SL1M: Sedia Mengharungi Badai Demi Kejayaan

Nov 06, 2017 6 Minit
pemandangan berseri, bukit bukau, rumput hijau

SEBELUM diletakkan di dalam kotak, pembuat pensil berkata kepada pensil itu, “Untuk menjadi hebat, kamu perlu ingat lima perkara:

  • Kamu harus biarkan orang lain memegangmu supaya kamu boleh lakukan perkara yang hebat.
  • Kamu akan melalui proses yang memeritkan semasa ditajamkan tetapi kamu perlukannya untuk menjadi lebih baik.
  • Kamu boleh betulkan apa-apa kesalahan yang telah kamu lakukan.
  • Apa yang ada dalam dirimu, itu yang paling penting.
  • Tidak kira apa yang terjadi, teruskan dengan menulis.”

Kata-kata itu dikongsi oleh Pengarah Standard Perburuhan di Kementerian Sumber Manusia (KSM), Rahmat Ismail, yang hadir sebagai sukarelawan dalam jerayawara Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Kami sangat bertuah kerana dapat bertemu dengan tiga individu luar biasa yang mengingatkan kami akan lima perkara yang dinyatakan di atas, serta bahawa kehilangan upaya dan peminggiran tidak sekali-kali dapat menyekat seseorang daripada memperoleh kejayaan dalam hidup.

Berikut adalah cerita mereka.

AIDA FAZIRA MOHAMAD ALIAS @ AYIT, 23

Dilahirkan dengan sindaktili dan tanpa kaki, bagi Aida, hidup tidak selalunya cerah. Selain berasa tidak senang apabila diperhatikan oleh orang yang tidak dikenali, dia juga perlu bertahan dengan kekurangan kemudahan yang mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) di beberapa tempat. Ini menyusahkannya untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Apabila bapanya meninggal dunia sewaktu Aida berumur tiga tahun, tinggal ibunya sahaja untuk menjaganya dan lagi lapan beradik.

Semasa berbual dengan kami baru-baru ini, Aida mendedahkan bahawa ibunya adalah segalanya baginya. Tiba saat untuknya melanjutkan pelajaran ke universiti, ibu Aida pada mulanya teragak-agak untuk melepaskannya, kerana bimbang dan risau akan dirinya.

Aida mengaku, “Pada mulanya saya berasa takut kerana saya tidak pernah berjauhan daripada ibu.” Tetapi Aida menguatkan diri; dia tahu ibunya sentiasa ada di sisi (hanya dengan panggilan telefon), menjadi tunggak sokongannya. “Dia sentiasa menasihati saya supaya bersabar.”

Baca: Makcik Dan Budak Yang Tiada Resume

Sokongan yang utuh

Apabila Aida menjejak kaki ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Perak dalam jurusan reka bentuk grafik, dia tertanya-tanya sama ada dia mampu menjalinkan persahabatan atau tidak, disebabkan oleh keadaannya.

Katanya, “Syukur kepada Tuhan, saya mempunyai beberapa rakan yang sangat rapat, mereka sentiasa menemani saya sejak dari diploma sehinggalah ke peringkat ijazah.”

Kerja keras dan ketekunannya membuahkan hasil apabila dia mendapat peluang membuat latihan amali dengan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

Di sinilah Aida mula mengenal dunia pekerjaaan yang sebenar. Katanya, “Saya belajar cara berkomunikasi dengan pelanggan dan banyak lagi. Malah, rakan sepasukan yang bekerja bersama-sama banyak bersabar dengan saya.”

Tidak berputus asa

Kematian mengejut ibu Aida dalam kemalangan jalan raya beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Puasa tahun lepas membuatkan harapannya hampir hancur berkecai. Dalam menahan sebak, Aida berkata, “Dia sentiasa di sisi semenjak saya kecil.”

Tanpa membiarkan kepiluan menghentikannya, Aida berjaya menamatkan pelajaran tahun ini dan dia sudah menghantar permohonan kerja dan menghadiri beberapa sesi temu duga melalui jerayawara SL1M di Perak. “Berjaya atau tidak, itu bukan persoalan utama. Yang penting, saya telah mencuba,” katanya.

AZHAR IBRAHIM, 34

Azhar dilahirkan tanpa penglihatan. Namun, apa yang mengagumkan tentang anak muda ini, sekali pun buta, dia mempunyai bengkel sendiri. Di sinilah tempatnya dia membaiki motosikal. Kata Azhar, “Sejak dari kecil, saya sentiasa berminat dengan bunyi enjin.  

“Apabila mendengar bunyi berdengung atau berkeriut daripada enjin motosikal, saya berasa tidak tenang dan mengerjakan enjin tersebut sehinggalah enjin itu kembali lancar.”

Yang menarik sekali, walaupun tidak mempunyai pendidikan formal, Azhar hanya mengambil masa selama dua bulan untuk belajar tentang setiap bahagian motosikal dan cara membaikinya. Ini semuanya dilakukan sendiri tanpa bantuan sesiapa pun.

Selain daripada membaiki motosikal, dia juga mengajar kanak-kanak cara bermain rebana, iaitu dram tangan tradisional masyarakat Melayu. Katanya, dengan cara ini, dia dapat mengelakkan diri daripada duduk melahu.

Manfaatkan apa yang anda ada sebaik-baiknya

Azhar sudah berkerja sebagai mekanik dekat enam tahun. Baru-baru ini, dengan bantuan Institut Automotif Malaysia (IAM), dia mampu membuka premis bengkel motosikalnya di rumahnya. KSM turut sama berganding bahu membantu dengan membekalkan peralatan yang diperlukan.

Kata Azhar, dia mempunyai 10 pelanggan setia dan menerima tiga atau empat pelanggan setiap minggu. Apabila ditanya sama ada pendapatannya mencukupi atau tidak, dia membalas, “Asalkan boleh makan dan minum, cukuplah bagi saya. Yang selebihnya tidak penting. Saya melakukan kerja ini bukannya untuk menjadi kaya. Saya hanya mahu meneruskan hidup.”

Salah satu cabaran terbesar yang dihadapi Azhar adalah untuk mendapatkan bahan atau alat ganti. Ini kerana dia memerlukan bantuan rakannya untuk memandu arah menuju ke lokasi yang tidak biasa dikunjunginya, seperti kedai alat ganti.

Artikel berkaitan: SL1M: Memiliki Ijazah Tetapi Masih Menganggur

Pandangannya terhadap siswazah

Apabila diajukan soalan berkenaan tujuannya menyampaikan ceramah dalam jeyarawara ini di Perak, Azhar membalas, “Saya berasa kecewa dengan beberapa pelajar kerana mereka mampu melihat dan membaca, tetapi mereka malas.

“Mereka mensia-siakan masa dengan melepak (menghabiskan masa tidak melakukan apa-apa). Bagi saya, ini merugikan. Kita harus ingat saat kita pernah diuji sebaik sahaja kita melepasi ujian tersebut. Jika tidak, kita akan lupa diri (hilang sifat rendah hati).”

Nazra (kanan) dengan rakannya, Kamel Alang. Mereka berdua menyampaikan ceramah motivasi keapda belia Orang Asli di sekolah dan kampung. (Sumber foto: Prethiba Esvary)

NAZRA BASIR, 28

Nazra berasal daripada keturunan suku Jakun dalam masyarakat Orang Asli di Pahang. Dia mengakui, “Apabila diterima masuk ke universiti, hidup saya agak mencabar pada mulanya, kerana saya seorang sahaja pelajar orang Asli.”

Namun apabila menyedari pelajar lain dan pensyarahnya tidak kisah akan hal ini, ketakutannya lenyap. Katanya, “Melalui tugasan dan perbincangan berkumpulan, hubungan saya dengan pelajar lain semakin erat. Sehingga kini, kami masih berhubung antara satu sama lain.’

Pengalaman bergaul dengan pelajar yang berbeza bangsa di sekolah dan universiti bukan sahaja meluaskan pemikirannya, tetapi turut mempertingkat kemahirannya dalam berkomunikasi.

Cabaran dalam dunia perniagaan

Pengalaman sebenar dalam perniagaan diperolehinya semasa Nazra mula menjual makanan yang dipek bersama rakan-rakannya di universiti.

Setelah menceburi bidang jualan dan pemasaran berbilang aras selama beberapa ketika, sudah tiba masanya untuk Nazra membuka perniagaannya sendiri. Maka pada tahun 2016, dia menubuhkan syarikat sendiri, iaitu Aura Asli Enterprise, yang menjual produk semula jadi yang diperbuat daripada kayu gaharu seperti minyak wangi.

Kenapa kayu gaharu yang menjadi pilihan? Selain daripada nilainya yang sangat berharga dalam kalangan masyarakat Orang Asli, Nazra percaya kayu gaharu mempunyai potensi besar dalam perniagaan.

Nazra menyatakan dia akan menjelajah serata Malaysia untuk menyertai pelbagai pameran sebagai cara memperkenalkan jenamanya serta mempromosi dan menjual produknya.

Katanya, “Kadang-kadang, saya terpaksa tidur dalam kereta berhampiran stesen minyak atau perhentian bas, disebabkan keletihan yang amat dan beberapa pusat pameran yang saya sertai jauh lokasinya.”

Hari ini, setelah setahun perniagaan ini bertapak, produknya kini menarik pelanggan dari seluruh Malaysia. Malah, pengunjung dari Singapura turut menyukai produknya.

Nasihat kepada golongan belia

Selain daripada mengendalikan perniagaan, Nazra turut menyampaikan ceramah motivasi kepada belia Orang Asli. Jeyarawara SL1M di Perak ini merupakan kali pertama Nazra berkongsi pengalamannya dengan belia daripada pelbagai kaum.

Katanya, “Nasihat saya kepada mereka (siswazah), janganlah memilih kerja. Dalam keadaan ekonomi semasa, kita perlu merebut peluang yang ada di depan mata.”

Kesimpulan

Tiga kisah yang dikongsikan ini menggambarkan bahawa tidak kira apa latar belakang kita, sama ada sempurna atau kelainan upaya, kita boleh meraih kejayaan, selagi kita tekun berusaha dan merebut peluang yang ada di hadapan mata.

Jika seorang gadis tanpa kaki, pemuda tanpa penglihatan dan seorang belia daripada masyarakat terpencil kini boleh berjaya walaupun berhadapan dengan rintangan, semua orang mampu juga melakukannya. Pokok pangkalnya sama ada kita mahu bertindak ataupun tidak.

 

Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) merupakan program yang disasarkan kepada siswazah yang menganggur atau yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Program ini dikendalikan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government Linked Companies) dan syarikat swasta. Untuk memperoleh maklumat lanjut berkenaan SL1M, layari https://sl1m.my/. Kisah-kisah kejayaan SL1M ada dimuatkan dalam laman Youtube ‘SL1M Official’.Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik SL1M: A Beneficial Platform For All.

 

 

 

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Alt

Cara Memupuk Budaya Kekitaan - Dan Mengapa Ia Merupakan Kelebihan Daya Saing Terbaik

Oleh William Arruda. Ketahui tentang kepentingan kekitaan dalam membina budaya pasukan yang produktif dan terlibat, terutamanya berikutan pengasingan dan kekurangan dalam hubungan.

Apr 03, 2023 4 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Manfaatkan Bakat Anda

Setiap orang mempunyai bakat istimewa yang tersendiri. Baik kita pandang ke dalam, cungkilkan dan manfaatkan bakat kita itu.

Aug 16, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest