Apabila Komunikasi di Tempat Kerja Tidak Seperti yang Dimaksudkan

imej oleh magnific
Komunikasi memainkan peranan penting dalam hubungan dan urusan kerja seharian. Sama ada ketika berbincang dengan rakan sekerja, menerima arahan daripada ketua atau berkongsi perkembangan tugasan, setiap individu perlu memastikan maklumat yang disampaikan dapat difahami dengan baik. Namun, tidak semua mesej diterima seperti yang dimaksudkan. Ada kalanya, sesuatu teguran dianggap sebagai kritikan, pertanyaan disalahertikan sebagai mempersoalkan arahan atau mesej ringkas kedengaran seperti arahan yang tegas. Keadaan ini boleh menimbulkan salah faham walaupun pengirim sebenarnya tidak berniat sedemikian.
Setiap Individu Mempunyai Gaya Komunikasi Berbeza
Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menyampaikan pendapat dan berinteraksi. Ada yang lebih selesa bercakap secara terus, manakala ada yang memilih perkataan dengan lebih berhati-hati sebelum menyuarakan pandangan. Perbezaan ini boleh mempengaruhi cara sesuatu mesej diterima. Sebagai contoh, pekerja yang bercakap secara terus mungkin dianggap terlalu kasar oleh rakan sekerja yang lebih mengutamakan pendekatan berhati-hati. Sebaliknya, individu yang kurang bercakap mungkin disalah anggap sebagai tidak berminat untuk bekerjasama. Dalam kajian oleh Gessanee Maneerutt, terhadap 128 responden daripada pelbagai organisasi turut mengenal pasti penyampai dan saluran komunikasi sebagai antara faktor yang menyumbang kepada salah faham di tempat kerja.
Artikel ini mungkin menarik minat anda:
Apabila Pasukan Anda Diam, Adakah Mereka Benar-Benar Bersetuju?
Mesej Digital Tidak Selalu Membawa Maksud Sebenar
Penggunaan e-mel, WhatsApp dan aplikasi perbualan kerja memudahkan urusan harian. Walau bagaimanapun, komunikasi secara bertulis mempunyai batasan kerana penerima tidak dapat melihat ekspresi wajah atau mendengar nada suara pengirim. Contohnya, mesej seperti "Boleh siapkan sekarang?" mungkin sekadar pertanyaan biasa bagi pengirim. Namun, penerima mungkin menganggapnya sebagai desakan, terutamanya jika tiada konteks atau penjelasan tambahan. Oleh itu, pemilihan perkataan dan cara menyampaikan mesej perlu diberi perhatian supaya maklumat tidak mudah disalahertikan.
Andaian Boleh Mengubah Maksud Sesuatu Perbualan
Dalam persekitaran kerja, kita kadangkala menganggap orang lain sudah mengetahui perkara yang sama seperti kita. Namun, tidak semua individu mempunyai maklumat, pengalaman atau pemahaman yang serupa. Sebagai contoh, seorang pengurus mungkin menganggap pekerja sudah mengetahui perubahan tarikh akhir sesuatu tugasan kerana perkara itu pernah dibincangkan secara ringkas dalam mesyuarat. Namun, pekerja tersebut mungkin tidak menyedari bahawa perubahan itu turut melibatkan tanggungjawabnya. Apabila kedua-dua pihak bergantung pada andaian sendiri, kesilapan mudah berlaku. Sebab itu, penting untuk memberikan penjelasan dan memastikan maklumat penting disampaikan kepada individu yang terlibat.
Mendengar Bukan Sekadar Menunggu Giliran untuk Bercakap
Komunikasi yang baik bukan hanya bergantung pada kebolehan seseorang menyampaikan pendapat. Keupayaan mendengar dan memahami orang lain juga memainkan peranan penting. Ada kalanya, kita terlalu fokus untuk memberikan jawapan sehingga tidak benar-benar memahami perkara yang cuba disampaikan oleh orang lain. Akibatnya, respons yang diberikan mungkin tidak menjawab persoalan sebenar atau menyebabkan perbincangan menjadi lebih tegang. Dalam artikel What Is Active Listening?, Amy Gallo daripada Harvard Business Review menjelaskan bahawa mendengar secara aktif turut melibatkan perhatian terhadap bahasa badan, nada suara dan emosi individu yang sedang bercakap. Ini bermakna, mendengar memerlukan usaha untuk memahami, bukan sekadar menunggu peluang untuk memberikan respons.
Komunikasi Memerlukan Kefahaman Bersama
Salah faham di tempat kerja tidak semestinya berpunca daripada niat buruk atau kegagalan seseorang menyampaikan maklumat. Ada kalanya, perbezaan gaya komunikasi, kekurangan konteks dan andaian sendiri boleh menyebabkan sesuatu mesej diterima secara berbeza. Setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk memastikan komunikasi berjalan dengan baik. Menyampaikan maklumat dengan jelas, mendengar tanpa membuat kesimpulan terburu-buru dan bertanya apabila kurang faham dapat membantu mengelakkan kekeliruan. Apabila komunikasi berlaku dengan lebih terbuka dan kedua-dua pihak berusaha memahami antara satu sama lain, hubungan kerja menjadi lebih baik dan kerjasama dalam pasukan dapat diperkukuh.
Komunikasi
Amirah ialah editor Bahasa Melayu di Leaderonomics dengan latar belakang dalam bidang Linguistik dan Bahasa Melayu. Bagi Amirah, menulis bukan sekadar tugas, tetapi ruang untuk meneroka idea dan berkongsi perspektif. Di luar kerja, dia gemar menonton Netflix, mencuba makanan baharu dan menikmati secawan matcha.




