Tip Menulis Resume, Khas Untuk Profesional Berpengalaman

Mar 27, 2018 6 Minit
profesion, kerja, resume

Dengan tetingkap peluang yang begitu tipis, hanya enam saat untuk seseorang profesional berpengalaman memberi tanggapan yang baik supaya layak ditemu duga, resume anda perlulah cukup menarik supaya dapat terus menambat perhatian penemu duga.

Kisah yang anda karang dalam resume perlu cukup menarik dan meyakinkan, sehingga penemu duga akan menghubungi dan tidak sabar bertemu dengan anda secara bersemuka.

Bunyinya payah, bukan? Hakikatnya, seni penulisan resume yang mantap dan hebat bukannya sesusah pergi ke bulan. Namun, ia melibatkan serba sedikit usaha dan kerja rumah.

Berikut merupakan beberapa tip yang mungkin berguna, terutamanya bagi sesiapa yang sudah berada dalam pasaran pekerjaan dan mahu bertukar angin. 

Maklumat asas

Nama, alamat, nombor atau e-mel untuk dihubungi, keahlian dan pensijilan profesional yang relevan merupakan maklumat asas yang sepatutnya dipaparkan dalam mana-mana resume.

Dalam konteks hari ini, profil dalam talian seperti LinkedIn, ID Skype, blog peribadi (sesuai untuk dikongsi dalam konteks profesional) juga penting dan dianggap bermanfaat. Ini semua menggambarkan kemahiran profesional berpengalaman untuk memantapkan diri dengan dunia internet dan sikap mereka dalam mengikut arus teknologi.

Ramai individu berpengalaman cenderung untuk bercerita melebih-lebih dan menyenaraikan maklumat yang berjela-jela.

Ini termasuk nombor kad pengenalan, jenis lesen memandu, tarikh lahir, bangsa, agama, jantina, gambar, tahap kemahiran dan penguasaan bahasa (terutamanya yang melibatkan skor bagi menunjukkan tahap) dan segala macam sesi latihan yang dihadiri.

Anda harus elakkan diri daripada memberi maklumat secara berlebihan, melainkan jika diminta secara khusus dalam iklan pekerjaan tersebut.

Berkaitan: Peluang Kerja Lebih Cerah Dengan Penjenamaan Diri

Tekankan pengalaman, bukan pendidikan

Tidak seperti calon yang baru melangkah masuk ke alam pekerjaan, golongan profesional berpengalaman harus memaparkan pengalaman kerja terlebih dahulu. Melainkan anda berada dalam industri pendidikan yang menitikberatkan kriteria seperti MBA dan PhD, kelayakan pendidikan boleh diletakkan pada bahagian penghujung resume.

Paparkan dua kelayakan utama. Itu sudah memadai. Anda tidak perlu menyenaraikan semua kelayakan anda termasuk pencapaian dari zaman sekolah rendah.

Paparkan pengalaman dan pencapaian terbaik

Ini mungkin merupakan bahagian yang paling penting dalam resume bagi golongan profesional berpengalaman. Dan sudah tentulah, bahagian ini yang paling mencabar untuk dipersembahkan.

Ramai profesional membuatkan penemu duga mati kebosanan dengan mengimbas kembali pekerjaan sebelum ini secara kronologi. Ini akan menjadikan resume anda sepanjang empat atau lima halaman. Anda tidak perlu menyenaraikan semua pengalaman lepas mengikut tahun, dan tidak perlu nyatakan semua pekerjaan yang lepas.

Belajar untuk menonjolkan pencapaian yang relevan, yang membuatkan anda kelihatan seperti aset yang berharga. Buat senarai pencapaian utama bagi setiap pekerjaan anda. Daripada senarai lengkap ini, kenal pasti dan pilih pencapaian utama daripada setiap pekerjaan lepas, yang agak relevan dengan pekerjaan baharu yang anda pohon.

Fungsi sama tetapi pangkat lebih tinggi

Jika anda memohon pekerjaan dengan fungsi yang sama tetapi pangkatnya lebih tinggi, bagus untuk anda mencoretkan pencapaian dalam mod ‘perkembangan’. Misalnya,  pengalaman dan pencapaian anda haruslah menunjukkan peningkatan daripada kemahiran asas kepada peranan yang lebih melibatkan pengurusan dan kepimpinan bagi fungsi tertentu.

Industri sama tetapi fungsi berbeza

Sekiranya anda memohon pekerjaan dalam industri yang sama tetapi fungsinya berbeza, coretkan kisah pencapaian dengan menunjukkan ‘keluasan’ pengalaman dalam industri tersebut, pamerkan diri anda sebagai seorang pakar industri yang holistik.

Dan jika anda betul-betul merancang untuk beralih arah dan mencuba sesuatu yang baharu, serlahkan pengalaman lepas semasa anda mengendalikan tugasan dalam fungsi baharu atau dalam industri bahasa pada masa lalu. 

Tunjuk bukti pencapaian

Ingat, tunjukkan bukti bagi semua pencapaian anda melalui KPI kewangan atau penunjuk boleh ukur lain yang sesuai bagi industri atau fungsi tertentu.

Anda tidak perlu nyatakan tempoh yang anda luangkan bagi setiap pekerjaan. Bagus sekiranya anda boleh senyap tentang umur, sama ada kerana paparan umur mungkin menunjukkan kekurangan pengalaman bagi pekerjaan yang dipohon atau anda sudah hampir dengan umur persaraan.

Adalah menyalahi undang-undang apabila seseorang didiskriminasikan atas faktor umur tetapi terdapat juga beberapa majikan yang mengambil kira umur dalam membuat keputusan. Jika anda mampu bertindak bijak untuk mengelakkan diri daripada diskriminasi umur, supaya anda layak ditemu duga, teruskan dengan tindakan anda.

Guna kata kerja tindakan dengan bijak

Dalam usaha menonjolkan pencapaian, anda harus pelajari seni menggunakan kata kerja tindakan bagi meningkatkan keberkesanan resume. Kata kerja tindakan membuatkan semua pencapaian anda nampak hidup. Ini memberi gambaran yang kuat bahawa anda seorang yang mampu menyiapkan kerja. Kata kerja tindakan mempertingkatkan keupayaan anda dalam sesuatu kerja.

Dalam usaha mencari kata kerja tindakan yang terbaik bagi menyampaikan mesej kepada penemu duga, gunalah mana-mana enjin carian dalam talian dan anda akan memperoleh serba macam perkataan untuk dipilih.

Namun satu peringatan buat anda, penggunaan kata kerja yang berlebihan boleh membuatkan anda seperti cakap tak serupa bikin. Berhati-hati dalam menggunakan kata kerja tindakan. Jujurlah dengan diri sendiri. Penemu duga yang berpengalaman dapat mengecam sebarang tokok tambah.

Berhati-hati menggunakan akronim

Salah satu kelemahan yang dikenal pasti dalam resume profesional berpengalaman ialah penggunaan akronim. Hal ini kurang diendahkan kerana sesetengahnya kelihatan biasa dan lazim bagi penyedia resume. Namun, akronim-akronim ini mungkin asing bagi bakal majikan.

Bergantung pada pekerjaan yang anda pohon, elakkan diri daripada menggunakan akronim teknikal melainkan akronim itu dapat menjual kelayakan/kemahiran anda, atau memang disenaraikan secara khusus dan menjadi prasyarat untuk jawatan yang anda pohon.

Walaupun anda menghantar resume ke syarikat dalam industri yang sama, anda harus sedar bahawa orang pertama yang membaca resume anda berkemungkinan tiada kepakaran teknikal. Lebih baik jika anda tukarkan akronim dengan istilah yang lebih senang difahami supaya penemu duga dapat melihat kerelevanan kemahiran anda dengan kerja tersebut.

Tekankan pencapaian/penglibatan luar kerja

Lebih bagus sekiranya bakal majikan memandang anda sebagai individu yang menyeluruh, dari konteks dalam dan luar kerja. Ramai memandang remeh akan aktiviti luar kerja, namun aspek ini sebenarnya membantu meningkatkan kebolehpasaran pemohon kerja secara keseluruhan.

Penglibatan dalam aktiviti sukarela, sukan, projek kemasyarakatan, badan profesional yang relevan, kumpulan pendukung dan aktiviti seumpamanya dipandang tinggi. Nyatakan projek atau inisiatif utama yang anda sertai, bukan hanya ‘peranan’ atau ‘jawatan’ yang dipegang.

Aktiviti-aktiviti ini perlulah yang anda masih bergiat aktif melakukannya. Tiada guna menyenaraikan semua peranan kepimpinan semasa sekolah namun ruang ini kosong semasa zaman bekerja. Berpijak di bumi yang nyata dan ketahui matlamat sebenar apabila anda berfikir untuk memasukkan maklumat sebegini.

Satu resume bagi satu majikan

Satu kesilapan yang sering dibuat oleh orang ramai adalah menyediakan resume standard dan menghantarnya untuk memohon semua kekosongan kerja yang ada.

Majikan yang sedang mencari calon berpengalaman sangat mahir mengenal pasti sama ada resume anda disediakan khusus buat mereka atau main tembak sahaja.

Cuba anda bayangkan, lagi teruk sekiranya resume yang anda hantar ada nama majikan lain, yang telah anda hantar sebelum ini. Percayalah, ini pernah berlaku! Sediakan resume dan surat pengenalan yang khusus buat setiap majikan. Tetap ada nilainya.

Berkaitan: Menulis CV Yang Hebat

Melepasi penjaga pintu

Enam puluh peratus daripada ‘penjaga pintu’ syarikat melibatkan program saringan perisian resume elektronik, sebelum resume sampai kepada kakitangan Sumber Manusia. Bagus untuk mengetahui cara perisian ini berfungsi supaya anda menggunakan kata kunci yang tepat dalam resume atau aplikasi dalam talian.

Ingat, kenal pasti semua syarat khusus yang dinyatakan dalam iklan pekerjaan dan penuhi keperluan tersebut.

Sama ada sesuatu jawatan diiklankan atau tidak, anda masih boleh menghantar resume kepada penemu duga jika anda mengambil inisiatif untuk mencari e-mel mereka. Dan cara terpantas untuk melayakkan diri ditemu duga adalah dengan menggunakan subjek e-mel yang ‘menarik perhatian’ dan surat pengenalan yang ‘mencerminkan’ seseorang yang dicari-cari oleh syarikat.

‘Agen Perubahan Sedia Berkhidmat’, ‘Marshmallows Pilihan Anda’, ‘Profesional Yang Sungguh Ingin Bekerja Bersama Anda’, semua ini merupakan beberapa subjek e-mel yang akan menambat perhatian. Saya akan terdorong untuk lebih mengenali calon secara peribadi, dan saya akan tergerak hati untuk membaca resume calon tersebut.

Walaupun bunyinya agak menggelikan, subjek sebegini menimbulkan rasa ingin tahu dan jangkaan untuk mengenali individu yang nampak lebih unik dan menonjol berbanding calon lain.

Sebaik sahaja anda meraih perhatian penemu duga, penting untuk anda kemukakan surat pengenalan yang ringkas dan padat yang serba sedikit menceritakan hasrat anda untuk menyertai organisasi dan sumbangan yang boleh anda beri kepada organisasi.

Peluang anda untuk melayakkan diri ditemu duga akan meningkat jika surat pengenalan tersebut ‘mencerminkan’ kriteria utama yang dinyatakan dalam iklan, serta nilai, budaya dan visi organisasi. Gunakan kata kunci perekrut supaya mereka rasa ada keterikatan antara anda dengan diri mereka.

Baca semula resume anda dengan teliti

Pastikan resume anda cantik dari segi tatabahasa, yang menunjukkan anda seorang yang profesionalis dan terperinci. Selepas dibaca dengan teliti, bacanya dari sudut pandangan orang ketiga. Tanya pada diri, adakah resume anda dapat menarik perhatian bakal majikan.

Akhir kata

Sewaktu memulakan perjalanan dalam memantapkan resume, anda perlu sematkan dalam diri bahawa resume anda merupakan dokumen promosi diri yang menggambarkan anda dari sudut yang terbaik, bagi tujuan melayakkan diri menghadiri temu duga kerja.

Letakkan diri anda dalam tempat majikan dan sediakan resume yang memuaskan hati sekiranya anda sendiri menjadi majikan. Dan jangan lupa berseronok menempuhi proses ini!

 

Ang Hui Ming ialah pengasas bersama Leaderonomics. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Resume Tips For The Experienced Professional

 

 

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Sudut Pakar

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Kepimpinan

Mengapa Belajar adalah Kunci Kepimpinan

Oleh William Arruda. Pembelajaran adalah kawan baik pemimpin dalam dunia yang cepat berubah. Ketahui bagaimana ia adalah senjata rahsia anda untuk berjaya.

Oct 17, 2023 4 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Akui Kesilapan Di Tempat Kerja: 10 Cara Terbaik

Kita tidak boleh lari dari kesilapan. Biarpun naluri kita akan lazimnya mempertahankan diri tetapi sekiranya kita bersalah, akuilah kesilapan itu. Tontoni video TOP 10 untuk belajar cara-cara mengakui kesilapan di tempat kerja.

Aug 09, 2017 8 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest