Pada tahun 1992, legenda badminton negara, Jalani dan Razif Sidek, membawa pulang pingat Sukan Olimpik pertama negara dalam kategori beregu lelaki. Itu adalah saat kegemilangan yang penuh bersejarah bagi semua rakyat Malaysia kerana ia adalah kemenangan pertama sejak penglibatan kita dalam Sukan Olimpik pada tahun 1964.
Walau bagaimanapun, jika kita menyorot kembali ketika Seoul menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 1988, seorang wanita muda Malaysia bernama Vasugi Maruthamuthu telah mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik pertamanya dan meraih pingat gangsa dalam taekwondo. Akan tetapi, kemenangannya tidak diiktiraf dan ramai yang tidak mengetahui akan kejayaannya.
Apa yang terjadi?
Pada masa itu, taekwondo hanyalah acara demonstrasi. Sukan itu menjadi acara penuh 12 tahun kemudian di Sukan Olimpik Sydney. Itulah sebab ramai yang tidak menyedari akan kejayaan atlit taekwondo ini.
Di manakah dia sekarang?
Selepas mencecah kemuncak kerjayanya, Vasugi berhasrat untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bertanding di arena antarabangsa dengan atlit muda. Sebagai cara memberi balik kepada komuniti, dia mengajar taekwondo dan menguruskan Kelab Taekwondo Viva di Bangsar, sebuah kelab ulung yang bergabung dengan Taekwondo Malaysia. Selama 21 tahun, ibu beranak tiga yang berusia 49 tahun ini aktif dalam usaha melahirkan atlit taekwondo muda.
Masa mudanya
Apabila ditanya bagaimana dia mula-mula berjinak diri dengan taekwondo, Vasugi berkata: “Ayah saya terlibat dalam sukan yang dikenali sebagai silambam (seni mempertahankan diri masyarakat India), dan dia mahu saya juga terlibat dalam seni mempertahankan diri. Saya pun mendaftarkan diri dalam kelas taekwondo di sekolah.”
Vasugi mengambil bahagian dalam pertandingan pertamanya semasa berumur 14 tahun, iaitu setahun selepas menceburi sukan itu. Dia terus bergiat mewakili Malaysia dalam sukan itu sehingga berumur 23 tahun.
Dia memenangi pingat pertamanya, sebutir perak, di temasya Sukan SEA di Jakarta. Itulah titik permulaan dia semakin berkembang maju dalam sukan taekwondo. Vasugi meraih kejayaan demi kejayaan di pelbagai kejohanan selepas itu termasuk di Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur, Kejohanan Jemputan Dunia 1990 di Kuala Lumpur dan Sukan SEA 1991 di Manila. Sebagai menghargai sumbangannya kepada taekwondo wanita, dia diberikan Anugerah Jurulatih Pembangunan Wanita pada tahun 2003.
Walaupun Vasugi tidak mendapat penghargaan yang setimpal perjuangannya, usaha gigih untuk mencapai kejayaan dalam taekwondo bukan hanya membentuknya menjadi seorang insan yang lebih baik, malah mengajarnya erti kehidupan yang berharga yang dia kini praktikkan sebagai seorang ibu, jurulatih, isteri, rakan sekerja dan anak perempuan.
Berikut adalah nasihat-nasihat yang Vasugi berikan:
Pengajaran #1: Anda adalah faktor pembatas untuk meraih kejayaan
Vasugi tidak pernah menggunakan alasan kemiskinan keluarganya sebagai penghalang untuk mencapai impiannya. Oleh kerana keluarganya kurang berkemampuan pada masa itu, jurulatihnya Yeap Swee Bee telah membelikannya uniform taekwondonya yang pertama. “Itu betul-betul menyemarakkan semangat saya untuk menjadi pejuang yang diimpikan jurulatih saya,” kata Vasugi kepada Leaderonomics.
Tetapi itu hanyalah permulaan perjalanan yang penuh onak dan duri. Kita semua tahu yang perjalanan menuju kejayaan bukanlah mudah dan pelbagai kegagalan dan cabaran akan ditempuhi, seperti juga dalam dunia korporat.
Vasugi selalu bertarung dengan berat badannya kerana dia harus berada di bawah 43kg untuk bertanding di dalam kategori finweight. Bagi orang lain, ini mungkin satu cabaran, tetapi ia adalah rahmat terselindung bagi Vasugi kerana ia mendorongnya berlatih dengan lebih kuat – secara spesifiknya, tiga kali sehari – dan mengawal dietnya. Hasilnya cukup berbaloi dalam jangka masa panjang.
Vasugi menceritakan tentang episod yang hampir menyebabkannya putus asa. Walaupun dia kalah dalam perlawanan akhir menentang atlit Indonesia di Sukan SEA 1987, dia tidak hilang harapan, malah bangkit berlatih dengan lebih kuat. Hasilnya cukup memuaskan hati. Segala penat lelah dan keazamannya terbayar dengan kemenangan ke atas lawan yang sama dua tahun kemudian.
Bukan senang untuk kita menerima kegagalan, begitu juga di tempat kerja. Tetapi, sekiranya kita tidak membuat kesalahan, bagaimanakah kita boleh belajar dan menjadi lebih baik dalam setiap perkara yang kita lakukan?
“Kegagalan adalah batu loncatan menuju kejayaan,” nasihat Vasugi.
Pengajaran #2: Kerja kuat dan tekun, tetapi berhati-hati
Sehingga kini, sumber motivasi dan inspirasi Vasugi ialah jaguh tinju dunia yang disanjungi, Muhammad Ali. “Saya kagum dengan keberaniannya; dia tidak pernah takut akan sesiapa, dan selalu buat yang terbaik di dalam gelanggang,” katanya.
Bekerja kuat dan mendorong diri sendiri untuk mencapai atau menjangkaui kebolehan kita adalah bagus, tetapi sejauh mana kita patut melakukannya?
Kita pernah mendengar cerita tentang atlit-atlit yang terpaksa menarik diri dari pertandingan pada saat-saat akhir kerana mereka belum pulih daripada kecederaan fizikal yang disebabkan oleh latihan keras dan kemalangan kecil. Tersilap langkah ketika latihan dan anda boleh lupakan peluang keemasan untuk memenangi pingat emas pertama anda.
Menurut Vasugi, walaupun dia berasa gembira apabila berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1988, tetapi dia terpaksa berlatih lebih kuat lagi. Atas sebab kekerapan sesi latihannya, dia mengalami kecederaan lutut dua minggu sebelum berlepas ke Seoul. “Saya bernasib baik ia hanya kecederaan ligamen tegang yang kecil dan saya sempat sembuh sebelum ke Seoul dan bertanding di sana,” katanya.
Bagi pekerja profesional seperti kita, adalah bagus jika kita bercita-cita tinggi; misalnya selalu menawarkan diri untuk mengusahakan projek-projek besar atau berlumba-lumba untuk menutup sejumlah besar urus janji niaga. Tetapi adakah usaha kita itu berbaloi jika kita akhirnya kehabisan tenaga. Jadi, berhenti dan tanya diri jika ia berbaloi untuk meletakkan kesihatan dan kewarasan anda dalam risiko.
Kesimpulan
“Kemenangan dan kejayaan bukanlah hak kita. Kita mesti berusaha dan berjuang untuk mendapatkan apa yang kita mahu. Jangan harapkan orang lain memberikannya kepada kita. Ini bukan hanya untuk sukan tetapi kehidupan secara am.” kata Vasugi.
Kata-kata hikmah Vasugi memberi erti bahawa kita menentukan kejayaan diri sendiri. Walaupun perjalanan untuk mencapainya sukar, tetapi kalau kita bekerja kuat dan tekun, kita akan sampai ke penghujung jalan juga pada akhirnya.
Kita harus memahami bahawa kejayaan dan pencapaian bukan faktor utama yang menentukan diri kita. Yang membentuk diri kita ialah pembelajaran daripada pengalaman hidup dan perlakuan kita. Begitu juga dengan Vasugi.
Oleh Michelle Gibbings. Temui selok-belok kesetiaan di tempat kerja dan cara mengimbanginya dengan membuat keputusan beretika melalui kesetiaan diri, perbualan yang sukar dan perdebatan yang sihat dalam pasukan.
Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.
Setiap pemimpin yang hebat pasti pernah gagal berulang kali dalam kembara kehidupannya. Belajar daripada setiap kegagalan. Jangan ulanginya. Jadikan kegagalan-kegagalan itu sebagai batu asas kejayaan masa hadapan. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Tidak Mengapa, Biar Mereka Gagal.