat kami dahulunya beroperasi di dalam ruang yang kecil di Menara Tan & Tan. Apabila tiba masa untuk beralih arah, kami sepasukan bersama-sama memerah otak memikirkan hala tuju Macrokiosk.

“Apabila kami sedar syarikat ini menitikberatkan penyelesaian, kami terfikir, kenapa tidak kami zahirkan falsafah bagi produk dan penyelesaian melalui ruang pejabat?”kata Goh. 

Jika anda melihat pada mana-mana ruang dalam pejabat, anda akan sedar bahawa tempat ini direka secara teliti, dengan menggabungkan unsur fungsian, keterlibatan, kerjasama, kreatif dan inovasi.

Ruang pejabat direka khas berbentuk seperti ladam, Goh menerangkan. Tiada langsung kawasan yang betul-betul berbentuk petak daripada keseluruhan susun atur pejabat kerana setiap ruang tidak simetri.

Kerja mengoptimumkan ruang ada cabarannya, namun Macrokiosk mampu mengatasinya dengan bantuan pereka dalaman. Satu lagi aspek yang diteliti pengasas syarikat ini ialah keterangkuman budaya berkeluarga dalam ruang pejabat.

“Macrokiosk ditubuhkan oleh tiga beradik (Kenny, Henry dan CS). Kami mahu menambah ahli keluarga kami.”

Katanya (dengan gelak tawa), “Anda mungkin tidak jumpa pak cik dan mak cik di sini, tapi kami akan menjadi jadi pak cik dan mak cik bersama-sama sebab kami akan sama-sama tumbuh dengan anda.”

‘Space Bar’, pantri ofis dan ruang mesyuarat.

MINDVALLEY

Syarikat ini merupakan satu-satunya syarikat di Asia dan adalah antara empat syarikat di dunia yang menerima pengiktirafan Tempat Kerja Paling Berdemokrasi oleh WorldBlu selama 10 tahun berturut-turut. Ia juga tersenarai sebagai sumber teratas bagi pengamal sumber manusia untuk dijadikan sebagai panduan untuk terus berada di hadapan. Maka tidak hairanlah Mindvalley semakin diiktiraf dalam lingkungan pendidikan dalam talian.

Syarikat yang dibentuk pada tahun 2003 oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Vishen Lakhiani, juga sangat disanjung tinggi kerana budaya syarikat yang begitu unik, sehingga berjaya meredamkan suasana kerja dan bermain.

Buku Lakhiani yang bertajuk The Code of The Extraordinary Mind (Kod Minda Luar Biasa) menekankan bahawa peraturan dan dogma masyarakat yang lapuk mengekang manusia daripada menjalani hidup seperti yang diinginkan. Sebab inilah Vishen dan pasukannya percaya pada amalan mengintegrasikan aspek hidup dan kerjaya, bukannya keseimbangan hidup dan kerjaya, dalam mendorong kemajuan dan kebahagiaan pekerja.

Sedikit sebanyak tentang Macrokiosk
Mindvalley merupakan sebuah syarikat pengalaman pembelajaran yang menyediakan pengetahuan yang ‘diabaikan sekolah’.
Melalui pelbagai platform, syarikat ini bekerjasama dengan penulis, guru dan pakar yang terulung dalam berkongsi pengetahuan berkenaan perkembangan peribadi, kesihatan dan kecergasan, kerohanian, produktiviti, keprihatinan dan sebagainya.
Buat masa ini, syarikat ini mempunyai tiga juta pelajar dan pengikut dari serata dunia.

Mengatasi cabaran pulang ke tanah air

Menurut Lakhiani, syarikat ini pada mulanya beroperasi di dalam sebuah unit yang kecil dan “terlindung” di Times Square, New York. Apabila terpaksa pulang ke Malaysia, dia berdepan dengan dua penghalang.

Pertama, isu penghijrahan cerdik pandai dari Malaysia dan kedua, semua klien, rakan kongsi dan vendor beroperasi di Amerika Syarikat. Ini mendesak Lakhiani dan pasukannya untuk mewujudkan model baharu.

“Menjelang tahun 2020, kami mahu menjadi syarikat yang paling diimpikan oleh mereka yang sedang mencari pekerjaan. Syarikat terbaik di dunia pada suatu hari nanti akan berada di Kuala Lumpur,” kata Lakhiani.

Tambahnya, “Terima kasih kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), saya mampu mendapatkan bakat dari serata dunia, tidak terhad kepada pekerja dari Malaysia sahaja.”

Mendapatkan tenaga kerja yang pintar dan pelbagai itu adalah satu isu, tetapi untuk mendorong dan menyuntik inspirasi supaya mereka berusaha ke arah suatu misi “untuk melancarkan sekolah kemajuan dan kemanusiaan bagi berbilion manusia”, ini bukannya kerja mudah.

Kemajuan dan kebahagian pekerja

Bagi menggapai matlamat ini, syarikat sangat menekankan kemajuan dan kebahagiaan pekerja, dan hal ini dizahirkan melalui ruang kerja.

“Kami mahu menyediakan ruang kerja yang sangat menarik sehinggakan mereka berasa tidak mahu pulang ke rumah kerana sangat selesa berada di pejabat.”

‘The Kitchen’.s Sumber foto: Mindvalley

Tepat sekali, inilah yang kami rasa sewaktu melangkah masuk ibu pejabat Mindvalley di Kuala Lumpur. Ada buaian dalam bangunan, bilik meditasi, dapur yang lengkap, rumah pokok dan bilik ‘jemaah Jedi’; ini hanyalah beberapa ciri yang menakjubkan dalam pejabat ini.

Apabila melihat mereka bekerja dikelilingi perabot yang diilhamkan alam semula jadi dan disulami warna-warna yang terang, ini seakan-akan seperti “bekerja dalam taman permainan”.

Kata Lakhiani, “Saya percaya apa-apa kerja yang kita usahakan, semuanya bertitik tolak daripada minda, dan jika saya mahu dapatkan hasil terbaik daripada orang lain, saya mahu kerangka minda mereka dalam keadaan yang terbaik, sesuatu yang hanya dapat dicapai dengan menyediakan ruang yang terbaik sehabis mungkin.”

Menyatukan semua ini

Kedua-dua syarikat menggunakan elemen yang berbeza sebagai asas untuk melahirkan ruang kerja yang terbaik. Bagi Macrokiosk, ia menggambarkan falsafah reka bentuk produk dan penyelesaian. Manakala bagi Mindvalley, perkara utama adalah memberi galakan dan sokongan yang boleh mendorong kebahagiaan pekerja mereka.

Apa yang mereka lakukan dengan betul ialah melihat dari segi dalaman dan menganalisis aspek yang boleh memberi inspirasi dan memotivasikan pekerja.

Dan anda boleh lihat sama ada sesebuah organisasi berjaya atau tidak sebaik sahaja anda melangkah masuk ke pejabat mereka.

Yang menarik ialah penyertaan dalam program Pecutan Rangkaian Inovasi Global (GAIN) oleh MDEC telah membantu kedua-dua syarikat ini. Program GAIN menyediakan bantuan mengikut keperluan dan matlamat tertentu syarikat-syarikat berkenaan; sama ada meningkatkan keterlihatan jenama, memudahkan akses pasaran, menaik tarf keupayaan, pengaturan penggabungan dan/atau pemerolehan, atau mengakses ekosistem pendanaan. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai progam GAIN, layari https://mdec.my/msc-malaysia/gain
Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan perniagaan yang dijalankan oleh Macrokiosk dan Mindvalley dan apakah yang menjadikan kedua-dua syarikat ini sangat unik dan berjaya, sila layari www.macrokiosk.com dan www.mindvalley.com
Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Breaking Boundaries In Workspace Innovation.

Sila Kongsi

Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com
Leaderonomics Logo

Izinkan kami meminta bantuan anda untuk menderma kepada penyelengaraan laman kami. Mahal jugak lah nak jaga blog ni.

Ramai di luar sana tidak ada akses kepada sumber yang diperlukan untuk mengasah potensi kepimpinan mereka. Oleh itu, content kami akan sentiasa diberikan kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Sudikan kamu membantu?

© 2022 Leaderonomics Sdn. Bhd. Hak cipta terpelihara.

Perhatian: Pandangan yang dikongsi di blog ini adalah pendapat peribadi para pengarang dan tidak semestinya dikongsi oleh Leaderonomics.