Peluang Kerja Lebih Cerah Dengan Penjenamaan Diri

Nov 20, 2017 3 Minit
penjenamaan diri, branding, sosial media, peluang kerja

ERA internet sekarang sangat mencabar dan anda perlukan strategi baharu yang lebih baik untuk berjaya. Formula-formula lapuk sudah tidak boleh digunakan lagi. Tidak kira sama ada anda sedang dalam usaha mencari pekerjaan ataupun mencari pelanggan untuk produk anda, sekiranya anda masih menggunakan cara lama, anda akan gagal.

Dahulu, menghantar ketera­ngan ringkas diri atau resume dalam pencarian pekerjaan adalah lebih daripada mencukupi. Kini tidak lagi. Anda perlukan lebih daripada ini.

Lihat sahaja jumlah graduan yang tidak mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian yang dikongsi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh baru-baru ini, tidak kurang 54,103 kesemua­nya. Ini baru jumlah lepasan universiti dan belum lagi golongan yang telah bekerja dan kini menganggur. Adakah anda mampu mengalahkan beribu-ribu yang lain yang mungkin jauh lebih berkualiti, berkelayakan dan berpengalaman daripada anda?

Bagi pihak majikan pula, mereka bukan sahaja melihat kelayakan, pengalaman dan kebolehan anda, ia lebih daripada itu. Setelah melihat kesemua kriteria yang ada, mereka akan bertanya mengapa anda perlu dipilih dan bukannya orang lain? Soalan ini biasanya akan keluar pada peringkat akhir pemilihan. Ia lebih kepada me­ngapa. Sekiranya ini ditanya kepada anda, mungkin agak sukar untuk menjawabnya. Mengapa mereka perlu memi­lih anda dan bukan orang lain?

Penjenamaan diri

Biasanya tidak ramai orang yang tahu menjawab soalan ini. Kebanyakan jawapan yang diterima semua tidak boleh pakai. Jawapan yang betul sebenar terletak pada tawaran nilai atau value proposition yang ada pada diri anda yang boleh membantu bakal majikan tadi untuk lebih berjaya.

Apakah kualiti yang anda miliki yang tidak terdapat pada orang lain yang bakal majikan tadi boleh jadikan sebagai aset berharga untuk menjadikan mereka lebih kuat dalam mengharungi cabaran dan persaingan ekonomi yang sengit di luar sana? Anda akan berjaya jika jawapan anda konkrit.

Dahulu orang menggunakan kenalan yang bekerja di dalam syarikat tersebut, yang juga dikenali sebagai ‘kabel’ untuk tujuan ini. Ada yang masih lagi menggunakan kaedah kuno ini kerana ia berkesan. Mengapa ia berkesan? Mana tidaknya, orang yang meminta bantuan tadi merupakan kawan, kawan baik, saudara-mara, adik-beradik ataupun kawan kepada kawan. Jadi, masing-masing saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Ini formula dahulu.

Konsep yang sama digunakan pada zaman ini, yang dikenali sebagai penjenamaan diri, iaitu membuatkan diri kita dikenali oleh seramai mungkin orang di luar sana. Ini dilakukan secara dalam talian.

Cuba bayangkan anda ke satu temuduga untuk jawatan Eksekutif Teknologi Maklumat di sebuah syarikat terkemuka di ibu kota dan ketua Jabatan Sumber Manusia dan pengurus Jabatan Teknologi Maklumat di syarikat tersebut mengenali anda lebih awal melalui media sosial contohnya. Sudah pasti peluang anda agak cerah di sini. Me­ngapa? Kerana masing-masing telah kenal terlebih dahulu.

Ini yang dimaksudkan de­ngan penjenamaan diri. Ini pengalaman saya berkenaan cara yang terbaik untuk mewujudkan penjenamaan diri yang kuat melalui internet.

LinkedIn

Saya meminimumkan semua aktiviti yang tidak berfa­edah di Facebook, sebaliknya menumpukan perhatian kepada LinkedIn. Ia merupakan rangkaian profesional yang lebih berkualiti untuk saya bergaul dengan golongan yang betul. Di LinkedIn, hampir kesemua ahli terdiri dari­pada para profesio­nal, korporat dan usahawan. Formula yang saya gunakan adalah mudah. Gunakan gambar profil yang betul, ringkasan latar belakang yang berkualiti dan setiap hari aktif berinte­raksi dengan orang lain. Dalam masa tidak sampai enam bulan, penjenamaan diri saya telah mula kelihatan.

Menulis

Biasanya bakal pelanggan akan melihat syarikat-syarikat yang pernah menjadi pelanggan saya sebelum mereka memberikan apa-apa kontrak. Untuk anda yang mencari pekerjaan, bakal majikan akan melihat pengalaman bekerja. Dahulu, pengalaman saya tidak begitu banyak jadi peluang untuk mendapatkan kontrak agak tipis. Tetapi saya alihkan perhatian mereka kepada penulisan. Setiap minggu saya akan menu­lis blog di LinkedIn tentang pendapat saya mengenai pemasaran digital. Sehingga kini saya masih menulis. Dengan cara ini, perhatian mereka le­bih tertumpu pada penulisan saya daripada pengalaman.

Jual dengan cara tidak menjual

Saya lebih suka berkongsi petua dan rahsia berdasarkan pembacaan dan pemerhatian yang saya lakukan melalui penulisan tadi. Dengan kaedah ini, saya menjual perkhidmatan saya dengan cara tidak menjual. Saya bercerita.

Artikel berkaitan: Ketahui Apa Yang DiPerjuangkan Syarikat Anda, Kata Vivy Yusof

 

Azleen Abdul Rahim adalah pakar pemasaran digital. Untuk menghubunginya, sila hantar e-mel ke editor@leaderonomics.com.Artikel ini diulang siar dengan kebenaran.Artikel ini adalah pendapat penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan pihak Leaderonomics.

 

 

 

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Cara

Cara Menjajarkan Apa yang Anda Katakan Dengan Perkara yang Anda Lakukan

Oleh Manfred F. R. Kets de Vries. Temui kuasa tidak sedarkan diri yang membentuk keputusan anda! Selami dinamika minda yang menarik dalam artikel ini.

Jan 23, 2024 4 Minit

Komunikasi

COVID-19 Merubah Komunikasi bersama Roshan Thiran

Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.

Mar 16, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Rahsia Menjadi Pemimpin Yang Hebat

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita mengenal pasti dan menjadikan tokoh-tokoh yang unggul sebagai suri teladan, dan berlatih corak kepimpinan yang ingin kita contohi.

Jun 27, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest